Anda di halaman 1dari 9

Kitab Tata-tertib Pelayaran

Ketahuilah, bahwasanya setiap orang yang belayar, sedangkan apa yang dituntutnya
itu, seperti menambah ilmu pengetahuan, atau mempelajari urusan keagamaan, ataupun
kerana mencari kelebihan rezeki untuk memenuhi tujuan keagamaan, maka orang itu
tergolong orang-orang yang menempuh perjalanan keakhiratan. Bagi orang yang belayar
kerana tujuan-tujuan yang tersebut di atas, ada beberapa syarat dan tata-tertib, yang jika
ia mencuaikannya terluputlah semua tujuan-tujuan tadi. Dan ia tidak lagi terkira sebagai
orang yang menempuh perjalanan keakhiratan, malah tergolong orang yang bekerja untuk
kepentingan keduniaan, ataupun tergoong dari pengikut-pengikut syaitan. Tetapi sekiranya
ia tetap berpegang kuat dengan syarat-syarat dan tata-tertib tersebut, maka pelayarannya
itu tidak akan sepi dari berbagai-bagai faedah yang dapat dihubungkan dengan amalanamalan keakhiratan.
Berikut dihuraikan satu persatu bahagian-bahagian pelayaran itu:
Bahagian pertama: Pelayaran kerana menuntut ilmu pengetahuan; iaitu sam ada
hukumnya wajib ataupun sunnat. Masing-masing hukum itu ditentukan menurut ilmu
pengetahuan itu sendiri; kiranya ia sebagai ilmu pengetahuan yang wajib dituntut, wajiblah
hukumnya dan kiranya sunnat maka sunnat pulalah hukumnya.
Ilmu yang harus dituntut itu, ada kalanya berupa ilmu pengetahuan yang berkenaan
dengan urusan-urusan keagamaan, ataupun yang berkaitan dengan budi pekerti dan akhlak
bagi dirinya sendiri, ataupun yang berhubungan dengan tanda-tanda kekuasaan Allah Taala
di atas bumiNya.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
Barangsiapa berpergian dari rumahnya kerana menuntut ilmu pengetahuan, maka
ia adalah dalam perjalanan Allah, sehingga ia kembali.
Jabir bin Abdullah pernah berpergian dari Kota Madinah yang memakan masa selama
perjalanan sebulan lamanya, kerana tujuan hendak meriwayatkan senuah Hadis Rasulullah
s.a.w dari Abdullah bin Unais, sehingga ia mendengar sendiri Hadis itu darinya.
Asy-Syabi pula berkata: Andaikata seseorang belayar dari negeri Syam menuju ke
penghujug daerah negeri Yaman, kerana mempelajari suatu kalimat yang boleh memberinya
petunjuk atu mencegagahnya dari suatu perkara yang salah, maka tentulah pelayarannya
ke sana itu tidak sesia belaka.
Adapun ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang bertujuan untuk memperbaiki
peribadi sendiri, maka yang demikian itu adalah amat penting sekali. Orang yang tidak
mapu menilik keburukan perilakunya tentulah tidak berkuasa mensucikan hatinya dari
segala keburukan itu. Jiwa itu, biasanya bila masih di dalam negeri sendiri, disebabkan
dorongan-dorongan yang bermacam-macam, tidak boleh melahirkan keburukan-keburukan
akhlaknya, kerana ia merasa paling senang dengan segala macam kelakuan yang telah
menjadi kebiasaannya. Akan tetapi bila jiwa itu dapat diuji dengan kepayahan di negeri
orang, barulah dapat dituntun keburukan-keburukannya. Dengan demikian dapatlah ia
memberikan perhatian sepenuhnya terhadap keburukan itu, lalu berusaha untuk
melenyapkannya.
Adapun tentang tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah di atasan bumiNya,
maka dalam meneliti dan memperhatikannya, ada banyak faedah-faedah dan manfaatmanfaat bagi orang yang menyaksikannya. Padanya terdapat bahagian-bahagian (negerinegeri) yang berdekatan antara satu dengan yang lain. Padanya terdapat gunung-ganang,

lembah-lembah, lautan-lautan, dan berbagai-bagai jenis binatang dan tumbuh-tumbuhan.


Tiap-tiap satu dari ciptaan-ciptaan Allah ini, meyaksikan sifat keesaan bagi Allah yang Maha
Agung.
Bahagian kedua: Hendaklah pelayarannya itu kerana tujuan-tujuan beribadat seperti
menunaikan Rukun Haji atau menyahut seruan jihad fi-sabilillah. Dalam sebuah Hadis
berbunyi:
Tiada diperlengkapkan persediaan pelayaran, melainkan untuk menuju ke tiga buah
masjidku (masjid Madinah), Masjidil-Haram (Makkah) dan Masjidil Aqsha.
Bahagian ketiga: Pelayaran untuk menghindarkan diri dari sebab-sebab yang
menganggu agama. Ini juga bertujuan baik, sebab melarikan diri dari sesuatu tekanan yang
tak mampu di tanggung, adalah sunnat dari perjalanan para Nabi dan Rasul. Adalah
menjadi amalan para Salaf Saleh radhiallahu-anhum, bila melihat sesuatu fitnah dalam
sesebuah negeri, mereka terus meninggalkan negeri itu, kerana ingin menjauhkan diri dari
bahaya dan fitnah tersebut.
Pernah diriwayatkan, bahwa setengah para salaf Saleh ditanya: Hendak ke mana
tuan? Katanya: kami dengar ada sebuah perkampungan di sana, barang-barangnya semua
murah. Kami ingin tinggal di situ. Lalu ditanya lagi: Adakah perlu dibuat? Jawabnya: Ya, Jika
ada orang yang menyampaikan kepadamu di sebuah tempat ada kemudahan-kemudahan
semacam itu, maka pindahlah ke sana. Kerana yang demikian itu lebih selamat bagi
agamamu, dan lebih meringankan bebananmu. Dan in adalah untuk melarikan diri dari
tempat barang-barangnya terlalu mahal.
Bahagian keempat: Pelayaran kerana menghindarkan diri dari sesuatu yang
membahayakan badan, seperti takut terkena taun atau yang membahayakan harta, seperti
terlalu mahal harga barang-barang atau yang seumpamanya. Melakukan semua ini tiada
halangannya, bahkan ada kalanya melarikan diri dari pada setengah-setengah hal menjadi
wajib, dan pada setengah setengah yang lain pula menjadi sunnat iaitu menurut tingkatantingkatan faedah yang boleh dicapai dari hal-hal yang dilakukan itu. Dalam hal ini, hanya
yang dikecualikan ialah taun saja, maka hendaklah jangan ia meninggalkan tempat yang
merajalela padanya penyakit taun itu kerana adanya larangan untuk membuat yang
demikian itu, (sebabnya mungkin supaya ia tidak merebakkan penyakit itu ketempat lain
pent.)
Pendek kata pelayaran itu terbahagi kepada tiga bahagian:
(1)
(2)
(3)

Pelayaran kerana sebab yang tercela.


Pelayaran kerana sebab yang terpuji.
Pelayaran yang mubah atau harus

Pelayaran kerana sebab yang tercela yang termasuk dalam kategori haram, seperti
pelayaran seorang yang menderhaka kepada ibubapanya atau yang termasuk dalam
kategori makruh, seperti lari dari negeri yang sedang merebak
di dalamnya penyakit
taun.
Pelayaran kerana sebab yang terpuji yang termasuk dalam kategori wajib, seperti
pelayaran orang yang naik haji untuk menunaikan Rukun Islam Kelima, atau kerana
menuntut ilmu pengetahuan yang dikira wajib atas setiap Muslim Muslimah. Atau yang
termasuk dalam kategori sunnat seperti pelayaran seorang yang menziarahi para alim
ulama untuk melengkapi diri dengan akhlak dan tata-tertib mereka dan untuk

menggerakkan hati demi mencontohi cara hidup mereka, serta mengambil faedah-faedah
ilmiah terus dari jiwa mereka.
Adapun pelayaran yang mubah atau yang harus, maka puncanya ialah niat di hati.
Jika maksud pelayaran itu, ialah kerana mencari harta dunia agar dengan harta ia dapat
menahan diri dari meminta-minta dari orang lain, ataupun kerana memelihara maruah
dirinya atas tanggungannya terhadap anak isteri dan keluarga yang mana bila ada kelebihan
dari keperluan itu nanti, ia akan mensedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat,
maka dengan adanya niat semacam ini, jadilah pelayaran itu mubah atau harus, terkira
salah satu dari amalan keakhiratan yang akan diberi pahala kepadanya.
Andaikata seseorang belayar kerana menunaikan haji tetapi yang mendorong
kepergiannya itu ialah riya atau kerana mencari nama, maka sesialah amalannya, dan ia
terkeluar dari hitungan kerja-kerja keakhiratan.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Hanyasanya amalan-amalan itu bergantung dengan niat-niatnya.
Tata-tertib orang musafir
Ada beberapa tata-tertib yang harus diperhatikan oleh seorang musafir dari mula ia
berangkat, sampai ia kembali semule ke rumahnya; iaitu:
Pertama: Mula-mula haruslah ia mengembalikan semua harta, atau barang-barang
yang diperolehinya secara aniya atau dengan cara tipu daya. Sesudah itu, ia membayar pula
segala hutang-piutangnya. Kemudian barulah ia menyediakan nafkah atau perbelanjaan
bagi orang-orang yang dalam tanggungannya. Kemudian mengembalikan pula semua
amanat orang yang disimpannya. Segala perbekalan yang dibawa dalam pelayaran itu
hendaklah berupa yang baik dan halal dan sebaiknya dilebihkan sedikit untuk dibahagibahagikan kepada teman-teman yang ikut serta dalam pelayaran itu.
Ketika dalam pelayaran, biarlah segala percakapannya dari kata-kata yang manis
dan baik didengar orang, dan membiasakan selalu memberi makan kepada orang lain, dan
menampakkan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Kerana pelayaran itu selalunya
menimbulkan sebab-sebab kejengkelan, maka barangsiapa yang sanggup memperbagusi
akhlaknya dalam masa kejengkelan itu, maka itulah yang dinamakan orang yang luhur budi
pekertinya.
Seterusnya untuk lebih menyempurnakan keluhuran budi pekerti bagi orang musafir
ialah dengan berbuat baik terhadap orang-orang yang menyewakan sesuatu keperluan di
dalam pelayaran itu, juga terhadap kawan-kawan sepelayaran dengan memberinya
berbagai-bagai bantuan sekadar yang termampu. Selain itu sebaik-baiknya ia menolong
orang-orang yang tergendala di dalam perjalanan dengan memberinya kenderaan atau
makanan yang diperlukannya.
Tambahan lagi hendaklah ia sering menunjukkan rasa kemesraan dengan kawankawan sepelayaran dengan berlebih kurang, bersenda-gurau, membawakan cerita-cerita
yang menggelikan hati di masa-masa yang lapang, tanpa menyentuh perasaan orang lain,
atau pun terkait dengan sesuatu maksiat. Semua ini bermaksud semata-mata untuk
menjadi penawar hati yang dapat melenyapkan kebosanan dalam pelayaran dan
menghilangkan kesukaran-kesukarannya.

Kedua: Sebaik-baiknya ia mengajak seorang kawan untuk menemaninya dalam


pelayaran itu, dan jangan dia berpergian seorang diri saja. Kata orang: Cari kawan dulu,
kemudian baru tentu perjalanan. Kawan yang dipilih itu, biarlah orang yang boleh
menasihatinya dalam urusan-urusan agama, sehingga kawan itu boleh mengingatkan
sesuatu kewajiban bila ia terlupa membantu dan menolongnya pula bila ia teringat. Sebab
telah disebutkan sebelum ini, bahwa seseorang itu dapat dianalisa dengan perjalanan
kawannya. Jadi kalau hendak mengetahui perilaku seseorang itu lihatlah kepada perilaku
kawannya.
Rasulullah s.a.w. sendiri telah melarang orang yang berpergian seorang diri saja. Baginda
bersabda: Jika kamu tiga orang dalam satu-satu pelayaran, maka hendaklah kamu lantik
seorang menjadi ketua.
Ketua yang dilantik itu, biarlah seorang yang baik akhlak dan budi pekertinya,
berbelas kasihan terhadap kawan-kawan, lebih mengutamakan kepentingan kawan dari diri
sendiri, dan bijak menyatukan-padukan kemahuan ramai. Sebab diperlukan ketua, ialah
pendapat-pendapat ramai tentunya tidak sama dalam kepentingan pelayaran. Jadi tidak
sempurna satu-satu tujuan, melainkan dengan persepakatan ramai dalam tujuan itu,
kerana biasanya bila sudah banyak sangat pendapat-pendapat timbullah kacau-bilau.
Adapun sebab teraturnya urusan-urusan alam ini, ialah kerana pentadbirnya ialah
Satu, Esa iaitu Allah Subhanahu wa Taala.
Firman Allah Taala:
Andaikata pada keduanya (langit dan bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah, niscaya
keduanya akan binasa.
(al-Anbiya: 22)
Ketiga: Ketika hampir berangkat, hendaklah ia mengucapkan Selamat Tinggal
kepada sahabat-handai, rakan-taulan, anak-isteri dan sekalian keluarga. Ketika hendak
berpisah dia mendoakan pula kepada orang-orang yang menghantarnya belayar dengan
berkata:
Saya serahkan kepada Allah agamanu, amanatmu dan segala kesudahan
amalanmu.
Orang-orang yang menghantar berdoa pula:
Semoga Allah sentiasa menambahmu dengan taqwa dan mengampunkan dosamu
serta mendorongmu kepada kebaikan ke mana saja anda menuju.
Orang yang hendak belayar itu, hendaklah bersembahyang dua rakaat sunnat
istikharah. Apabila ia sampai ke pintu rumahnya hendaklah ia membaca:
Dengan nama Allah, aku bertawakkal hanya kepada Allah, tiada upaya dan tiada
kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Ya Tuhanku aku berlindung kepadaMu agar
tiada sesat ataupun disesatkan tiada tergelincir ataupun digelincirkan tiada aniaya ataupun
dianiayakan, tiada menjadi bodoh ataupun dibodohkan oleh orang lain.
Apabila menaiki kenderaan atau sebagainya, dia membaca pula:
Maha Suci Tuhan yang telah mengerahkan kenderaan ini bagi kita, padahal kita
tiada berkuasa untuk menundukkannya, dan bahawasanya kita sekalian pasti akan kembali
juga kepada Allah.

Keempat: Hendaklah ia menaruh perasaan belas kasihan ke atas binatang yang ia


mengenderainya. Jangan membebankan ke atasnya bermacam-macam muatan, sehingga
binatang itu tidak tertanggung memikulnya. Jangan sekali-kali memukul binatang itu di
mukanya, sebab yang demikian itu adalah di larang. Sunnat pula ia turun dari atas
tunggangannya itu sekali-sekala, agar binatang itu dapat berehat sebentar, manakala tuan
punya binatang itu pula akan merasa gembira bila melihat binatang itu tidak dibebani
sangat.
Dalam pada itu badan juga perlu beristirehat agar segala anggotanya tidak terasakan
penat, di sebabkan terlalu lama duduk tunggangannya.
Seterusnya jangan sekali-kali menambah barang-barang yang dibebankan ke atas
binatang itu, selain dari apa yang telah dipersetujui, meskipun barang yang ditambah itu
kecil atau ringan saja, kerana yang kecil atau sedikit itu boleh membawa kepada banyak
pula.
Pernah berlaku, seorang kawan berkata kepada Ibnul-Mubarak yang sedang di atas
tunggangannya: Tolonglah bawakan surat ini kepada teman saya si fulan! Ibnul-Mubarak
menjawab: Tunggu dulu! Saya minta izin kepada tuan punya kenderaan ini, sebab saya
tidak mensyaratkan kepadanya membawa surat ini.
Lihatlah bagaimana waranya Ibnul-Mubarak ini. Dia telah membelakangi pendapat
ahli-ahli ilmu fiqh yang mengatakan, bahwa membawa barang-barang seperti surat itu
adalah di antara perkara tolak-ansur (yakni: tidak patut diperkirakan sangat), akan tetapi
Ibnul Mubarak tetap berpegang dengan jalan kewaraannya (yakni: tiap-tiap sesuatu
mestilah menurut jalannya yang terang).
Kelima: Hendaklah ia berhati-hati bila belayar bersama-sama suatu kumpulan ramai
(kafilah), janganlah sampai ia berjalan sendirian berjauhan dari mereka, agar tidak tersesat
jalan, terutama sekali bila ia tertidur di waktu malam, hendaklah lebih berhati-hati.
Dan bila sampai waktu hendak tidur di malam hari, maka hendaklah kawan-kawan
sepelayaran itu berganti-ganti berjaga malam.
Selain itu, sebaik-baiknya hendaklah ia membawa cermin, gunting, berus gigi dan
sikat. Janganlah hendaknya terlalu cerewet dalam bertaharah (bersuci), sebab orang-orang
yang terdahulu hanya memadai dengan bertayamum saja, agar tidak memberatkan diri
mereka untuk membawa air bersama. Bila berwudhu pula mereka tidak memperdulikan
sangat, kiranya air itu dari lopak-lopak atau sebagainya, selagi mereka tiada meyakini
bahwa air itu najis. Sayidina Umar Ibnul-Khattab sendiri pernah berwudhu dari sebuah
bejana seorang Nasrani.
Keenam: pada menyatakan tata-cara orang yang baru kembali dari belayar.
Rasulullah s.a.w. ketika kembali dari satu-satu ghazwah (peperangan) atau selesai dari
menunaikan haji dan umrah, sentiasa bertakbir tiga kali, bila bertemu dengan tempattempat yang tinggi. Baginda mengucapkan:
Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Esa tiada sekutu bagiNya. KepunyaanNya segala
kerajaan dan kepujian dan Dia Berkuasa atas setiap sesuatu. Kita sekalian kembali,
bertaubat, beribadat, bersujud dan kepada Tuhan kami sentiasa memuji-muji. Tuhan telah
membenarkan janjiNya, memenangkan hambaNya serta menghancur-leburkan semua
kekuatan musuh dengan kuasaNya.
Lalu baginda mengirim utusan ke Madinah, memberitahu tentang kedatangannya.

Rasulullah s.a.w. melarang keras seseorang yang baru sampai dari pelayaran
mengetuk pintu rumah isterinya di waktu malam, lalu menyerempak isterinya secara
mendadak, kerana dikhuatiri akan melihat sesuatu yang tidak diingininya ketika itu.
Sebaik-baik saja sampai di Madinah, baginda terus menuju ke masjid, lalu baginda
bersembahyang dua rakaat. Sesudah itu barulah baginda kembali ke rumahnya.
Sewajarnyalah seseorang yang kembali dari pelayaran itu membawa oleh-oleh untuk
keluarga dan kaum kerabatnya berupakan cenderamata, seperti makanan dan sebagainya
sekadar yang termampu saja. Sebab tentulah orang-orang yang di rumah mengharapharapkan sesuatu hadiah atau pemberian yang dibawanya dari pelayaran itu. Selain itu
perasaan orang yang menerima pemberian itu akan gembira, bila menerimanya. Dengan itu
akan menjadi lebih kukuhlah rasa kasih sayang dan kegembiraan dalam keluarga itu; Juga
akan timbullah semacam perhatian yang ditinggalkan disebabkan hadiah yang dibawanya
itu.
Semua ini adalah merupakan tata-cara, atau adab-adab yang lahir saja.*
* Semua tata-cara ini tepat sekali bila dipadankan dengan orang-orang yang belayar di
zaman dahulu. Adapun pelayaran dalam zaman moden ini, tentulah sebahagian dari tatacara ini sudah tidak praktikal lagi disebabkan keadaan sekitaran yang berlainan dan
kemudahan-kemudahan yang dapat dirasakan oleh orang yang belayar itu sudah mencapai
kemuncaknya, sehingga dapat dikatakan, bahwa pelayaran pada hari ini merupakan suatu
kenikmatan yang utama pent.
Adapun tentang tata-cara atau adab-adabnya yang batin, maka kami telah pun
menerangkan bahagiannya dalam fasal-fasal sebelum ini.
Ringkasnya ialah: Hendaknya jangan sampai ia belayar melainkan kerana menambah
ilmu pengetahuannya. Bila memasuki sesebuah Bandar, ia niatkan dalam hati untuk
menziarahi orang-orang tuanya dan berkenalan dengan ahli bijaksananya. Dalam
pertemuan itu, hendaklah ia cuba mempelajari dari mereka sesuatu adab, ataupun kalimah
(pelajaran), agar ia dapat manfaat bagi dirinya, kemudian memanfaatkan pula kepada
orang lain. Apabila ia ingin tinggal di rumah seorang kawan, maka janganlah ia tinggal lebih
dari tiga hari. Sebab itulah batasan yang wajib bagi orang yang menerima tetamu, jika ia
meninggalkan rumahnya setelah habis tiga hari itu, maka tiada mengapalah ia tinggal lebih
lama dari itu.
Sementara itu, hendaklah ia tidak menghabiskan masanya dalam pelayaran itu,
dengan melakukan perkara-perkara yang tiada berfaedah sama sekali, kerana yang
demikian itu akan memutuskan keberkatan pelayarannya.
Kemudahan yang perlu dipelajari oleh seorang musafir
Ketahuilah bahwa seorang musafir itu memerlukan bekal dalam pelayarannya bagi
kepentingan dunianya dan juga akhiratnya. Adapun bekal yang diperlukan dalam pelayaran
di dunia, ialah makanan, minuman dan lain-lain keperluan seperti nafkah-nafkah dalam
perjalanan. Jika ia keluar belayar tanpa keperluan-keperluan ini boleh juga, kiranya
pelayaran itu bersama-sama kafilah ataupun dalam pelayaran yang pendek antara beberapa
perkampungan yang bersambung-sambungan. Akan tetapi, jika pelayarannya mengharungi
padang pasir seorang diri, ataupun bersama-sama rombongan, sedangkan mereka tiada
membawa makanan atau minuman; andaikata mereka itu tergolong orang-orang yang

mampu menahan lapar selama seminggu atau sepuluh hari ataupun mereka sanggup
memakan apa saja yang mereka dapati di sepanjang perjalanan, seperti rumput dan
sebagainya, maka bolehlah ia meneruskan perjalanannya. Jika mereka tiada tergolong
orang-orang yang mampu menahan lapar ataupun tidak sanggup makan rumput-rumput di
perjalanan, maka pelayarannya tanpa bekalan makanan atau minuman itu adalah suatu
maksiat. Sebab seolah-olahnya mereka mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan.
Bukanlah maksud bertawakkal di sini dengan menjauhi segala macam sebab sekaligus,
kalau tidak tentulah telah diwajibkan ke atas manusia sekalian supaya bersabar, sehingga
Allah mengutus seorang Malaikat atau seorang manusia lain yang akan menuangkan air ke
dalam mulutnya.
Adapun bekal yang diperlukan dalam pelayaran ke akhirat iaitu ilmu pengetahuan
yang bakal menunjukkan dalam urusan taharah (bersuci), puasa, sembahyang dan
peribadatannya:
(1)
Bertaharah bagi orang musafir diberikan dua kemudahan, iaitu boleh
menyapu sepatu khuffain dan bertayamum
(2)
Bersembahyang fardhu bagi orang musafir diberikan dua kemudahan,
iaitu boleh bersembahyang qasar (menyingkatkan) dan boleh bersembahyang
jamak (menghimpunkan).
(3)
Bersembahyang sunnat bagi orang musafor diberikan dua kemudahan,
iaitu boleh menunaikannya di atas kenderaan binatang ataupun ketika sedang
berjalan kaki.
(4)
Dalam bulan puasa, bagi orang musafir diberikan satu kemudahan iaitu
boleh berbuka.
Mengenai menyapu atas sepatu ada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Safwan bin
Asal dari Rasulullah s.a.w. katanya: Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kami ketika
dalam pelayaran supaya jangan menanggalkan sepatu-sepatu kami selama tiga hari tiga
malam. Maka tiap-tiap orang yang memakai khuf (sepatu), sedangkan ia dalam taharah
yang membolehkan ia bersembahyang, kemudian ia berhadas, maka dibolehkan baginya
hanya menyapu di atas sepatunya saja selama tiga hari tiga malam, dkira dari masa
menyapu iaitu bagi seorang musafir. Dan bagi selain musafir pun dibolehkan, tetapi hanya
dalam masa sehari semalam saja.*
* Menyapu atas khuf (sepatu) itu ada syarat-syaratnya yang tertentu, dan
salah satu syaratnya ialah sepatu itu mestilah menutup hingga ke buku lali. Dan
syarat-syarat yang lain dapat dibaca dalam buku-buku fiqh. Tujuan dari memakai
khuf dan menyapu (air) di atasnya saja untuk menggantikan membasuh kaki,
ialah untuk menghindarkan diri dari terkena sejuk, sebab kegunaan khuf
biasanya hanya berlaku dalam musim-musim sejuk saja pent.
Mengenai tayamum pula, maka debu tanah menggantikan air dalam keadaan uzur,
misalnya kerana berada jauh dari rumah sekadar jika ia berjalan menuju ke rumah untuk
mendapatkan air tidak akan kedengaran olehnya jeritan orang yang meminta tolong.
Ataupun disebabkan di tempat air itu ada binatang buas atau musuh yang menanti, ataupun
air yang ada dalam simpanan untuk digunakan sebagai air minum ketika kehausan sama
ada untuknya mahupun untuk rakan-rakan dalam pelayaran itu.
Dalam keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, dibolehkan ia bertayamum untuk
menggantikan berwudhu, tetapi kalau ada orang yang menjual air dengan harga yang
berpatutan (tidak mahal), maka wajiblah ia membeli air itu untuk digunakan berwudhu. Jika
dijual dengan harga yang berlebih-lebihan (terlalu mahal) tidak wajib membelinya, tetapi
memadailah dengan bertayamum.
Adapun qasar atau menyingkatkan sembahyang, maka telah diberikan kemudahan
pada salah satu dari sembahyang-sembahyang yang berikut, iaitu: (1) Zohor, (2) Asar dan

(3) Isya dengan melakukan hanya dua rakaat saja (ganti empat). Dalam menentukan
keadaannya sebagai seorang musafir, dikira dari ia meninggalkan bangunan-bangunan
negeri tersebut.
Adapun jamak atau menghimpunkan sembahyang, maka ia berlaku antara
sembahyang-sembahyang zohor dan asar dalam salah satu waktu-waktu keduanya, juga
maghrib dan isya dalam salah satu waktu-waktu keduanya.*
* Jamak bila didahulukan sembahyang yang empunya waktu dinamakan
Jamak Taqdim iaitu asar atau isya ditunaikan dalam waktu zohor atau maghrib.
Dan bila dikemudiankan dinamakan Jamak Takhir iaitu zohor atau maghrib
ditunaikan dalam waktu asar atau isya. Masing-masing ada syarat-syaratnya yang
tertentu pent.
Kemudahan ini diberikan dalam pelayaran yang panjang (jauh) dan mubah (tidak
haram). Melakukan jamak dalam pelayaran yang dekat, ada dua pendapat antara para alim
ulama; ada yang membolehkan dan ada yang tidak membolehkan.
Andaikata seorang musafir itu menghimpunkan sembahyang zohor dan asar dalam
waktu zohor, yakni Jamak Taqdim, maka hendaklah ia meniatkan menghimpunkan antara
zohor dan asar dalam sembahyang yang pertama (zohor) sebelum ia selesai (memberi
salam) sembahyang zohor.*
* Maksud niat jamak itu, mestilah ditunaikan bermula dari berniat untuk
bersembahyang zohor dan seterusnya, sehingga sebelum ia bersalam dari
sembahyang zohor, niat jamak itu mesti diniatkan dalam hatinya. Sesudah salam
tidak boleh berniat lagi, dan jika tiada berniat tidak boleh pula menghimpunkan
(jamak) sembahyang-sembahyang itu, bahkan asar mestilah ditunaikan dalam
masanya pent.
Untuk sembahyang zohornya ia berazan dan beriqamat. Sehabis menyelesaikan
sembahyang zoor dan ketika hendak bersembahyang asar, dia hanya beriqamat saja (tanpa
azan lagi).
Jika ia mengemudiankan zohor kepaa waktu asar, maka caranya samalah seperti
cara ia mendahulukan asar kepada zohor. Hanya perbezaannya ialah bahwa berniat untuk
menjamak itu hendaklah diniatkan pada waktu yang pertama.
Dalam mendirikan sembahyang-sembahyang sunnat pula, telah diberikan
kemudahan untuk mengerjakannya, meskipun di atas binatang tunggangan, supaya
penunaiannya tiada tergendala disebabkan pelayaran itu.
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersembahyang sunnat di atas binatang
tunggangannya, tidak kira ke arah mana saja binatang itu menuju. Baginda pernah juga
bersembahyang witir ketika berada di atas binatang tunggangannya.
Orang yang bersembahyang di atas binatang tunggangganya tidak perlu turun untuk
ruku dan sujud, malah memadailah ia menundukkan kepala saja, dan tunduknya kerana
sujud biarlah lebih rendah dari tunduk kerana ruku.
Adapun tentang menghadap kiblat dalam sembahyang-sembahyang yang tersebut,
maka hukumnya tidaklah wajib, tidak ada permulaan sembahyang ataupun pada seluruh
sembahyangnya, tetapi hendaklah arah tujuan perjalanannya menggantikan kiblat.

Tegasnya hendaklah seluruh sembahyangnya sama ada berhadapan arah ke kiblat ataupun
berhadapan arah tujuan perjalanannya agar sembahyang itu menghadap satu arah yang
tertentu.
Bagi musafir yang berjalan kaki, diberikan kemudahan untuk bersembahyang sunnat
sewaktu berjalan kaki. Dan bila sampai waktu ruku dan sujud, hendaklah ia menundukkan
kepala dan tidak perlu duduk lagi untuk bertasyahhud. Hukumnya di dalam hal ini, samalah
seperti hukum orang yang bersembahyang ketika menunggang binatang. Hanya satu
perkara yang mesti dilakukan berhadapan ke arah kiblat, iaitu ketika mengihramkan
sembahyang (takbiratul ihram).
Seterusnya bagi orang yang melarikan diri dari musuh, atau takut kerana diserang
binatang buas, atau dilanda banjir besar boleh ia menunaikan sembahyang fardhunya ketika
dalam keadaan menunggang binatang, ataupun ketika sedang berjalan kaki, dan caracaranya sama seperti yang telah dibentangkan di atas dalam perkara menunaikan
sembahyang-sembahyang sunnat.
Adapun berbuka puasa dalam bulan Ramadhan, maka kemudahan ini khas diberikan
kepada orang-orang musafir, tetapi jika boleh berpuasa lebih utama, melainkan kalau puasa
itu akan mendatangkan bahaya atau kesusahan, maka ketika itu berulah berbuka puasa
lebih utama.

Anda mungkin juga menyukai