Anda di halaman 1dari 11

Unit 2

Keistimewaan
Akhlak Islam

Hasil Pembelajaran

Di akhir kursus ini pelajar dapat:


1. Memahami keistimewaan akhlak Islam secara menyeluruh,
2. Menghurai ciri-ciri utama akhlak dalam Islam,
3. Memperjelas perbezaan akhlak Islam dengan prinsip lain.

1.1

Pengenalan

Keunikan akhlak Islam adalah berlandaskan daripada lunas-lunas Islam yang sempurna
dan unggul. Lunas-lunas tersebut selari dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran dan
al-Hadith.1 Junjungan besar nabi Muhammad saw merupakan makhluk yang paling
sempurna sifat dan akhlaknya. Baginda adalah contoh teladan yang teragung yang
menjadi idola setiap muslim. Allah swt telah mengisyaratkan baginda sebagai ikutan
kepada sekalian orang muslimin melalui firmanNya:


Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada
diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang
yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati
Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).2

Demikian juga baginda saw disifatkan sebagai pembawa akhlak mulia yang tiada tolok
banding dengan firmanNya lagi:

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya


mempunyai akhlak yang amat mulia.3

engkau

Oleh itu, keseluruhan akhlak yang mulia berpaksi kepada tingkah laku Rasulullah saw.
Baginda adalah manusia yang istimewa yang mempunyai akhlak yang istimewa. Akhlak
tersebut telah menyinari alam sejagat ini dengan tersebarnya cahaya Islam ke seluruh
pelusuk dunia tanpa mengira bangsa dan rupa. Masyarakat dunia telah mengenali dan
menerima Islam sejak lebih daripada seribu tahun. Ini adalah satu bukti yang nyata
bahawa Islam dianuti bukan kerana pada kekuatannya, akan tetapi akhlak yang dimiliki
oleh penganutnya.
Justeru, akhlak Islam yang ditonjolkan tersebut boleh diringkaskan berdasar landasanlandasan berikut; sumber asas dari Allah swt, ibadah sebagai matlamat, beralasan dan
mudah difahami berdasarkan logik akal, teladan yang baik dan realiti kehidupan, lengkap
dan menyeluruh, bersifat tetap, keseimbangan, memelihara perubahan secara
berperingkat, manfaat di dunia dan di akhirat dan menyelami akhlak yang sebenar.4

Sumber Asas
Dari Allah

Menyelami Akhlak
Yang Sebenar

Ibadah Sebagai
Matlamat

Beralasan Dan
Difahami Logik
Akal

Manfaat Di Dunia
Dan Akhirat

Akhlak Islam
Memelihara
Perubahan Secara
Berperingkat

Keseimbangan

Teladan Yang
Baik Dan Realiti
Kehidupan
Bersifat
Tetap

Lengkap Dan
Menyeluruh

*Rajah 1: Ringkasan Keistimewaan Akhlak Islam

1.2

Landasan Akhlak Islam

Kesempurnaan akhlak Islam mestilah berlandaskan ciri-ciri seperti yang digariskan oleh
al-Quran dan al-Sunnah.

1.2.1
Sumber Asas Daripada Allah
Akhlak Islam dasarnya adalah diambil daripada syariat Islam yang telus dan murni. Ia
bukanlah semata-mata sebuah pandangan atau garis panduan ciptaan manusia yang sering
terdedah dengan kesalahan dan kesilapan. Oleh itu, sumber yang berasaskan al-Quran
dan al-Sunnah menjadi keutamaan dan sumber inspirasi manusia dalam pembentukan
akhlak mengikut ketetapan syariat Islam yang tidak pernah bersalahan dengan hukum
akal. Jika tidak kedapatan hukum akhlak dalam sumber asas tersebut, maka akal akan
mendahului dalam menentukan akhlak yang terbaik. Oleh sebab itu, satu kaedah am
dalam Islam menyebut: Apa-apa pandangan masyarakat Islam yang baik, ia juga baik di
sisi Allah swt. Oleh demikian, ia merupakan sumber langsung daripada Allah swt dan
Allah adalah matlamat dan tujuannya.

1.2.2

Ibadah Sebagai Matlamat

Setiap perlakuan akhlak Islam yang tidak disertai dengan keredhaan Allah swt akan
hambar dan tidak bernilai seumpama jasad tanpa roh. Niat yang baik dalam menuntut
keredhaan Allah ini akan membentuk akhlak yang murni pada zahir dan batin seseorang.
Sementara, jika akhlak yang ditonjolkan itu hanya luaran sahaja akan hilang dan lenyap
apabila tiada kepentingan diri sendiri. Justeru, akhlak Islam yang sebenar ialah bertujuan
supaya dapat meresapi jiwa nurani setiap muslim yang akan membuahkan keimanan yang
sejati seterusnya dapat mengekalkan akhlak tersebut sepanjang hayatnya.
Begitu juga jika akhlak baik yang dilakukan hanya setakat penonjolan diri, riya,
keperluan dan kepentingan diri dan sebagainya tanpa keikhlasan, ia tidak akan kekal,
setelah itu akan lenyap dan kemudian akhlak yang buruk akan menguasai diri pada
akhirnya.

1.2.3
Beralasan Dan Mudah Difahami Berdasarkan Logik Akal
Setiap kelakuan akhlak yang disajikan oleh Islam dan larangan terhadapnya tidak akan
bertentangan dengan akal manusia yang sihat dan tidak akan meragui jiwa manusia.
Malah ia dapat menenangkan akal, menyucikan jiwa dan dapat mengawal perasaan. Oleh
demikian, ketika Allah swt menegah daripada perlakuan suka mengumpat sebagai contoh
lalu setelah itu dijelaskan tujuan larangan tersebut seperti firmanNya di dalam al-Quran:






Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian
3

dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu


mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya
yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik
kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha
mengasihani.5

1.2.4
Teladan Yang Baik Dan Realiti Kehidupan
Akhlak Islam mampu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat dan adanya tolak
ansur dan penerimaan hakikat. Ia mendorong ke arah ketinggian budi pekerti dan
memertabatkan akhlak yang terpuji. Malah Islam tidak menggalakkan dari perlakuan
yang berlebihan yang luar dari kemampuan. Firman Allah:










Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah
sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaranpengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)
dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan
untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta
memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat
bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.6

Oleh demikian, akhlak Islam bukanlah terlalu sukar untuk dituruti atau sekadar khayalan
semata-mata, malah pencapaiannya diperolehi daripada kemahuan dan keinginan yang
tinggi, latihan dan amalan yang berterusan.
Sementara perlaksanaannya juga merupakan realiti kehidupan seperti perlakuan harian
yang bertepatan dengan suasana sekeliling yang sebenarnya. Kehidupan muslim
sebeginilah yang dituntut dalam Islam. Oleh itu, di dalam perundangan Islam mengatakan
jika seseorang yang mencuri disebabkan terlalu lapar tidak dikenakan hukuman hudud,
begitu juga sekiranya orang yang ketakutan dan terancam menipu untuk lepaskan diri dari
kezaliman.
Demikian juga, akhlak Islam membukakan ruang kepada muslim memenuhi kehendak
nafsu dan roh kerana kedua-duanya mempunyai kehendak-kehendak yang tertentu. Di
samping itu, akhlak Islam tidak membenarkan nafsu menguasai jiwa dan roh bagi
memenuhi hasrat dan kehendaknya, malah keseimbangan jua dituntut seperti firman
Allah swt:
4




Maksudnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang
telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan
berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana
Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian
nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau
melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.7

Firman Allah:






Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah
dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.8

Firman Allah:







31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang
indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat
(atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta
minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya
Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
5

32. Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang


(berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah
dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian
juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang
dikurniakanNya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmatnikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang
tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu
pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman
sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayatayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang
(mahu) mengetahui.
33.
Katakanlah:
Sesungguhnya
Tuhanku
hanya
mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, samada
yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa dan
perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar
dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu
dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang
bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya)
kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu
tidak mengetahuinya.

1.2.5
Lengkap Dan Menyeluruh
Akhlak Islam adalah lengkap dan menyeluruh. Ia meliputi semua aspek kehidupan
manusia sama ada dengan tuhannya, sesama manusia; di rumah, di tempat kerja, di pasar,
di dalam peperangan, di waktu keseorangan atau di khalayak ramai dan sebagainya. Ia
mengajak manusia ke arah perlakuan yang mulia pada semua aspek kehidupan secara
menyeluruh. Akhlak Islam mempunyai hubungan yang rapat terutamanya hubungan
dengan penciptaNya, hubungan dengan dirinya, hubungan dengan sesama manusia,
malah hubungan dengan alam semesta seperti binatang, tumbuhan dan jamad. Oleh
demikian, tidak sepatutnya manusia mencabut dan merosakkan tumbuh-tumbuhan,
membunuh dan menganiaya binatang sesuka hati kerana itu adalah kerosakan dan
pembinasaan yang dilarang. Firman Allah swt:






Maksudnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang
telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan
berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana
Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian
6

nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau


melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.9

1.2.6
Bersifat Tetap
Bersifat tetap dalam akhlak Islam iaitu perlakuan yang datang dari dalam diri manusia.
Sifat tersebut tidak akan dipengaruhi oleh apa jua keadaan, pengaruh nafsu dan jawatan
yang dipegang atau ditawarkan. Akhlak akan terus tetap dengan pelakunya tidak kira
sama ada berhadapan dengan orang yang lemah atau orang yang kuat, dalam keadaan
miskin atau kaya, dalam keadaan musafir atau sebaliknya, dalam keadaan marah atau
redha. Begitu juga, ia tetap tidak berubah sama ada ketika menjadi ketua atau ahli
anggota, ketika menjadi pemimpin atau rakyat.
Akhlak Islam dasarnya sangat utuh dan kukuh berlandaskan konsep ibadat yang
digalakkan dalam Islam. Dasar inilah yang mengerak dan mendorongkan tuannya kepada
kebenaran. Konsep akhlak dalam Islam adalah berlainan dan berbeza dengan akhlak yang
tidak bersumberkan ajaran Islam kerana ia akan melakukan perbuatan mengikut
kepentingan dan hawa nafsu. Oleh sebab itu, akhlak yang bukan Islam keadaannya
sentiasa berubah-ubah dan tidak stabil malah kadang-kadang memberikan kesan negatif
kepada pelakunya.

1.2.7
Keseimbangan
Akhlak Islam tidak berat sebelah dan tidak pula meninggalkan sebahagian yang lain.
Setiap perlakuan yang dianjurkan Islam adalah dituntut supaya diamalkan dengan
seimbang dan sempurna tanpa perlu lebih atau kurang. Dengan demikian itu, ia akan
menyeru ke arah kejayaan berganding dengan sifat rendah diri, ia mengajak kepada
kemenangan beserta sifat pemaaf. Intisarinya penuh dengan penjelasan dan
penghormatan dan di dalamnya terkandung kemuliaan dan kesederhanaan. Ia juga adalah
keberanian tanpa keangkuhan dan kemaafan bukan kelemahan.

1.2.8
Memelihara Perubahan Secara Berperingkat
Di antara keindahan syariat Islam dalam pembentukan dan didikan personaliti manusia
ialah menggunakan pendekatan dan prinsip perubahan secara berperingkat. Prinsip ini
dilaksanakan pada perkara-perkara yang disuruh dan diwajibkan iaitu dengan
mendahulukan perkara yang penting dan menjauhi segala larangan. Dengan demikian,
akhlak yang mulia akan tersemai di dalam diri secara beransur-ansur. Contohnya seperti
amalan bersedekah, bermula dengan sedikit dan keikhlasan. Namun begitu, tidak
digalakkan mengeluarkan segala hartanya untuk tujuan tersebut seperti yang dilakukan
oleh saidina Abu Bakar ra. Perkara tersebut akan menyebabkan ketidak upayaan
seseorang meneruskan kehidupannya dengan baik. Begitu juga, pengampunan atau
kemaafan hendaklah sentiasa mendahului kemarahan dan kebencian. Sifat kemaafan yang
sedemikian adalah darjat tinggi yang boleh dicapai dengan didikan dan latih tubi yang
berterusan.
7

Sebagai contoh, ketika Nabi saw berhadapan dengan kaum Quraisy selepas peperangan
Uhud, baginda saw ingin melepaskan tawanan iaitu 70 orang musyrik bagi nilai jenazah
saidina Hamzah ra, lalu Allah swt menyatakan penyelesaian tersebut dengan cara
berperingkat tersebut, firmanNya:


Maksudnya: Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak
lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan
yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan
jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian
itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan
dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil
kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan)
Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan
mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan
tipu daya yang mereka lakukan.10

Walaupun akhlak yang paling tinggi darjatnya menjadi keutamaan dan kesan yang
berlaku amat hebat dalam jiwa dan diri, namun kebanyakan manusia dapat menerima
ajaran dan didikan dengan cara berperingkat dan beransur-ansur seperti yang disebut di
atas.

1.2.9
Manfaat Di Dunia Dan Akhirat
Apabila Allah swt meletakkan syariat Islam sebagai landasan dan panduan, maka akhlak
Islam juga tidak terkecuali daripada landasan tersebut. Oleh itu, dalam pengamalan
akhlak Islam, pembalasannya terbahagi kepada dua iaitu balasan di dunia dan akhirat.
Pembalasan di dunia dinyatakan oleh Allah swt dalam firmanNya:
Sementara, pembalasan di akhirat pula Allah swt berfirman:
1.2.10
Membentuk Akhlak Yang Sebenar
Membentuk akhlak Islam berbeza dengan perbuatan dan perlakuan dari sumber lain.
Justeru, ia perlu berada di atas landasan akhlak Islam yang sebenar iaitu merasakan
segala pekerjaan zahir dan batin sentiasa diawasi oleh Allah swt. Firman Allah:

Maksudnya:
Allah
mengetahui
pengkhianatan
(penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata

seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di


dalam hati.11

Selain itu, akhlak Islam perlu dijadikan sebagai beban amanah dan tanggungjawab yang
dipikul oleh setiap muslim selari dengan ajaran Islam. Firman Allah swt:

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang


engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;
sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati,
semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa
yang dilakukannya.12

Firman Allah:




Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka
faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan
sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan
menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali
berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.13

Firman Allah:

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan


oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang
menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul
tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan
dosa usahanya sahaja).14

Mengenai ayat terakhir ini, berkata al-Walid ibn al-Mughirah: "ikutlah aku, dosa kamu
sekalian akan aku pikul". Lalu turun firman Allah swt tersebut menjelaskan bahawa tidak
ada seorang pun yang akan menanggung dosa yang lain.15

RUMUSAN
Akhlak Islam adalah satu ketetapan yang diperoleh daripada al-Quran dan al-Hadith bagi
memastikan keharmonian dan keamanan dalam pergaulan sesama manusia. Namun, ia
tidak menafikan keupayaan akal manusia dalam menyumbang kepada keperibadian yang
9

baik. Walau bagaimanapun, terdapat jurang yang ketara di antara akhlak Islam
berbanding dengan prinsip yang diolah oleh manusia yang berasaskan akal semata-mata.
Prinsip akhlak Islam yang sebenar adalah sesuai dengan akal dan gaya hidup manusia
sepanjang zaman. Oleh demikian, akhlak Islam adalah unik dan istimewa dalam menjalin
hubungan dan pergaulan manusia sejagat.
KATA KUNCI
Akhlak Islam, al-Quran, al-Hadith, perlakuan, syariat Islam.
AKTIVITI/LATIHAN
Dalam aktiviti tutorial, pensyarah boleh memilih antara tajuk-tajuk berikut untuk
dibincangkan oleh pelajar:
Aktiviti secara individu:
1. Nyatakan ciri-ciri keistimewaan akhlak Islam berbanding prinsip perlakuan
yang lain.

2. Keluarkan ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang akhlak yang perlu


dicontohi.

Aktiviti berkumpulan:
1. Bincangkan akibat tidak memberi perhatian terhadap akhlak Islam dalam
kehidupan seorang muslim.

2. Bahaskan akhlak mulia yang perlu diikuti dan akhlak keji yang perlu dihindari
berdasarkan ayat al-Quran dan al-Sunnah.

10

TUGASAN
Buat satu kajian tinjauan bagi mengesan sejauh mana para pelajar sekolah
mengaplikasikan akhlak Islam dalam pembelajaran dan kehidupan mereka di sekolah.

GOALS
Melalui forum, bicangkan cara-cara bersepadu guru-guru Pendidikan Islam bagi
menghadapi masalah penguasaan murid-murid sekolah rendah dalam pendidikan alQuran.

Muhammad Yusuf Khalid, 2008, Dirasat Fi al-Akhlaq Wa al-Tasawwuf, Kuala Lumpur: Dar al-Tajdid, c.
1, hlm. 37.
2
Al-Ahzab: 21.
3
Al-Qalam: 4.
4
Abdullah Muhammad, 1992, Al-Akhlaq al-Islamiyyah Wa Atharuha Fi Bina al-Mujtama, Kuala
Lumpur: Pustaka Antara, hlm. 23.
5
Al-Hujurat: 12.
6
Al-Taghabun: 16.
7
Al-Qasas: 77.
8
Al-Rad: 28.
9
Al-Qasas: 77.
10
Al-Nahl: 126-127.
11
Ghafir: 19.
12
Al-Isra: 36.
13
Fussilat: 46.
14
Al-Anam: 164.
15
Al-Wahidiy, Abu al-Hasan Ali ibn Ahmad, 1995, al-Wajiz Fi Tafsir al-Kitab al-Aziz, Beirut: Dar alShamiyah, c. 1, hlm. 385.

11

Anda mungkin juga menyukai