Layu bahasa
kuyulah bangsa!
Musnah bahasa
punahlah bangsa!
Lesap bahasa
lenyaplah bangsa!
Gagah bahasa
dahsyatlah bangsa!
Gemilang bahasa
terbilanglah bangsa!
BAHASA JIWA BANGSA
Itulah bahasa
bunga-bungaan indah terasa
kiasan tamsil dan ibarat
sedap terasa ke lubuk jiwa
bulat kata bangsa bermuafakat.
Di bangku sekolah
bahasaku tidak dialpakan
mendidik anak bangsa
membangunkan agama dan nusa.
Di mana-mana sahaja
bahasaku terus bersuara
menyatukan pelbagai bangsa
dalam satu negara.
Suara bahasaku
pasti terus berkumandang
selagi hayat dikandung badan
kerana bahasaku warisan
zaman-berzaman
BAHASA KITA
Abizai
Bahasa kita
berkurung menjadi tulang-temulang
membina tubuh tamadun panjang
sebagai pusaka warisan
yang tak kunjung lebur
oleh panahan matahari zaman
yang tak pernah luntur
ditikam hujan dugaan
bicara yang ramah di lidah
menjadi lisan utama di tanah ibunda
dan seluas banjaran nusantara.
Bahasa kita
berputik cantik berkembang jelita
harum sopan mekar di kelopaknya
berbisik lembut bersenandung merdu
mengundang asyik dan rindu
dalam lirik dan lagu.
Bahasa kita
kaya dengan isi dan hiasan
penuh kiasan sarat tamsilan
memperagakan corak bijak
di sebalik pantun dan gurindam.
Bahasa kita
bukan sekadar bahasa lembah
terpencil dan lembah
tapi bahasa bersayap bestari
mampu terbang tinggi
menyahut cabaran awan teknologi
menyambut seruan langit globalisasi.
Bahasa kita
jambatan kukuh tempat menyeberang
ke pulau perpaduan bersatu haluan
agar di setiap sukma warga
berdenyut cinta serupa
di mana bumi didiami
di situlah bahasa dikasihi.
Sajak: Bahasa Kita
Jalinan indah,
Puitis bermakna,
Dari ungkapan cinta hingga luahan benci rasa hati,
Dari salam perkenalan hingga lambaian ucapan selamat tinggal,
Dari agungnya Kota Melaka hingga aku berdiri di bumi Malaysia,
Madah bicara,
Di bawah lembayung yang sama,
Satu bahasa,
Sedarlahh bangsaku,
Matikan khayalan indah,
Kita tegakkan bersama,
Suburkan dalam jiwa,
Murnikan dengan bait-bait kata,
Kerana,
Ini bahasa kita,
Kerana,
Bahasa inilah yang menyatukan kita,
Yang akan terus mengikat kita bersama dalam perbezaan yang ada,