Anda di halaman 1dari 2

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang dimuliakan saudara pengacara majlis, barisan panel hakim yang menjunjung panji keadilan,
penjaga masa yang setia dengan masanya, seterusnya para guru dan para pelajar yang dirahmati
Allah sekalian. Tampilnya saya di pentas ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk
‘Bersabar dalam menghadapi musibah’.

Hadirin sekalian,

Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak akan dapat lari daripada menerima ujian dan musibah
yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Masing-masing akan menerima ujian Allah SWT samada
dalam bentuk ujian ditimpa kesusahan atau dikurniakan dengan ujian kesenangan. Ini bermakna
orang yang susah akan diuji dan orang yang senang juga akan diuji. Ujian yang dalam bentuk
kesusahan adalah seperti kesakitan, ketakutan, kelaparan, kemiskinan, kehilangan harta, bencana
alam atau kematian seseorang yang disayangi. Allah SWT berfirman dalam surah alBaqarah ayat 155
yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan
(dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Para hadirin sekalian,

Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah amat perlu kepada seorang
hamba Allah. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang reda
terhadap qadak dan qadar Allah SWT, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah,
kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi musibah yang dialami. Ketahuilah
sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka.
Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 yang bermaksud :

"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Sebagai contoh kita renung dan ambil iktibar betapa tingginya kesabaran Nabi Ayub Alaihi salam
ketika menerima ujian dari Allah SWT ditimpa sakit yang amat berat di mana kulit tubuhnya hancur
dimakan oleh ulat-ulat. Sungguhpun demikian keadaannya, Nabi Ayub ‘Alaihi salam tetap sabar
menerima segala ujian Allah SWT itu, bahkan baginda tetap tekun beribadat.

Hadirin yang dikasihi,

Bagi mereka yang ikhlas dan sabar, ujian kesusahan yang datang akan dihadapinya dengan penuh
ketabahan dan keredhaan kerana memahami bahawa adanya hikmah disebalik ujian tersebut.
Mereka berkeyakinan bahawa ujian kesusahan itu akan menghapuskan dosa dan kesalahan lalu. Ini
kerana seorang mukmin yang sejati akan sentiasa menyedari bahawa setiap ujian yang diterima
adalah untuk meningkatkan lagi iman kepada Allah.

Dengan ini, jelaslah bahawa siapa pun yang menjalani kehidupan pasti akan menghadapi pelbagai
ujian yang akan menduga iman masing-masing. Persoalannya ialah bagaimanakah cara yang
dianjurkan oleh Islam bagi memperteguhkan iman supaya mampu dan tahan menghadapi apapun
dugaan yang mendatang.

Hadirin yang dimuliakan,


Allah SWT telah mengingatkan di dalam Al-Quran sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-Mu'min
ayat 60 yang bermaksud :

"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu".

Oleh itu jika kita ditimpa musibah, maka bersabarlah, berdoa dan bermohonlah kepada Allah SWT
kerana kepadaNya sahajalah sebaik-baik tempat memohon pertolongan. Di samping berdoa dan
memohon kepada Allah SWT kita juga seharusnya berikhtiar dan berusaha untuk menghadapi
musibah yang telah menimpa.

Selain itu, zikrullah atau mengingati Allah kerana dengan zikrullah, hati akan menjadi tenteram
sehingga dimudahkan untuk hati menjadi ikhlas, sabar dan benar keyakinannya kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Ra’du ayat 28:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. ketahuilah
dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum saya mengakhiri bicara terdapat beberapa kesimpulan yang dapat dirungkaikan antaranya
ialah pertama, Umat Islam hendaklah menjaga dan mempertahankan iman ketika ditimpa dengan
musibah. Kedua, Umat Islam hendaklah sentiasa ikhlas dan sabar dalam menjalani kehidupan harian
dan akhir sekali, Umat Islam hendaklah sentiasa berdoa agar sentiasa dalam keimanan dan
memperolehi kesudahan terbaik dalam hidup ini.

Akhir kata sekian Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai