Anda di halaman 1dari 14

JUJURNYA, saya cukup teruja untuk menonton filem cereka kedua arahan Dain Iskandar Said

berjudul Bunohan ini yang mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula semalam (8 Mac).

Selepas ‘kecewa’ kerana filem pertamanya, Dukun gagal ditayangkan atas faktor sensitiviti, sudah
pasti ramai lagi yang mahu menonton buah tangan terbarunya itu.

Apatah lagi, filem tersebut sudah menjelajah dunia dengan menyertai festival filem antarabangsa
selain ditayangkan di sirkit sinema dunia serta ulasan pengkritik filem asing tentang Bunohan yang
rata-rata mendapat kritikan yang sangat positif dan pujian tinggi melangit.

Apabila cerita tentang Bunohan bertebaran di seluruh dunia sehingga mampu menembusi makalah
ternama seperti Variety dan The Hollywood Reporter, sudah tentu ada sesuatu yang cukup istimewa
tentang Bunohan.

Ternyata keghairahan menanti tayangan Bunohan turut dirasai oleh sebahagian besar anak seni
tempatan dan semua itu dapat dilihat pada malam gala yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala
Lumpur, baru-baru ini.

Bayangkan, lebih daripada 50 orang selebriti dan orang kenamaan membanjiri pawagam tersebut
yang jarang dilihat dalam mana-mana tayangan perdana filem tempatan sebelum ini.

Jika ada sekalipun, hanya filem-filem hebat seperti Puteri Gunung Ledang (2004) dan Embun
(2002) sahaja yang pernah melalui situasi yang serupa sebelum ini.

Tidak menunggu lama, saya memasuki panggung dengan minda yang kosong dan tidak mahu
menjadi berat sebelah hanya kerana Bunohan telah mencatatkan kejayaan membanggakan.

Liga tersendiri

Sepanjang berada di dalam panggung selama hampir dua jam, pelbagai perasaan saya alami sewaktu
menonton filem ini.

Bukan sengaja mahu memberi pujian melambung, tetapi Bunohan memberikan pengalaman baru
untuk saya selepas sekian lama tidak menonton filem tempatan yang benar-benar memberi
kepuasan.

Jujurnya, Bunohan bukan sebuah filem komersial kerana ia tidak dibarisi pelakon popular yang
memiliki wajah kacak dan menjadi kegilaan ramai.

Sebaliknya, kekuatannya terletak kepada lakonan hebat dan mantap para pelakon yang kesemuanya
adalah lelaki yang telah memberikan dimensi baru dalam sinema tempatan.

Sehinggakan saya berfantasi untuk melihat Bunohan tersenarai dalam lima kelompok terbaik untuk
Anugerah Screen Actors Guild tahun depan sekali gus memenangi Outstanding Performance by a
Cast in a Motion Picture.

Mungkin agak keterlaluan fantasi itu tetapi itulah realitinya apabila menonton Bunohan kerana
kesemua pelakonnya termasuk watak pembantu memberikan persembahan yang baik dan seimbang.

Meskipun semuanya adalah pelakon hebat dan terbaik, mereka langsung tidak membayangi antara
satu sama lain. Setiap watak diceritakan dan ditonjolkan dengan baik sekali.
Di sini terletaknya kebijaksanaan Dain selaku pengarah dan syabas diucapkan kepada beliau kerana
memilih pelakon yang berkualiti untuk membawakan watak-watak dalam Bunohan.

Secara peribadi, saya cukup menggemari lakonan Pekin Ibrahim sebagai Bakar yang mampu
membangkitkan rasa benci dan meluat secara perlahan-lahan.

Di sebalik imej ‘budak baik’ dengan sentiasa berpakaian kemas, rupa-rupanya dia adalah syaitan
yang bertopengkan manusia sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi melunaskan impiannya.

Bukan hanya Pekin tetapi lakonan Faizal Hussein juga begitu memberangsangkan sebagai seorang
pembunuh upahan.

Watak Ilham yang dilakonkan oleh anak kepada pasangan seniman dan seniwati legenda,
Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail ini membuktikan bahawa dia
sebenarnya pelakon yang versatil.

Satu-satunya bunga di dalam barisan pelakon Bunohan yakni model terkenal, Tengku Azura juga
muncul dengan aura tersendiri sebagai Mek Yah, meskipun hanya untuk beberapa babak.

Begitu juga dengan aspek penceritaan yang saya sifatkan begitu ringkas. Bagi saya, cerita tentang
kepincangan hubungan antara adik-beradik sehingga menimbulkan dendam kesumat dan kebencian
memang sesuatu yang biasa kita tonton.

Tetapi keunikan cerita yang diolah dengan kemas dan penuh dinamik oleh Dain menjadikan
Bunohan sebagai naskhah agung pengarah ini. Malah filem itu juga mempunyai unsur mistikal yang
menambahkan rencah untuk menyedapkan lagi intipatinya.

Ditambah dengan kecemerlangan sinematografi oleh Charin Pengpanich, ia telah mencernakan


warna untuk menimbulkan mood filem itu dan membuatkan Bunohan berada dalam dimensinya
tersendiri.

Mungkin ada yang akan keliru sehingga mengerut dahi apabila memikirkan tentang jalan ceritanya
tetapi inilah masanya untuk penonton kita bangkit daripada ‘kemalasan’ dan menonton antara karya
hebat tempatan ini.

Cabaran baru Zahiril

SEBAGAI bakat baru dalam bidang seni, Zahiril Adzim sememangnya antara pelakon pelapis yang
menjadi perhatian dan mampu meletakkan dirinya sebagai aktor terbaik di masa hadapan.

Melihat kepada lakonannya sebagai peninju tomoi bernama Adil atau Bunga Lalang, cukup jelas
terbukti kesungguhannya menghidupkan watak tersebut.

Selama tempoh dua bulan kata Zahiril, dia menjalani latihan intensif bagi memastikan dirinya
kelihatan seperti peninju tomoi profesional selain mempelajari dialek Kelantan.

“Kalau diikutkan, rejim yang saya lalui itu tidak mencukupi dan untuk mempersiapkan diri sebagai
seorang peninju profesional, ia memakan masa sekurang-kurangnya setahun.

“Jadi bayangkan tempoh setahun itu dipadatkan kepada dua bulan dan kesakitan yang saya lalui itu
memang memeritkan sehingga lebam.
“Namun saya cukup seronok dan segala keperitan itu bagai tidak dirasai sekali gus memberikan satu
pengalaman baru buat saya sebagai seorang pelakon,” kata Zahiril yang pernah memenangi Pelakon
Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) menerusi filem Kami The Movie itu.

Buat peminat filem tempatan, pastikan anda tidak ketinggalan menonton Bunohan di pawagam
berdekatan anda hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2012&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2N8hUcMsV 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Genre : Drama/Aksi [1]
Arahan : Dain Said

Kos : RM1.81juta
Pelakon : Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Bront Palarae, Namron, 

Soffi Jikan, Hushairy Husin, Amerul Affendi, Tengku Azura

Tahun : 2012

Filem Seumpamanya : Jogho

Rating : 4.5/5

Sinopsis seperti dalam website Bunohan :

Bunohan mengisahkan kisah tragik antara tiga adik-beradik Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim)
dan Adil @ Bunga Lalang (Zahiril Adzim) di samping bapanya yang uzur, Pok Eng (Wan Hanafi Su).
Masing-masing terpisah dengan cerita tersendiri sebelumnya.

Berlatarbelakangkan kawasan di sempadan di selatan Thai dan Malaysia; kampung Bunohan, bermula
dengan Adil pelarian peninju Tomoi yang menjadi buruan penganjur tinju haram kerana Adil lari dari
pertandingan oleh sebab hampir tewas, yang dibantu oleh kawannya sejak kecil, Muski (Amerul Affendi).

Ilham seorang pembunuh upahan yang hampir 20 tahun tidak pulang ke kampung halamannya,
Bunohan walaupun ibunya meninggal dunia (pernah kerja di atas kapal dan ke serata dunia). Ilham
diupah oleh bos penganjur tinju haram Siam dengan di awasi Deng (Bront Palarae). Sementara itu, Bakar
asalnya seorang guru, yang juga abang Adil pulang dari kota untuk menjaga ayahnya Pok Eng seorang
Tok Dalang wayang kulit. Niat Bakar bukanlah suci tetapi ada hajat terselindung iaitu untuk memilik
tanah ayahnya seluas 30 ekar di tepi pantai untuk dijual kepada pemaju bagi tujuan resort.

Kepulangan tiga orang adik-beradik itu akhirnya menimbulkan segala macam memori sedih sewaktu
tinggal di Bunohan. Kepulangan Ilham mendorong dia untuk menjejaki kubur ibunya, Mek Yah (Azura)
isteri pertama Pok Eng iaitu di tanah milik Pok Eng di tepi pantai tersebut. Dia hampir terlupa akan
tujuan asalnya iaitu menyelesaikan Adil yang kemudiannya disedari adalah adik tirinya sendiri. Setibanya
di Bunohan, Adil yang di bawah jagaan Pok Wah (Namron) berusaha menyelamatkan kelab tinju lama
milik Pok Wah.
Masa berlalu dan Bakar terdesak untuk mendapatkan tanah itu. Walau bagaimanapun, Pok Eng tetap
berpegang janjinya dengan Mek Ani (ibu Bakar dan Adil, isteri kedua Pok Eng) untuk menyerahkan tanah
itu kepada Adil suatu hari nanti. Ini mendatangkan marah si Bakar dan membuatkan dirinya tertekan
dengan perjanjian perniagaan dengan pemaju dari bandar. Pendirian teguh ayahnya terhadap janji itu,
menjadikan Bakar dapat mengesan yang Adil dan dirinya bukanlah saudara sedarah sedaging. Lalu Adil
terdorong untuk mengetahui kisah sebenar tentang siapa dirinya.

Ilham mendapati tengkorak mayat ibunya dan tengkorak mayat-mayat lainnya yang ditanam di tanah 30
ekar di tepai pantai itu telah dialihkan oleh orang pesuruh Bakar. Deng kini pula ditugaskan untuk
mengawasi Ilham kerana gagal menurut perintah. Adil pula bersedia untuk perlawanan penentu bagi
menyelamatkan gelanggang tinju Pok Wah seterusnya menebus semula tanah ayahnya. Bakar sekadar
memerhati dari jauh dan tidak sabar untuk segala-galanya berakhir seperti apa dicitanya.

Bakar yang tamak 

Pok Eng
Kata PF :

Menyaksikan Bunohan adalah sesuatu yang benar-benar baru di alam sinema Malaysia. Rasanya tiada
filem yang hampir dengannya. Jika adapun mungkin PGL (Saw Teong Hin) atau Jogho (U Wei Hj. Shaari).
Tetapi jika banyak menonton filem art house dari Barat, anda tak rasa janggal sebenarnya dengan cara
penyampaian Bunohan. Ceritanya betul-betul asli. Pengarah Dain Said (DUKUN) yang mendapat ilham
yang dari tempat tinggal asalnya di sempadan Tumpat yang terkenal dengan cerita-cerita peninju tomoi,
aktiviti penyeludupan yang diceritakan oleh ayahnya seorang Polis yang menjaga sempadan. 

Bunohan kaya dengan sifat artistik, penonton kena bijak mentafsir setiap metafora yang cuba
dipaparkan. Dialognya boleh dikatakan 100% adalah dialek Kelantan dan PF bergantung sepenuhnya
pada subtitle. Ketika filem melayu di pasaran dipenuhi bahasa rojak, tetapi Bunohan mengangkat dialek
Kelantan sepenuhnya. Jika anda mengharapkan filem ini penuh dengan aksi tomoi, pergaduhan dan
pembunuhan, anda silap kerana semua itu bukanlah intinya. Bukan sebaris dengan KL Gangster. Malah
aksi perlawanan atau fighting scene  tidaklah terlalu hardcore tapi  real. Ini mungkin membuatkan
sesetengah peminat kecewa. Bunohan lebih banyak kepada drama keluarga, ketamakan dan kesayuan.

Bagaimana 3 watak bergerak dan develop seiring sangat berkesan. Bukan banyak filem Malaysia yang
tertumpu pada 3 watak penting sekaligus atau ensemble. Faizal Hussein paling menonjol. Manakan
tidak, ia di samakan dengan Jack Palance oleh wartawan barat (John Anderson - Variety) ketika festival
Filem Toronto yang lalu. Ilham memang sangat cocok di tangan Faizal. Cara mengelar leher pun bukan
sebarang gayanya. Malah dengan lawi ayam alat tradisional bukan dengan senjata bahan api jika senang
nak membunuh. Malahan semua pelakon memang hebat! Dari watak sekecil-kecil Gasi yang tiada dialog
tu (Eyzendy - Seru) hingga ke Pok Wah (Wan Hanafi Su) anda takkan rasa cacat pada teknik lakonan
Bunohan. Pelakon yang asing di mata PF iaitu Jolok (Hushairy Husin) sangat Kelantan wajahnya memang
padan dengan wataknya. Pekin Ibrahim yang pertama kali membawa watak yang besar dalam filem
sangat meyakinkan dalam tenang. Dalam sebersih-bersih pakaian Bakar bukan mengambarkan
dalamannya.

Pernahkah anda terbayang paya bakau yang kotor itu nampak cantik dalam filem? Sangat gelap airnya
segelap alam kampung Bunohan? Sinematografi paya bakau pada waktu malam amat cantik! Babak
tengkorak-tengkorak dalam perahu amat ‘mahal’ seakan pembawakan nyawa yang mudah diangkut ke
sana ke mari sama saja nilai nyawa di tangan Ilham. Babak jasad Ilham dan bangau yang terbang slow
motion ke arah Ilham seakan dalam filem ANTICHRIST. Babak ini amat digemari PF tapi sayang sekejap
sangat. Muzik latar hanya dengan menggunakan muzik tradisional di Kelantan (mungkin yang digunakan
masa pertunjukan wayang kulit) menambahkan mood misteri pada cerita. Kenapa tiba-tiba terlihat Mek
Yah berdiri berlatarbelakangkan piramid? Mek Yah kononnya mewakili firaun yang ditanam di dalam
piramid untuk ‘hidup’ selamanya. Sebab itulah Ilham mengambil tengkorak ibunya yang bercampur
dengan yang lain untuk ditanam semula ke tempat asalnya supaya rohnya abadi di tempat ibunya
disemadikan. 
Dain Said cuba memasukkan kisah mistik di tempat asalnya iaitu buaya dalam paya ke dalam diri Mek
Yah sesuatu yang unik dan menimbulkan mistikal dan tanda tanya yang indah. (Mek Yah dahulunya
adalah bomoh/merawat pesakit, menjelma sebagai buaya dalam ilmu merawat penyakit). Kisah sedih
Mek Yah yang duduk bersimpuh di depan rumahnya itu, menutup dengan baik kisah hidupnya dan Pok
Eng kepada audien. Itu saja watak Mek Yah bersuara. Sekali berkata-kata, kita dapat rasakan kesedihan
yang ditangggung Mek Yah selama ini. Pok Eng pula walaupun tak berapa rapat dengan anak-anaknya
tapi dia memahami benar sikap anak-anaknya. Padanya, hanya Adil saja diletakkan harapan.   

Jelmaan Mek Yah semasa mudanya

Adil dan Muski


Terima kasih kepada pengarah fotografi, Charin Pengpanich (Karaoke - 2009) yang meninggalkan kesan
kepada sinematografi yang menakjubkan. Bunohan sebenarnya menyambung gerak tema
filem art (walaupun kita tahu semua filem adalah art)  yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad, Liew Seng
Tat dan beberapa lagi yang lain, ke satu tahap ke hadapan. Filem sebegini hanya muncul sesekali dalam
beberapa tahun di Malaysia. Jadi, patutkah anda membiarkannya begitu saja? Pendek kata the local
greatness movie has truly arrived!

p/s : Adakah layar yang terkoyak adalah simbol pesanan kepada penggiat dan pengkarya sinema kita?
Jawapan di tangan pengkarya dan juga anda!

Fakta Bunohan :

> Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain Said sendiri dan diwakili
di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.

> Bunohan diambil dari nama sebuah kampung di sempadan Thailand dekat Kelantan (Tumpat),
sempadan wilayah Narathiwat Thailand. Dikenali dgn nama “tanah jahat”. Berlaku banyak
pertelingkahan rakyat Thailand yang menyebabkan pembunuhan.

> Ada berpendapat dulunya di zaman Jepun berlaku banyak pembunuh, jadi nama singkatan Bunohan.

> Terdapat pepatah mengenai kampung Bunohan “menghina seseorang dari kampung Bunohan adalah
sama seperti menghina penduduk sekampung”.

> Kampung tersebut juga merupakan tempat asal ritual pemulihan tradisional yang dikenali sebagai
“Main Puteri”, sebuah upacara yang dilangsungkan untuk mengusir roh-roh yang dipercayai sebagai
punca penyakit psikologi.
Filem bukanlah cerminan realiti tetapi merupakan satu renungan karyawan tentang fisikal dan
mental manusia di alam yang dihunikan mereka. Dan seorang karyawan filem seharusnya bersifat objektif dalam
berkarya. Ia seharusnya membenarkan audiens juga merenung dan membuat kesimpulan mereka sendiri terhadap
apa yang dilihat di layar.

Filem Bunohan arahan Dain Said jelas termasuk dalam kategori ini. Dain Said membentangkan kisah
seorang bapa, Pok Eng, dan tiga orang anaknya, Ilham, Adil dan Bakar. Bakar berlainan ibu, maka ternyata status
dan gelagatnya amat berlainan dari Ilham dan Adil. Ilham adalah pembunuh upahan, Adil seorang peninju tomoi dan
Bakar seorang ahli perniagaan yang datang dari Kuala Lumpur. Pok Eng seorang dalang wayang kulit dan walaupun
uzur, dia tetap bermain dengan patung-patung buatannya.

Dain Said menjadikan kampung mereka (yang bernama Bunohan) 

seperti ’pentas’ di mana audiens melihat watak dan perwatakan mereka. Rumah 

usang Pok Eng (Wan Hanafi Su) menjadi ’pentas dalam pentas’ yang mengandungi seribu rahsia tentang masa silam
Pok Eng bersama aruah isterinya, Mek Yah (Tengku Azura), seorang wanita yang mempunyai ilmu perubatan yang
luar biasa.

Kebijaksanaan Dain Said untuk menampakkan semuanya itu sebagai satu ’mainan wayang’, dilihat melalui
visual rumah dari jarak jauh di waktu senja. Dua tingkap diterangi lampu dan dilihat seperti dua kelir wayang  kulit. Di
satu tingkap, bayangan Bakar dilihat dengan jelas. Di tingkap yang lain, bayangan patung wayang kulit bergerak
dimainkan Pok Eng.

Ini menjadi petanda tentang niat jahat Bakar yang terpendam, dibanding dengan sifat Ilham sebagai
seorang pembunuh upahan yang dilihat dengan jelas. Dunia Ilham penuh dengan keganasan tetapi dalam dunia
Bakar, keganasan berlaku secara senyap (dalam bidang perniagaan). Ilham hampir membunuh Adil, adiknya sendiri,
kerana diupah. Di saat-saat akhir, Ilham rela adiknya terus hidup. Bakar yang begitu terdesak untuk merampas tanah
pusaka dari ayahnya, sanggup melakukan sesuatu yang terkeluar dari pemikiran orang yang normal. Siapakah yang
benar-benar jahat di sini?
U-Wei Hajisaari pernah berkata: ”Skrip bukan filem”. Hanya seorang pengarah yang dapat memberikan
’nyawa’ kepada cerita filem sehingga ia terbentuk menjadi sebuah filem naratif yang baik. Dain Said melakukan
segala-gala secara sinematik. Pemilihan lokasi, gaya sinematografi dan suntingan dalam Bunohan jarang sekali dilihat
dalam sinema Malaysia. Landskap Dain Said berfungsi sebagai mindscape. Awan yang mendung, tanah yang
gersang, pantai yang kosong dan luas terbentang, paya yang dipenuhi pokok-pokok yang hampir mati dan rumah-
rumah yang lapok - kesemuanya memberi gambaran tentang minda dan perasaan manusia-manusia dalam Bunohan.

Penggunaan musik pula bukan hanya sebagai latar tetapi berfungsi sebagai soundscape. Bunyian gamelan
dan rebab seakan muncul dari celah-celah landskap yang seakan ’mengeluh’ tentang apa yang sedang berlaku.
Penggunaan musik sedemikian hanya terlihat sebelum ini dalam filem ...Dalam Botol (Khir Rahman, 2011), yang
menampakkan perasaan dalaman watak-watak utama dalam cerita.

Antara perkara yang amat mengkagumkan dalam filem Bunohan ialah lakonan. Ternyata apa yang timbul di
layar adalah watak dan perwatakan rekaan Dain Said, dari watak-watak utama sehinggalah ke watak-watak
sampingan. Melalui kostum, kelakuan, aksi dan pertuturan mereka, audiens mendapat kepastian bahawa mereka ini
bukan pelakon seperti yang dikenali mereka sebelum ini tetapi watak-watak yang menjadi penghuni tetap di
kampung Bunohan.

Faizal Hussein (Ilham) bukan lagi Faisal Hussein yang pernah kita lihat di layar. Penampilannya luar biasa.
Yang muncul di layar adalah Ilham dan bukannya Faisal Hussein. Inilah impian setiap pelakon apabila tampil
memegang sesuatu watak dalam filem atau pun teater. Faisal tidak pernah mendapat latihan secara formal dalam
lakonan. Pengalaman di hadapan kamera sejak tahun 1980-an lagi dibawanya dalam Bunohan, dan di bawah arahan
Dain Said, terserlah kebolehan luar biasa yang terpendam selama ini di dalam dirinya.

Hampir kesemua pelakon dalam Bunohan terdiri dari pemuda-pemuda yang pernah mendapat latihan dalam
bidang teater atau pun filem. Zahiril Adzim (Adil), Amerul Affendi (Muski), Along Ezyandy (Gasi), Haririe Abd. Jalil
(Kruba) dan Namron (Pok Woh) adalah graduan dari ASWARA. Bront Palarae (Deng) dan Sofi Jikan (Awang Sonar)
adalah graduan dari Akademi Filem Malaysia. Pekin Ibrahim (Bakar) mendapat tunjuk ajar dari Khir Rahman, Wan
Hanafi Su dan Sofi Jikan.

Saya melihat Bunohan sebagai satu kesinambungan beberapa isu dan subjek yang direnungkan oleh P.
Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959). Manusia Melayu, apabila sudah maju, mudah melupakan budaya
dan nilai-nilai bangsa mereka. Lebih lima puluh tahun sudah berlalu, namun manusia yang (kononnya) sudah maju
pada hari ini, bertukar menjadi kapitalis yang rakus, menerima dan memberi rasuah dan sanggup membunuh untuk
mencapai matlamat mereka.
Apabila manusia Melayu bersifat demikian, maka pupuslah elemen-elemen spiritual yang diwarisi turun
temurun. Maka mengeluhlah Mek Yah, ibu Ilham dan Adil: ”Tak ada orang seperti Yah lagi. Yah hok penghabisan.”
Ilmu luar biasa yang ada pada dirinya tidak dapat diwarisi oleh mana-mana anaknya. Bangsa, agama dan negara
menjadi miskin walaupun sudah maju dari segi fisikal.

Hanya Bakar, yang berjaya merampas harta ayahnya, akan terus kekal dan berkuasa. Dia tidak peduli
samada harta yang diperolehinya itu adalah secara halal atau haram. Nabi Muhammad, s.a.w. sudah pun
meramalkan keadaan yang bakal menimpa ummatnya dalam hadis yang diwayatkan oleh Abu Hurairah tentang
perolehan harta secara haram. Inilah antara perkara yang sepatutnya menjadi renungan audiens selepas keluar dari
pawagam nanti.

Di akhir cerita, Pok Eng mengeluh: “Bagaimana semuanya boleh jadi macam ini?” Pok Eng merenung
tentang kemusnahan yang melanda keluarganya. Renungannya sudah pun terlambat. Sebagai ‘pelakon’ di pentas
dunia, kita seharusnya lebih peka tentang diri sendiri dan memahami bayangan-bayangan yang memberi petanda,
sebelum segalanya berakhir dengan ‘pembunuhan’.

Mungkin inilah renungan Dain Said terhadap nasib bangsanya.


Bunohan berpaksi jalan cerita berselang-seli metafora yang dalam maknanya, skrip yang kaya dengan kata tersurat
dan tersirat disokong dengan senimatografi cukup menarik. Tabik pada Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim,
Wan Hanafi Su, Bront Palarae, Sofi Jikan, Nam Ron, Tengku Azura dll. Persembahan serta penghayatan mereka
melakonkan watak, menghidupkan karakter masing-masing, ditahap kelas dunia. Terbaik!

Berlatar belakangkan sebuah kampung diberi nama Bunohan yang terletak di Kelantan bersempadan
Thai,Bunohan ‘menyentuh hati’ penonton dengan plot cerita tragis yang digarapkan dengan eleman suspen, drama
dan amalan tradisi. Berkisar konflik tiga beradik- Ilham (pembunuh upahan), Adil (pejuang tomoi) dan Bakar (ahli
perniagaan yang licik) dan bapa mereka yang uzur. Setiap mereka bergelut dengan ketenangan yang tidak tercapai,
pengampunan ditelenggami dengan kebencian yang membawa kehilangan jiwa, pengkhianatan tidak kesudahan dan
pemBUNOHAN.

 
.

Kesimpulannya, Bunohan mengamit rasa bangga kerana karyawan tempatan kita sebenarnya sudah mampu
menghasilkan sebuah karya yang berkualiti dan tinggi nilai seninya setanding dunia. Dan sejujurnya menonton John
Carter, mengingatkan penulis sewaktu menonton filem Avatar 3D, rasa kagum serba serbi. Anda bagaimana?
Jangan ketinggalan untuk menonton kedua-duanya.

- mD
 

 
 

Anda mungkin juga menyukai