Anda di halaman 1dari 5

RAHSIA ALLAH SWT DISEBALIK UJIAN YANG DIBERI

Dr.Sirajudin bin Sapuan


Jabatan Ilmu Pendidikan
Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim Johor
e-mail: sirajudin8277@gmail.com

1.0 Pengenalan

Sebagai manusia, kadang kala diri sering bertanya mengapa Allah SWT memberikan
ujian kepada hambaNya. Adakah kerana Allah SWT sudah tidak sayang kepada hambaNya lalu
diturunkan ujian kepada hamba-hambaNya Sebenarnya bentuk ujian yang diberikan kepada
hambaNya dalam pelbagai bentuk. Ada orang kaya diuji oleh Allah SWT dengan harta yang
tidak habis hingga tujuh keturunan. Ada pula diuji dengan kemiskinan, kesakitan, kesusahan,
penderitaan dan bermacam lagi bentuk ujian. Boleh dikatakan bahawa setiap manusia pasti ada
ujian yang diterima. Manusia boleh dikatakan menipu sekiranya mengatakan dirinya tidak
pernah ditimpa dengan ujian atau musibah dari Allah SWT. Justeru, walaupun berbeza ujian
Allah SWT kepada setiap hambaNya, namun sebabnya adalah sama iaitu untuk manusia lebih
mendekatkan diri kepadaNya. Oleh itu sebagai hambaNya, perlu menghadapi ujian yang
diberikan dengan jiwa yang tenang dan bersabar. Sesungguhnya setiap ujian yang Allah SWT
berikan terkandung rahsia di dalamnya, sama ada untuk menambahkan keimanan manusia
atau Allah SWT hendak menguji sejauh mana keimanan kepadaNya. Allah SWT berfirman
dalam Surah Al-Imran ayat 139:

َ‫وَال تَهِنوا وَال تَحزَنوا وَأَنتُمُ األَعلَونَ إِن كُنتُم مُؤمِنني‬

Maksudnya : “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati,
padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang
beriman” (Surah Al-Imran : 139).

Sebagai manusia yang beriman kepada rukun iman yang enam. Seharusnya setiap
ujian yang diterima akan lebih mematangkan diri dan jangan berputus asa dalam menempuh
kehidupan di dunia seperti sebuah bahtera yang sedang berlayar di lautan luas dipenuhi
dengan berbagai ranjau liku dan onak duri. Perlu dilalui dengan tenang, redha dan penuh
dengan keinsafan.

2.0 Kebaikan Disebalik Ujian Allah SWT

Manusia yang beriman perlu bersangka baik kepada Allah SWT dan yakin bahawa
setiap ujian yang dilalui adalah untuk mendidik diri dan jangan sekali-kali bersangka buruk
kepada Allah SWT. Manusia perlu selalu mengajarkan hati untuk bersifat ikhlas dengan
mengajar hati untuk tetap kembali kepada Allah SWT disebalik ujian yang dihadapi. Kepada
siapa lagi manusia perlu mengadu dan meminta pertolongan serta kekuatan, jika bukan kepada
Allah SWT.

Dalam kehidupan yang dilalui oleh manusia, pastinya berhadapan dengan pelbagai
karenah manusia dan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam kehidupan. Bagi yang
bekerja sebagai guru pastinya berhadapan dengan pelbagai karenah rakan sekerja, ibu bapa,
pelajar dan pihak pentadbiran. Pastinya akan menyebabkan hati sakit dan timbul rasa muak,
benci dan kecewa. Maka segeralah merawat hati dan mencari kekuatan dengan mendidik iman
bahawa segala yang yang dihadapi ini kecil berbanding ujian dariNya. Hakikatnya, kehidupan di
dunia ini tidak akan kekal bagi setiap manusia. Apabila tiba masanya manusia akan
meninggalkan dunia ini untuk selama-lamanya. Begitu juga dengan ujian dan dugaan dalam
kehidupan juga tidak akan kekal buat selama-lamanya. Maka perlu bertenang dan bersabar
ketika berdepan dengan sesuatu ujian kerana apabila tiba masanya ujian itu akan pergi juga.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-’Ankabut ayat 2 dan 3:

)2( َ‫حَسِبَ النّاسُ أَن وُرتَكوا أَن وَقولوا ءآمَنّا وَهُم ال وُفتَنون‬
)3( َ‫وَلَقَد فَتَنَّا الَّذونَ مِن قَبلِهِم فَلَوَعلَ َمنَّ اهللُ الَّذونَ صَدَقوا وَلَوَعلَمَنَّ الكذِبني‬

Maksudnya : “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan
mengatakan: ”Kami beriman”, dan mereka tidak diuji?. Dan sesungguhnya Kami
telah menguji orang yang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang
yang benar dan pasti mengetahui tentang orang yang berdusta” (Surah Al-
’Ankabut :2-3).
Maka ketika manusia berdepan dengan pelbagai ujian dalam kehidupan, ketika itulah
sebenarnya manusia perlu menyediakan diri dengan memperbanyakkan kesabaran, keredhaan
dan segera kembali mengingati Allah SWT melalui doa dan solat. Semoga amalan-amalan
kebaikan yang dilakukan sewaktu sedang berdepan dengan musibah itu akan dihitung oleh
Allah SWT sebagai amal jariah untuk dikumpul sebanyak mungkin pahala bagi memberatkan
amal timbangan di hari akhirat nanti. Abu Sa’id Al-Khudri dan Abu Hurairah berkata, bahawa
Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan,
kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti
atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku hinggakan tikaman duri yang
mencucuknya, melainkan Allah SWT hapuskan dengan sebabnya sebahagian daripada
dosanya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu bagi manusia yang memiliki hati yang beriman, setiap ujian dilalui sebagai fitrah
kebiasaan dalam kehidupan setiap manusia. Melalui ujian, manusia akan menjadi lebih dewasa,
lebih tabah, lebih sabar dan lebih mengenal kekuasaan Allah SWT. Disamping itu, setiap
kesakitan membawa hati manusia untuk lebih rapat dengan Allah SWT. Seandainya ada
manusia yang pernah diherdik, dimarahi, dicaci dan dihina oleh manusia yang lain. Pastinya
akan timbul rasa sakit hati dalam diri. Tetapi jika segera kembali kepada Allah SWT, sebesar
apa pun hinaan, cercaan dan tohmahan yang diterima akan menjadikan dirinya lebih kuat dan
lebih sempurna.

Seharusnya setiap dugaan atau ujian tidak membataskan hubungan manusia dengan
Allah SWT kerana fitrah dari ujian itu kepada manusia adalah untuk membawa hati manusia
lebih mendekatkan diri dengan Pencipta. Disamping itu, hikmah disebalik ujian selain mengajar
dan mendidik manusia kepada kebaikan atau sifat mahmudah, ujian juga adalah sebagai tanda
Allah SWT memperlihatkan kekuasaanNya. Ini kerana walau tinggi kedudukan pangkat atau
darjat kekayaan manusia tersebut, di sisi Allah SWT ia tetap lemah.

3.0 Kesabaran Diuji Saat Melalui Ujian

Perlunya manusia sentiasa mengunkapkan kalimah istigfar “astagfirullahalazim”


seandainya hati meragui serta tidak redha ketika sedang berhadapan dengan ujian yang
diterima. Seandainya seorang guru pernah dimarahi atau dicerca oleh pengetua dibiliknya lalu
membalas balik dengan kemarahan kepada pengetuanya. Maka ini tindakan yang sia-sia.
Seharusnya ketika itu sang guru memperbanyakkan istigfar untuk meredakan hati bukan
melawan kembali api yang sedang marak. Berfikirlah dengan akal yang waras, sekiranya
menganggap ujian yang diterima itu besar. Maka hendaklah ingat, ujian bukan hanya kepada
diri sendiri yang mengalaminya. Mungkin ada sahabat-sahabat atau saudara seakidah yang
lebih besar menerima musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar lagi. Allah SWT
ada berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286:

‫ال وُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِال وُسعَها‬


Maksudnya : “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”
(Surah Al-Baqarah : 286).

Justeru itu, sebagai manusia perlu banyak bersabar dalam menghadapi setiap ujian
yang diterima. Ujian yang dilalui bukan kerana Allah SWT membenci tetapi sebaliknya Allah
SWT sangat sayang dan kasih kepada hambaNya. Hanya sahaja sebagai manusia perlu lebih
bersabar dalam menghadapi setiap ujian yang diterima dariNya. Sesungguhnya Allah SWT
telah mengatur sesuatu yang terbaik untuk diri manusia tersebut kerana setiap yang berlaku
pasti ada hikmah disebaliknya.

Seandainya pandangan manusia melihat ke arah laut, akan dilihat air laut cantik
membiru dan penuh dengan ketenangan. Pastinya terasa keinginan keinginan untuk meneroka
keindahan laut. Namun hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya.
Begitulah kehidupan manusia, kadang kala dipenuhi dengan ketawa, senda gurau dan riang
tawa namun Allah SWT juga yang mengetahui rahsia kehidupan. Sekiranya manusia sedang
berduka, kecewa dan bersedih, maka lihatlah ke arah sungai. Air sungai terus mengalir
sekalipun banyak batu-batu yang menghalangnya. Lihatlah juga ke arah langit, luas mata
memandang apa yang tercipta di atas sana. Maka hendaklah manusia sedar bahawa semua itu
milik Allah SWT dan kesemuanya dibawah pengetahuanNya. Justeru, ujian yang dihadapi oleh
manusia hanyalah kecil jika dibanding dengan nikmat yang diterima. Sesungguhnya Allah SWT
mengetahui kekuatan dalam diri setiap hambaNya dan Allah SWT tidak sekali-kali menguji
hambaNya diluar dari kemampuan hambaNya. Lihatlah betapa Allah SWT sayang dan kasih
kepada hambaNya.
Untuk itu janganlah manusia menunjukkan kelemahan yang ada dalam diri kepada
syaitan. Ini kerana syaitan tidak pernah berhenti untuk menghasut manusia agar menjadi
manusia yang selemah-lemahnya. Manusia perlu sedar pastinya selepas selesai setiap ujian
yang dihadapinya, akan hadir lagi ujian demi ujian yang mendatang dalam kehidupan. Maka
hendaklah bersedia dengan ujian tersebut. Beruntung bagi manusia yang selalu diberi ujian, ini
menunjukkan Allah SWT sayang kepadanya. Semoga manusia sentiasa menjadi hambaNya
yang sentiasa redha di atas setiap ujian dan ketentuan dari Allah SWT kerana setiap apa yang
ditentukan untuk diri manusia itulah yang terbaik.

4.0 Penutup

Semoga dengan ujian yang diterima akan lebih mendekatkan diri untuk kembali kepada
Allah SWT. Perbanyakkan bersabar dan kuatkan hati untuk sentiasa tabah menerima apa yang
telah ditakdirkan kepada diri. Bermuhasabah dan sentiasa bertaubat dengan segala dosa-dosa
yang telah dilakukan. Perbaiki dari semua segi melibatkan pertuturan, perlakuan dan sikap agar
mendapat keampunan dan keredhaan dari Allah SWT. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala seseorang itu bergantung
kepada besarnya ujian yang dia terima, dan sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai
sebuah kaum, maka kaum tersebut akan diuji oleh Allah SWT, barang siapa yang redha dengan
ujian serta cobaan tersebut, maka baginya pahala yang besar disisi Allah SWT, akan tetapi jika
dia marah atau tidak redha dengan ujian tersebut, maka dia hanya akan mendapat kemurkaan
dari Allah SWT”.

Untuk akhirnya, sekiranya hati manusia sedang dalam kesedihan. Maka ketika itu perlu
untuk membuat pilihan. Pilihlah untuk terus tersenyum walaupun diri mempunyai sebab untuk
bermuram. Pilihlah untuk kembali bangkit walaupun diri telah down, jatuh dan malu. Pilihlah
untuk bersabar dan redha walaupun mempunyai alasan untuk merasa kecewa. Perlu dingat
dalam diri, bahawa Allah SWT sentiasa bersama dengan orang yang sabar.

Anda mungkin juga menyukai