Anda di halaman 1dari 10

SKRIP – KEBAIKAN DISEBALIK UJIAN

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada para pendengar
sekalian. Saya, Muhammad Aiman Hafiz bin Md Faiezol dari BADAR, Badan
Dakwah dan Rohani.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana masih diberi peluang dan kesempatan
untuk menyampaikan tazkirah ringkas kepada muslimin dan muslimat sekalian.
Sebelum saya memulakan tazkirah, marilah kita bersama menadahkan tangan bagi
bacaan doa. (baca doa pendek)

Topik yang ingin saya sampaikan adalah kebaikan disebalik ujian. Kehidupan di
dunia ini penuh dengan ujian. Tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya
atau miskin tetap ada ujiannya.

Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan
itu lebih kuat dan tabah.

Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa
sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara manusia adalah
bentuk ujian yang diterima.

Mungkin bagi sesetengah orang melihat ujian yang menimpa orang lain itu tidaklah
dianggap ujian besar, namun orang yang melalui ujian itu yang lebih mengetahui.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka


bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang
mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami
menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang
demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman
dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut,
ayat 2-3)
Ayat al-Quran itu menjelaskan fitrah orang beriman pasti akan diuji Allah SWT.
Bagi memastikan iman seseorang hamba benar-benar kukuh kepada Allah SWT,
maka ujianlah yang dapat menentukannya.

Ujian bukan saja dirasai orang yang lemah dan miskin, ia juga melanda orang yang
kuat dan kaya. Itulah fitrah kehidupan yang ditentukan Allah SWT.

Sebenarnya, ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT.
Tidak ada tempat selayaknya diharapkan pertolongan selain kepada Allah SWT.

Selain itu, apabila dihadirkan ujian, antara perkara yang perlu disematkan dalam
diri ialah perlunya untuk bersabar. Mungkin ia mudah untuk diungkap, namun
sukar untuk dipraktikkan sekiranya tanpa adanya iman.

Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana


mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam menghadapi urusan kehidupan
dunia.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang


Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang
ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka
dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan
menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis
Riwayat Muslim)
Apabila melalui ujian dalam hidup, selain daripada perlunya bersabar, setiap
Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha supaya ujian yang dihadapi itu berlalu
dengan lancar.

Umat Islam tidak boleh rasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian dalam
kehidupan. Jauh sekali menyalahkan takdir Ilahi. Yakinlah, setiap ujian itu akan
hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan
berikhtiar menyelesaikannya.

Baiklah, kita berehat seketika sebelum meneruskan lagi tazkirah ini. Jangan
kemana-mana dan sabar menunggu, as shobru minal iman. Kita bersambung
selepas ini.

(5 minit ke2)

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada para pendengar sekalian.


Kembali lagi bersama saya Muhammad Aiman Hafiz bin Md Faiezol dari BADAR,
Badan Dakwah dan Rohani. Saya akan menyambung topik saya pada hari itu iaitu
kebaikan disebalik ujian.

Kisah ibu Nabi Isa, Maryam adalah contoh jelas betapa perlunya bersabar dan
berusaha ketika melalui ujian dalam hidup. Maryam seorang wanita yang sentiasa
menjaga kehormatannya.

Namun beliau dipilih Allah SWT untuk menjadi ibu kepada seorang nabi bagi
kaumnya. Maryam adalah seorang insan baik, namun berdepan ujian cukup besar
dalam hidupnya.

Bayangkan seorang wanita baik tiba-tiba hamil dalam keadaan dirinya tidak
bersuami. Beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan oleh kaumnya sendiri
sedangkan beliau tidak pernah melakukan perkara yang dilarang.
Maryam amat sedih dengan apa yang berlaku ke atasnya sehingga merasakan
lebih baik dirinya mati supaya keadannya itu dapat segera dilupakan kaumnya.

Perkara itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “(Ketika dia
hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke
pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku
mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak
dikenang-kenang.” (Surah Maryam, ayat 23)

Walau bagaimanapun, dengan kesabaran dan rasa reda dalam diri, Allah SWT
menganugerahkan pertolongan untuk Maryam pada saat ingin melahirkan
kandungannya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:
“Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu
menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang
pohon tamar itu supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah
Maryam, ayat 23-24)

Hayatilah dengan penuh keinsafan situasi dialami Maryam dalam ayat-ayat al-
Quran berkenaan. Dalam keadaan Maryam seorang wanita baik dan menjaga
kehormatannya, beliau diberi ujian oleh Allah SWT hamil ketika masih gadis.

Dalam keadaan dirinya sakit ingin melahirkan kandungannya, beliau membawa diri
dan turut merasai kesakitan seperti wanita lain.

Tatkala datang pertolongan daripada Allah SWT yang menyediakan untuk


Maryam air dan buah tamar, Maryam diperintah untuk menggegarkan batang
pohon tamar supaya dapat makan buah-buahnya yang jatuh. Maha suci Allah SWT
yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Ketika Maryam ingin melahirkan seorang nabi, bantuan datang bagi meringankan
ujian yang ditanggungnya. Namun, dia masih tetap disuruh berusaha mengurus
ujian dalam hidupnya.

Boleh saja Allah SWT menghidangkan makanan terus kepada Maryam, namun
beliau diperintah untuk menggegarkan pohon tamar supaya dapat dimakan
buahnya.

Lihatlah betapa ujian yang datang daripada Allah SWT perlu diurus dengan
usaha, bukan sekadar menunggu segalanya datang bergolek.

Ia peringatan jelas dinyatakan Allah SWT buat seluruh manusia, lebih-lebih lagi
yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ingatlah, ujian datang adalah untuk
meningkatkan martabat seorang insan di sisi Tuhan.

Baiklah, kita berehat seketika sebelum meneruskan lagi tazkirah ini. Jangan
kemana-mana dan sabar menunggu, as shobru minal iman. Kita bersambung
selepas ini.

(5 minit ke3)

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada para pendengar. Kembali lagi
bersama saya Muhammad Aiman Hafiz bin Md Faiezol dari BADAR, Badan
Dakwah dan Rohani.

Saya akan menyambung topik saya pada hari itu iaitu kebaikan disebalik ujian.
Sudah menjadi lumrah hidup seorang manusia yang berakal untuk menghadapi
dugaan, musibah atau masalah dalam kehidupannya. Orang yang tenang akan
melihat setiap masalah sebagai ujian.

Ujian yang diaturkan oleh Allah SWT ini tidak sama bagi setiap orang dari segi
tahap perit atau kesusahannya. Sama ada berat atau ringan, ujian yang diberikan
ini sudah ditetapkan oleh Allah SWT mengikut kemampuan diri setiap hambaNya.
Selebihnya terserah kepada hamba itu untuk menerima dan melakukan perkara
yang patut apabila berhadapan dengan ujian dariNya yang Maha Kuasa.

Bak kata pepatah ‘hidup ini ibarat roda, kadang kita di atas dan ada kalanya di
bawah’ mencerminkan adapun mereka yang sudah berada di atas atau berjaya
pada suatu ketika barangkali akan jatuh mungkin atas sebab dan kekurangan yang
perlu diperbaiki.

Ujian itu juga bukan sahaja datang daripada masalah kewangan, ujian lain
berkaitan dengan kehilangan yang tersayang, lelah menanggung bebanan,
pergolakan atau kehidupan yang tidak aman dan banyak lagi.

Ini bermaksud ujian itu boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan cara bergantung
pada kehidupan seseorang. Pendek kata, jika diberi pilihan manusia itu bertukar
ujian masing-masing kerana melihat dan berpendapat ujian mereka ringan
daripada yang kita lalui, sesungguhnya kita tidak mampu memikulnya.

Jadi, tipulah jika ada yang mengatakan langsung tidak terkesan dari segi
perasaan atau kesihatan mental yang terjejas akibat mana-mana ujian yang
mendatang. Ini kerana, fitrah manusia yang mempunyai hati dan perasaan dan jika
diizinkan tidak mahu langsung dipertemukan dengan kesedihan, ketakutan,
kekhuatiran atau kemarahan dalam kamus hidup.

Akan tetapi sudah menjadi sunnatullah bahawa kejadian di alam ini adalah
berpasangan termasuklah apabila ada sedih datanglah gembira, bila ada amarah
pasti ada redha dan adanya tenang selepas tekanan.

Adapun begitu, ingatlah bahawa ‘Setiap yang Berlaku Pasti Ada Hikmahnya’. Maka,
ajari hati untuk terima pilihan Allah SWT dengan gembira, kerana tidak ada yang
lebih mengetahui daripadaNya jika kesulitan itu lebih baik daripada kemudahan
yang kita dambakan. Atau mungkin kita inginkan kesenangan tetapi Allah SWT
anugerahkan kesabaran.

Malahan, tanpa kita sedar mungkin ujian yang Allah aturkan ini adalah sebagai
jalan untuk Allah SWT kabulkan doa yang kita sendiri telah lupa. Tiada yang
berlaku secara kebetulan atau kerana kita disisihkan Allah jika kita orang yang
baik, hanya Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk kehidupan kita. Bukankah
Dia yang Maha Esa menciptakan kita? Dan kita hanya hamba yang belum
memahami kehidupan yang ingin diberi olehNya.
Sesungguhnya hanya masa menjadi hijab untuk kita dapat melihat hikmah
sebenar yang telah disediakan olehNya. Setelah masa itu berlalu perasaan malu
akan timbul jika kita

mempertikaikan aturan Allah SWT itu satu ketika dahulu. Disimpulkan, terdapat
tujuh hikmah disebalik setiap ujian yang Allah berikan iaitu;

 Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita,


 Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar,
 Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar,
 Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita,
 Allah sedarkan kita dan mahu mendengar rintihan kita yang semakin
mendekatiNya,
 Allah mahu berikan iktibar kepada orang lain,

Tanda Allah sayangkan kita.

Namun, ada yang terlalu bersedih sehingga hilang arah tuju dan tidak lagi yakin
untuk berdoa dan meminta dengan yang pemberi ujian. Senyatanya, Allah tidak
pernah mengabaikan doa dan rintihan hati hambaNya dan membiarkan hambaNya
pulang dengan tangan kosong. Ini kerana Allah SWT telah berfirman yang
bermaksud:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku,


maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa
apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan
beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran”.

Dan apabila manusia itu bersedih ketahuilah dalam surah At-Taubah Allah SWT
berpesan supaya;

“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”.


Allah SWT menurunkan ayat ini agar kita ingat bahawa Allah akan selalu bersama
tambahan lagi dalam keadaan sedih. Bersedih di sini bukan bererti tidak boleh
menangis tetapi menjadi lemah dan tidak langsung berusaha.

Lantaran itu, kita juga tidak boleh mendefinasikan ujian ini sebagai bala kerana
Allah membenci kita atau menyalahkan orang yang hidup sebelum kita. Akan
tetapi, adalah sepatutnya kita kembali muhasabah diri dan mencari jalan keluar
yang diredhai Allah SWT.

Malah mereka yang lebih dekat dengan Allah SWT seperti Rasulullah SAW telah
menerima banyak tentangan hebat dalam menyebarkan ajaran agama Islam
termasuklah dari kaumnya sendiri.

Sememangnya betul jika ada yang akan membantah dengan kenyataan ini kerana
tidak relevan untuk membandingkan Rasululullah SAW dengan manusia biasa,
seperti peristiwa apabila Sa’ad bin Abi Waqqas ditanyakan soalan, “Siapakah
orang yang paling berat cubaanya”, dan beliau menjawab bahawa, Rasulullah SAW
pernah bersabda yang bermaksud:

“Orang yang paling berat cubaannya ialah para Nabi, kemudian diikuti orang yang
berikutnya (iaitu orang di bawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang
hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya
kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah, maka
cubaan yang menimpanya juga sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus
menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di muka bumi tanpa memiliki
sebarang dosa lagi”.”

Tetapi, jika difikirkan Rasulullah SAW itu adalah kekasihNya maka Allah berikan
ujian bukanlah semata untuk menyusahkan hambaNya tetapi untuk lebih
mendekatkan hubungan itu.

Ini menunjukkan bahawasanya, ujian Allah itu adalah sebagai tanda Allah sayang
kepada kita supaya kita tidak lalai untuk ingat kepadaNya. Kerana dalam setiap
yang Allah SWT datangkan adalah untuk kita kuat, jika Allah tangguhkan sesuatu
tidak lain hanya supaya kita sabar dan Allah hilangkan sesuatu agar kita redha.
Makin berat ujian Allah itu, semakin kuat kasih sayangNya terhadap kita.
Hadapilah dengan sabar dan tenang supaya kita juga dapat merasakan cinta yang
Maha Agung ini. Dan janganlah mengeluh sesungguhnya Iman kita ini sedang diuji
oleh pemiliknya.

Hal ini demikian kerana, setelah diasak dengan dugaan barulah manusia sedar
bahawa dirinya amat lemah dan perlukan bantuan daripada pencipta yang Maha
Agung. Mereka yang memahami akan menerima kenyataan dengan hati yang
tenang kerana mereka yakin di sebalik setiap ujian ada rahmatnya. Itulah antara
hikmahnya mengapa Allah SWT menguji, agar tumbuh jiwa hamba yang sedar dan
kuat pada diri kita.

Tidak dinafikan juga dalam menjalani ujian itu, nafsu yang memberontak dan
bisikan halus syaitan akan mengganggu konsentrasi hati. Kerana dalam perjalanan
untuk membuat kebaikan pasti akan diuji dengan pelbagai rintangan dan halangan.

Sungguh, bukan mudah untuk menundukkan hati kita. Salah satu cara untuk tidak
terus hanyut dengan permainan ini adalah dengan sentiasa bersangka baik,
berfikir yang positif dan perbuatan yang menjurus diri kearah kebaikan. Atau
cara lain yang diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk menetapkan hati di atas
agamaNya dan ketaatan kepadaNya adalah dengan doa berikut yang bermaksud;

“Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada


agamaMu.

Doa ini diamalkan oleh sahabat dan para tabiin seterusnya diwariskan ke atas kita
supaya menjadi orang-orang yang soleh dengan hati yang kental.

Akhir kata, apabila kita redha dengan sesuatu yang mengecewakan hati kita maka
percayalah bahawa Allah akan mengantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang
tidak dijangka. Maka yakinlah dengan perancangan Ilahi walaupun ianya sukar
diduga dan difahami oleh akal kita. Semoga kita dapat menerima apa sahaja ujian
dengan hati yang terbuka dan berjaya dalam perjalanan di dunia seterusnya
beroleh rahmat dari Yang Maha Pengasih.
Baiklah para pendengar sekalian, setakat ini sahaja dahulu segmen tazkirah kita
pada kali ini. Diharapkan para pendengar dapat kebaikan dan manfaat daripada
tazkirah yang disampaikan.

Maafkan saya atas kekhilafan dan kekurangan saya sepanjang episod tazkirah ini.
Sesungguhnya, saya hanyalah manusia biasa. Yang baik itu datang daripada Allah
dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri. Jangan lupa untuk terus
dengarkan episod tazkirah yang seterusnya dari rakan-rakan Badar saya, setiap
hari pada jam 7 malam, hanya di Radio BBest, Mude dan Segar. Layari
radiobbest.smskb.edu.my untuk maklumat selanjutnya.

Sekian sahaja.

Assalamualaikum wbt.

Anda mungkin juga menyukai