Anda di halaman 1dari 7

NOTA KELAS

SEJARAH KEMUNCULAN MUKTAZILAH

Golongan ini mula muncul di zaman khilafah Umawiyyah di bawah pemerintahan


Hisyam bin Abdul Malik di akhir kurun pertama hijrah.Para Ulama berselisih pendapat di
dalam memberi makna asal-usul muktazilah itu sendiri.Menurut riwayat yang masyhur di
kalangan jumhur Ulama ianya muncul ekoran daripada percanggahan pendapat Wasil bin
Ata' Al-Ghazzal (80-131H) dengan gurunya Imam Al-Hasan Al-Basri r.a( 22-110H)
dalam masalah dosa besar (‫)مرتكب الكبيرة‬.Ketika Imam Al-Hasan sedang mengajar datang
seorang lelaki bertanyakan tentang hukum melakukan dosa besar adakah menjadi kufur
atau sebaliknya.Belum sempat beliau menjawab tiba-tiba bangun salah seorang anak
muridnya iaitu Wasil lalu berkata: "Tidak aku berpendapat bahawa mereka itu mukmin
sejati dan tidak juga kafir secara mutlak bahkan mereka itu berada di antara dua tempat(
‫( ")المنزلة بين منزلتين‬iaitu antara iman dan kufur).Lantaran itu,Imam Al-Hasan berkata
kepadanya: "asinglah diri kamu dari kami wahai Wasil".

Ekoran daripada peristiwa itu dia dan pengikutnya dipanggil golongan muktazilah.
Kadang kala golongan ini dipanggil puak Al- Qadariah dan kadang kala dipanggil puak
Al-Mua'ttilah.Pada asalnya golongan ini sebenarnya memang kuat mempertahankan
akidah Islam tetapi mereka lebih menggunakan mantik akal daripada dalil naqli(Al-Quran
dan Hadis).Mereka memerangi golongan batiniah(syiah),yahudi,nasrani dan kumpulan-
kumpulan yang sesat.Di ceritakan bahawa Abu Al-Huzail Al-'Allaf(135-226H) salah
seorang syeikh Muktazilah di Basrah telah mengislamkan seramai tiga ribu orang majusi
dengan cara berdebat dan berbincang.Walaupun begitu mereka tersilap langkah dengan
menghujum Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan senjata yang sama yang pernah digunakan
untuk memerangi golongan yang menyeleweng dari Islam.

Dalam tempoh yang singkat sahaja pengaruh fahaman golongan ini berkembang begitu
cepat dan mempunyai pengaruh yang besar sehinggakan Yazid bin Al-Walid(125 - 126
H* tahun memerintah) dan Marwan bin Muhammad dari pemerintah kerajaan
Umawiyyah dan Al-Makmun bin Harun Al-Rasyid(198 - 218H*) , Al-Muktasim bin
Harun Al-Rasyid(218 - 227 H*) dan Al-Wasiq bin Al-Mu'tasim(227 - 232 H*) dari
kerajaan Abbasiyyah telah menjadikannya sebagai pegangan rasmi dalam negara dan
kerajaan.Bahkan mereka ini menggunakan kekerasan bagi sesiapa yang tidak sehaluan
dengan mereka seperti yang berlaku terhadap Imam Buwaiti pengganti Imam Al-Syafei
yang dihukum bunuh dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a yang dipenjara dan disiksa,
bertegas mengatakan bahawa Al-quran itu adalah kalam Allah dan bukannya makhluk
seperti yang didakwa oleh golongan muktazilah.

USUL LIMA MUKTAZILAH.

Terdapat lima usul yang menjadi pegangan utama golongan muktazilah iaitu
tauhid,keadilan Allah S.W.T.( ‫)العدل‬,janji baik dan janji buruk,manzilah baina
manzilataini(‫ )المنزلة بين المنزلتين‬dan amar maaruf nahi mungkar ( ‫األمر بالمعروف والنهى عن‬
‫)المنكر‬.

Usul lima ini mestilah dihimpun dan digabungkan semua sekali dan sesiapa yang tidak
mengiktiraf dan berpegang antara salah satunya maka dia sebenarnya bukanlah dianggap
pengikut muktazilah yang sebenar.Sebagaimana yang disebut oleh Abu Al-Hasan Al-
Khayyat (meninggal pada 300H) salah seorang pemimpin muktazilah di kurun ke 3 hijrah
dengan katanya: "dan tidak berhak salah seorang dari mereka(pengikut muktazilah)
dinamakan muktazilah sehinggalah dia menghimpunkan pegangan usul lima iaitu
tauhid,keadilan, janji baik dan buruk,manzilah baina manzilataini dan amar ma'ruf dan
nahi mungkar.Apabila telah lengkap kelima-lima usul ini maka layak baginya digelar
pengikut muktazilah".

Dalam usul yang pertama iaitu tauhid.Di antara kandungan pegangan mereka ialah
mustahil melihat Allah S.W.T. di akhirat (‫)رؤية اللة‬,tiada sifat bagi Allah melainkan
zatNya sahaja dan al-Quran adalah makhluk.

Antara iktikad mereka dalam usul yang kedua iaitu keadilan Allah S.W.T. pula antaranya
Allah S.W.T. tidak menjadikan perbuatan hambaNya samada baik mahupun buruk
bahkan hambaNya sendiri yang melakukannya dengan ikhtiar dan kehendaknya.

Manakala dalam usul yang ketiga iaitu janji baik dan buruk Allah S.W.T.antaranya
mereka berpegang bahawa Allah S.W.T. memberi balasan baik kepada sesiapa yang
melakukan kebaikan dan sebaliknya , orang yang melakukan dosa besar tidak akan
diampun ,akan kekal di dalam neraka serta tidak akan mendapat syafaat kecualilah dia
sempat bertaubat sebelum mati.Mereka juga beriktiqad bahawa Allah swt wajib memberi
balasan pahala kepada hamba yang taat dan wajib mengazab kepada hamba yang
melakukan dosa besar.

Di dalam usul yang keempat iaitu 'manzilah baina manzilataini' mereka mengatakan
bahawa orang yang melakukan dosa besar bukanlah mukmin mahupun kafir bahkan
kedudukannya adalah di antara dua tempat, antara iman dan kufur.

Dan dalam usul yang terakhir iaitu 'amar ma'ruf nahi mungkar' mereka berpegang bahawa
wajib ke atas setiap orang yang beriman menyebarkan dakwah Islamiah dan
menunjukkan jalan hidayah kepada mereka yang sesat.
Mereka berkata: "memadai amar ma'aruf nahi mungkar hanya dengan hati,dan dengan
lisan jika tidak mampu dengan hati dan memadai dengan tangan jika tidak mampu
dengan keduanya dan jika tidak mampu juga dengan tangan hendaklah menggunakan
pedang kerana firman Allah swt ( ‫فان بغت احداهما على‬،‫وان طا ئفتان من المؤمنين اقتتلوا فأصلحوا بينهما‬
‫ ") األخرى فقاتلوا التى تبغى حتى تفئ الى أمر هللا‬al-Hujurat : 9-

Kewajipan ini tiada bezanya antara orang yang mempunyai kuasa(pemerintah) ataupun
orang yang tidak mempunyai kuasa.Mereka berpendapat kewajipan ini bukan bermula
dengan perintah syarak tetapi datangnya adalah dari kehendak akal manusia ,syarak
hanyalah penguat kepada pendapat akal tersebut sebagaimana yang disebut oleh Al-
Jubaie(‫( )الجبائى‬meninggal pada 295H) salah seorang syeikh Muktazilah.
Kesemua usul ini bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada
dalil nas al-Quran dan hadith Nabi saw .Sebenarnya masih ada lagi prinsip dan pegangan
yang lain yang tidak disebut di sini bahkan ada pegangan-pegangan khusus bagi setiap
pecahan pengikut-pengikut muktazilah ini sehinggakan melebihi 20 pegangan dan
prinsip.

MAUQIF MUKTAZILAH DALAM PENAFSIRAN AL-QURAN.

Secara umumnya penafsiran golongan muktazilah berdasarkan kepada usul lima


sepertimana yang telah disebut.Mereka menggunakan hujjah al-Quran untuk menguatkan
pegangan mereka tetapi penafsiran mereka itu berdasarkan pandangan yang bertepatan
dengan akidah mereka.Golongan ini lebih banyak menggunakan logik akal daripada nas
al-Quran dan hadith sehinggakan mereka mampu memperdayakan orang ramai.

Contoh penyelewengan penafsiran mereka terhadap al-Quran.

1). Dalam masalah mereka menjadikan ayat-ayat yang zahirnya menyokong mazhab
mereka sebagai ayat muhkamat(tanpa takwilan) dan menjadikan ayat muhkamat kepada
ayat mutasyabih(mempunyai beberapa makna ).Manakala ayat(muhkamat dan
mutasyabih) yang bertepatan dengan pegangan mereka, tidak akan diubah statusnya. (sila
rujuk al-kasyaf 1/ 337 dan nota kakinya,tafsiran surah ali-'Imran :7)
Contoh;

Status ayat yang diubah daripada muhkamat kepada mutasyabih.Firman Allah swt.( ‫الى‬
‫ )ربها ناظرة‬-al-Qiamah:23 .Melalui ayat ini mereka mentafsirkan an-nazhar(‫ ) النظر‬itu
maknanya ialah pengharapan (‫ )الرجاء‬,penantian terhadap nikmat (‫ ) التوقع للنعمة‬dan
karamah(‫ ) الكرامة‬bukannya dari nas yang jelas iaitu boleh melihat Allah swt sebagaimana
iktiqad ahli sunnah. (sila rujuk al-kasyaf 1/ 337-338 , 4 / 662 )

Status ayat yang ditukar daripada mutasyabih kepada muhkamat.Firman Allah swt .( ‫ال‬
‫ ) تدركه األبصار‬-al -Ana'am 103.Mereka merntafsirkan ayat ini bahawa mustahil melihat
Allah di akhirat kelak tanpa takwilan dengan makna yang lain.Penafsiran ini bercanggah
dengan ahli sunni yang mengatakan bahawa ayat ini perlu diihtimal dengan makna yang
lain. (sila rujuk al-kasyaf 1/ 337-338 , 2 / 54 )

Status ayat yang tidak diubah yang bertepatan dengan iktiqad mereka.Firman Allah swt.(
‫ ) ان هللا ال يأمر بالفحشاء‬-al-A'araf :28 dan ayat ( ‫ )أمرنا مترفيها ففسقوا فيها‬-al-Isra': 16 . (sila rujuk
al-kasyaf 1 / 337-338 , 2 / 98- 99 ,2 /653 - 654 )
2) Dalam masalah usul al-adl.

Contoh dalam ayat.(‫ ) أهم يقسمون رحمة ربّك نحن قسمنا بينهم معيشتهم فى الحياة الدنيا‬al-
Zukhruf:32.Melalui ayat ini mereka mengatakan bahawa Allah swt hanyalah
mengurniakan rezeki yang halal sahaja kepada hambanya dan tidak rezeki yang haram
bahkan manusialah yang berusaha dengan diri mereka sendiri. sebagaimana yang disebut
oleh az-Zamakhsyari dalam tafsirnya al-kasyaf.Ini kerana mereka berpendapat Allah swt
tidak menciptakan perkara yang buruk dan keji.Pendapat ini bersalahan dengan ahli
sunnah yang berpegang bahawa semua makhluk dan benda adalah diciptakan oleh Allah
swt. (sila rujuk al-kasyaf, 4 / 248 - 249 ).

3) Dalam masalah manzilah baina manzilataini .

Contohnya dalam surah Al-Isra':9-10 ‫ان هذا القرآن يهدى للتى هى اقوم ويشر المؤمنون الذين يعملون‬
ّ ‫الصالحات‬
)10(‫) وأن الذين ال يؤمنون باألخرة أعتدنا لهم عذابًا الي ًما‬9(‫أن لهم أجرًا كبيرًا‬
Az- Zamakhsyari mengatakan:

"jika kamu berkata : kenapa disebut orang-orang mukmin yang baik dan orang-orang
kafir sahaja tidak disebut orang-orang fasiq ?Maka aku berpendapat : Adalah manusia itu
adakalanya mukmin bertakwa dan adakalanya musyrik(kufur) dan sesunguhnya ada
wujud orang yang berada antara dua tempat selepas itu(antara iman dan kufur)" .(sila
rujuk al-kasyaf 2 / 650 - 651 ).

Ini adalah antara contoh -contoh penafsiran golongan muktazilah yang dapat disebut dan
masih banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh dirujuk di dalam buku-buku yang
berkaitan.

HASIL KARANGAN GOLONGAN MUKTAZILAH DI DALAM BIDANG


PENAFSIRAN AL-QURAN.

Banyak kitab tafsir al-Quran yang dikarang dan dihasilkan oleh ulama-ulama muktazialah
tetapi tafsiran mereka itu berdasarkan kepada usul mazhab mereka.Hasil karangan
mereka ini tidaklah begitu banyak memberi manfaat jika dibandingkan dengan kitab-
kitab tafsir yang lain.Kebanyakkan kitab tafsir mereka telah luput ditelan zaman tetapi
ianya ada disebut oleh ulama ahli sunnah yang terdahulu seperti yang disebut oleh imam
As-Suyuti di dalam tabaqat al-Mufassirin dan tabaqat al-mufassirn oleh ad-Dawadi anak
murid kepada as-Suyuti.Tidak banyak kitab mereka ini sampai kepada kita kecuali hanya
tiga buah sahaja yang masih kekal hingga sekarang. Di antara ualama muktazialah yang
masyhur dalam menghasilkan kitab tafsir ialah :

1- Wasil bin ‘Ata’ (80 – 131H) - ma’ani Al-Quran.


2– Qatrab (meninggal pada 206H) - ma’ani Al-Quran, I’rab Al-Quran , Ar-Rad ’ala Al-
Mulihidin fi Mutayabih

Al-Quran dan Majaz Al-Quran.


3– Abu Bakar Abdul Rahman bin Kisan Al-Asm (meninggal pada 240H)
4– Amru bin Bahr Abi Uthman Al-Jahiz (meninggal pada 255H) - Nizam Al-Quran dan
Al-Masail fi Al-Quran.
5– Muhammmad bin Abdul Wahab Al-Jubaei (ayah kepada Abu Hasyim Abdul Salam)
(meninggal pada
295H) - Mutasyabih Al-Quran dan Tafsir Al-Quran .
6– Abu Al-Qasim Abdullah bin Ahmad Al-Balkha Al-Hanafi(meninggal pada 319H) -
menghasilkan kitab tafsir
sebanyak 12 jilid.
7– Abu Abdul Salam bin Abu ‘Ali Al-Jubaei(meninggal pada 321H).
8– Abu Muslim Muhammad Bahr Al– Asfahani (meninggal pada 322H)- Jami’ Al-
Takwil Li Muhkam At-Tanzil.
9– Abu Al-Hasan ‘Ali bin ‘Isa Ar-Rummani (meninggal pada 384H) - Tafsir Al-Quran
Al-Mujid.
10– Ubaidillah bin Muhammad Jarwu Al-Asadi Abu Al– Qasim An-Nahwu Al-‘Arudhi
(meninggal pada 387H).
11– Abdul Salam bin Muhammad bin Yusuf Al– Qazwiniyyu (meninggal pada 483H)-
Imam As-Suyuti menyebut beliau menghasilkan 300 jilid kitab tafsir dan 500 jilid
sebagaimana yang disebut oleh Ibn Najjar.

Antara pengarang kitab tafsir muktazilah dan kitabnya yang masih kekal hingga kini.

1– Al-Qadhi Abdul Jabbar bin Ahmad Al-Hamdaniyyu Al-Asdubaniyyu As-


Syafei(meninggal pada 415H) -
Tanzih Al-Quran ’an Al-Muthoin .
2– As-Syarif Al-Murtadho Al-’Alim As-Syi’ie Al-Ulwi (355 – 436H) - Amaali As-Syarif
Al-Murtadho atau
pun Ghurar Al-Fuad Wa Durar Al-Qalaid.
3– Abu Al-Qasim Mahmud bin Umar Az-Zamakhsyari (467 – 538H) - Al-Kasyaf An
Haqaiq Ghawamid At-
Tanzil Wa ‘Uyun Al-Aqawil Fi Wujuh At-Ta’wil.

KRITIKAN PARA ULAMA TERHADAP GOLONGAN MUKTAZILAH.

Kritikan yang dapat difahami daripada kalam Al- Imam Abu Al-Hasan Al- Asy'ari (260 -
330 H/ 873 - 941 M) :
" Maka sesungguhnya orang yang menyeleweng dan sesat ialah mereka yang mentakwil
isi kandungan al-Quran berpandukan pandangan dan pendapat sendiri ,dan mereka yang
mentafsir al-Quran mengikut hawa nafsu,suatu tafsiran yang tiada bukti dan dalil ianya
datang dari Allah swt dan bukan juga datangnya dari riwayat rasulullah dan ahli
keluarganya,dan bukan juga datangnya dari orang-orang terdahulu(as-salaf) yang terdiri
dari kalangan sahabat dan tabien.Ini merupakan suatu pembohongan terhadap Allah
swt.Sesungguhnya mereka telah tersesat dan bukan terdiri daripada kalangan mereka
yang mendapat petunjuk".
Begitu juga kritikan yang dinaqalkan daripada syeikhul Islam Ibn Taimiyyah(662 - 792 H
/ 1263 - 1328 M) daripada buku muqaddimah Ibn Taimiyyah - usul at - tafsir katanya :

" Contohnya meraka berpegang terhadap sesuatu pendapat kemudian dikuatkan dengan
lafaz-lafaz dari al-Quran(sebagai hujjah) dan ( dengan itu) mereka bukanlah dari
kalangan salaf yang terdiri dari kalangan para sahabat dan tabien r.ahm,tidak juga dari
kalangan para imam umat Islam ,pendapat mereka tidak boleh diterima dan begitu juga
tafsiran mereka terhadap al-Quran.Dan bukanlah mana-mana tafsiran mereka itu batil
melainkan kebatilannya itu muncul dengan pelbagai bentuk rupa yang berbeza.Yang
demikian itu dapat ditinjau dari dua sudut. 1- Kadang kala dapat diketahui kerosakan
yang terdapat pada pendapat atau pegangan mereka 2- Kadang kala dapat diketahui
kerosakan yang terdapat pada penafsiran mereka terhadap al-Quran samada ia
menunjukkan pendapat atau pegangan mereka ataupun jawapan-jawapan yang
dikemukakan terhadap orang yang bercanggah dengan (pendapat) mereka.Ada
dikalangan mereka yang menggunakan ibarat kalam yang indah dan fasih sedangkan
penipuan berlaku pada kalam tersebut.Kebanyakan manusia tidak menyedari dan
mengetahuinya umpamanya seperti pengarang kitab Al-Kasyaf (Az- Zamakhsyari) dan
selain darinya sehinggakan kalamnya itu 'laris' dikalangan orang ramai yang membuatkan
mereka (orang ramai) tidak percaya wujud kebatilan di dalam penafsiran
mereka(muktazilah) yang batil itu-masya-Allah- Dan aku benar-benar lihat(yakin) dari
kalangan ulama tafsir dan selain dari mereka melalui apa yang disebut di dalam kitabnya
dan melalui kalamnya terhadap tafsiran mereka ,tidak terdapat sesuatupun yang selari
dengan usul mereka(muktazilah) yang diketahui dan dipercayai ada berlaku kefasadan
pada usul itu dan perkara itu(usul yang fasad) tidak akan diberi petunjuk".

Anak murid kepada Ibn Taimiyyah iaitu Al-'Allamah Ibn Qayyim Al-Jauzi (691 - 751 H /
1292 - 1350 M ) juga turut mengkritik golongan muktazilah yang menafsirkan al-Quran
mengikut hawa nafsu dan akal fikiran sebagaimana yang disebut di dalam bukunya i'lam
al-muwaqqi'in( ٍ‫ )اعالم الموقعين‬dengan katanya :

" Itu adalah sampah pemikiran ,hampas buah fikiran , debu-debu pandangan dan was-was
keteguhan .Maka mereka memenuhinya dihelaian kertas-kertas lalu kertas bertukar
menjadi hitam ,diisinya di dalam hati -hati lalu hati akan dipenuhi dengan keraguan dan
dibentangkan di alam buana lalu alam akan musnah. Setiap individu yang mempunyai
akal yang waras mengetahui bahawa kemusnahan alam hanyasanya berpunca daripada
mendahulukan pandangan akal daripada wahyu dan mendahulukan hawa nafsu daripada
akal fikiran".

Wabillahi At- taufiq ,wallahu'alam

rujukan :
1) At- Tafsir wal muffasirun - Dr. Mohd Hussin Az - Zahabi
2) Al - Milal wa An- Nihal , As-Syeikh As- Syahrastani
3) Ad-Dakhil Fi At- Tafsir ,juzuk pertama , Dr.Abdul Fattah Muhammad Ahmad
Khudhor , kitab kuliah Shibin El-Kom
4) Dirasat fi Al-Milal wa An-Nihal, prof.Dr Mubarak Hasan Husin Ismail ,kitab kuliah
Shibin El-kom.
5) Al -Kasyaf , Az - Zamakhsyari, cetakan maktabah Darul Ar-Rayan li At- turath.

Anda mungkin juga menyukai