Anda di halaman 1dari 11

Konsep Pendidikan Islam

Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan. Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah, juga tuntutan Islam. Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya. Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya. Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut. Sama juga dengan sekolah. Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkaraperkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak

melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam. Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Demikian jugalah dengan masyarakat. Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan Islam. Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan. Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hatihati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam. Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat. Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran. Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam. Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat. Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid. Dan sebelum ke masjid, guru patut juga mendidik pelajarnya. Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid. Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca alQuran atau selawat ke atas nabi. Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam. Demikianlah seterusnya dalam tajuktajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya. Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi

semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.

Falsafah Pendidikan Islam


Apakah sebenarnya yang dikatakan Falsafah Pendidikan Islam?

Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang. Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa. Dalam Oxfort Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai: "Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics" Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya.

Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam. Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam. Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991). Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya". Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah" Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.

Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain. Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh. Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam. Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah: Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi. Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.

Tujuan dan Matlamat Pendidikan Islam

Maksud Pendidikan Islam


Pendidikan Islam boleh difahami dengan tiga maksud, iaitu: 1. Pendidikan Islam khas. Hasan langgulung (1995) mengistilahkan dengan Pendidikan Islam Terhad. Ini merangkumi segala ilmu Islam yang terdiri daripada berbagai bidang, seperti Aqidah atau Tauhid, Ibadah atau Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sejarah atau Sirah, Falak dan lain-lain. Dalam negara Malaysia inilah yang dikenali ramai dengan nama Pendidikan Islam, iaitu satu mata pelajaran dalam sekolah. 2. Pendidikan Islam Umum. Ia melipuli segala bidang hidup manusia, seperti rohani, jasmani, emosi, sosial, politik, budaya, ekonomi, sains, multi media, mass media, teknikal, vokasional, pendidikan, perundangan dan lain-lain. Maknanya, dalam setiap bidang itu ada pendidikan Islamnya. Contohnya dalam ekonomi; kita boleh berinteraksi antara sesama manusia untuk pembangunan ekonomi, tetapi dalam Islam ada beberapa larangan semasa berinteraksi, seperti, tidak boleh tipu, mungkir janji dan sebagainya. Di samping itu ada pula suruhan dan anjuran, seperti mudahkan kira bicara, bertolak ansur, banyak menolong dan memudahkan orang lain dan sebagainya. Demikianlah juga dengan bidangbidang lain. Secara rengkasnya Islam mendidik supaya kita berinteraksi dengan orang lain mengikut kaedah Islam dan tidak melanggar perintah Islam. Untuk mengetahui apa yang disuruh dan apa yang dilarang memerlukan ilmu. Dan ilmu tidak dapat dengan begitu sahaja, sebaliknya mesti berusaha mencarinya, atau berlajar pada orang yang mengerti. Pendidikan Islam juga bermaksud Sistem Pendidikan. Ia merangkkumi segala aspek yang berkaitan dengan pendidikan, dan semuanya mesti dilihat dan dilaksanakan mengikut prinsip Islam. Ini termasuklah gurunya, pengurusnya sama ada di sekolah atau di pejabat (Jabatan dan Kementerian), kriteria pemilihan guru, pemilihan kakitangan sekolah dan pejabat, kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks, falsafah, matlamat dan segala-galanya mesti berdasarkan kepada prinsip Islam. Kalau tidak berdasarkan kepada prinsip Islam maka ia tidak dinamakan sistem pendidikan Islam, walau pun di dalamnya terdapat pengetahuan agama Islam, seperti pengetahuan Agama Islam yang diajar di sekolah, di maktab, di politeknik, universiti dan lain-lain institusi pendidikan. Kerana pengetahuan Agama Islam itu, atau Tamadun Islam yang diajar itu, merupakan sebagai tempelan atau sulaman sahaja. Akibatnya kita tidak dapat melahirkan orang Islam yang mengamalkan Islam secara total, kerana ia bukan lahir

daripada sistem, sebaliknya lahir daripada tempelan. Kalau Pendidikan guru, misalnya, maktab perguruan atau universiti yang bukan mengikut sistem pendidikan Islam, maka kita tidak dapat melahirkan guru Islam yang sebenarnya, yang lahir ialah guru Tampal Sulam (Hasan langgulung 1991). Jadi, sistem yang tampal sulam itu mengeluarkan guru yang tidak lebih daripada Guru Tampal Sulam. Jadi pendidikan Islam itu ialah suatu yang luas dan bersifat holistik, bukan sempit seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.

Tujuan Umum Pendidikan Islam Pendidikan Islam yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah Pendidikan Islam Terhad, iaitu berdasarkan kepada sub subjek yang ada dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah. Dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah terdapat sub subjek seperti berikut: Sekolah Rendah: 1.0. Asuhan Tilawah Al-Quran. Ia mengandungi perkara-perkaran yang berkaitan dengan mengenal dan menyebut huruf hijaiyah, membaca, menghafaz dan memahami maksud atau tema ayat yang dibaca dan dihafaz. 2.0. Asas Ulum Syari`yah Ia mengandungi: Aqidah Ibadah Sirah

3. Asas Akhlak Islamiyah mengandungi asas akhlak dan adab untuk diamalkan oleh orang Islam Sekolah Menengah
1.0. Tilawah Al-Quran Ia merangkumi bacaan, hafazan dan kefahaman 2.0. Ulum Syar`iyah (Teras) Ia mengandungi: Aqidah Ibadah

Sirah Institusi Islam Akhlak Mata pelajaran (Elektif) mengandungi Pendidikan Al-Quran dan Sunnah Pendidikan Syar`iyah Islamiyah Tasawwur Islam. Semua pelajaran ini diajar menuju ke satu matlamat sahaja, iaitu melahirkan insan yang soleh dan bertamadun, yang beriman serta beramal dengan ilmunya, yang mampu memikul tanggung jawab sebagai hamba dan khalifah Allah, bagi membangun diri, keluarga, masyarakat dan negaranya, merangkumi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam yang dipetik daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Untuk itu, guru seharusnya faham dan jelas tujuan mengajar dan belajar dan segala aktiviti dalam dan di luar bilik darjah. Antara tujuannya berdasarkan sub mata pelajaran ialah seperti berikut:

1.

Pengajaran Tilawah Al-Quran. Antara tujuannya ialah:

- Dapat mengenal dan menyebut huruf-huruf Al-Quran dengan betul dan fasih - Dapat membaca Al-Quran dengan baik, betul dan fasih - Mengetahui makna ayat-ayat yang dibaca - Menghayati ajaran ayat yang telah dipelajari - Menghafaz ayat-ayat tertentu dengan memahami maksud ayat tersebut Dengan demikian, guru mesti berusaha memperbaiki mutu bacaan Al-Quran, termasuk cara sebutan makhraj dan sifatnya serta lagunya, kerana pelajar akan meniru cara guru membaca AlQuran. Guru mesti cuba pastikan bahawa setiap kali pelajaran Al-Quran, pelajar mendapat sesuatu yang baru daripada Al-Quran. Dengan cara ini pelajar tidak jemu belajar Al-Quran, malah terasa rugi kalau ia tertinggal, serta ia merasa Al-Quran itu sentiasa baru, bukanya suatu yang ketinggalan zaman. Pelajar mengetahui bahawa Al-Quran sentiasa menyentuh tentang dirinya.

2. Ibadah.

- Supaya pelajar dapat mengetahui apa dia ibadah dan apa jenis-jenis ibadah - Dapat melakukan ibadat dengan betul, sah dan diterima oleh Allah, seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya - Dapat pahala ibadat bagi urusan lain dalam hidup. Seperti bekerja, menolong orang, menjaga kebersihan, kesihatan, mengasihi binatang, taat ibu bapa, horamat guru, berkahwin dan lain-lain - Supaya pelajar tahu apa-apa jenis pekerjaan yang haram bekerja, juga tempat-tempat yang tidak diharuskan bekerja dan yang mana pula yang hurus. - Pelajar mengetahui jenis-jenis makanan dan minuman yang diharuskan dan yang diharamkan, di samping itu menanam rasa tanggungjawab supaya melakukan yang harus dan menjauhi yang haram - Mengetahui jenis-jenis tindakan, pekerjaan, pengurusan, serta pentadbiran yang baik yang dianjurkan oleh Islam serta jenis-jenis pengurusan yang salah dari perspektif Islam - Supaya tingkah laku dan tidndakan pelajar hingga mereka dewasa tidak bertentangaan dengan ajaran Islam.

3. `Aqidah
- Menerapkan `aqidah yang benar kepada pelajar - Mengukuhkan kepercayaan kepada Allah yang Esa - Menanamkan keyakinan terhadap rukun-rukun Iman yang enam - Percaya kepada perkara ghaib seperti yang khabarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah - Mengelakkan daripada kepercayaan sesat - Menjauhkan daripada amalan syirik dan khurafat - Menanamkan roh cintakan agama - Mencintai Rasulullah dengan bersedia mengikuti sunnahnya dan meninggalkan larangannya

- Mengetahi sifat-sifat Allah dan rasul

4. Akhlak
- Memahami Islam secara syumul - Memahami konsep akhlak dalam Islam dan mengamalkannya - Menghayati cara hidup Islam dengan sempurna dan menyeluruh - Menjauhi cara hidup liar, sesat dan merosakkan - Melatih tata cara bergaul yang sempurna dan harmoni - Beradap dengan orang, terutamanya yang lebih tua dan berpangkat - Bertamadun, iaitu dapat bergaul dengan orang Islam dan bukan Islam, serta mengasihi binatang - Menjaga alam sekitar - Rela berjuang untuk menegakkan yang benar

5. Sirah
- Mengenali Nabi s.a.w. dan sahabat dengan lebih dekat - Mencintai Nabi s.a.w. dan keluarganya - Menginsafi terhadap perjuangan Nabi s.a.w. dan para sahabat dalam menegakkan agama Islam - Merasai betapa susahnya hendak menegakkan agama Islam Untuk masa sekarang ialah untuk mengamalkan ajaran Islam - Mengenali ulama dan pejuang-pejuang Islam - Meniru dan mengambil pengajaran daripada perjuangan orang yang terkemuka - Menyelidik hasil karia orang terkemuka dan mengambil faedah daripadanya

6. Institusi Islam
- Mengenal Islam sebagai agama yang mempunyai organisasi yang cukup lengkap - Mengetahui jenis institusi Islam dan peranannya; seperti institusi keluarga, masyarakat, kehakiman, perundangan, pendidikan, kewangan, pemerintahan, syura, ketenteraan, keselamatan, sosial dan sebagainya - Mengetahui dengan lebih dekat peranan setiap institusi dan kepentingannya terhadapat pembangunan masyarakat Islam setempat dan masyarakat sesebuah negara

Kesimpulan

Jadi, guru hendaklah bersedia sebelum memasuki kelas berdepan dengan pelajar. Guru harus faham terlebih dahulu tujuan ia mengajar mata pelajaran berkenaan. Guru sentiasa bertanya kepada dirinya; Apakah sampai objektif pengajaran dan pembelajaran, dan apakah sampai tujuan yang tersirat di dadanya. Guru harus pastikan bahawa setiap kali ia masuk kelas ada suatu yang baru yang disampaikan atau, pelajar merasakan ada suatu yang baru setiap kali mengikuti kelas. Maka dengan ini pelajar tidak merasa jemu mengikuti kelas Pendidikan Islam, kerana mereka sentiasa dapat sesuatu yang baru. Guru juga patut renungkan, apakah ada kemungkinan besar tercapai matlamat pendidikan dalam masa sekian-sekian tahun itu - untuk melahirkan generasi Islam yang faham Islam dan mengamalkan Islam. Yang boleh membaca Al-Quran dengan baik dan menghayati kandungan dan ajarannya. Jika ini berlaku, maka sejahteralah guru itu dunia dan akhirat. Hidupnya bahagian dunia dan akhirat. Tidak terasa tertekan, tidak terasa lemah, tidak pernah merasa tidak cukup wang. Ia sentiasa kaya daripada orang lain, walaupun gajinya lebih kecil daripada orang lain. Yang dia rasa ialah perjuangannya belum cukup. Inilah dia Muallim, Murabbi, Muaddib dan Daie.

http://pendislami.tripod.com/

Anda mungkin juga menyukai