Anda di halaman 1dari 7

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada

tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari
Negeri Perak.

Kota ini terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai
Kampung Teluk Gedung yang mana, kawasan tersebut adalah sebuah
perkampungan nelayan pada waktu itu.

Pembinaan Kota ini oleh Belanda mempunyai perkaitan rapat dengan tujuan
kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada permulaan abad Ke-17
Masihi. Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak telah
berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah.

Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya mendapat kuasa monopoli ke atas


perdagangan bijih timah di Negeri Perak. Kubu yang terdapat di Pulau Pangkor
lebih dikenali sebagai Kota Belanda (Dutch fort) oleh penduduk Melayu dan
ianya terletak di kawasan yang dipanggil Teluk Gedung.

Walaubagaimanapun, rekod Belanda menyebut kubu tersebut sebagai Kubu


Dinding (Dingdingh). Nama tersebut sempena nama Sungai Dinding yang
terdapat di tanah besar semenanjung bertentangan dengan Pulau Pangkor.

Negeri Perak merupakan kawasan pengeluaran bijih timah yang utama di dunia
ketika itu dan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) sememangnya mahu untuk
mengawal serta memonopoli hasil dagangan tersebut.

Disebabkan itu, kapal-kapal perang Belanda mengepung Perak dikebanyakan


waktu dalam kurun ke 17 dan 18 masihi. Antara beberapa sebab utama
pengepungan ini ialah, Perak pada waktu itu merupakan negeri naungan Acheh
dan pihak Belanda pada masa tersebut sedang berperang dengan neger-negeri
Sumatera termasuk Acheh.

Diatas alasan ini pihak Belanda membina sebuah pengkalan di Teluk Gedung
pada 1670 untuk membantu pengepungan ini serta untuk menghalang pihak
Inggeris daripada menduduki pulau tersebut.

Pihak Inggeris merupakan pedagang yang aktif dan pesaing terkuat Belanda
diwilayah sekitar nusantara. Menurut laporan dari Gabenor Belanda di Melaka
iaitu Balthasar Bort pada 1678 menyatakan bahawa “pada masa kini, terdapat
59 orang Belanda di Perak yang terlibat dengan pengepungan ini dan
ditempatkan di Pulau Dinding yang telah berada dibawah taklukan kompeni.
Mereka menduduki kubu kayu bersegi empat dan telah disediakan dengan
sembilan meriam besi”.

59 orang Belanda tersebut terdiri daripada penguasa pedagang, kapten, penulis


rekod, 3 orang pembantu, 3 orang second mates, 2 orang pegawai perubatan, 8
orang pegawai bersenjata dan 40 kelasi. Mereka berkawal di kubu tersebut
bersama armada kecil yang terdiri daripada kapal layar ‘Laren’, kapal sekoci
‘Cacap’ dan sebuah bot ‘Dingdingh’.

Kubu tersebut didapati telah diperteguhkan lagi beberapa tahun selepas itu, ini
berdasarkan rekod penjelajah British, William Dampier yang menyatakan pada
tahun 1689:

“Hanya orang-orang Belanda yang menghuni di dan mempunyai kubu


dibahagian timur (pulau tersebut) dan ianya berhampiran dengan laut. Di
bahagian teluk pulau tersebut, dibina sebuah jeti kecil untuk kapal-kapal
berlabuh. Kubu tersebut dibina dengan bentuk segi empat tanpa menara dan
ianya lebih kepada sebuah rumah.

Setiap sisi berukuran kira-kira 10 atau 12 ela. Dindingnya mempunyai


ketebalan yang baik, diperbuat dari batu dan menyokong ketinggian kira-kira
30 kaki. Disana terdapat kira-kira dua belas hingga empat belas meriam dan
masing-masing mengawal disetiap sudut.

Meriam ini ditempatkan diatas asas yang kukuh yang dibuat di dinding dan
berada kira-kira enam belas kaki tinggi. Disini terdapat seorang gabenor dan
kira-kids a dua puluh hingga tiga puluh orang askar”.

Semua bekalan untuk kubu ini dibawa daripada Melaka, ini kerana menurut
Dampier, kubu pertahanan ini sentiasa diancam oleh orang Melayu. Walaupun
orang Belanda berurus niaga dengan orang Melayu, namun orang Belanda tidak
mempercayai mereka.

Orang Belanda hanya akan pergi jauh dari kubu hanya apabila mereka rasa
keadaan pada masa tersebut selamat. Dampier menyebut terdapat satu insiden
yang berlaku ketika Gabenor, tetamu beliau dan pegawai-pegawainya sedang
duduk untuk jamuan makan malam. Namun ketika mereka baru sahaja hendak
mulakan majlis tiba-tiba seorang tentera Belanda menjerit “Melayu!!”.

Dengan serta merta Gabenor tanpa berkata sepatah pun melompat keluar
daripasa salah satu tingkap dan terus berlari secepat mungkin ke kubu. Pegawai
dan pengikutnya segera mengikut Gabenor tersebut.
Mereka melepaskan beberapa das tembakan untuk memberi amaran kepada
orang Melayu yang mereka bersedia untuk bertarung. Namun tiada seorang pun
orang Melayu muncul. Terdapat perahu yang penuh dengan orang Melayu
berlindung disebalik bukit dan dekat dengan pesisiran pantai.

Dan bila bot orang Belanda keluar untuk menangkap ikan, orang Melayu dengan
menggunakan keris dan tombak menyerang hendap dan membunuh dua orang
Belanda yang berada diatas bot tersebut. Orang-orang Belanda yang lain
melompat keluar dari bot dan berenang ke pantai.

Kedudukan mereka kira-kira sebatu daripada kubu. Setelah berjaya berada di


pantai, setiap seorang daripada mereka berlari selaju yang boleh untuk segera
sampai ke kubu. Mangsa yang pertama sampai ke kubu terus memberitahu
Gabenor apa yang sudah berlaku dalam keadaan menangis.

Dampier meneruskan ceritanya “Kami semua berjaga sepanjang malam dengan


semua senjata dan meriam telah berisi peluru. Tetapi hujan lebat melanda pada
malam tersebut, yang membuatkan saya tidak begitu takut diserang oleh
orang-orang Melayu kerana telah dimaklumkan oleh salah seorang kelasi dari
Melaka yang orang Melayu tidak akan membuat sebarang serangan apabila
berlaku hujan. Keesokan harinya kapal perang Belanda mula meronda untuk
mencari kedudukan orang-orang Melayu namun mendapati bahawa mereka
telah pun berundur”.

Pada 1690, kubu Belanda telah diserang sekali lagi oleh orang Melayu yang
dipimpin oleh Panglima Kulup dan tentera-tentera Belanda di kubu tersebut
telah dibunuh. Pada 24 Jun 1693 satu arahan telah dikeluarkan disebabkan
pembunuhan beramai-ramai yang berlaku sebelum ini di kubu tersebut.

Arahan tersebut menyatakan bahawa tiada lagi tentera yang akan ditempatkan
di Pulau Dinding tetapi sebuah tugu batu hendaklah didirikan dimana satu
bahagian tugu tersebut mempunyai jata Syarikat Hindia Timur Belanda dan satu
bahagian lagi mempunyai jata kerajaan Belanda sebagai tanda pulau tersebut
masih berada dibawah pemilikan Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729, arahan
telah dikeluarkan untuk memperbaiki tugu batu tersebut.

Pada 20 November 1745, Gabenor Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff
mengarahkan agar kubu di Pulau Dinding dibina semula dan dikawal oleh 30
orang eropah dan 30 orang asia (dengan syarat bukannya orang Bugis).

Kemudian menurut data dari Melaka bertarikh 22 Oktober 1746, pedagang


bernama Ary Verbrugge, telah dihantar ke Perak untuk memujuk Sultan Perak
agar kubu dibenarkan dibina di Sungai Perak dan bersetuju untuk menjual
semua bijih timah kepada Syarikat Hindia Timur Belanda.

Pada 25 Jun 1747, Sultan Perak Sultan Muzaffar Shah III menandatangani
perjanjian untuk menghantar semua bijih timah kepada kepada Belanda dan
mengurniakan kebenaran untuk membina kubu dimana-mana bahagian sungai.

Menurut sejarah Melayu Perak, ‘Misa Melayu’ menyebut bahawa Belanda


mengukuhkan gudang batu di Pangkalan Halban di Tanjung Putus. Kubu baru
ini didirikan pada 18 Oktober 1748 dan kemudian Van Imhoff mengarahkan
agat tentera yang berkawal di Kubu Pulau Dinding mengosongkan kubu
tersebut untuk mula berkawal di kubu baru di Pangkalan Halban. Anda boleh
mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kota Belanda Pangkalan Halban
tersebut dengan klik link disini.

Berikutan itu pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya gedung lama


yang terletak di Pulau Pangkor itu ditinggalkan. Akibat tiada penjagaan, gedung
ini telah mengalami kerosakan sehinggalah pada tahun 1973 apabila pihak
Muzium Negara memulihkan kembali gedung ini.

Kota atau gedung yang dibaiki semula ini mengikut bentuk serta ukurannya
yang asal iaitu 3 x 5 meter persegi. Manakala tembok batunya setinggi 6 hingga
7 meter.
Bagaimana pun bumbungnya tidak dapat dibina kerana bentuk asalnya tidak
diketahui oleh pihak Muzium Negara. Kota Belanda ini telah diwartakan sebagai
monumen lama dan tapak tanah bersejarah di bawah Akta Bendapurba 1976
dalam Seksyen No. 247 , Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 31 Mac 1970.

Kemudian pada 1997, kerajaan negeri Perak telah memajukan lagi kawasan ini
sebagai kawasan pelancongan negeri Perak. Beberapa rumah limas tradisional
negeri Perak telah dibina di sini.

Pelbagai gerai makanan pakaian dan cenderamata juga terdapat di sini.


Beberapa bahagian kota ini telah dibaki semula dan diperindahkan di
persekitaran perkampungan nelayan Melayu.

Berhampiran dengan Kota Belanda ini terdapat satu Batu Bersurat Belanda.
Batu Bersurat ini letaknya di tepi pantai kira-kira 100 meter dari Kota Belanda.

Tulisan pada Batu Bersurat ini dipercayai dipahat oleh askar-askar kompeni
Belanda sewaktu mereka mendiami gedung atau Kota Belanda kira-kira dalam
tahun 1743.

Ia juga dipercayai sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar


Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu
tersebut.
Orang-orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh
binatang buas. Sebagai mengingati peristiwa itu, orang-orang Belanda telah
membuat batu tersebut dengan menggambarkan seekor binatang buas
(dipercayai harimau) sedang menangkap budak.

Anda mungkin juga menyukai