Anda di halaman 1dari 6

Apabila Ditimpa Musibah

Isn, 04 Jun 2012 14:29 | Haslina binti Ab Ghani | Nurul Ain Jamaluddin

Sejak akhir-akhir ini, banyak musibah berlaku kepada saya. Diri


ini tidak habis-habis ditimpa musibah dan masalah yang cukup
berat di dalam kehidupan.

Musibah, musibah, musibah. Inilah antara keluhan yang sering


diungkapkan oleh manusia apabila ditimpa ujian. Mengapa umat
islam sentiasa bersangka buruk kepada Allah SWT apabila
ditimpa satu kesusahan atau musibah? Adakah ini satu
penyeksaan atau ujian daripada Allah? Perkara sebegini pasti
bermain di dalam fikiran kita termasuk diri ini sendiri.

Saat ditimpa musibah, hati sentiasa rasa resah gelisah, hidup menjadi tidak tenang tanpa
panduan. Kekadang membuat sesuatu pekerjaan tidak menjadi. Fikiran sasau tidak tentu arah
seperti berada di lautan dalam tanpa pertolongan. Apabila dirasakan terlalu berat, tidak mampu
dipikul sehinggakan sampai satu tahap, kita merasakan hidup kita sudah tidak ada harapan lagi.
Lalu kita terduduk, mengeluh kepada Allah, memohon agar dihilangkan dugaan, barulah kita
ingat di mana Allah pada masa itu.

Allah berfirman:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat


pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang
dikerjakannya."
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 286)

Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi daripada setiap dugaan dan ujian. Apa yang boleh
saya katakan, sebagai umat Islam, seharusnya kita yakin sesungguhnya setiap cabaran dan ujian
hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kita.

Sebenarnya kita tidak tahu bahawa Allah amat sayang kepada kita, sebab itu Allah datangkan
kepada kita dengan pelbagai ujian dan musibah, kerana Allah tahu kita adalah hamba yang
mampu mnghadapi ujianNya. Sebaliknya, Allah tidak akan menguji kita jika kita hamba yang
tidak mampu.

Apabila kita ditimpa musibah, carilah Allah. Mengadu dan menangislah, kerana ia akan
memberikan kelegaan pada jiwa. Allah berfirman,
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."
(Surah Al Baqarah 2: Ayat 156)

Dari Ummu Salamah RA mengisahkan: aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
Barang siapa ditimpa musibah, selanjutnya ia berkata: "Ya Allah, berikahlah pahala atas
musibahku dan berikanlah ganti untukku yang lebih baik daripada musibah tersebut. Melainkan
Allah memberikan ganti yang lebih baik daripada musibah yang menimpanya."

Ummu Salamah berkata, "Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata, "Adakah kaum
Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia adalah keluarga pertama yang berhijrah
kepada Rasulullah SAW, kemudian aku mengucapkan doa di atas lalu Allah memberi ganti
untukku berupa rasulNya. Rasulullah SAW mengutuskan Hathib bin Abu Balta'ah untuk
melamarku untuk beliau. Aku mempunyai anak perempuan dan aku adalah wanita pencemburu.
Beliau bersabda, "Adapun anak perempuannya, maka aku berdoa kepada Allah mudah-mudahan
Allah mencukupinya (Ummu Salamah) dengannya dan aku berdoa kepada Allah agar Allah
menghilangkan sifat cemburu. Kemudian aku bernikah dengan Rasulullah SAW."
(Hadith Riwayat Muslim)

Jadi, bagaimanakah Islam memberikan pedoman kepada kita apabila berlakunya musibah? Bagi
sahibul musibah (yang terkena musibah), Islam memberikan pedoman sepertimana berikut:

1. Iman dan redha terhadap ketentuan (qadha') Allah

Kita wajib beriman bahawa segala musibah yang berlaku seperti gempa bumi, banjir, wabak
penyakit adalah ketetapan daripada Allah SWT di Lauhul Mahfuz. Kita juga wajib menerima
ketentuan Allah ini dengan berlapang dada (redha).

Allah SWT berfirman:

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah
tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah."
(Surah Al-Hadid 57: Ayat 22)

Oleh sebab itu, adalah tidak benar jika ada orang berkata, Gempa bumi itu terjadi kerana ada
roh yang sedang marah. Sebaliknya, bencana itu berlaku kerana ia adalah ketentuan daripada
Allah SWT dan bukannya ketentuan daripada sesiapa yang lain.

Kita wajib menerima takdir Allah ini dengan penuh redha, bukan dengan perasaan geram atau
marah kepada Allah SWT misalnya dengan berkata, "Ya Allah, mengapa harus aku? Apakah
dosaku ya Allah?" Sikap yang sedemikian adalah sangat biadap.

Allah SWT berfirman:


"Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang dilakukan, tetapi merekalah yang akan ditanya.

(Surah Al-Anbiyaa` 21: Ayat 23)

2. Sabar menghadapi musibah

Menurut Imam As-Suyuthi dalam tafsir al-Jalalain, sabar adalah menahan diri daripada segala
apa yang dibenci (al-habsu li an-nafsi 'alaa maa takrahu). Sikap inilah yang wajib dimiliki ketika
kita menghadapi musibah. Selain itu, kita disunnahkan untuk mengucapkan kalimat istirja' (Inna
lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun) ketika berlaku musibah.

Allah SWT berfirman:

Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada
orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:
"Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 155-156)

Oleh yang demikian, bersabarlah. Jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa
atau berprasangka buruk seakan-akan Allah tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa
hadapan. Ingatlah bahawa putus asa itu adalah su`uzh-zhan billah (berburuk sangka kepada
Allah)! Su`uzh-zhan kepada manusia pun tidak dibolehkan, apatah lagi kepada Allah SWT.
Nauzubillahi min zalik.

Secara realitinya, orang yang ditimpa musibah akan mudah sekali terjerumus untuk bersikap
putus asa (surah Ar-Rum ayat 36).

Allah SWT menegaskan bahawa sikap tersebut adalah sikap yang kufur sebagaimana firmanNya:

"Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusuf 12: Ayat 87)

3. Mengetahui hikmah di sebalik musibah

Seseorang Muslim yang mengetahui hikmah (rahsia) di sebalik musibah akan memiliki kekuatan
mental yang baik. Berbeza dengan orang yang hanya memahami musibah secara cetek iaitu
dengan hanya melihatnya secara zahir sahaja. Mentalnya sangat lemah dan mudah mengeluh atas
segala musibah yang menimpa.

Antara hikmah musibah adalah untuk diampunkan dosa-dosanya.


Sabda Rasulullah SAW: "Tiadalah seorang Mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau
lebih (teruk) daripada itu melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan
sebahagian daripada dosa-dosanya." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang Muslim yang mati ditimpa bangunan atau tembok akibat gempa bumi adalah
tergolong sebagai orang yang mati syahid.

Sabda Nabi SAW: "Orang-orang yang mati syahid itu ada lima golongan; (1) orang yang terkena
wabak penyakit taun, (2) orang yang terkena penyakit perut (disentri, kolera, dsb), (3) orang
yang tenggelam, (4) orang yang ditimpa tembok/bangunan, dan (5) orang yang mati syahid
dalam peperangan di jalan Allah." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda: "Akan diampuni bagi orang yang mati syahid segala dosa-
dosanya, kecuali hutang." (Hadith riwayat Muslim)

Hikmah lain adalah jika anak-anak Muslim meninggal, kelak mereka akan masuk ke syurga.
Sabda Nabi SAW: "Anak-anak kaum Muslimin (yang meninggal) akan masuk ke dalam syurga."
(Hadith riwayat Ahmad)

4. Tetap Terus Berikhtiar

Maksud ikhtiar ialah tetap melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan dan
menghindarkan diri daripada sebarang bahaya yang muncul. Kita tidak disuruh untuk berdiam
diri atau pasrah berpangku tangan bertongkat dagu menunggu bantuan datang ketika musibah
menimpa kita.

Beriman kepada ketentuan Allah bukan bererti kita hanya duduk diam termenung dan meratapi
nasib tanpa berusaha untuk mengubah apa yang ada pada diri kita.

Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Radu 13: Ayat 11)

Ketika berlakunya wabak penyakit di Syam, Umar bin Al-Khattab segera keluar dari negeri
tersebut. Ketika ditanya kepadanya, "Adakah kamu hendak lari daripada takdir Allah?", Umar
menjawab, "Ya, aku lari daripada takdir Allah ini untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."

Rasulullah SAW juga memberi petunjuk bahawa segala bahaya (kemudaratan) wajib untuk
dihapuskan (dihindarkan). Misalnya ketiadaan logistik, tempat tinggal, masjid, sekolah dan
sebagainya. Nabi SAW bersabda, "Tidak boleh menimbulkan bahaya bagi diri sendiri dan bahaya
bagi orang lain." (Hadith riwayat Ibnu Majah)

5. Memperbanyakkan berdoa dan berzikir


Kita sentiasa dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir bagi orang yang ditimpa
musibah. Orang yang mahu berdoa dan berzikir adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang
yang enggan atau malas.

Rasululah SAW mengajarkan doa bagi orang yang ditimpa musibah: "Allahumma jurnii fii
musiibatii wa akhluf lii khairan minhaa" (Ya Allah, berilah pahala dalam musibahku ini dan
berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya.) (Hadith riwayat Muslim)

Zikir juga dapat mententeramkan hati orang yang sedang gelisah atau yang mengalami tekanan.

Allah SWT berfirman:

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati menjadi tenteram."


(Surah Ar-Radu 13: Ayat 28)

Antara zikir yang dianjurkan adalah dengan beristighfar "Astaghfirullahal 'azhim". Sabda Nabi
SAW: "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya daripada
kesedihan, memberinya jalan keluar terhadap kesempitannya, dan akan memberinya rezeki
daripada arah yang tidak disangka-sangkanya." (Hadith riwayat Abu Dawud)

6. Bertaubat

Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah melainkan ia adalah akibat daripada dosa-dosa yang
dilakukannya. Maka sudah semestinya dia perlu bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Orang
yang tidak mahu bertaubat setelah ditimpa musibah adalah orang sombong dan sesat.

Allah SWT berfirman:

"Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh perbuatan
tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu)."
(Surah Asy-Syuura 42: Ayat 30)

Sabda Nabi SAW: "Setiap anak Adam mempunyai kesalahan (dosa). Dan sebaik-baik orang yang
bersalah adalah orang yang bertaubat." (Hadith riwayat at-Tirmidzi)

Terdapat tiga rukun dalam melakukan taubat nasuha. Pertama, menyesali atas dosa-dosa yang
telah dilakukan. Kedua, berhenti daripada melakukan perbuatan dosa-dosanya itu. Ketiga,
berazam (tekad yang kuat) untuk tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut di masa akan
datang. Jika dosa-dosanya berkaitan hubungan sesama manusia seperti belum membayar hutang,
pernah memfitnah atau mengumpat seseorang, pernah menyakiti perasaan orang lain dan
sebagainya, maka rukun taubat ditambah satu lagi iaitu menyelesaikan masalah urusan sesama
manusia dan memohon maaf.

Akhir kata...
"Apabila berlakunya musibah, hadapilah dengan tabah dan pasrah, ambillah darinya segala
'ibrah (pengajaran), jadikanlah ianya sebagai khibrah (pengalaman), buat bekalan menempuh
hayah (kehidupan), agar selamat dunia dan akhirah."

Anda mungkin juga menyukai