Anda di halaman 1dari 5

BISMILLAHIRROHMANIRRAHIM

Cahaya matahari menyilau mata,

Rasa pedih berusaha menahan,

Lafaz bismillah pembuka kata,

Gelanggang syarahan saya mulakan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha para hakim yang arif lagi bijaksana, rakan-rakan dan
para hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera saya ucapkan.
Saya Daniel Arieef Haqiem bin Shyrim akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk
“BERSABAR DALAM MENGHADAPI MUSIBAH”.

Saudara dan saudari sekalian,

Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia itu semata-mata untuk beribadah dan memperhambakan
diri kepadaNya. Sebagai hamba Allah, kita tidak akan terlepas daripada menerima ujian dan dugaan sama ada
berbentuk kesenangan atau kesusahan. Sesungguhnya, ujian itu menguji sejauh mana kekuatan iman dan
kesabaran kita. Ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala mencintai orang-orang yang sabar dan
sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran ayat 146
Yang bermaksud :

"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Hadirin sekalian,
Sabar bermaksud sifat tenang dan tidak terburu-buru serta mempunyai hati yang kuat menahan kesakitan,
penderitaan, kesusahan dan lain-lain. Orang yang bersabar dapat menahan diri daripada marah terhadap sesuatu
yang tidak disukai serta dapat menahan lidah daripada mengadu hal penderitaan kepada yang lain selain daripada
Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagai contoh kita renung dan ambil iktibar betapa tingginya kesabaran Nabi Ayub Alaihi Wasallam
ketika menerima ujian dari Allah Subhanahu Wata’ala iaitu ditimpa sakit yang amat berat di mana kulit tubuhnya
hancur dimakan oleh ulat-ulat. Sungguhpun demikian keadaannya, Nabi Ayub ‘Alaihi Wasallam tetap sabar
menerima segala ujian, bahkan tetap tekun beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Sedangkan sebelum itu
pun Nabi Ayub ‘Alaihi Wasallam telah menerima ujian dengan kematian semua anak-anaknya dan semua
hartanya habis hangus terbakar.
Para hadirin sekalian,

Orang yang beriman melihat ujian itu sebagai pintu rahmat yang akan mendekatkannya dengan Allah,
kerana balasan bagi hati yang sabar itu ialah syurga di akhirat kelak. Oleh itu, lihatlah setiap ujian dan dugaan
hidup itu dengan sangkaan yang baik walaupun sabar itu pahit tetapi penghujungnya adalah indah dan manis.

Adakalanya, kita diuji dengan tekanan hidup seperti tekanan emosi dan kesempitan ekonomi seperti hutang,
masalah keluarga, kegelisahan dan sebagainya. Oleh itu, jika ditimpa ujian dan musibah, kita wajib bersabar,
janganlah bersangka buruk terhadap Allah swt, dengan beranggapan bahawa kita adalah orang yang paling
malang, kerana setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Berusahalah menghadapi ujian tersebut dengan mencari
jalan penyelesaian yang bijaksana, berdoa, bertawakal dan lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu
Wata'ala kerana sesungguhnya seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Anfal ayar 46.

Yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”

Hadirin yang saya hormati sekalian,


Seluruh dunia pernah berhadapan dengan satu ujian besar iaitu wabak Covid-19 sehingga menyebabkan
kerajaan perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu kuarantin ataupun perintah berkurung
sepenuhnya.

Sepanjang tempoh ini juga, ada kalangan umat Islam yang hilang mata pencarian kerana tidak boleh keluar
untuk berniaga ataupun, ada segelintir yang menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif virus
berkenaan. Tidak kurang pula yang diuji dengan kejadian banjir sehingga menghanyutkan dan memusnahkan
banyak harta benda. Sesungguhnya seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Luqman ayat 17

Yang bermaksud “Dan bersabarlah atas apa yang menimpa kamu”

Walau apa juga ujian yang melanda kehidupan sepanjang tempoh ini atau mungkin pada masa depan, Allah
ingin mengajar kita semua mengenai sesuatu yang istimewa iaitu bersabar dalam setiap yang berlaku kerana
sesungguhnya sakit yang ditimpakan ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita tetapi disebaliknya
mempunyai hikmah yang tersirat daripada Yang Esa.

Saudara dan saudari sekalian,


Ketahuilah, sabar itu adalah anugerah terindah yang menjanjikan pelbagai kurniaan dan ganjaran.
Antaranya, orang yang sabar mempunyai kedudukan tinggi disisi Allah, mendapat keampunan, rahmat dan
petunjuk serta balasan yang lebih baik daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa
bersama kita sebagaimana yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata’ala untuk sentiasa bersama orang-orang yang
sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah serta memberikan perlindungan kepada kita semoga selamat
di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Sebelum saya mengundur diri, terimalah serangkap pantun daripada saya.


Covid sudah , bah pun sudah,

Habis hanyut kereta dan rumah,

Bersabarlah kita hadapi musibah

Pasti tersedia berjuta hikmah

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai