Anda di halaman 1dari 11

Unit 1

Pengenalan
Akhlak

Hasil Pembelajaran

Di akhir kursus ini pelajar dapat:


1.
2.
3.
4.
5.

1.1

Memahami pengertian akhlak,


Menghurai sumber akhlak dalam Islam,
Menjelaskan bentuk-bentuk akhlak,
Membezakan akhlak dan perilaku,
Memperjelas kepentingan akhlak dalam Islam

Pengenalan

Akhlak diumpamakan sebagai buah bagi pokok. Ia adalah hasil yang dapat dinikmati dari
pohon iman. Dalam Islam, akhlak merupakan salah satu komponen dari tiga komponen utama
Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak. Malah dalam sebuah hadis nabi SAW menegaskan
bahawa tujuan utama baginda diutus adalah bertujuan untuk menyempurnakan akhlak
manusia. Justeru akhlak merupakan ilmu yang wajib dipelajari bagi melengkapkan keislaman
seseorang.

1.2

Pengertian akhlak

Dari segi bahasa:


Akhlak berasal dari Bahasa Arab yang merupakan kata jama bagi khuluq . Dari sudut bahasa
perkataan khuluq bermaksud keadaan semulajadi bagi seorang manusia. (Mosbah Mansur :
2013). Menurut Ibn Athir Khuluq bermaksud bentuk kejadian manusia dari sudutnya yang
batin, Ia merupakan diri orang itu dan sifat-sifatnya. (Al-Hasyidi : 2008)

Dari segi istilah :


Terdapat beberapa takrif yang diberikan oleh ulama. Mosbah Mansur di dalam bukunya AlAkhlaq Wa al-Tasawwuf al-Islamiyy telah membawakan beberapa contoh takrif yang
dinyatakan oleh tokoh-tokoh pengkaji, antaranya :
1

a) Al-Jahiz telah mentakrifkan akhlak sebagai : suatu keadaan bagi diri manusia, dengan
keadaan itu maka manusia dapat melakukan sesuatu perbuatan tanpa perlu berfikir dan
membuat pilihan.
b) Ibn Maskawih juga turut memberikan pengertian yang sama iaitu : akhlak adalah suatu
keadaan bagi diri seseorang yang mendorong untuk melakukan sesuatu perbuatan
tanpa perlu berfikir panjang. (Mosbah Mansur : 2013)
c) Sulaiman Yasin dalam bukunya Akhlak dan Tasawuf membawakan pengertian
akhlak seperti yang diperjelaskan oleh Imam Al-Ghazali iaitu : Aklhlak adalah suatu
keadaan atau hal yang telah tetap dalam diri atau dalam jiwa, yang melahirkan
tindakan atau perbuatan ataupun perlakuan atau perilaku amalan dengan mudah tanpa
memerlukan pemikiran. (Sulaiman Yasin : 1992)
d) Hasan Jaudah pula membawakan pengertian akhlak yang sedikit berbeza dari yang
sebelumnya iaitu : akhlak merupakan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang mengatur
perilaku manusia yang telah ditentukan oleh wahyu dan ditentukan juga garis
panduannya bagi mencapai tujuan kewujudan manusia di atas muka bumi ini. ( Hasan
Jaudah : 2004)
Ulama-ulama kontemporari turut tidak ketinggalan dalam memberikan pandangan mereka
mengenai akhlak. Mosbah Mansur membawakan beberapa takrif akhlak yang diberikan oleh
tokoh-tokoh moden seperti berikut :
a) Takrif daripada Abd al-Wadud Makrum, akhlak adalah : kaedah-kaedah yang
menentukan perilaku manusia serta mengaturkannya yang mana manusia akan
mengikuti kaedah-kaedah tersebut dari segi pemikiran dan tindakan dalam berhadapan
dengan masalah masyarakat dan karenah akhlak manusia yang bercanggah dengan
adab dan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
b) Abd al-Rahman al-Maidani pula mentakrifkannya sebagai : sifat yang tetap dalam diri
seseorang sama ada secara semulajadi ataupun diusahakan, kesan sifat tersebut dapat
dilihat pada perilaku seseorang sama ada baik atau buruk. Tahap akhlak itu boleh
diukur pada kesan yang terhasil dalam perilaku manusia, jika perilakunya baik maka
akhlaknya baik dan jika perilakunya buruk maka akhlaknya juga adalah buruk.
(Mosbah Mansur : 2013 )

Daripada pelbagai pengertian yang diberikan ini dapat disimpulkan bahawa tidak begitu
ketara perbezaan antara takrifan-takrifan yang diberi oleh ulama-ulama. Kesemua mereka
sependapat bahawa akhlak adalah sesuatu yang bersifat dalaman. Ia berpusat dari dalam diri
seorang manusia itu sendiri, dan dari dalam itu barulah ia terzahir secara luaran yang dikenali
sebagai tingkah laku atau perilaku. Juga dapat disimpulkan di sini bahawa akhlak itu
memerlukan dua perkara penting :

Pertama : Ia dilakukan dengan kerap sehingga sudah sebati dengan jiwanya, bukan sekali
sekala dilakukan pada acara-acara atau majlis khusus sahaja. Sebagai contoh, seseorang yang
berakhlak dengan pemurah, dia akan tetap memberi sedekah setiap kali bertemu dengan orang
yang memerlukan bantuan sekalipun dia sendiri dalam kesusahan. Ini berbeza dengan orang
yang memberi sedekah sekali sekala walaupun banyak nilai sedekah yang diberikannya itu.
Walaupun tindakannya memberi sedekah yang banyak itu baik, namun sifat pemurah belum
menjadi akhlaknya kerana dia memberinya hanya sekali sekala sahaja.

Kedua : Perkara itu dilakukan dengan mudah dan tanpa perlu berfikir panjang. Jika seseorang
menunjukkan perilaku baik seperti memaafkan kesalahan orang padanya, maka jika dia
memaafkannya dengan mudah dan tanpa perlu syarat, dia dianggap berakhlak dengan akhlak
pemaaf, namun jika dia mengambil masa yang lama untuk berfikir dan mengenakan syaratsyarat tertentu untuk memaafkannya, maka sifat pemaaf belum lagi menjadi akhlaknya kerana
dia masih perlu bersusah payah untuk melakukannya. Adapun sesuatu yang sudah menjadi
akhlak ia akan mudah dilakukan tanpa perlu berfikir panjang.

1.3

Sumber Akhlak

1.3.1. Sumber akhlak dalam Islam adalah daripada al-Quran dan hadis nabi saw.
Pertama : Al-Quran Ia adalah sumber yang asal dan utama bagi akhlak. Banyak ayat yang
menyentuh persoalan akhlak seperti dalam surah al-Isra Allah berfirman :


Maksudnya : Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang paling lurus.
(Al-Isra : Ayat 9)
Demikian pula firman Allah mengenai perintah melaksanakan keadilan dan ihsan :
3

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan,
memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji,
kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat
mengambil pelajaran. ( Al-Nahl : Ayat 90 )

Allah swt juga berfirman sewaktu memuji akhlak Rasulullah saw :


Maksudnya : dan sesungguhnya kamu (Muhammad) berada atas akhlak yang benar-benar
luhur. ( Al-Qalam : Ayat 4 )

Ayat-ayat di atas hanyalah beberapa contoh ayat yang menggesa agar kita berakhlak mulia
dalam muamalah kita dengan orang lain. Justeru Al-Quran menjadi sumber rujukan utama
dalam akhlak Islam.
Kedua : Hadis Dalam ayat 4 surah al-Qalam seperti dinyatakan di atas, Allah swt dengan
jelas memuji akhlak Rasulullah saw. Pujian ini membawa maksud suruhan agar kita
mencontohinya, malah Allah swt juga dalam firmanNya menyatakan perkara ini secara jelas :


Maksudnya : Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu adalah contoh tauladan yang
baik. ( Surah Al-Ahzab : ayat 21 )

Oleh kerana Rasulullah saw diperakui oleh Allah swt sebagai mempunyai akhlak termulia dan
perlu dijadikan contoh tauladan oleh umatnya, maka sudah tentulah apa sahaja yang terkait
dengan baginda adalah menjadi sumber rujukan bagi umatnya. Apa sahaja tutur katanya,
perbuatannya, sikapnya dan penampilannya bersama keluarga dan para sahabat baginda
merupakan sumber atau dalil bagi akhlak Islam. Contohnya, apabila mahu menyatakan akhlak
berbuat baik dengan jiran, maka baginda saw tidak hanya menyampaikan maksud itu dengan

kata-kata sahaja, malah baginda sendiri mempraktikkannya dengan memberi makan jirannya
yang berbangsa Yahudi.

1.3.2. Sumber Tambahan


Selain Al-Quran dan hadis, terdapat beberapa perkara lain yang dianggap menjadi sumber
bagi akhlak seperti berikut :

Pertama - Fitrah manusia.


Secara semulajadinya manusia adalah berada atas fitrah baik sebelum ia berubah mengikut
pengaruh persekitarannya. Persekitaranlah yang akhirnya menjadi penentu kepada akhlak
seseorang sama ada dia berubah dari baik kepada yang lebih baik, atau sebaliknya dari baik
kepada buruk. Sabda Rasulullah saw :


Maksudnya : setiap anak lahir dalam keadaan fitrah (baik), maka ibu bapanyalah yang
menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi. ( Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini menjadi dalil bahawa manusia pada asal kejadiannya sememangnya berada atas
fitrah baik, sebagai contoh ia suka kepada kebenaran dan benci kepada pembohongan.
Adapun akhlak buruk yang ada pada seseorang, ia adalah bersifat mendatang dan bukan
sesuatu yang asal. (Mosbah Mansur : 2013)
Kedua Akal, masyarakat dan naluri. Terdapat juga sesetengah aliran falsafah yang
berpandangan bahawa akhlak sebenarnya bersumberkan daripada akal manusia itu sendiri,
atau daripada adat yang telah diamalkan dalam sesebuah masyarakat. Maka bagi mereka apa
yang akal fikir sebagai baik adalah dianggap baik, dan apa yang akal fikir sebagai buruk
adalah dihukumkan sebagai buruk. Demikian juga sesuatu adat yang telah diamalkan dalam
sesebuah masyarakat dianggap baik dan apa yang tidak disukai oleh masyarakat itu dikira
sebagai tidak baik. Malahan ada juga sebahagian lain berpandangan bahawa sumber akhlak
itu diambil daripada naluri manusia itu sendiri.
Sebenarnya pandangan seperti ini adalah tersasar daripada hakikat kebenaran. Ini adalah
kerana, akal manusia (sekalipun mempunyai kehebatan yang besar), pemikiran masyarakat
dan naluri manusia semuanya terbatas kemampuannya. Lebih-lebih lagi setiap manusia itu
berbeza cara fikirnya, barangkali akal seorang pemimpin merasakan sesuatu itu baik, tapi bagi
5

akal rakyat biasa perkara itu mungkin tidak baik, lalu bagaimanakah akal manusia boleh
menjadi sumber dalam menentukan baik atau buruk sesuatu akhlak itu ? Walaubagaimanapun
tidaklah boleh dinafikan bahawa semua yang dinyatakan tadi iaitu akal, masyarakat dan naluri
manusia mempunyai pengaruh dalam neraca timbangan akhlak sama ada baik atau buruk,
namun setiap satunya tidak boleh menjadi satu-satunya sumber dalam akhlak Islam. (Mosbah
Mansur : 2013)

1.4

Bentuk-bentuk Akhlak

Telah dijelaskan sebelum ini bahawa secara umumnya manusia berada atas fitrah baik.
Namun para ulama menjelaskan bahawa tidak semua akhlak itu bersifat semulajadi, malah
ada di antaranya perlu diusahakan. Menurut Faisal bin Abduh Qaid al-Hasyidi, katanya
Pendapat yang benar adalah, ada di antara akhlak itu yang bersifat semulajadi yang diberi
kelebihan oleh Allah swt kepada sebahagian hambanya, ia telah difitrahkan berkeadaan
sedemikian tanpa perlu ia mengusahakannya dan tanpa penat lelah. Namun bagi sebahagian
orang yang tidak mendapat kelebihan ini dia dituntut agar berusaha mendidik dirinya untuk
berakhlak dengan akhlak-akhlak yang terpuji, kerana diri manusia dapat menerima keadaan
yang demikian itu. ( Al-Hasyidi : 2008 ). Dalam sebuah hadis Rasulullah saw telah memuji
seorang sahabatnya yang bernama Asyajj Abd al-Qais dengan sabdanya :



( Sunan al-Baihaqi al-Kubro : Hadis no. 13365 )
Maksudnya : Pada diri kamu terdapat dua sifat yang disukai oleh Allah, iaitu sifat lemah
lembut dan kesabaran . Lalu dia bertanya, wahai Rasulullah, adakah sifat itu aku yang
berusaha mendapatkannya atau Allah yang menjadikan fitrahku sebegitu ? Jawab Rasulullah
saw, malahan Allah yang menjadikan fitrahmu dalam keadaan sedemikian . Lalu dia berkata
: segala pujian bagi Allah yang memfitrahkan daku dalam dua sifat yang disukai oleh Allah
dan RasulNya.

Daripada hadis ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ada di antara akhlak itu yang
berbentuk semulajadi, di mana Allah swt sememangnya telah menjadikan fitrah diri seseorang
6

itu mempunyai kecenderungan untuk berakhlak dengan sesetengah akhlak terpuji seperti yang
berlaku kepada sahabat nabi dalam hadis di atas. Namun ada juga akhlak yang berbentuk
iktisabi, iaitu sifat itu perlu diusahakan melalui latihan dan membiasakan diri dalam
melaziminya dalam kehidupan sehingga ia menjadi sebati dengan diri orang tersebut. Ini
bermaksud, akhlak dalam bentuk ini, pada permulaanya ia belum dinamakan akhlak, tetapi
hanya sekadar perilaku, namun setelah orang itu berusaha keras untuk beristiqamah
dengannya sehingga mudah baginya melakukannya pada bila-bila masa maka ketika itu
barulah ia menjadi akhlak baginya.

1.5

Perbezaan Antara Akhlak dan Perilaku

Secara zahirnya kita merasakan akhlak dan perilaku adalah sama. Namun jika diperhalusi
dengan mendalam sebenarnya terdapat perbezaan yang besar antara keduanya. Sulaiman
Yasin menjelaskan bahawa akhlak itu sebenarnya adalah merupakan suatu perkara yang
maknawi, iaitu merupakan sifat-sifat bagi diri nafsani atau sifat bagi jiwa dan tabiatnya.
Adapun perilaku atau perlakuan hanya merupakan cara amal atau perbuatan. Perilaku adalah
gambaran atau terjemahan atau kesanan dari akhlak yang bersifat dalaman. (Sulaiman Yasin :
1992).

Ini bermaksud bahawa akhlak adalah merupakan bahagian yang paling penting daripada
keduanya kerana ia adalah punca atau asal berlakunya sesuatu perilaku yang diterima oleh
Allah swt. Seseorang yang berakhlak dengan pemurah secara kebiasaannya dia akan selalu
memberi sedekah kepada si fakir, ini lantaran kerana dalam dirinya sudah tersemat akhlak
pemurah dan juga kerana dia mempunyai sesuatu untuk disedekahkan. Lalu bagaimana pula
dengan seorang lain yang tidak pernah memberi sedekah? Adakah dia bersifat dengan akhlak
bakhil.? Belum tentu dia bakhil, kerana mungkin dalam dirinya juga tersemat sifat pemurah,
dan dia pula bersedia untuk memberi pada bila-bila masa, namun kerana dia tidak mempunyai
apa-apa harta untuk disedekahkan maka kerana itulah perilaku pemurah itu tidak terzahir
padanya. Seandainya dia mempunyai harta, maka sudah pasti dia akan memberi. Orang
seperti ini hakikatnya dia berakhlak dengan pemurah, dan dia diberi ganjaran oleh Allah atas
niat dan azam di hatinya yang sentiasa ingin memberi sesuatu kepada orang lain, tetapi
disebabkan keterbatasannya maka dia tidak dapat membuktikannya menerusi perilaku luaran.

Demikian juga bagi seseorang yang secara zahirnya kelihatan berperilaku mulia seperti
mendermakan wangnya kepada rumah anak yatim, adakah dia seorang yang bersifat dengan
akhlak pemurah ? Belum tentu lagi dia seorang pemurah, ini kerana perbuatannya
mendermakan wang itu jika didorong oleh sebab-sebab duniawi seperti ingin dikenali sebagai
dermawan, atau ingin memenangi hati seseorang ataupun ingin menunjuk-nunjuk kepada
orang lain yang dia ada harta yang banyak atau sebagainya, maka walau sebanyak mana
sekalipun jumlah derma yang dihulurkannya, dia sebenarnya tidak berakhlak dengan akhlak
pemurah, sebaliknya dia hanya berperilaku pemurah. Perilakunya itu akan berubah menjadi
akhlak apabila dia mampu melakukan perbuatan menderma itu secara kerap dan dengan
mudah ( bukan dilakukan dengan perasaan berat hati ) dan bukan didorong oleh sebab-sebab
diniawi, tetapi kerana mencari keredaan Allah swt.
.
1.6

Kepentingan Akhlak

Sesetengah orang berkata, jika tiada agama bagi sesuatu kaum itu maka akhlaklah yang
menjadi agama bagi mereka. Ini kerana akhlak adalah bahagian yang sangat penting dalam
kehidupan manusia kerana ia menjadi penentu kejayaan atau kegagalan mereka dalam
kehidupan di dunia ini. Bagi umat Islam, akhlak bukan sahaja menjadi asbab kejayaan di
dunia malah lebih penting lagi adalah kejayaan di akhirat iaitu syurga atau neraka.

Kepentingan akhlak di dunia ini dapat dilihat dari sudut ianya merupakan jalan untuk
mencapai sesuatu kejayaan. Sebagai contoh seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan
dia memerlukan banyak sifat-sifat terpuji dalam perjalanannya menuju puncak kejayaan itu.
Dia mesti memiliki akhlak rajin, tabah, sabar, cekal hati, jujur, pemurah, pemaaf dan berbagai
lagi akhlak lain sebelum layak menggapai kejayaan dalam perniagaannya. Begitulah juga
halnya jika ingin berjaya dalam pelajaran dan dalam bidang-bidang yang lain.

Selain itu akhlak mulia ini juga menjadi sebab turunnya pertolongan dan perlindungan Allah
ke atas manusia. Ini dapat dibuktikan menerusi kata-kata semangat yang diberikan oleh isteri
Rasulullah saw iaitu Khadijah r.a sewaktu Rasulullah saw berada dalam keadaan ketakutan
sejurus selepas turunnya wahyu pertama kepada baginda. Khadijah r.a telah menyatakan
bahawa tidak mungkin Allah akan mensia-siakan baginda kerana selama ini kehidupan
baginda sentiasa dihiasi dengan akhlak terpuji seperti menghubungkan silaturrahim, berkata
benar, menolong orang miskin dan sebagainya. Imam Nawawi dalam menjelaskan maksud
8

kata-kata khadijah itu menyebut : Berkata para ulama maksud kata-kata Khadijah r.a itu
adalah, bahawa engkau tidak ditimpa perkara buruk lantaran kerana akhlak mulia dan
kesyumulan budi pekerti yang Allah telah tetapkan berada dalam dirimu dan Khadijah r.a
telah menyebutkan beberapa contoh akhlak mulia Rasulullah itu. Ini menunjukkan bahawa
akhlak mulia dan sifat terpuji menjadi sebab terpelihara daripada perkara-perkara buruk. (
Al-Nawawi : 1392H )

Selain itu apa yang lebih penting ialah akhlak mulia menjadi sebab kejayaan di akhirat. Dalam
sebuah hadis Rasulullah saw pernah ditanya

tentang perkara yang paling banyak

menyebabkan manusia masuk syurga , lalu dijawab oleh baginda Taqwa kepada Allah dan
akhlak yang baik. Dalam sebuah hadis lain baginda saw mengatakan Tidak ada sesuatu
yang lebih memberatkan neraca timbangan amal seorang hamba mukmin pada hari kiamat
selain daripada akhlak yang baik.
RUMUSAN
Sebagai rumusan dapatlah disimpulkan bahawa akhlak merupakan keperluan dalam
kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia seumpama perlunya manusia kepada udara, air dan
makanan, jika kekurangan salah satu daripada tiga perkara tersebut menyebabkan terjejasnya
kesihatan manusia, ,maka demikianlah juga akhlak, jika tiada akhlak dalam kehidupan
manusia maka akan terjejaslah keharmonian dalam sesebuah masyarakat itu. Malah lebih
parah lagi, ia akan menyebabkan kesengsaraan hidup di akhirat dengan menerima balasan
siksa yang tidak terperi sakitnya.

KATA KUNCI
Akhlak
Perilaku
Semulajadi

AKTIVITI/LATIHAN
Dalam aktiviti tutorial, pensyarah boleh memilih antara tajuk-tajuk berikut untuk
dibincangkan oleh pelajar:
Aktiviti secara individu:
1. Nyatakan pengertian akhlak seperti yang dibawakan oleh para ulama.

2. Keluarkan ayat-ayat al-Quran yang menjadi sumber kepada beberapa contoh


akhlak terpuji

Aktiviti berkumpulan:
1. Bincangkan akibat tidak memberi perhatian terhadap
kehidupan seorang muslim.

persoalan akhlak dalam

2. Analisis ciri-ciri pelajar yang menunjukkan akhlak terpuji dan gaya pembelajaran
mereka serta latar belakang kehidupan.

3. Kenal pasti isu-isu keruntuhan akhlak di sekolah anda dan bentangkan di dalam
kelas dengan meminta cadangan mengatasi isu-isu tersebut daripada rakan-rakan
pendengar yang lain.
__________________________________________________________________
__________________________________________________________________
__________________________________________________________________

10

TUGASAN
Buat satu kajian tinjauan bagi mengesan sejauh mana kesediaan murid-murid sekolah
rendah berminat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkan nilai-nilai akhlak
mulia dalam pembelajaran mereka di sekolah.

GOALS
Melalui forum, bicangkan cara-cara bersepadu guru-guru Pendidikan Islam bagi menghadapi
masalah pembentukan akhlak di kalangan pelajar sekolah rendah.

RUJUKAN

Al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain. 1994. Sunan al-Baihaqi al-Kubra. Makkah alMukarramah, Maktabah Dar al Baz
Al-Hasyidi, Faisal bin Abduh Qaid. 2008. Al-Akhlaq Baina al-Tab wa al-Tatabbu.
Iskandariah, Dar al-Iman
Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. 1392H. Sahih Muslim Bi Syarh al-Nawawiyy. Bayrut, Dar
Ihya al-Turath al-Arabiyy
Hasan Jaudah. 2004. Min Akhlaq al-Muminin. Kaherah, Dar al-Tauzi wa al-Nasyr alIslamiyyah
Motawea, Mosbah Mansur Musa. 2013. Al-Akhlaq wa al-Tasawwuf al-Islamiyy. Nilai,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Sulaiman Yasin. 1992. Akhlak dan Tasawuf. Bangi, Yayasan Salman

11

Anda mungkin juga menyukai