Anda di halaman 1dari 4

Bismillahirrahmanirrahim…

Sembelih sapi Bernama Hasbullah,

Dilaksanakan pada idul Adha,

Puji syukur kepada Allah

Semoga kita berada dalam lindungannya.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang sentiasa berada di paksi kebenaran,
sahabat seperjuangan yang saya hormati serta hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Pada hari ini saya ingin menyampaikan pidato yang bertajuk “menjadi Bidadari Syurga” .

Sahabat yang dimuliakan,

Jika ingin membicarakan mengenai bidadari syurga, apakah sebenarnya yang kita inginkan dan
harapkan darinya? Hampir setiap wanita mengharapkan agar sentiasa kelihatan muda walaupun
sudah berusia. Sampaikan berlebih-lebihan menghabiskan waktu dan harta untuk wajahnya,
tubuhnya dan pakaiannya.

Hilang rasa malu dan sanggup menghiasi tubuh dan wajah seperti anak-anak muda sedangkan
penampilan itu agak keterlaluan dan tidak sesuai dengan usia. Yang penting baginya, asalkan dengan
penampilan itu, dia akan tetap muda, cantik, dipuji dan disanjung.

Jadi siapakah sebenarnya bidadari syurga dan bagaimanakah rupa wajah bidadari syurga?

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya ke dunia, nescaya akan menerangi langit dan
bumi dan akan dipenuhi dengan aroma yang harum semerbak. Penutup kepala salah seorang wanita
syurga itu lebih baik daripada dunia dan isinya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Istimewanya bidadari syurga ini. Tapi mahukah kamu wahai saudariku Muslimah menjadi bidadari
yang lebih utama daripada bidadari syurga ini ??

Mestilah mahu kan !!

Jadi, apa yang harus kaum wanita lakukan untuk dapat menjadi bidadari syurga?
Sahabat yang dihormati,

Yang pertamanya, mestilah menjaga rukun islam. Ikrar yang bermaksud pernyataan seorang Muslim
mengenai keyakinannya:

“Saya bersaksi, bahawa tiada Illah yang berhak disembah selain Allah S.W.T. Dan saya bersaksi,
bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan Allah S.W.T.”

Setiap para wanita atau umat Islam, wajib berserah diri kepada Allah S.W.T dan berjanji setia untuk
mendengar dan taat dalam segala keadaan terhadap semua perintah Allah S.W.T beserta segala
pesanan yang disampaikan oleh Allah S.W.T melalui utusan-Nya, Rasulullah S.A.W.

Dan yang keduanya, Islam mewajibkan setiap umatnya mendirikan solat setiap waktu dan tidak
boleh meninggalkannya. Ramai wanita yang mungkin solat tetapi tidak pernah mendirikannya
dengan sempurna dan bersungguh-sungguh dalam solatnya. Melaksanakannya dalam keadaan
merasa berat serta malas.

Maka kita lihatlah solat kita sendiri, adakah solat kita benar-benar telah mengikut solatnya Nabi
S.A.W. Oleh kerana itu, hendaklah bakal bidadari syurga mengikuti cara solatnya Rasulullah S.A.W,
kerana solat adalah amalan yang pertama yang akan dihisab di hari kiamat kelak.

Dan yang ketiga adalah puasa terutamanya puasa Ramadan. Hendaklah dilaksanakan mengikut yang
telah diajarkan dalam agama. Seandainya, ada hutang puasa, hendaklah dibayar segera. Ada yang
menghimpun hutang-hutang puasa tanpa ada alasan yang Syarie. Tetapi setiap wanita mesti ingat
bahawa ada pencatat di kiri kanan kita mencatat setiap apa sahaja yang kita lakukan. Dan kita
berkewajipan untuk membayarnya sebanyak yang kita tinggal:

Kemudian membayar zakat. Wanita kekadang mempunyai dan memberikan pelbagai alasan untuk
tidak membayar zakat. Cuba kira berapa harta simpananmu? Seandainya engkau tidak wajib atau
layak membayar zakat, itu sesuatu yang terbaik, tetapi sekiranya kamu layak, maka bayarlah dan
jangan ditangguh-tangguh.

Dan yang kelimanya, menunaikan haji. Setiap wanita atau umat Islam wajib menunaikan haji
sebagaimana suaminya wajib haji. Bila? Ketika mampu. Jadi setiap kita mesti ada niat untuk
melaksanakannya. Ingat!, azab Allah itu amat perit dan sakit tiada terperi, NAUZUBILLAHI MIN ZALIK.

Jadi inilah Rukun Islam, amalan zahir yang mesti dilaksanakan untuk menjadi bidadari syurga.
Laksanakanlah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T dan mengikut syariat yang telah
diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.
Seterusnya menjaga rukun iman, Membicarakan Rukun Iman, adalah keyakinan hati, ucapan dengan
lisan perbuatan dengan fizikal kita. Maka hendaklah kita beriman kepada Allah S.W.T, kepada
malaikat-malaikat-Nya, Rasul-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada hari kiamat serta hari
kebangkitan dan takdir baik serta takdir buruk. Dan selepas itu naik pula ke darjah ihsan, iaitu
sentiasa berasa kita di dalam pengawasan Allah S.W.T ketika beribadah, walaupun kita tidak nampak
Allah S.W.T, tapi kita sentiasa merasakan Allah S.W.T melihat kita.

Sahabat yang dikasihi Allah sekalian,

“Tokoh wanita syurga ada empat, Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulullah S.A.W, Siti Khadijah
binti Khuwailid dan Asiah binti Muzahim.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Bagaimanakah akhlaknya penghuni syurga, agar kita dapat menjadi penghuni syurga. Kita ambil
contoh dua orang wanita yang memang telah dijamin menjadi penghuni syurga iaitu, Asiah binti
Muzahim, yang mana seorang Wanita yang sangat sabar dengan kerenah dan kekufuran suaminya.

Kadangkala ada wanita-wanita yang tidak mahu sabar. Tidak sabar menghadapi suami yang mungkin
membuatnya marah, terluka hatinya dan tidak sabar menghadapi ujian yang dia terimanya.
Kesabaran merupakan anugerah Allah S.W.T yang paling baik bagi seseorang manusia. Hal ini
diberitahu oleh Rasulullah S.A.W dalam Hadis Baginda S.A.W. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Dan tidaklah seseorang itu diberi sesuatu yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.”
(Muttafaqun Alaih).

Contoh Wanita yang kedua ialah, Allah sebutkan dalam ayat Quran di atas dari surah At-Tahrim
mengenai cerita Maryam ini. Beliau juga di antara empat wanita terpuji di dalam Islam. Maryam juga
sebagai contoh buat kita. Dan namanya sendiri telah dijadikan salah satu nama surah dalam al-
Quran. Apa ujian yang Allah S.W.T berikan kepada Maryam? Mengenai sabar juga. Bagaimana ketika
Allah S.W.T menguji dia, hamil tanpa bapa, tanpa ada suami. Apa yang dilakukan oleh Maryam?
Bersabar. Jadi kalau mahu menjadi penghuni syurga, kamu mesti bersabar.

Kenapa? Kerana hidup ini ujian. Walaupun limpahan keluhan dan curahan hati kita kesalkan dan
adukan. Jawapannya yang pasti, cuma kena bersabar. Sampai bila? Sampai mati. Dan sabar itu juga
sebagai ibadah kita kepada Allah S.W.T.
Sahabat yang saya sayangi kerana Allah,

"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.". (Riwayat Muslim,
No 715) .

Jadi bagi semua wanita yang ingin menjadi bidadari syurga, ingatlah! Bahawa kenikmatan tidak akan
dapat diraih dengan kenikmatan. Kenikmatan diraih dengan perjuangan. Allah S.W.T menciptakan
dan menyediakan syurga sebagai hadiah untuk hamba-Nya yang taat dan melaksanakan amal soleh
selama hidup di dunia. Hal ini disebutkan Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan
amal soleh yang kamu telah kerjakan”. (Az-Zhukruf: 72)

Wanita solehah itu aurat dijaga,

Pergaulan dipagari,

Sifat malu pengikat diri,

Seindah hiasan di dunia ini.

Sahabat yang dirahmati,

Setakat ini sahaja pidato saya pada hari ini. Saya sudahi tirai pidato saya dengan lafaz yang mulia,
Wabillahi taufiq walhidayah Assalamualaikum wbt.

Anda mungkin juga menyukai