Anda di halaman 1dari 6

Golongan Anti Hadith - Satu Ringkasan.

http://abu-durrah.blogspot.com/2013/01/golongan-anti-hadith-saturingkasan.html

1.0 PENDAHULUAN.
Satu golongan baru umat Islam telah timbul disebut sebagai golongan Ajaran Al-Quran
(MENOLAK HADITH) yang bererti golongan berpegang kepada al-Quran semata-mata dan
menolak sunnah/hadith. Golongan ini muncul di beberapa buah negara seperti Indonesia,
Singapura, India, Pakistan, Irandan khususnya dikebanyakan negara Arab. Di Malaysia,
golongan ini dipelopori oleh Kassim Ahmad. Melalui bukunya Hadith: Satu Penilaian Semula
cuba untuk mengembangkan idea-idea Dr Rasyad Khalifa yang merupakan pengasas kepada
fahaman ini.
2.0 SIAPAKAH GOLONGAN ANTI HADITH.
Golongan ini pernah disebut ulama Ibn Hazm abad 4-5 Hijrah dan beberapa ulama zaman moden
seperti Muhammad al-Ghazali dan Yusof al-Qardhawi.
Golongan ini tidak disambut dengan ahlan wa sahlan, tetapi disambut dengan peringatan dan
amaran bahaya oleh para ulama kepada umat Islam seluruhnya. Kemunculan golongan ini pernah
diramalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah hadith bermaksud:
Ada orang yang berbaring di tempat tidur yang mewah dan berkata: Antara kami dan kalian
hanyalah kitab Allah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan dalam al-Quran, kita halalkan, dan
apa yang diharamkan, kita haramkan. Sesungguhnya apa-apa yang diharamkan oleh Rasulullah
s.a.w., sama seperti yang diharamkan oleh Allah. [Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi].
Hadith nabi terbukti benar. Golongan yang hanya mahu berpegang kepada Al_Quran dan
menolak hadith/sunnah kini muncul. Andainya golongan ini tidak muncul, kemungkinan umat
Islam dalam keraguan dan tidak mempercayai kebenaran hadith tersebut.
3.0 HUJAH GOLONGAN INI MENOLAK HADITH.
Mereka mendakwa bahawa konsep sunnah/hadith hanya timbul di kurun kedua dan ketiga hijrah
di zaman Imam As-Syafi'e iaitu 200 tahun selepas nabi wafat. Begitu juga, semua kitab-kitab
hadith (al-Kutub al-Sittah) dihasilkan antara tempoh 200-250 tahun selepas kewafatan nabi s.a.w.

Mereka juga membuat penghujahan bahawa al-Quran, sebagai kitab yang lengkap dan sempurna,
telah menolak sumber-sumber lain sebagai sumber teologi dan perundangan. Penghujahan
sebegini mula ditimbulkan daripada penulisan Dr. Rasyad Khalifa iaitu "The Computer
Speaks:God's Message to the World". Antara lain penghujahan ialah "buku ini secara saintifik
membuktikan ketulenan Al-Quran sebagai perutusan Tuhan kepada manusia yang sepenuhnya
terpelihara, dan menarik perhatian pembaca kepada kesempurnaannya, lengkapnya dan
keterperinciannya, menyebabkan manusia tidak memerlukan buku-buku lain sebagai sumber
bimbingan. Ini bermakna hadith sekaligus tertolak sebagai sumber teologi dan perundangan".
Penghujahan di atas disokong pula oleh petikan ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan bahawa
Al-Quran sudah lengkap dan hanya al-Quran sahaja yang bersumberkan wahyu dan terpelihara di
mana sunnah/ hadith adalah rekaan di kurun ketiga hijrah dan seterusnya. Bukan itu sahaja,
malah sikap menjadikan sunnah/hadith sebagai sumber undang-undang bersama Al-Quran
disifatkan olehTuhan (berdasarkan fahaman anti-hadith) sebagai mempersekutukan Allah dan ini
merujuk kepada beberapa ayat-ayat Al-Quran iaitu Asy Syuuraa :21, Al Anam:21-24, Az
Zumar:45 dan Ghafiir:12.
Sebagai pembuktian bahawa sunnah/hadith adalah palsu ialah fenomena kemunduran dan pecah
belah yang berlaku kepada masyarakat Islam selepas kurun kedua hijrah iaitu di zaman
pengumpulan dan penulisan sunnah/hadith. Kemunduran menurutmereka, disebabkan umat
Islam mula berpegang kepada ajaran yang salah dan palsu kerana Al-Quran adalah mustahil
menjadi ajaran yang salah. Yang palsu ialah sunnah/hadith yang mula timbul idea penulisannya
di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
Umat Islam juga lemah dan mundur khususnya di zaman moden, di samping ajaran
sunnah/hadith yang palsu, ialah kerana pengaruh buku-buku humanism sekular sama ada
berbentuk liberal atau marxis malah mengikut kefahaman anti-hadith, hadith ialah kuasa palsu
yang lebih lama dan meluas berbanding dengan kefahaman sekular. Walaupun begitu, mereka
juga mengatakan tidak semua hadith itu palsu atau rekaan seperti apa yang terkandung di dalam
Piagam Madinah, perjanjian-perjanjian Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai pihak serta surat-surat
nabi yang diutus kepada pemerintah-pemerintah di zaman itu.
Namun, ini hanyalah sebagai sumber rujukan sejarah yang tidak berautoriti dalam agama Islam.
Mereka juga membuat kenyataan bahawa sikap menolak sunnah/ hadith bukan bererti tidak

beriman dengan Rasulullah tetapi kefahaman anti-hadith hanyalah sekadar menjelaskan bahawa
sunnah/hadith tidaklah bertaraf wahyu yang mengikat umat Islam dan juga sunnah/hadith adalah
palsu, rekaan dan ciptaan yang kalaupun hendak diterima hanya sekadar sebagai sumber rujukan
sejarah dan BUKAN sebagai sumber teologi dan perundangan. Inilah kesimpulan dan gambaran
umum kepada andaian, kepercayaan dan penghujahan dalam gerakan anti-hadith.
Golongan anti-hadith, antara lain berhujah bahawa terdapat beberapa sunnah/hadith yang
melarang golongan sahabat menulis di zaman Rasulullah s.a.w. selain daripada Al-Quran. Ini
menunjukkan, mengikut dakwaan anti-hadith, bahawa sunnah/hadith adalah tidak benar dan
tidak penting dalam Islam kerana ianya dilarang ditulis oleh Rasulullah s.a.w.
4.0 HUJAH BALAS TERHADAP GOLONGAN ANTI HADITH.
Berhubung dengan penghujahan anti-hadith, kekosongan dan kelemahan penyelidikan mereka
yang paling jelas dan utama ialah kenyataan mereka tentang kedudukan Al-Quran di waktu
kewafatan Rasulullah s.a.w. Antara penulisan mereka ialah sebenarnya sejarah telah
membuktikan dengan sepenuhnya bahawa pada ketika Nabi wafat, apa yang ditinggalkan oleh
beliau ialah Al-Quran, selain daripada sebuah masyarakat Islam di semenanjung Arab. Al-Quran
ini belum tersusun menjadi sebuah buku pada waktu itu, tetapi catatan-catatannya di atas kulit
dan di atas bahan-bahan lain ada tersimpan di rumah Nabi dan dengan beberapa orang sahabat
nabi yang bertindak sebagai pencatat-pencatat wahyu.
Juga nabi sendiri telah menyusun Al-Quran, di bawah bimbingan Jibril, mengikut susunan yang
wujud sekarang, dan beliau telah mengajar susunan ini kepada ramai sahabat dengan menghafal
bahagian-bahagian Al-Quran yang wujud setiap Ramadhan, dan seluruhnya sebelum beliau
wafat. Dalam pemerintahan Abu Bakar, Abu Bakar telah mengarah Zaid bin Thabit, salah
seorang setiausaha Nabi yang rapat, mengumpul dan menyusun Al-Quran daripada semua
catatan yang wujud dan juga daripada para hafiz. Inilah Al-Quran yang dijadikan edisi rasmi dan
disebarkan ke segenap pelosok empayar Islam oleh Khalifah Uthman dalam pemerintahan
beliau. Dengan demikian, Al-Quran dibuktikan oleh sejarah sebagai sebuah dokumen yang
mutawatir".
Amatlah membingungkan bagaimana golongan anti hadith dapat sampai kepada kesimpulan di
atas yang merupakan asas dan titik tolak penghujahan mereka untuk menunjukkan hanya AlQuran adalah benar dan yang lain adalah palsu. Atas dasar apakah mereka telah menerima

kesimpulan tersebut sedangkan semuanya ini tidak diceritakan oleh Al-Quran. Kalau kita
menerima sunnah/hadith sebagai sumber keilmuan, ianya tidak menimbulkan masalah kerana ini
dan perincian pengumpulan Al-Quran yang lain diceritakan oleh sunnah/hadith. Kepada
golongananti-hadith adalah agak malang kerana mereka menolak sunnah/hadith dan menerima
sejarah sebagai asas penghujahan. Adakah sejarah lebih berautoriti dan lebih dipercayai daripada
sunnah/hadith? Keadaan di atas akan semakin lebih teruk kerana pengumpulan Al-Quran sendiri,
seperti yang diakui oleh golongan anti-hadith, adalah dilakukan oleh golongan sahabat. Kalau
golongan sahabat tidak boleh dipercayai dalam meriwayatkan sunnah/hadith, bagaimana pula
mereka diterima dalam riwayat al-Quran? Tidak mustahil di masa hadapan mereka yang menolak
sunnah/hadith sebagai sumber teologi dan perundangan akan menyatakan pula bahawa Al-Quran
juga tidak benar dan hanya rekaan kerana ianya dikumpulkan oleh manusia.
Penghujahan golongan anti-hadith yang kedua lemah, kosong dan hambar ialah isu timbulnya
hadith ciptaan dan rekaan iaitu hadith maudu. Memang benar, sejarah Islam di satu zaman
tertentu, timbul fenomena setengah peribadi dan golongan serta parti-parti politik tertentu
mencipta hadith-hadith tertentu untuk tujuan-tujuan tertentu dan untuk kepentingan diri sendiri.
Ini adalah satu hakikat yang diterima oleh kesemua umat Islam termasuk golongan anti hadith.
Malangnya, golongan anti-hadith tidak mempunyai kekuatan penghujahan yang kuat dan
rasional untuk melihat kesan di sebalik fenomena ini. Persoalan timbul iaitu sekiranya
sunnah/hadith tidak berwibawa dan tidak berautoriti dalam perundangan Islam, mengapa
manusia dengan pelbagai tujuan terlibat dalam mencipta sunnah/ hadith sendiri? Sikap dan
tindakan manusia ini membuktikan bahawa sunnah/ hadith mempunyai tempat yang tinggi dalam
kepercayaan dan keilmuan umat Islam di masa itu dan fenomena ini telah berlaku di kurun
pertama hijrah lagi. Kalau sunnah/hadith tidak berautoriti seperti dakwaan anti-hadith, penciptapencipta hadith palsu tidak akan menghabiskan masa mereka mencipta sesuatu yang hampir
menyerupai hadith untuk kepentingan diri mereka.
Berhubung dengan persoalan hadith ciptaan atau palsu, ianya perlu difahami dalam bentuk
pengecualian di mana kebanyakan hadith telah diuji ketulenannya dan diterima oleh umat Islam.
Dalam kes peristiwa fitnah yang menimpa Imam Ahmad bin Hanbal, seluruh kerajaan termasuk
khalifah Ma'mun telah menerima kefahaman muktazilah bahawa al-Quran itu adalah perkara
baru iaitu makhluk sedangkan Imam Ahmad tetap menegaskan bahawa Al-Quran adalah kalam
Allah yang bersifat azali. Kalaulah hadith senang dicipta dan dipalsukan, sudah tentu kerajaan

Abbasiyah di zaman Matmun, dengan segala kekuatannya, akan mencipta hadith-hadith untuk
memenangkan kefahaman mereka tetapi ini tidak pernah berlaku.
Apa yang menghairan sesetengah hadith diterima oleh golongan ini, sekurang-kurangnya dari
segi laporannya walaupun ditolak dari segi kewibawaannya dalam perundangan, sedangkan
banyak hadith-hadith yang lain telah ditolak kerana dianggap sebagai palsu. Faktor yang
memisahkan dua kategori hadith-hadith ini ialah satu kategori berbentuk tulisan dan satu lagi
berbentuk lisan di mana hanya hadith berbentuk tulisan yang diterima seperti Piagam Madinah,
surat-surat perjanjian dan surat-surat Rasulullah s.a.w. Kalau inilah penghujahannya, ianya
bukanlah kukuh dan adil kerana walaupun ianya berbentuk tulisan pada asalnya, tetapi ianya
disampaikan kepada golongan tabi'in secara lisan dan begitulah seterusnya sehinggalah ianya
dikumpulkan dalam kitab-kitab hadith.
Mengenai larangan menulis selain Al-Quran, jelas sekali lagi, golongan anti-hadith telah
membuat kesimpulan yang bertentangan dengan hypotesis mereka yang asal di mana mereka
telah berhujah dengan sunnah/hadith untuk meruntuhkan sunnah/hadith. Ini adalah terbukti
apabila mereka berhujah untuk memantapkan pandangan mereka dengan beberapa sunnah/hadith
yang menyokong pandangan dan kefahaman mereka. Kalau sunnah/hadith tidak langsung
berautoriti, mereka tidak akan membuat rujukan kepadanya langsung.
5.0 KESIMPULAN
Berdasarkan huraian di atas, golongan anti-hadith yang timbul kebelakangan ini sama ada di
Malaysia atau di tempat-tempat lain adalah pelopor kepada satu kefahaman yang salah yang
tidak pernah timbul dalam sejarah umat Islam walaupun oleh pencipta-pencipta hadith palsu atau
oleh golongan muktazilah, murjiah dan sebagainya. Golongan anti-hadith adalah golongan yang
langsung tidak mempercayai bahawa perkataan Nabi adalah benar (walaupun dapat dibuktikan
kebenarannya) kerana kebenaran dalam sunnah/hadith tidak langsung diimani oleh golongan
anti-hadith. Lebih-lebih lagi, mereka tidak langsung membuat petikan kepada sunnah /hadith
dalam penulisan mereka (walaupun mereka sebenarnya melakukannya tanpa diakui oleh mereka
seperti dalam kisah pengumpulan Al-Quran).
Jelas bahawa golongan anti-hadith adalah golongan pertama daripada kalangan umat Islam yang
menolak autoriti Rasulullah s.a.w. sebagai seorang yang bercakap, bertindak malah diamnya
sendiri sebagai wahyu Allah. Persoalannya, bagaimana mereka membezakan antara Al-Quran

dan sunnah yang kedua-duanya datang melalui Rasulullah s.a.w. kalau tidak Rasulullah itu
diwahyukan? Akhirnya dapatlah disimpulkan kefahaman golongan anti-hadith tidak berasas
sama sekali dan kalau hendak digunakan penghujahan anti-hadith, sudah pasti Al-Quran sendiri
pun tidak dapat diterima sebagai benar. Malah, kronologi pengumpulan Al-Quran sendiri pun
diasaskan kepada sunnah/hadith kerana tidak ada sumber lain yang dapat memberitahu hal ini.
Sudah tepatlah bahawa fahaman anti-hadith adalah satu kedangkalan, kejahilan dan ajaran yang
salah dan sesat serta membahayakan sistem teologi dan perundangan Islam secara keseluruhan.

Anda mungkin juga menyukai