Anda di halaman 1dari 17

TAJUK 1:

PENGENALAN ULUM AL-QUR’AN

1. PENGERTIAN ULUM AL-QUR’AN

1.1 Pengertian Bahasa


Perkataan ‘Ulum adalah dalam lafaz jamak daripada perkataan ‘Ilm. Al-‘Ilm
boleh ditakrifkan sebagai kefahaman muktamad yang menepati fakta sebenar.
Sementara pengertian al-Qur’an pula ialah kalam Allah yang mu’jiz yang telah
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis pada mashaf, yang disampaikan
secara mutawatir dan membacanya merupakan suatu ibadat. Apabila perkataan Ulum
itu disandarkan kepada al-Qur’an, maka dengan sendirinya ianya merujuk kepada
ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Qur’an.

1.2 Pengertian Istilah


Ulum Al-Qur’an menurut pengertian istilah telah diberikan dengan berbagai
pengertian, antaranya ialah :

Menurut al-Zarqani, Ulum Al-Qur’an ialah ilmu-ilmu yang mempelajari


tentang al-Qur’an itu sendiri, sama ada dari segi penurunannya, pengumpulannya,
pembacaannya, pentafsirannya, i’jaznya, nasikh mansukhnya dan semua perkara yang
berkaitan dengan al-Qur’an.

Menurut al-Suyuty pula, Ulum Al-Qur’an ialah suatu bidang dan ruang
lingkup ilmu yang membicarakan tentang al-Qur’an dari segi penurunannya,
sanadnya, adabnya, maknanya, lafaznya dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

Sebagai rumusannya, Ulum Al-Qur’an bermaksud ilmu yang memberi


gambaran terperinci terhadap al-Qur’an, yang meliputi Asbab al-Nuzul, Ayat Makkiah
dan Madaniyyahah, al-Nasikh dan Mansukh, cara bacaan, pengumpulan, penulisan
dan berbagai aspek yang berkaitan dengan al-Qur’an.

2. TAHAP PERKEMBANGAN ULUM AL-QUR’AN

Perkembangan Ulum al-Qur’an dapat ditelusuri melalui tiga tahap iaitu:

2.1 Sebelum penulisan buku


Rasulullah dan para sahabat merupakan orang dan golongan yang paling arif
dan faham tentang isi kandungan al-Qur’an dan ilmu-ilmu yang bersangkutan
dengannya. Walaupun begitu, kearifan dan kefahaman mereka terhadap al-Qur’an
belum ditulis dan belum dikumpulkan dalam bentuk buku. Hal itu disebabkan
mereka waktu itu tidak perlu dan tidak terdesak untuk berbuat demikian. Pada masa
sahabat, tidak perlunya kepada pembukuan Ulum al-Qur’an. Ini adalah kerana :

1
i. Nabi Muhammad SAW masih menerima wahyu. Apabila turunnya wahyu,
baginda akan meminta penulis wahyu menulisnya dan baginda akan
menyampaikan kepada para sahabat.

ii. Para sahabat merupakan orang Arab tulin. Justeru itu mereka dapat
memahami ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Seandainya timbul sebarang masalah dalam memahami sesuatu ayat,
mereka akan menemui Rasulullah dan meminta penjelasan tentang perkara
itu.

iii. Terdapat para sahabat yang tidak tahu menulis dan alat tulis pada masa itu
terhad, ini merupakan salah satu faktor dan halangan untuk menulis dan
membukukan ilmu tersebut.

iv. Konteks lain juga, ditambah dengan larangan Nabi kepada sahabat
daripada menulis apa-apa yang Baginda sampaikan kepada mereka selain
daripada al-Qur’an. Hal itu, kerana Baginda bimbang bercampur aduknya
al-Qur’an dengan perkara lain.

Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa ilmu-ilmu mengenai al-Qur’an telah


sedia ada dan tumbuh secara kukuh pada awal Islam. Berdasarkan faktor-faktor di
atas, maka ilmu tersebut disampaikan secara lisan sahaja.

2.2 Persediaan ke arah penulisan buku


Pada zaman Sayidina Uthman, mula berlaku percampuran di antara orang
Arab dengan bangsa-bangsa lain. Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan akan
terhakis keistimewaan keAraban bangsa Arab dan pada masa yang sama juga telah
timbul perselisihan dalam membaca al-Qur’an.

Oleh sebab itu, khalifah Uthman telah memerintahkan supaya al-Qur’an


disalin di dalam satu mashaf yang rasmi. Tindakan Uthman itu telah dianggap
meletakkan asas kepada satu ilmu yang dikenali sebagai Rasm al-Qur’an atau ilmu
Rasm al-Uthmani.

Kemudiannya, Sayidina Ali telah memerintahkan Abu Aswad al-Du’ali supaya


mencipta beberapa kaedah nahu bahasa Arab bagi memelihara keselamatan bahasa
Arab. Oleh itu juga bolehlah dikatakan dan dianggap bahawa Sayidina Ali adalah
orang pertama yang meletakkan asas bagi ilmu I’rab al-Qur’an.

Seterusnya pula, terdapat sejumlah para sahabat dan tabiin telah meletakkan
asas bagi bidang ilmu Tafsir, Ilmu Asbab al-Nuzul, Ilmu al-Nasakh dan Mansukh,
Ilmu Gharib al-Qur’an dan bidang-bidang lain yang bernaung di bawah Ulum Al-
Qur’an.

2
Di antara tokoh tersebut ialah keempat-empat khalifah al-Rasyidin, Ibn Abbas,
Ibn Mas’ud, Mujahid, ‘Ikrimah dan al-Hasan al-Basri. Oleh itu, tempoh ini dianggap
sebagai tahap persediaan kea rah pembukuan bidang Al-Qur’an.

2.3 Penulisan dalam bentuk buku


Pada kurun kedua Hijrah telah muncul pelbagai kitab dalam berbagai bidang
dalam kajian Ulum al-Qur’an. Bidang kajian pertama ialah ilmu Tafsir, kerana ia
dianggap sebagai ibu kepada ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan al-Qur’an.

Di antara kalangan penulis Tafsir yang terawal ialah Syu’bah al-Hajjaj (m.
160H), Sufian Ibnu ‘Uyainah (m. 197H) dan Waki’ al-Jarrah (m. 197H). Cara tafsiran
mereka pula ialah dengan mengumpulkan segala pendapat para sahabat dan tabiin.
Kemudian muncul seorang ahli Tafsir yang terkenal iaitu Ibnu Jarir al-Tabari yang
telah menghasilkan sebuah kitab Tafsir yang cukup terkenal hingga ke hari ini.
Penulisan dalam bidang tafsir terus mendapat perhatian dari kalangan ulama hingga
kini. Bidang-bidang lain yang berhubung dengan al-Qur’an, selain Tafsir juga
dikarang secara berperingkat-peringkat.

Pada kurun ke-3 Hijrah, Ali Ibnu al-Madini telah mengarang kitab Asbab al-
Nuzul, Abu ‘Ubaid al-Qasim Ibnu Salam (m.224H) telah menulis mengenai al-Nasakh
wa al-Mansukh. Kemudian muncul penulis yang berkaitan khusus dengan Ulum al-
Qur’an iaitu Ali Ibn Ibrahim Ibnu Said al-Khaufi (m. 439H) dengan kitabnya al-Burhan
Fi Ulum al-Qur’an, Tahir al-Jazairi dengan kitab al-Tibyan Fi Ulum al-Qur’an dan Subhi
al-Saleh dengan kitabnya Mahahith Fi Ulum al-Qur’an.

3. TOKOH-TOKOH DALAM PENULISAN ULUM AL-QUR’AN


Sebelum ini telah dibincangkan secara umum tahap perkembangan Ulum al-
Qur’an yang juga secara tidak langsung menyentuh tentang penulisannya. Di sini
akan dibincangkan secara khusus dan terperinci berkaitan dengan sejarah
pertumbuhan, penulisan dan perkembangan Ulum al-Qur’an serta tokoh ulama yang
memberi sumbangan terhadap perkembangan Ulum al-Qur’an. Perkembangan
tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat dan zaman sebagaimana
berikut iaitu :

3.1 Abad pertama dan kedua


Semasa hayat Rasulullah, Abu Bakar dan Umar, Ulum Al-Qur’an belum
disusun dan ditulis lagi, kerana waktu itu tidak timbul banyak masalah. Pada masa itu
umat Islam dapat merujuk terus kepada Rasulullah dan sentiasa mendampingi
Baginda serta al-Qur’an dalam bahasa mereka.

Pada masa pemerintahan Sayidina Uthman, berlaku perselisihan bacaan,


menyebabkan beliau mengambil inisiatif supaya al-Qur’an ditulis dalam satu mashaf
dengan bentuk tulisan yang dikenali dengan Mashaf Rasm Uthmani dan dihantar ke
wilayah-wilayah Islam.

Pada masa pemerintahan Sayidina Ali, semakin ramai orang bukan berbangsa
Arab memeluk Islam. Disebabkan mereka tidak tahu tentang ‘Irab, nahu dan bahasa

3
Arab, tambahan pula al-Qur’an belum mempunyai baris, titik dan tanda bacaan
menyebabkan berlaku kesilapan bacaan. Justeru itu, Khalifah Ali memerintahkan Abu
al-Aswad al-Du’ali menyusun kaedah bahasa Arab. Oleh itu, lahirlah Ilmu Nahu dan
Ilmu ‘Irab al-Qur’an.

Sebagai rumusannya, pada abad 1 dan 2 Hijrah muncul Ilmu Tafsir, Ilmu Sebab
Nuzul, Makkiyyah Madaniyyah juga Nasikh dan Mansukh. Antara ulama Ulum al-
Qur’an yang muncul pada abad pertama dan kedua :

a. Tokoh pada abad pertama


Di antara tokoh Ulum al-Qur’an abad pertama ialah :
- Kalangan sahabat ialah Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud, Zaid bin
Abdullah bin al-Zubair.
- Kalangan Tabiin ialah Mujahid, Qatadah, ‘Ikrimah dan Hasan al-Basri.
- Kalangan Tabi’ Tabiin ialah Imam Malik bin Anas.

b. Tokoh pada abad kedua


Di antara tokoh abad kedua yang menyusun kitab Tafsir ialah:
- Syu’bah bin al-Hajjaj
- Sufian bin ‘Uyainah
- Waki’ bin al-Jarrah

Abad tiga dan empat


Pada abad ini ilmu Tafsir yang dirintis sebelumnya telah dikembangkan, maka
terbentuklah ilmu-ilmu al-Qur’an yang lain.

a. Tokoh Abad Ketiga


Pada abad ketiga, di antara ulama yang menyusun ilmu Tafsir dan ilmu al-Qur’an
lain adalah :
- Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam telah menyusun ilmu Nasikh dan Mansukh
serta ilmu Qiraat.
- Ali al-Madani telah menyusun ilmu Sebab Nuzul.
- Muhammad bin Ayub al-Dirris telah menyusun ilmu Makkiah dan Madaniah.

b. Tokoh Abad Keempat


Pada abad keempat pula, lahir ulama yang menyusun kitab Ulum al-Qur’an
dan Gharib al-Qur’an. Antaranya :
- Abu Bakar al-Sijistani menyusun ilmu Gharib al-Qur’an.
- Muhammad Ali al-Adwafi menyusun kitab al-Istighna’ Fi Ulum Al-Qur’an

Abad lima dan enam


Mengikut sejarah, pada abad kelima inilah Ulum al-Qur’an mula berkembang
dan tersebar dengan pesat. Orang yang paling berjasa dan bertanggungjawab
menyebarkan ilmu tersebut ialah Ali bin Ibrahim bin Said al-Khaufi yang Berjaya
menyusun kitab tentang I’rab al-Qur’an dan kitab al-Burhan Fi Ulum al-Qur’an.

4
a. Tokoh Abad Kelima
Antara tokoh abad kelima yang menyusun kitab Ulum al-Qur’an ialah Abu
‘Amr al-Dani. Beliau telah menyusun kitab tentang ilmu Qiraat, iaitu kitab yang diberi
nama al-Taisir Fi al-Qiraat al-Sab’i dan kitab al-Muhkam Fi al-Nuqat.

b. Tokoh Abad Keenam


Pada abad keenam pula lahir tokoh ulama yang mengembangkan Ulum al-
Qur’an lain, iaitu yang berkaitan dengan ilmu Mubham al-Qur’an, antaranya adalah:
- Abu al-Qasim Abdul Rahman al-Suhaili yang menyusun kitab Mubham al-
Qur’an.
- Ibn al-Jauzi yang menulis kitab Funun al-Afnan Fi Ulum al-Qur’an.

Abad tujuh dan lapan


Abad ini ilmu al-Qur’an terus berkembang hingga membangkitkan usaha
menyusun ilmu Majaz al-Qur’an oleh ulama terkenal.

a. Tokoh Abad Ketujuh


Tokoh ulama abad ketujuh yang mengembangkan serta menyusun ilmu Majaz
al-Qur’an ialah :
- Ibn Abd. Al-Salam yang menyusun kitab ‘Ilm Majaz al-Qur’an.
- Abu Syamah yang berjaya menyusun kitab al-Mursyid al-Wajiz Fi ma Yata’llaq
Bi al-Qur’an.

b. Tokoh Abad Kelapan


Tokoh Ulama abad kelapan pula menyusun ilmu-ilmu lain tentang al-Qur’an,
seperti Ilmu Badi’ dan Balaghah. Antara mereka ialah:
- Ibn Abi al-Isba’ yang menyusun kitab tentang ilmu Badi’ dan keindahan
bahasa al-Qur’an.
- Ibn al-Qayyim yang menyusun ilmu tentang sumpah yang terdapat dalam al-
Qur’an.
- Abu Hasan al-Mawardi berjaya menyusun ilmu tentang perumpamaan dan
bandingan yang terdapat dalam al-Qur’an.

Abad kesembilan dan kesepuluh


Pada abad ini Ulum al-Qur’an terus maju dan mencapai kemuncak
perkembangan serta kesempurnaan. Hal tersebut kerana kelahiran ramai tokoh baru
dan ekoran usaha-usaha yang dilakukan oleh ulama sebelumnya.

a. Tokoh Abad Kesembilan


Antara ulama terkemuka abad kesembilan yang Berjaya menyusun kitab Ulum al-
Qur’an dengan lengkap antaranya ialah:
- Jalaluddin al-Bulqini yang menyusun kitab Mawaqi’ al-Ulum Min Mawaqi’al-
Nujum.
- Muhammad bin Sulaiman al-Kafiyaji yang menyusun kitab al-Taysir Fi
Qawa’id al-Tafsir.

5
b. Tokoh Abad Kesepuluh
Manakala tokoh ulama Ulum al-Qur’an abad kesepuluh pula terkenal dan
memberi sumbangan besar antaranya ialah Imam al-Suyuti yang menyusun kitab al-
Takhbir Fi Ulum al-Tafsir dan kitab al-Itqan Fi Ulum al-Qur’an.

Setelah kematian Imam al-Suyuti pada tahun 911 H, penyusunan, penulisan


dan perkembangan Ulum al-Qur’an menjadi malap dan terhenti hingga abad ke-13
Hijrah. Dimana dalam jarak tiga abad tersebut, ulama lebih banyak menumpukan
kepada penyebaran Ulum al-Qur’an yang telah disusun oleh ulama sebelumnya.

Abad Keempat Belas


Pada abad ke-14 Hijrah telah bangkit dan muncul semula ulama dan tokoh-
tokoh yang menyusun berbagai-bagai kitab tentang Ulum al-Qur’an meliputi
berbagai-bagai bidang dan aspek dengan lengkap, antara mereka ialah:
- Jamaluddin al-Qasimi yang menyusun kitab Mahasin al-Ta’wil
- Tahir al-Jazairi berjaya menyusun kitab al-Tibyan Fi Ulum al-Qur’an.
- Muhammad ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani yang menyusun kitab Manahil al-‘Irfan
Fi ‘Ulum al-Qur’an.
- Muhammad Shadiq al-Rafi’i yang menyusun kitab I’jaz al-Qur’an (‫)إعجاز القرءان‬

4. BIDANG DAN SKOP PERBAHASAN ULUM AL-QUR’AN


Adapun perbahasan yang berkaitan dengan Ulum al-Qur’an secara umumnya dengan
meliputi bidang-bidang berikut iaitu :
1. Ilmu Tafsir dan Ta’wil
2. Ilmu I’rab al-Qur’an
3. Ilmu Qira’at
4. Ilmu Nasakh dan Mansuh
5. Ilmu Sebab Nuzul
6. Ilmu Makkiyyahdan Madani
7. Ilmu Fada’il al-Qur’an
8. Ilmu Nuzul al-Qur’an
9. Ilmu Gharib al-Qur’an
10. Ilmu Amthal al-Qur’an
11. Ilmu Majaz al-Qur’an
12. Ilmu Abat Muhkamat dan Mutasyabihat
13. Ilmu Jadal al-Qur’an
14. Ilmu Aqsam al-Qur’an

5. KEPENTINGAN ULUM AL-QUR’AN


Ulum al-Qur’an merupakan satu ilmu yang amat penting kepada umat Islam.
Hal ini kerana:
1. Memudahkan pentafsiran al-Qur’an. Ini kerana Ulum al-Qur’an adalah
kunci kepada ilmu tafsir. Seseorang yang ingin mentafsirkan al-Qur’an
tidak dapat mentafsirkannya dengan betul kecuali dia menguasai pelbagai
tajuk dalam Ulmu al-Qur’an seperti asbab al-Nuzul, Nasikh Mansuh,
Muhkam Mutasyabih dan sebagainya.

6
2. Dengan mempelajari Ulum al-Qur’an juga, kita dapat mengetahui
kesungguhan para ulama silam dalam mempelajari dan mengkaji al-
Qur’an. Kesungguhan ini memberi impak yang besar untuk menjaganya
dari sebarang penyelewengan yang mungkin akan berlaku.
3. Dengan mempelajari Ulum al-Qur’an juga, kita mempersiapkan diri
dengan senjata yang ampuh bagi mempertahankan al-Qur’an dari serangan
musuh-musuh Islam yang sentiasa cuba menanamkan keraguan kepada
umat Islam terhadap al-Qur’an.

6. FAEDAH MEMPELAJARI ULUM AL-QUR’AN


Mempelajari serta memahami Ulum al-Qur’an memberi faedah yang besar
kepada individu dan masyarakat, antaranya :

1. Dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan yang terdapat


dalam al-Qur’an.
2. Dapat menambahkan keyakinan kepada pengkaji al-Qur’an bahawa ia
merupakan sebuah kitab suci daripada Allah dan bukannya ciptaan
manusia.
3. Dapat mengetahui sejarah dan perkembangan al-Qur’an semenjak ia
diturunkan sampai sekarang, di mana jalan penyampaiannya adalah
adalah secara mutawatir.
4. Dapat membantu pengkaji untuk memahami kandungan al-Qur’an serta
mengeluarkan hukum daripadanya.
5. Dapat mempelajari ilmu serta Nasikh dan Mansukh, Asbab al-Nuzul dan
perkara yang berkaitan al-Qur’an.
6. Untuk memahami Kalam Allah atau al-Qur’an sebagaimana yang
diterangkan oleh Rasulullah, para sahabat dan Tabiin.
7. Untuk mengetahui metode ahli Tafsir mentafsir al-Qur’an.
8. Mengetahui keistimewaan ahli Tafsir dalam mentafsirkan ayat-ayat al-
Qur’an.
9. Dapat mentafsir al-Qur’an dengan baik.

7
TAJUK DUA
PENGENALAN KEPADA AL-QUR’AN

1. PENGERTIAN KALIMAH AL-QUR’AN

1.1 Dari aspek bahasa


Terdapat beberapa pandangan ulama tentang pengertian al-Qur’an dari aspek
bahasa di antaranya:

Menurut Imam al-Syafi’i, ‘al-Qur’an’ itu adalah nama khusus bagi kitab Allah
SWT seperti mana yang khas kepada kitab-kitab yang terdahulu seperti Taurat dan
Injil iaitu ia tidak diambil dari mana-mana kata asal bahkan adalah nama yang
dikhususkan untuk wahyu Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW.

Menurut Abu Ubadah pula "Sesungguhnya dinamakan al-Qur’an kerana di


dalamnya terkandung dan terkumpul surah-surah. Dengan kata lain dinamakan al-
Qur’an kerana dalamnya dikumpulkan kisah-kisah suruhan dan larangan, janji dan
ancaman, ayat-ayat dan juga surah-surah.

Manakala menurut al-Asy'ari perkataan al-Qur’an diambil daripada perkataan


qarana, yang bermaksud bersambung iaitu sesuatu yang diletakkan berdekatan
dengan sesuatu yang lain dan menggabungkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. lni
kerana ayat-ayat dan surah-surah di dalam al-Qur’an adalah diletakkan beriringan
dan digabungkan antara satu sama lain.

Al-Farra' pula berpendapat bahawa perkataan al-Qur’an berasal daripada


perkataan qara’in iaitu kata jama’ bagi perkataan qarana yang bermaksud berhubungan
atau pertalian. Ini adalah kerana ayat-ayat al-Qur’an saling benar membenar di antara
satu sama lain, seolah-olah setiap ayat itu ada pertalian dan perhubungan dengan ayat
yang lain.

Al-Lihyani pula berpandangan perkataan al-Qur’an adalah nama terbitan yang


diambil dari qara’a yang bererti membaca. Hanya lafaz ini sahaja menurut beliau
adalah nama terbitan yang memberi makna maf’ulun bih (kena buat). Oleh itu menurut
beliau al-Qur’an maksudnya maqru’ iaitu yang dibaca.

Kalau ingin disorot dengan lebih jauh, terdapat banyak lagi pandangan para
ulama tentang asal perkataan ini. Namun perselisihan mereka boleh dikatakan
berpenghujung dengan menyebut al-Qur’an ( ‫ ) القرأن‬dengan berhamzah atau al-Qur’an
tanpa hamzah ( ‫) القران‬.

Menurut Dr. Solah al-Khalidi, pendapat paling terkenal daripada keseluruhan


pendapat para ulama itu, pendapat yang mengatakan al-Qur’an datangnya dari
pecahan perkataan al-Qira’ah iaitu dibaca dengan berhamzah adalah paling terkenal.
Ini jelas berdasarkan penggunaan al-Qur’an sendiri sebagaimana firman Allah SWT:

8
‫ﯿﰀﰁ ﰂﰃﰄﰅﰆﰇ ﰈ‬
Sesungguhnya Kamilah yang menghimpunkan al-Qur’an dan bacaannya, maka apabila Kami
membacanyahendaklah engkau mengikut bacaannya. Surah al-Qiyamah ayat 17-18

1.2 Dari aspek istilah


Dalam memberikan definisi al-Qur’an, ramai para ulama yang cuba
memberikan definisi mereka. Daripada pelbagai definisi tersebut ada yang panjang
lebar dan ada yang pendek. Antara definisi yang panjang lebar sebagaimana di
bawah:

Jurjani mentakrifkan bahawa AI-Qur'an ialah kitab yang diturunkan kepada


Nabi Muhammad SAW yang di tulis di dalam mashaf dan dipindahkan dengan
mutawatir tanpa kesamaran. Dan al-Qur’an mengikut ahli hakikat ialah ilmu laduni
yang umum yang menghimpunkan semua hakikat.

Sementara itu, Manna’ al-Qattan berkata bahawa al-Qur’an dengan apa nama
pun ialah kalam yang bermukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
yang di tulis di dalam mashaf, dipindah dengan mutawatir dan menjadi ibadat
membacanya. Untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya dan
memberi petunjuk ke jalan yang lurus.

Bagaimanapun, antaranya definisi yang paling ringkas adalah sebagai berikut:

Al-Qur’an ialah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad


SAW yang dikira ibadat membacanya.

Huraian pengertian:
Perkataan kalam itu bila disandarkan kepada Allah maka ia bermaksud tidak
termasuk kalam lainnya baik daripada manusia, jin dan malaikat.
Perkataan yang diturunkan pula, bermaksud tidak termasuk kalam Allah yang amat
banyak yang ada di sisi Allah. Sepertimana firman-Nya:

‫ﯱﯲ ﯳ ﯴ ﯵﯶ ﯷ ﯸﯹ ﯺﯻﯼﯽ ﯾﯿ ﰀﰁ ﰂﰃ‬


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis
Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-
kalimah Tuhanku, Walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya,
sebagai bantuan.” (Surah al-Kahf, ayat 109)

Dan firman-Nya lagi:

‫ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ ﯺ ﯻ ﯼ ﯽ ﯾ ﯿ ﰀ ﰁ ﰂ ﰃﰄ‬
‫ﰅﰆﰇ ﰈﰉ‬

9
Maksudnya: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan
(menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan
habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.” (Surah Luqman, ayat 27)

Perkataan kepada Nabi Muhammad SAW, maka ia tidak termasuk ayat-ayat


yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya seperti kitab Taurat, Injil dan lainnya.

Perkataan yang dikira ibadat membacanya, maksudnya ia diperintahkan


membacanya dalam solat dan lain-lain dalam bentuk ibadat. Selain daripada itu,
membacanya akan memperoleh balasan pahala yang berganda sebagaimana terdapat
dalam sebuah hadith berikut:

‫ول أمل َح ْر ٌف َلَ ِك ْن َأ ِل ٌف َح ْر ٌف َو ََل ٌم‬ ِ ْ ‫تاب ِاِلل تعاىل فَ َ َُل َح َس ن ٌة َوالْ َح َس نَ ُة ِب َع‬
ُ ُ‫ْش َأمث َا ِلهَا ََل َأق‬ ِ ‫َم ْن قَ َر َأ َح ْرفًا ِم ْن ِك‬
‫َح ْر ٌف َ ِم ٌمي َح ْر ٌف‬
Maksudnya; “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah SWT, maka baginya
memperoleh satu kebajikan, dan satu kebajikan itu diganda kepada sepuluh kebjikan yang sama.
Aku tidak berkata (alif lam mim) satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan
mim satu huruf “. [Hadith riwayat al-Tirmizi dan al-Bukhari]

2. NAMA DAN SIFAT AL-QUR’AN

2.1 Nama-nama Al-Qur’an


Allah SWT telah menamakan Al-Qur’an dengan beberapa nama di dalam Al-Qur’an
sendiri, antaranya adalah sebagai berikut:

i. Al-Qur’an
Firman Allah SWT:

‫ﭟﭠﭡﭢﭣﭤﭥﭦ ﭧﭨﭩﭪﭫﭬﭭﭮ ﭯ‬
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul
(agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang
mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah al-Isra’, ayat 9)

ii. Al-Kitab
Firman Allah SWT:

‫ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥﯦ ﯧ ﯨ ﯩ‬
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-
Qur’an) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk
kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar
itu)?” (Surah al-Anbiya’, ayat 10)

10
iii. Al-Furqan
Firman Allah SWT:

‫ﯔﯕﯖﯗﯘﯙﯚﯛﯜ ﯝ‬
Maksudnya: “Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan kepada hambaNya
(Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.”(Surah al-
Furqan, ayat 1)

iv. Al-Dhikr
Firman Allah SWT:

‫ﮗﮘﮙﮚ ﮛﮜ ﮝﮞ‬
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang
memelihara dan menjaganya.(Surah al-Hijr, ayat 9)

v. Al-Tanzil
Firman Allah SWT:

‫ﮓﮔﮕﮖﮗ‬
Maksudnya: “Dan Sesungguhnya Al-Qur’an (yang di antara isinya kisah-kisah Yang
tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah al-Syu`ara’, ayat 192)

2.2 Sifat-Sifat Al-Qur’an


Dalam Al-Qur’an Allah SWT sendiri telah menyebut beberapa sifat bagi Al-
Qur’an, antara lain sebagai yang berikut:

1. Nur [cahaya]
Firman Allah:
ٗ ُّ ٗ ۡ َ ََٓۡ ََ ۡ َّ ٞ َ ۡ َٓ َۡ َ ُّ َ َ
ۡ َٰ َ َّ
١٧٤ ‫يأيها ٱنلاس قد جاءكم برهن مِّن ربِّكم وأنزنلا إَِّلكم نورا مبِّينا‬ َٰٓ
Maksudnya: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti
dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Qur’an sebagai) Nur
(cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan
kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak). (Surah al-Nisa’, ayat 174)

2. Huda [petunjuk]
3. Syifa’ [penawar]
4. Rahmah [membawa rahmat]
5. Mau`izhah [nasihat]

Firman Allah SWT:

‫ﮂﮃﮄﮅﮆ ﮇﮈﮉﮊ ﮋﮌ ﮍﮎﮏ ﮐ‬

11
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an
yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-
penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk
keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah Yunus, ayat 57)

3. PERBEZAAN ANTARA AL-QUR’AN DENGAN HADITH QUDSI

Ada beberapa perbezaan antara Al-Qur’an dengan hadith qudsi, dan yang terpenting
adalah sebagai berikut.
i. Al-Qur’an adalah kalam Allah yang bermukjizat diwahyukan kepada Rasulullah
SAW dengan lafaz-Nya. Dengan demikian, Nabi dan para sahabat ditentang oleh
kafir Quraisy. Mereka mahu mendatangkan seumpama al-Qur’an, namun untuk
mendatangkan satu surah pun mereka tidak mampu. Tentangan terhadap a-
Qur’an sentiasa berlaku kerana ianya adalah mukjizat abadi hingga hari kiamat.
Adapun hadith qudsi tidak ada penentangan dan tidak pula berbentuk mukjizat.

ii. Al-Qur’an hanya dinisbahkan kepada Allah, sehingga dikatakan Allah SWT
berfirman. Adapun hadith qudsi, ia diriwayatkan dengan disandarkan kepada
Allah. Maka dikatakan, Allah telah berfirman atau Allah berfirman. Dan, terkadang
pula diriwayatkan dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW, maka, dikatakan
Rasulullah SAW mengatakan apa yang diriwayatkan dari Tuhannya.

iii. Seluruh isi Al-Qur’an dinukil secara mutawatir, sehingga kepastiannya mutlak.
Adapun hadith-hadith qudsi kebanyakan adalah khabar ahad, sehingga
kepastiannya masih merupakan zann(dugaan). Adakalanya hadith itu sahih,
hasan, dan kadang-kadang dhaif.

iv. Al-Qur’an dari Allah, baik lafaz mahupun maknanya. Hadith qudsi maknanya
dari Allah dan lafaznya dari Rasulullah SAW. Hadith qudsi ialah wahyu dalam
makna, tetapi bukan dalam lafaz. Oleh sebab itu, menurut sebahagian besar ahli
hadith, diperbolehkan meriwayatkan hadith qudsi dengan maknanya saja.

v. Membaca Al-Qur’an merupakan ibadah, kerana itu ia dibaca dalam solat. “Maka,
bacalah apa yang mudah bagimu dalam Al-Qur’an itu.” (Al-Muzamil: 20). Adapun
hadith qudsi tidak disuruh membacanya dalam salat. Allah memberikan pahala
membaca hadith qudsi secara umum saja.

4. FUNGSI DAN TUJUAN PENURUNAN AL-QURAN

i. Petunjuk bagi Manusia.


Allah SWT menurunkan Al-Qur’an sebagai petujuk kepada umat manusia, seperti
yang dijelaskan dalam beberapa ayat al-Qur’an:

‫ﮘ ﮙﮚﮛﮜﮝﮞﮟ ﮠﮡﮢ‬
12
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

‫ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖﭗ ﭘﭙ ﭚ ﭛ ﭜ‬
Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya
dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang
(hendak) bertaqwa;

‫ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝﯞ ﯟ ﯠﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ‬
‫ﯧﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ‬
‫ﯷﯸ‬
Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan
berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah
Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah
(wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-
orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi
sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga
merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi).
Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti)
orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan
betul atau melihat dengan nyata)".

ii. Sumber pokok ajaran islam.


Fungsi Al-Qur’an sebagai sumber ajaran islam sudah diyakini dan diakui
kebenarannya oleh segenap hukum islam. Adapun ajarannya meliputi persoalan
kemanusiaan secara umum seperti hukum, ibadah, ekonomi, politik, sosial, budaya,
pendidikan, ilmu pengetahuan, seni dan lain-lain.

iii. Peringatan dan pengajaran bagi manusia.


Dalam Al-Qur’an banyak diterangkan tentang kisah para nabi dan umat terdahulu
baik umat yang taat melaksanakan perintah Allah mahupun mereka yang menentang
dan mengingkari ajaran Nya. Umat Islam mestilah mengambil hikmah dan
pengajaran dari kisah-kisah yang diterangkan dalam Al-Qur’an mudah-mudahan
mereka akan selamat di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

‫ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ‬
‫ﯺﯻ ﯼﯽﯾﯿﰀﰁ ﰂﰃ‬

13
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar
bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-
Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut
di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang
menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang
(mahu) beriman.

iv. Sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW


Turunnya Al-Qur’an merupakan salah satu mukjizat yang dimiliki oleh nabi
Muhammad SAW. Al-Qur'an adalah wahyu Allah yang berfungsi sebagai mu'jizat
bagi Rasulullah SAW sebagai pedoman hidup bagi setiap Muslim. Firman Allah SWT:

‫ﭜ ﭝﭞﭟﭠﭡﭢﭣﭤﭥﭦ ﭧﭨﭩﭪﭫ ﭬ‬
‫ﭭﭮﭯ‬
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun
dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka
tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka
bantu-membantu sesama sendiri".

5. KEWAJIPAN TERHADAP AL-QUR’AN


Setelah mengetahui kedudukan Al-Qur’an, maka sebagai seorang Muslim, kita wajib
mempedulikan Al-Qur`an. Kita lakukan amal-amal kebaikan berkaitan dengan kitab
yang mulai ini.

i. Membaca Dan Menghafalkan Al-Qur’an.


Membaca Al-Qur’an merupakan langkah awal seseorang bermuamalah dengan Al-
Qur’an. Nabi SAW memerintahkan agar kita rajin membacanya, sebagaimana sabda
baginda:

‫آن َفإِ َّن ُه َيأْتِي َي ْو َم ْال ِق َيا َم ِة َشفِيْعً ا ِألَصْ َح ِاب ِه‬
َ ْ‫ا ْق َرؤُ ْوا ْالقُر‬
Bacalah Al-Qur’an, karena ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi orang
yang membacanya ... [HR Muslim].

Allah SWT menjadikan amalan membaca Al-Qur’an termasuk sebagai salah satu yang
bernilai ibadah kepada-Nya.

ii. Mentadabbur dan mempelajarinya Al-Qur’an.

Allah SWT berfirman:

‫ﮑﮒﮓ ﮔ ﮕﮖﮗﮘ‬

Maksudnya: Maka, apakah mereka tidak memperhatikan Al-Qur’an, ataukah hati mereka
terkunci? (Surah Muhammad ayat 24).

14
Allah SWT juga berfirman:

‫ﭲﭳﭴﭵﭶ ﭷﭸ ﭹ ﭺﭻ‬
Maksudnya: Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah
supaya mereka memperhatikan ayat-ayat-Nya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang
yang mempunyai fikiran. (Surah Sad ayat 29).

iii. Mengajarkan Al-Qur’an.

Al-Qur’an merupakan sebaik-baik ilmu. Barangsiapa yang menyebarluaskan dan


mengajarkannya kepada orang lain, maka ia akan mendapatkan pahala yang
berterusan daripada Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

َ ‫ار َّي ٍة أَ ْو عِ ْل ٍم ُي ْن َت َف ُع ِب ِه أَ ْو َولَ ٍد‬


‫صال ٍِح َي ْدع ُْو لَ ُه‬ ِ ‫صدَ َق ٍة َج‬ ٍ َ‫ات ابْنُ آدَ َم ا ْن َق َط َع َع َملُ ُه إِالَّ مِنْ َثال‬
َ ‫ث‬ َ ‫إِ َذا َم‬
Maksudnya: Apabila manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali
tiga perkara, (yaitu) shadaqah jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang
mendoakannya. (Hadith riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bersabda:


َ ْ‫َخيْرُ ُك ْم َمنْ َت َعلَّ َم ْالقُر‬
‫آن َو َعلَّ َم ُه‬
Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya. (Hadith riwayat al-
Bukhari].

iv. Mengamalkannya.

Demikianlah kewajiban seseorang yang telah mengetahui sebuah ilmu. Hendaklah ia


mengamalkannya. Suatu ilmu tidak akan berguna jika tidak pernah diamalkan.
Karena buah dari ilmu ialah amal. Dan Allah SWT hanya akan memberi balasan
berdasarkan amal yang dikerjakan. Allah SWT berfirman:

‫ﭠﭡﭢﭣ ﭤﭥ‬
Sesungguhnya kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan. (Surah Tur ayat
16)

6. KANDUNGAN AL-QUR’AN
Dari segi kandungan, al-Qur’an terdiri daripada 114 surah. Batas-batas setiap
surah serta susunan ayat-ayatnya adalah menurut ketentuan yang telah ditetapkan
oleh Baginda Rasulullah s.aw. sendiri. Ini dikenali sebagai tawqifi. Sebahagian dari
surah-surah ini mempunyai satu nama dan sebahagian yang lain mempunyai lebih
dari satu nama. Misalnya Surah al-Isra’ dikenali juga dengan nama Surah Bani Israil.

Kalau ditinjau dari segi panjang dan pendek pula, al-Qur’an boleh dibahagikan
kepada empat bahagian.
1. Al-Sab’u al-Tuwal iaitu tujuh surah yang panjang. Surah-surah itu ialah al-
Baqarah, Ali-Imran, al-Nisa’, al-A’raaf, al-An’aam, al-Maaidah dan Yunus.

15
2. Al-Miuun bermaksud surah-surah yang mengandungi kira-kira seratus ayat
lebih, seperti Hud, Yusuf, Mu’minun dan lain-lain.

3. Al-Mathani iaitu surah-surahyang mengandungi ayat-ayat yang kurang sedikit


dari seratus ayat seperti al-Anfal, al-Hijr dan sebagainya.

4. Al-Mufassal iaitu surah-surah pendek seperti al-Duha, al-Ikhlas, al-Nas dan


lain-lain.

Sekiranya ditinjau dari segi mawdhuknya, al-Qur’an mengumpulkan pelbagai


tajuk yang menjadi asas kepada agama Islam dan panduan kepada kehidupan. Antara
tajuk-tajuk tersebut:

1. Akidah Islam.
Ia mencakupi seruan supaya beriman kepada Allah, para rasul, kitab-kitab
suci, para malaikat, hari akhirat, batas-batas kufur, syirik, murtad dan sebagainya.
Akidah merupakan asas pegangan bagi orang Islam.

2. Akhlak Mulia
Ia mengandungi seruan supaya manusia memiliki budi pekerti mulia dan
terpuji termasuk berbakti kepada dua ibu bapa, memiliki perangai baik serta menjauhi
perangai buruk seumpama fitnah memfitnah, mengumpat dan mengikut dorongan
hawa nafsu. Akhlak adalah buah dan hasil daripada keimanan yang benar terhadap
Allah SWT.

3. Kisah, peristiwa dan sejarah umat silam.


Kisah-kisah sejarah tersebut diceritakan bertujuan supaya dapat diambil
pengajaran dan iktibar agar boleh menjauhkan diri daripada sikap dan perbuatan
yang tidak diredai Allah moga-moga terselamat dari akibat buruk yang menimpa
kaum-kaum terdahulu itu. Contohnya, sejarah para nabi-nabi dan kaum mereka yang
ingkar terhadap ajaran Allah.

4. Perkara-perkara ghaib dan peristiwa yang akan berlaku.


Hal tersebut seperti syurga dan neraka, alam akhirat, dosa dan pahala dan
sebagainya. Semua itu adalah menjadi bukti kebenaran Al-Qur’an sebagai wahyu
Allah, di mana manusia tidak mampu memperincikannya dengan akalnya.

5. Alam Sekitar
Al-Qur’an amat menggalakkan manusia mengkaji dan menjaga dengan baik
alam semesta ini. Kerana itu dalam Al-Qur’an banyak sekali ayat-ayat yang
menyentuh soal kejadian tumbuh-tumbuhan, awan dan hujan, bukit-bukau, gunung
ganang, sungai-sungai dan lain-lain. Semua itu menjadi bukti kekuasaan dan
keagungan Allah SWT.

a. Hukum-hukum praktis
Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:
 Hukum Ibadat

16
 Hukum Muamalat

Pertama: Hukum Ibadat ialah sistem yang mengatur hubungan antara manusia
dengan Allah SWT, seperti solat, puasa, haji dan lain-lain ibadat khusus.

Kedua: Hukum Muamalat ialah sistem yang mengatur hubungan antara manusia
dengan manusia sama ada secara individu mahu pun berkelompok yang
mencakupi berbagai aspek seperti berikut:
i. Peraturan yang mengatur kehidupan berkeluarga seperti perkahwinan,
nafkah, tanggungjawab keluarga, perceraian dan lain-lain.
ii. Peraturan yang mengatur urusan harta, seperti jual beli, gadaian dan
seluruh akad-akad.
iii. Peraturan yang mengatur urusan kehakiman, seperti mahkamah, undang-
undang keterangan dan sebagainya.
iv. Peraturan yang mengatur undang-undang jenayah, seperti bentuk-bentuk
jenayah, hukumannya dan sebagainya.
v. Peraturan yang mengatur urusan kenegaraan seperti hak-hak dan
tanggungjawab pemimpin dan rakyat, sistem kewangan negara,
percukaian dan sebagainya.
vi. Peraturan yang mengatur perhubungan antara bangsa dan perhubungan
dengan Non-Muslim.

7. KELEBIHAN AL-QUR’AN

8. ADAB-ADAB BERKOMUNIKASI DENGAN AL-QUR’AN

17

Anda mungkin juga menyukai