Anda di halaman 1dari 5

UCAPAN PERASMIAN

PUAN HAJAH RAHIMAH BINTI MOHAMED,


KETUA SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK, JABATAN PENDIDIKAN NEGERI
PERAK
SEMPENA MAJLIS PERTANDINGAN KARNIVAL KIMIA MALAYSIA (K2M) DAN
KUIZ KIMIA TINGKATAN ENAM PIALA PUSINGAN PROFESOR GOH LAI YOONG
2018 ANTARA SEKOLAH MENENGAH DI NEGERI PERAK

Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam Perak Excellent.

Terima kasih saudara/saudari pengacara majlis.

(SOLUTASI)

Yang Berbahagia,
Datuk Dr Zuriati Zakaria
Naib Presiden Institut Kimia Malaysia

Yang Berbahagia,
Tuan Haji Mohamad Zaini bin Abdul Rahman
Timbalan Pengarah Kimia Malaysia

Yang Berusaha,
Encik Ahmad Nazri Bin Husain
Pengarah Jabatan Kimia Negeri Perak

Yang Berusaha,

1
En. John Seeni
Pengetua SMK Methodist ACS Ipoh

Pengetua-pengetua Sekolah, Guru-guru, semua pelajar serta para hadirin yang saya
kasihi sekalian.

Yang berbahagia Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

Izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT
kerana dengan limpah kurniaNya saya dapat bersama-sama dan berkumpul dalam
dewan yang indah ini bagi merealisasikan Majlis Pertandingan Karnival Kimia
Malaysia (K2M) 2018 Dan Kuiz Kimia Tingkatan Enam Piala Pusingan Profesor
Goh Lai Yoong 2018 Antara Sekolah Menengah Di Negeri Perak. Saya juga
mengucapkan terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk hadir bersama-sama
bagi meraikan murid-murid yang menerima anugerah pada hari ini. Ucapan syabas
dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis yang tentunya telah berusaha
dengan gigih supaya majlis berjalan dengan lancar dan teratur.

Para hadirin sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, K2M di Negeri Perak pada hari ini merupakan
satu program kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dengan

2
Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Perak. Program ini juga merupakan kali
ketiga dijalankan di negeri ini. Oleh itu, saya mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan yang tak terhingga atas
kesudian dan sumbangan IKM untuk menjayakan karnival ini. Semoga kerjasama
seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa setiap tahun.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Saya difahamkan karnival ini menerima lebih banyak penyertaan pertandingan dari
seluruh sekolah negeri Perak berbanding tahun sebelum ini. Ini sesuatu yang
memberangsangkan dan harapan kita agar lebih banyak penyertaan di masa akan
datang. Syabas diucapkan kepada semua sekolah yang menghantar penyertaan.

Peluang seperti ini patut digunakan dengan sebaik-baiknya oleh semua pelajar
yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Semoga pertandingan ini dapat
merangsangkan pelajar-pelajar membuat lebih banyak kajian dan dapat
menghasilkan produk yang inovatif dan mengharumkan nama negara di persada
antarabangsa dalam sains dan teknologi.

Penganjuran karnival ini adalah bertujuan untuk memupuk minat pelajar dalam
mata pelajaran sains dan teknologi. Kita sedia maklum mata pelajaran Kimia
adalah sebahagian daripada STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik di mana salah satu hasrat KPM adalah meningkatkan kualiti dan
mengukuhkan pembelajaran STEM untuk memastikan pendidikan lebih
terkehadapan.

3
Para hadirin sekalian,

Saya percaya dalam karnival dan pertandingan seperti ini, para guru memainkan
peranan yang penting untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar. Tidak
kira guru-guru di sekolah ini yang bertindak sebagai Jawatankuasa Karnival
ataupun guru-guru pengiring yang berperanan sebagai mentor, pendorong dan
fasilitator kepada setiap kumpulan pelajar. Tanpa guru-guru ini, saya merasakan
karnival ini tidak dapat dijalankan dengan lancar seperti hari ini. Tahniah kepada
semua guru ini. Saya amat berbangga dengan kesungguhan anda semua.
Diharapkan guru-guru dapat menerapkan budaya kajian dan penyelidikan di
sekolah masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran (PdPc) serta
menggalakkan setiap pelajar kepada amalan kajian dan penyelidikan sebagai
komponen dalam PdPc mereka. Apatah lagi sekarang ini, Pembelajaran Abad ke-
21 (PAK21) yang menekankan student centered atau berpusatkan murid telah
diperluaskan ke semua sekolah di Malaysia. Kita berharap proses PdPc
berpusatkan murid ini yang berteraskan 4K 1N iaitu elemen komunikasi,
kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan nilai murni dan etika dapat diterapkan
di setiap kelas di seluruh negeri Perak.

Yang berbahagia Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

Sebelum saya mengakhiri ucapan pada petang ini, sukalah saya mengingatkan
semua bahawa pertandingan ini seharusnya bersifat pertandingan sihat yang dapat
mengenengahkan bakat dan kebolehan dalam bidang kimia. Kepada pasukan yang
berjaya, saya mengucapkan tahniah dan kepada pasukan yang tewas, jangan putus

4
asa. Teruskan minat dan usaha anda untuk meningkatkan pengetahuan dalam ilmu
kimia dan cuba lagi di masa akan datang. Kita tidak tahu, apa yang berlaku pada
hari ini mungkin langkah pertama anda untuk berjaya pada masa hadapan.

Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi IKM
Cawangan Perak dan Pengerusi IKM Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang
padu bersama JPN khususnya kepada sekolah-sekolah yang terlibat dalam
menganjurkan Karnival Kimia ini. Saya berharap kerjasama ini akan berterusan
pada masa-masa yang akan datang.

Oleh itu, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya


merasmikan Majlis Pertandingan Karnival Kimia Malaysia (K2M) dan Kuiz Kimia
Tingkatan Enam Piala Pusingan Profesor Goh Lai Yoong 2018 Antara Sekolah
Menengah Di Negeri Perak.

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi


wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai