Anda di halaman 1dari 2

Kisah ini menceritakan tentang Irfan yang merupakan anak ketiga daripada empat orang

adik-beradik iaitu Asmah, Azli, Irfan dan Irwan.  Irfan merupakan anak yang baik dan
mendengar kata kedua ibu dan ayahnya. Irfan berasal daripada keluarga yang sederhana.
Namun, kehidupannya diuji dengan pelbagai cabaran ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Selepas ibunya meninggal dunia, Irfan membantu ayahnya menjual ikan masin dari rumah
ke rumah untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga kerana ayahnya jatuh sakit akibat
parkinson. Demi keluarga tersayang, Irfan sanggup mengorbankan masa kanak-kanaknya
dengan menjaja ikan masin dari rumah ke rumah. Semenjak kematian Puan Intan, Irfan
bertekad akan menjaga ayahnya yang sakit. Sepanjang dia membantu ayahnya menjual
ikan masin, banyak pengalaman pahit yang harus dilaluinya Antaranya, pelanggan yang
berhutang, pelanggan yang cerewet dan pelanggan yang mahu membayar pada hujung
bulan. 
Segala cabaran yang dilalui itu menjadikan Irfan seorang penyabar dan kuat
semangat. Oleh kerana setiap petang Irfan membantu ayahnya menjaga ikan masin, maka
dia sering kali tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan yang  diadakan
oleh pihak sekolah. Perkara ini telah mendapat perhatian gurunya. Namun, Irfan tidak malu
untuk mengatakan bahawa dia melakukan perkara tersebut kerana keluarganya susah dan
dia perlu membantu ayahnya mencari rezeki.

Konflik hidup Irfan semakin bertambah apabila sering berlaku salah faham di antara
Irfan dan abangnya iaitu Azli. Setelah menamatkan pengajian di universiti, Azli mendapat
tawaran untuk bekerja sebagai kerani bank. Malangnya, kakak Irfan, Asmah tidak berpuas
hati dengannya kerana dia tidak mendapat tawaran bekerja di mana-mana syarikat. Sifat
Azli mengeruhkan lagi hubungan kekeluargaan mereka kerana dia sering menganggap
bahawa dia yang sentiasa bersusah payah untuk keluarga. Dia turut melukai perasaan
ayahnya dengan menyesali keadaan ayahnya yang sakit dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Hubungan adik-beradik mereka menjadi lebih renggang kerana mereka saling keras kepala
walaupun telah dinasihati oleh Irfan berulang kali.

Meskipun Irfan sering diduga dengan cabaran hidup, perkara tersebut sedikit tidak
melunturkan semangatnya untuk terus berusaha bagi menyara kehidupan keluarganya.
Berkat sikap Irfan yang bersungguh-sungguh dalam pelajarannya, dia telah berhasil
mendapat keputusan yang cemerlang dalam pengajiannya. Irfan begitu gembira kerana
telah mendapat tawaran bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah kolej. Setelah
sebulan bekerja disitu, Irfan mendapat gaji pertamanya. Dia begitu gembira dan teruja serta
membawa keluarganya untuk makan bersamanya di luar. Irfan juga  membawa keluarganya
ke pusat beli-belah untuk menghadiahkan beberapa helai baju untuk ayah dan adiknya
menggunakan gaji pertamanya.

Irfan bersyukur kerana dapat membahagiakan ayah dan ahli keluarganya dan dapat
menunaikan janji ibunya.
Pengajaran yang dapat saya perolehi dalam novel ini ialah, kita perlulah sentiasa
bersabar mengharungi segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi dan jangan sesekali
berputus asa dengan apa yang kita lakukan. Misalnya, Irfan menempuhi cabaran hidupnya
dengan tenang Selain itu, pengajaran yang boleh kita peroleh ialah kita mestilah
bersungguh sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Misalnya, Irfan tidak pernah
mengeluh membantu ayahnya mencari rezeki. Dia juga tidak mengabaikan pelajarannya
meskipun sibuk mencari wang. Pengajaran seterusnya ialah kita mestilah menghormati ibu
bapa. Perkara ini boleh dilihat melalui sikap Irfan yang menghormati dan menjaga ayahnya
meskipun ayahnya selalu melebihkan adik beradiknya yang lain. Namun, abangnya yang
sentiasa mendapat perhatian sering memarahi dan mengeluarkan kata-kata yang
melukakan hati ayahnya. Pengajaran seterusnya ialah kita mestilah mempunyai sifat
bertanggungjawab. Irfan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu
keluarganya. Dia mengorbankan keseronokan waktu kecilnya dengan menjual ikan masin.
Dia juga mengorbankan minatnya dalam permainan bola sepak kerana baginya keluarga itu
lebih penting.

Anda mungkin juga menyukai