Anda di halaman 1dari 11

Tadabbur Surah al-Mulk

Ayat 1-30

Tafsir ringkas ayat 1: Kekuasaan Mutlak dalam Kerajaan Allah


1. Ayat pertama surah Al Mulk ini dimulai dengan lafaz ‘tabaraka’ (daripada perkataan ‘baraka’)
yang disandarkan kepada Allah. Ia bermaksud membesarkan dan meninggikan zat Allah
mengatasi selainNya. Dialah Tuhan Yang Maha Berkat di mana keberkatan atau kebaikan-Nya
sangat banyak, semakin bertambah sehingga melimpah ruah dan juga berkekalan.
2. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT memiliki segala keberkatan dan kebaikan kerana
Dialah yang memegang dan menguasai seluruh kerajaan dan pemerintahan di langit dan bumi,
dari dunia hingga akhirat. Allah adalah raja, penguasa dan pemerintah yang mengatur, mengurus,
memakmurkan dan menjaga kelangsungan alam ini. Seluruh kerajaan dan pemerintahan itu
adalah hak eksklusif Allah SWT sahaja dan tiada siapa yang memilikinya selain Allah.
3. Penghujung ayat ini menjelaskan kesempurnaan kuasa Allah di mana Dia bukan hanya
memegang pemerintahan alam ini tetapi Dia juga Maha Menentukan segala sesuatu. Allahlah
yang menjadikan semua makhluk dan menetapkan hukum dan peraturan untuk mereka
mengikut kehendakNya.

Tafsir ringkas ayat 2 : Bukti Kekuasaan Allah pada Diri Manusia


1. Selepas ayat pertama yang menerangkan tentang kehebatan Allah SWT yang memegang
seluruh kerajaan dan juga Maha Berkuasa atas segala sesuatu, ayat kedua ini mula menghuraikan
salah satu tanda kekuasaan Allah iaitu penciptaan kematian dan kehidupan yang dilalui oleh
setiap manusia. Ayat ini mengajak manusia merenungi dan memikirkan rahsia di sebalik kejadian
hidup dan mati termasuklah hikmah di sebalik perencanaan Allah dan ujianNya agar manusia
dapat melihat dan memahami kebesaran kuasa Allah, kebijaksanaan dalam mengatur segala
urusan dan kesempurnaan pentadbiranNya.
2. “Dia lah yang telah menciptakan (‫ )خلق‬kematian dan kehidupan”, ayat ini dijadikan dalil oleh
sebahagian ulama bahawa kematian dan kehidupan juga adalah suatu bentuk makhluk yang
wujud kerana ia diciptakan oleh Allah. Ayat ini juga bermaksud Allahlah yang telah menjadikan
proses kematian dan kehidupan ataupun menetapkan masa kematian dan kehidupan seseorang.
3. Dalam ayat ini Allah menyebut kematian dahulu diikuti dengan kehidupan. Mati (‫ )الموت‬di sini
bermaksud ‘tanpa kehidupan’ yang merangkumi fasa sebelum kelahiran dan selepas kehidupan
seseorang manusia. Manakala hidup (‫ )الحياة‬pula meliputi kehidupan di alam dunia dan kehidupan
di alam Akhirat. Terdapat ayat lain dalam Al Quran yang menyebutkan kematian dan kehidupan
dengan makna yang sama sebagaimana firman Allah:

1
ََ‫اّللِ َو ُك ْنت ُ َْم أ َ ْم َوات ًا َفأَحْ يَا ُك َْمَۖ ث ُ ََم يُ ِميت ُ ُك َْم ث ُ ََم يُحْ ِيي ُك َْم ث ُ ََم ِإ َل ْي َِه ت ُْر َجعُون‬
ََ ‫ْف ت َ ْكفُ ُرونََ ِب‬
ََ ‫َكي‬

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum
lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia
menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk
diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah: 28)
4. Seterusnya ayat ini menjelaskan bahawa Allah menjadikan kematian dan kehidupan dengan
tujuan untuk menguji siapakah makhluk ciptaanNya yang paling baik amalnya. Setiap manusia
akan melalui ujian saringan bagi mengenalpasti siapakah yang paling taat dan ikhlas dalam
beramal. Ayat ini menunjukkan bahawa penilaian amal di sisi Allah adalah pada kualiti amal
tersebut, bukan semata-mata pada kuantitinya kerana dalam ayat ini Allah tidak mengatakan:
“yang paling banyak amalnya.”
5. Diakhir ayat ini Allah menyatakan bahawa “Dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun”.
Dua sifat Allah yang ditonjolkan dalam frasa hujung ini menunjukkan kesempurnaan sifatNya.
Allah itu Maha Perkasa dalam melakukan penilaian dan hukuman, maka manusia mestilah
melakukan segala amal dengan penuh kesungguhan, berhati-hati dan berdisiplin agar amalan
mereka diterima oleh Allah. Pada masa yang sama, Allah juga bersifat Maha Pengampun pada
hambaNya yang melakukan kesilapan dan sentiasa memohon keampunanNya serta berusaha
untuk mentaati perintahNya.

Tafsir ringkas ayat 3-4 : Bukti Kekuasaan Allah Pada Alam Semesta
1. Selepas menjelaskan tentang kejadian hidup dan mati dalam ayat sebelumnya, dalam ayat
ketiga pula, Allah mengajak manusia agar merenungi tanda kekuasaanNya yang lain pula yang
berada di bawah kerajaan milik Allah iaitu kejadian langit. Ayat ini menjelaskan bahawa Allahlah
yang telah menciptakan tujuh langit yang berlapis-lapis atau bertingkat-tingkat. Keadaan langit
dalam tujuh tingkat atau lapis ini juga telah disebutkan dalam beberapa ayat Quran yang lain dan
juga hadith. Contohnya ayat 15 surah Nuh dan juga hadith mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.
2. Terdapat beberapa pandangan dari sudut ilmu astronomi yang telah dikemukakan bagi
menerangkan maksud tujuh tingkatan atau lapisan langit tersebut. Antaranya, tujuh lapisan
langit itu merujuk kepada galaksi-galaksi, planet-planet dan juga lapisan atmosfera. Walau
bagaimanapun, belum ada kepastian tentang ketepatan maksud-maksud tersebut kerana teori
dan hasil kajian astronomi ini mungkin berubah dengan perkembangan sains dan teknologi
semasa. Oleh itu, dalam mentafsirkan maksud ayat ini, Sayyid Qutb menasihatkan kita supaya
beriman dengan maksud ayat ini secara zahirnya dan menyerahkan hakikatnya kepada Allah SWT.
3. Dalam ayat ini juga Allah menyatakan bahawa Dia telah menjadikan langit tanpa ada sebarang
kepincangan atau ketidakseimbangan yang boleh dilihat dengan pancaindera kita. Kemudian,
Allah mencabar manusia agar kembali memerhati kejadian langit, jika mereka berupaya
menemui sebarang kecacatan atau kekurangan pada ciptaanNya. Hasilnya, sudah pastilah tiada

2
sebarang kecacatan yang kita boleh lihat dengan pancaindera yang terbatas ini kerana Allah telah
mencipta langit dengan sangat rapi, sempurna, tanpa ada sedikit pun kekurangan.
4. Dalam ayat keempat, Allah memerintahkan manusia agar mengulangi pemerhatian mereka
terhadap kejadian langit berulang kali kerana lazimnya manusia tidak dapat menemui
kekurangan pada sesuatu perkara melainkan setelah dilihat atau dikaji berkali-kali. Namun,
manusia tetap tidak dapat mencari kekurangan dalam penciptaan langit kerana tiada sebarang
kekurangan yang ditemui. Bahkan mereka hanya mendapat keletihan dari usaha yang sia-sia itu.

Tafsir Ringkas ayat 5 : Bukti Kekuasaan Allah pada Alam Semesta (2)
1. Dalam ayat sebelum ini, Allah menyatakan salah satu kejadian alam yang hebat dan bebas dari
sebarang kecacatan iaitu langit. Dalam ayat ini, Allah menjelaskan lagi kehebatan yang ada pada
makhuk ciptaan-Nya ini.
2. Allah menyatakan bahawa langit dunia iaitu langit yang terdekat dan yang dilihat oleh mata
kasar manusia, diperhiasi dengan ‘pelita-pelita’. Yang dimaksudkan dengan pelita-pelita adalah
bintang-bintang yang bertaburan di halaman langit itu. Bintang-bintang yang memiliki pelbagai
bentuk dan warna itu, menjadikan langit serba indah apabila dipandang pada waktu malam. Jika
tiada bintang pasti langit menjadi gelap gelita dan suram.
3. Di samping menjadi perhiasan bagi langit, bintang-bintang juga berfungsi sebagai alat
pelempar syaitan yang cuba untuk mencuri dengar berita di langit. Berdasarkan satu hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyatakan bahawa syaitan yang mencuri dengar berita itu
akan terkena lemparan api bintang dahulu sebelum sempat mereka memberitahu khabar
tersebut kepada penduduk bumi. Menurut Qatadah, Allah menjadikan bintang untuk tiga tujuan
sahaja iaitu sebagai perhiasan langit, alat pemanah syaitan dan penunjuk arah bagi musafir.
4. Imam Ibnu Kathir berpendapat, ayat “dan Kami jadikan bintang-bintang itu” tidak dituju
kepada bintang yang beredar di langit semata-mata. Ini kerana sekali-sekala terdapat bintang
yang meluncur dengan sangat laju yang dinamakan sebagai meteor ataupun tahi bintang. Api
yang terhasil daripada pergeseran meteor dan udara itulah yang melempar syaitan-syaitan yang
mengganggu manusia dalam menegakkan iman kepada Allah.
5. Rejaman dari bintang itu adalah balasan dunia terhadap syaitan. Namun, di hujung ayat ini,
Allah menjelaskan bahawa Dia menyediakan balasan yang jauh lebih dahsyat di akhirat nanti buat
syaitan dan para pengikutnya iaitu api neraka yang marak menjulang.

3
Tafsir Ringkas ayat 6-7: Isyarat Kekuasaan Allah pada Penciptaan Api Neraka (1)
1. Selepas Allah SWT menyatakan secara khusus azab yang disediakan kepada syaitan,
didatangkan pula pada ayat keenam akan balasan bagi para pengikut jejak syaitan, iaitu orang-
orang kafir.
2. Orang kafir adalah mereka yang enggan dan ingkar untuk tunduk kepada Allah SWT akibat
terpedaya dengan hasutan syaitan. Mereka ini disediakan dengan seburuk-buruk tempat kembali
iaitu azab api neraka. Ibn ‘Asyur menyatakan ayat ini menyempurnakan makna ayat sebelumnya,
yang menjelaskan bahawa neraka bukan hanya khusus untuk syaitan, tetapi juga disediakan
untuk orang-orang kafir dan musyrik secara umum.
3. Dalam ayat ketujuh, Allah SWT menggambarkan betapa dahsyatnya seksaan yang diterima
oleh penghuni neraka. Sejurus mereka dihumban ke dalam neraka, terdengarlah suara pekikan
mereka yang menggambarkan ketakutan dan kesakitan yang dirasai, akibat api neraka yang
panas menggelegak itu.
4. Sufyan al-Thauri membayangkan ahli neraka itu dihumban dan dibolak-balikkan umpama biji
benih yang sedikit dimasukkan ke dalam air menggelegak yang banyak. Bayangkanlah.

Tafsir Ringkas ayat 8 : Isyarat Kekuasaan Allah pada penciptaan api neraka (2)
1.Di dalam ayat sebelum ini, Allah SWT menggambarkan betapa ngerinya suasana dalam neraka
yang penuh dengan hiruk pikuk jeritan suara orang-orang kafir sejurus mereka dihumban ke
dalamnya.
2. Pada awal ayat ini pula Allah SWT menjelaskan tindak balas neraka terhadap golongan kufur
ini dengan menggambarkan kemarahannya yang amat sangat terhadap kekufuran mereka.
‫َ ز‬
Perkataan ‫ ت َم َ ّي‬menggambarkan seolah-olah neraka itu hampir pecah berkecai lantaran
kemarahannya terhadap para penghuni neraka itu.
3. Ayat ini juga menjelaskan bahawa mereka yang masuk dalam neraka itu dalam kumpulan yang
ramai. Dalam keadaan demikian, malaikat Zabaniyah mencela dan mencerca mereka dengan
bertanya, “Tidak pernahkah datang kepada kamu seorang Rasul yang diutus Allah SWT yang
memperingatkan kamu kepada azab hari kiamat yang menimpamu pada saat ini?” Tapi sayang
sekali kerana mereka tidak mengendahkan seruan Rasul ketika di dunia.
4. Ayat ini jelas menunjukkan keadilan Allah SWT terhadap makhluk, iaitu Dia tidak akan
mengazab seseorang melainkan setelah mengutus seorang Rasul kepadanya, seperti yang
disebutkan di dalam firman-Nya:

ً ‫س‬
َ‫ول‬ ََ ‫َوما ُكنَا ُم َع ِذ ِبينََ َحتَى نَ ْب َع‬
ُ ‫ث َر‬
“dan Kami tidak mengazab sebelum Kami mengutus seorang Rasul.” (Al-Isra: 15)

4
Tafsir Ringkas ayat 9 : Dialog Ahli Neraka
1. Setelah menggambarkan kemarahan neraka serta lontaran pertanyaan yang mengecam
penghuni neraka dalam ayat yang sebelumnya, maka ayat ini diteruskan dengan dailog ahli
neraka yang menzahirkan penyelesalan mereka.
2. Orang kafir sudah tiada lagi hujjah dan terpaksa akhirnya mengakui bahawa memang sungguh
telah datang kepada mereka seorang rasul yang memberi peringatan tapi mereka tetap juga
mendustainya dengan menolak dakwah dan menafikan semua kebenaran yang disampaikan.
3. Orang kafir bukan sekadar mendustakan seruan para Rasul, bahkan mereka turut mengejek
dan mendakwa bahawa Rasul dan para pengikutnya itulah yang telah jauh sesat. Al-Zamakhsyari
menyatakan bahawa hujung ayat ini boleh juga ditafsirkan sebagai kata-kata malaikat penjaga
neraka terhadap orang kafir yang sesat akibat perbuatan mereka ketika di dunia itu.

Tafsir Ringkas ayat 10-11 : Penyesalan dan Pengakuan Ahli Neraka


1. Pada ayat sebelumnya, orang kafir mula menyesali dosa-dosa mereka dengan mengakui
bahawa mereka telah mendustakan, menafikan dan menolak seruan dakwah yang sampai
kepada mereka. Rentetan itu, ayat ini menggambarkan penyesalan mereka semakin besar.
2. Orang kafir menyesali kedegilan diri mereka sendiri, yang dahulu semasa di dunia langsung
tidak mahu mendengar risalah yang disampaikan, juga tidak mahu memikirkan nasihat yang
disampaikan oleh para penyampai risalah. Namun, pengakuan dan penyesalan itu ternyata sia-
sia kerana mereka telahpun menjadi penghuni neraka.
3. Tafsir Al Azhar menjelaskan bahawa dosa paling besar adalah kufur. Ada beberapa bentuk
kekufuran, antaranya:
i) menafikan adanya Tuhan;
ii) percaya adanya Tuhan tetapi enggan mengakui ketuhanan;
iii) tidak mengiktiraf suruhan dan larangan Tuhan;
iv) menolak Rasul yang diutuskan dan risalah yang disampaikan.
4. Kalimah ‘‫ ’سحقا‬pada hujung ayat bermaksud injak, injakan atau diinjak. Penghuni neraka bukan
sahaja disiksa, malah mereka juga dihina sehina-hinanya.Begitulah azabnya neraka. Ayat ini
menunjukkan betapa jauhnya penghuni neraka daripada rahmat dan keampunan Allah sehingga
tiada peluang lagi untuk mereka menyelamatkan diri daripada azab neraka.

Tafsir Ringkas ayat 12 : Isyarat Kekuasaan Allah pada Ilmu-Nya yang Sangat Halus pada
Penciptaan-Nya (1)
1. Setelah menyatakan tentang situasi orang kafir di akhirat sebagai satu bentuk tarhib iaitu
ancaman dan peringatan, Allah SWT menarik hati manusia dengan cara targhib iaitu memberi
gambaran yang indah tentang situasi orang beriman.
2. Bagi orang beriman yang meyakini akan perkara-perkara ghaibiyyat yang terangkum di dalam
rukun iman, akan muncul dalam hati mereka rasa takut kepada Allah SWT melebihi takutnya

5
kepada perkara yang lain. Disebabkan keyakinan ini, mereka akan berasa sentiasa diawasi oleh
Allah SWT pada setiap perkara yang dilakukan dan pada setiap masa walaupun mereka tidak
nampak Allah sedang mengawasi mereka ataupun pada ketika mereka terlindung daripada
pandangan orang lain.
3. Kewaspadaan dan kesedaran inilah yang melayakkan mereka mendapat keampunan dan
beroleh ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Tafsir Ringkas ayat 13-14 : Isyarat Kekuasaan Allah Pada Ilmu-Nya yang Sangat Halus Pada
Penciptaan-Nya (2)
1. Setelah Allah mengambarkan seksaan yang tidak terperi azabnya terhadap golongan kafir serta
janji keampunan buat golongan yang beriman, maka pada ayat ini Allah susuli dengan satu
penegasan buat manusia tentang keluasan ilmu serta pengetahuan-Nya.
2. Dalam ayat 13, dengan menggunakan kata seruan, Allah mencabar manusia sama ada mereka
mengucapkan sesuatu secara terang-terangan ataupun tersembunyi, semuanya berada dalam
pengetahuan-Nya hatta apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Menurut Ibn Abbas, ayat ini
diturunkan berkenaan kaum musyrikin yang telah mengutuk Nabi Muhammad SAW dan mereka
menyembunyikan hal tersebut sesama mereka agar tidak diketahui oleh Tuhan Muhammad.
3. Seterusnya, dalam ayat 14 Allah SWT menimbulkan persoalan kepada manusia, bahawa
bukankah Dia Yang Maha Mencipta segala apa yang ada di alam ini? Persoalan ini agar manusia
berfikir bahawa segala yang ada dan berlaku di bumi ini adalah dalam pengetahuan Allah SWT.
4. Ayat ini menerangkan betapa Maha Halusnya dan Mendalamnya Pengetahuan Allah yang
mengetahui segala-galanya tentang semua makhluk ciptaan-Nya. Dia amat teliti dengan segala
penciptaan-Nya, daripada sebesar-besar makhluk seperti matahari hingga sekecil zarah. Sudah
pasti Allah mengetahui segala-galanya kerana Dialah yang mengawal semua urusan makhluk-Nya
sama ada yang zahir mahupun batin.
5. Kedua-dua sifat Allah yang disebutkan di sini berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Surah
ini menceritakan tentang manusia yang mengambil pengajaran lalu mendapat kebaikan dan
manusia yang salah memilih jalan lalu mendapat kerugian dan penyesalan. Allah juga
memberitahu kesan-kesan yang mereka akan hadapi daripada tindakan mereka itu.

Tafsir Ringkas ayat 15 : Bukti Kekuasaan Allah pada Penciptaan Muka Bumi
1. Setelah ditegaskan dalam ayat sebelumnya bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Halus
PentadbiranNya dan Maha Luas PengetahuanNya, maka dalam ayat ini sekali lagi Allah membuat
penegasan tentang kekuasaanNya. Allah SWT telah menciptakan bumi untuk ummat manusia
jelajahinya dengan mudah serta dapat memanfaatkannya dengan pelbagai aktiviti yang
berfaedah seperti pertanian, perniagaan, pengangkutan dan sebagainya. Ayat ini juga
menunjukkan bahawa segala usaha yang telah dilakukan di atas muka bumi ini tidak akan
membawa sebarang manfaat jika Allah tidak memudahkannya.

6
2. Kemudian, di pertengahan ayat ini, terdapat dorongan kepada manusia untuk mencari rezeki
dan bekerja bersungguh-sungguh. Setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh dan
bertawakkal dalam mencari rezeki yang melata di atas muka bumi ini, Allah SWT memberi
kebenaran kepada mereka untuk mengambil serta memakan sebahagian daripada pelbagai
rezeki yang Allah telah sediakan di seluruh dunia.
3. Di akhir ayat ini pula, Allah SWT juga telah memberi peringatan bahawa setelah manusia
dibangkitkan daripada kubur masing-masing, mereka akan dikumpulkan untuk menuju Allah bagi
mendapat balasan terhadap amal perbuatan mereka ketika hidup di dunia. Hanya kepada Allah
sahajalah tempat mereka dikembalikan.

Tafsir Ringkas ayat 16-18 : Bukti Kekuasaan Allah pada malapetaka di muka bumi
1. Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah SWT menerangkan dalil-dalil yang menunjukkan
kesempurnaan ilmu Allah SWT dan keluasan lingkungan kekuasaanNya untuk mencetuskan rasa
takut dan gerun kepada golongan kafir. Seterusnya dalam ayat ini, Allah SWT mengemukakan
dalil yang lain bertujuan untuk mengancam dan mengugut manusia jika mereka tetap dalam
kekafiran.
2. Peringatan ini diberikan Allah kerana golongan kafir seakan-akan merasa aman dan terhindar
daripada siksa Allah setelah mendapat rahmat iaitu kesenangan duniawi. Oleh itu, Allah SWT
mengingatkan bahawa amat mudah bagi-Nya untuk menghapuskan mereka dengan sekelip mata
sahaja sama ada dengan menimbus mereka ke dalam bumi atau dengan menimpakan ke atas
mereka ribut angin yang kencang.
3. Kemudian Allah SWT memerintahkan agar orang-orang kafir memperhatikan penderitaan yang
telah dialami umat-umat terdahulu kerana telah mendustakan para rasul yang telah diutus
kepada mereka. Antaranya kaum Nuh AS yang telah ditenggelamkan banjir, kaum Syuaib AS yang
telah dibinasakan dengan petir, serta Fir’aun dan kaumnya yang telah ditenggelamkan dalam
Laut Merah.

Tafsir Ringkas ayat 19 : Bukti Kekuasaan Allah pada Sifat Burung


1. Selepas beberapa amaran dan ancaman dalam ayat-ayat sebelumnya, ayat ini mengajak
manusia memerhati dan berfikir tentang kejadian burung yang berterbangan di udara dengan
mengembang dan menguncupkan sayapnya sebagai suatu keajaiban ciptaan Allah yang
membuktikan kekuasaan-Nya.
2. Ayat ini menjelaskan bahawa burung boleh berterbangan dan terapung di udara bukanlah
semata-mata kerana kemampuan dan daya semulajadi burung menggerakkan sayapnya.
Sebenarnya, kekuasaan Allah Yang Maha Pemurah jualah yang menahan burung itu daripada
jatuh ke bumi. Lantaran pemurahnya Allah, diciptakan burung dalam bentuk aerodynamic bagi
membolehkannya terbang. Tanpa rahmat-Nya, nescaya burung tidak akan mampu terapung di
udara. Perkara ini juga dijelaskan dalam Surah Al Nahl, ayat 79:

7
ََ‫ّللاَُۗ إِنََ ِفي َٰذَ ِلكََ ََل َياتَ ِلقَ ْومَ يُؤْ ِمنُون‬
ََ ‫س ُك ُهنََ ِإ ََل‬
ِ ‫اء َما يُ ْم‬
َِ ‫س َم‬
َ ‫َو ال‬ َ ‫أَلَ َْم َي َر ْوا ِإلَى ال َطي َِْر ُم‬
َِ ‫س َخ ََراتَ ِفي ج‬
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-
layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah;
sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan
Allah) bagi kaum yang beriman.

3. Di hujung ayat ini, Allah menegaskan bahawa Dia Maha Melihat akan tiap-tiap sesuatu. Ini
bermakna Allah sentiasa memerhati dan mengetahui segala perkara yang berlaku. Oleh sebab itu
Allah menyedia, mengatur, memberi tenaga kekuatan dan memelihara segala-galanya di setiap
saat dengan penuh teliti dan pengetahuan yang mendalam.

Tafsir Ringkas ayat 20 : Bukti Kekuasaan Allah pada nikmat pertolonganNya buat manusia.
1. Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT mengajak manusia merenung kejadian burung yang
berterbangan di angkasa sebagai salah satu bukti kekuasaan-Nya. Dalam ayat ini, sekali lagi Allah
SWT mengajak manusia merenung dan berfikir tentang hakikat kekuasaan-Nya.
2. Allah SWT menempelak orang kafir dengan menimbulkan persoalan, adakah mana-mana
tentera atau penolong yang boleh menahan sesuatu keburukan daripada berlaku ke atas mereka?
Hakikatnya tiada sesiapa pun yang dapat membantu mereka kecuali Allah SWT Yang Maha
Pengasih dan Penyayang itu.
3. Dalam ayat ini, Allah menggunakan namaNya Arrahman sebagai isyarat bahawa sesungguhnya
walaupun manusia hidup di muka bumi ini dalam keadaan kufur dan zalim, rahmat Allah masih
bersama mereka di dunia ini kerana rahmat Allah tersangat luas meliputi tiap-tiap sesuatu.
Walaupun manusia memilih untuk syirik dan ingkar kepada Allah, namun Allah masih memberi
mereka rezeki, kehidupan, anak pinak, sahabat handai dan segala sesuatu yang diingini, Maha
Pengasihnya Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Namun, di akhirat kelak mereka akan dikenakan
azab atas kelalaian dan keingkaran mereka dan pada ketika itu tiada sesiapa pun yang mampu
menolong mereka melainkan Allah sahaja yang layak memberi pertolongan.
4. Di akhir ayat ini, Allah menyatakan bahawa sesungguhnya orang kafir telah terpedaya oleh
syaitan kerana menyangka bahawa azab tidak akan menimpa mereka sama sekali.

Tafsir Ringkas ayat 21-22 : Bukti Kekuasaan Allah pada Rezeki yang Dilimpahkan Buat Manusia
1. Ayat 21 adalah kesinambungan daripada ayat sebelumnya, yang bertujuan memberikan hujah
menolak pegangan batil orang-orang kafir. Allah SWT menolak dakwaan orang kafir yang
mengatakan bahawa sembahan mereka adalah sumber rezeki dan sumber segala kebaikan dalam
hidup mereka. Walaupun mereka mengetahui hakikat sebenar bahawa sembahan mereka itu
tidak mampu memberikan sebarang faedah buat mereka, namun mereka tetap berdegil dan
terus menolak kebenaran.

8
2. Ayat seterusnya merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT yang
membandingkan antara orang mukmin dengan orang kafir. Keadaan pertama, orang kafir dengan
apa yang digelutinya adalah seperti orang yang berjalan di atas wajahnya, iaitu berjalan senget
dan tidak normal. Dengan kata lain, dia tidak mengetahui ke mana dia berjalan dan tidak juga
mengetahui ke mana dia harus pergi, bahkan mereka dalam keadaan malang, bingung dan
tersesat. Keadaan kedua pula adalah keadaan orang beriman yang berjalan di atas jalan yang
jelas lagi terang. Dia sendiri dalam keadaan tegak lurus, sedang jalannya pun lurus. Demikianlah
perumpamaan mereka di dunia. Di akhirat kelak, orang mukmin akan didorong untuk berjalan
normal di atas jalan yang lurus menuju ke syura yang luas, manakala orang kafir akan didorong
untuk berjalan di atas wajahnya menuju ke neraka Jahannam.

Tafsir Ringkas ayat 23 : Bukti Kekuasaan Allah pada Nikmat Kesempurnaan Ciptaan Manusia
1. Ayat ini menerangkan bahawa Allah SWT yang memulakan penciptaan seluruh makhluk
daripada tiada kepada ada tanpa bantuan sesiapa pun. Ia menunjukkan kekuasaan Allah dalam
menciptakan dan melakukan apa sahaja.
2. Ayat ini turut menjelaskan ciptaan manusia ini disempurnakan dengan tiga anggota yang paling
bermanfaat iaitu pendengaran, penglihatan dan hati.
3. Pendengaran adalah alat untuk mendengarkan ayat-ayat suci daripada Allah untuk memberi
pengetahuan supaya kita kenal dan cinta kepada Allah. Allah menyebut pendengaran sebelum
penglihatan kerana ia lebih penting daripada penglihatan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Hal ini boleh dibandingkan sekiranya kita mengajar orang yang cacat pendengaran dan orang
yang cacat penglihatan. Orang yang cacat penglihatan lebih mudah menerima ilmu dari orang
yang cacat pendengaran kerana maklumat lebih banyak masuk melalui telinga.
4. Walaupun begitu, ilmu juga dapat diperolehi melalui dengan cara melihat. Penglihatan adalah
alat yang dikurniakan untuk melihat ciptaan Allah bagi memberi keyakinan kepada ilmu yang
dimiliki. Penglihatan itu banyak dan berbeza. Kita boleh memilih untuk melihat apa yang kita ingin
lihat dan menundukkan pandangan daripada perkara yang tidak sepatutnya.
5. Manakala hati adalah tempat untuk memproses segala maklumat yang diperolehi daripada
َ َ ‫أَأ‬
pendengaran dan penglihatan. Allah SWT menggunakan perkataan ‫ اْلف ِئدة‬adalah jamak bagi
perkataan ‘fuaad‘. Ia bukan hanya bermaksud ‘hati’ kerana kalau hati sahaja, perkataan qalb akan
digunakan. Fuaad bermaksud hati yang sedang bekerja dan ada emosi. Daripada hati sebeginilah
akan ada keputusan yang dicapai oleh manusia.
6. Penciptaan manusia yang sempurna adalah sebagai bukti bahawa hanya kepada Allah yang
berhak disembah dan mengajak hambaNya untuk bersyukur serta mengesakanNya dalam ibadah.
Dan sesungguhnya tujuan penciptaan manusia itu adalah semata untuk beribadah kepada Allah
SWT.

9
7. Walau bagaimanapun, di bahagian terakhir ayat ini Allah berfirman, “amat sedikit kamu
bersyukur”. Ia membawa maksud segala kurniaan yang telah Allah berikan kepada manusia,
teramat sedikit yang digunakan dalam ketaatan kepadaNya, menjalankan perintah dan menjauhi
laranganNya. Bahkan, sedikit sahaja di kalangan manusia yang bersyukur di atas nikmat yang
telah dikurniakan.

Tafsir Ringkas ayat 24 : Bukti Kekuasaan Allah pada Nikmat Berketurunan dan Penerusan
Generasi
1. Dalam ayat yang sebelum ini, Allah SWT menjelaskan kekuasaanNya yang memulakan
penciptaan seluruh makhluk serta membekalkan mereka dengan pendengaran, penglihatan dan
hati. Seterusnya, dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa Dialah juga yang berkuasa
menjadikan manusia berkembang biak sehingga membentuk jalur keturunan yang panjang dan
berterusan. Keturunan manusia yang berterusan ini menghasilkan kepelbagaian dari sudut
bahasa, warna kulit, penampilan dan sikap yang sangat unik. Maha Suci Allah SWT sebagai sebaik-
baik pencipta.
2. Satu hakikat yang tidak dinafikan oleh mana-mana manusia ialah kematian. Justeru dalam ayat
ini Allah SWT menegaskan bahawa manusia keseluruhannya akan kembali kepadaNya. Setelah
jasad mereka bercerai-berai nanti, mereka akan dihidupkan kembali, dihimpunkan dan akan
dihisab segala amalan mereka ketika di dunia dahulu.

Tafsir Ringkas ayat 25-27 : Isyarat Kekuasaan Allah Pada Ilmu-Nya Tentang Perkara Ghaib
(Tarikh Kiamat)
1. Ayat 25 menerangkan mengenai pertanyaan orang-orang yang dilanda keraguan serta orang-
orang kafir yang degil dan angkuh yang mencabar kebenaran hari kiamat dengan mempersoalkan
bilakah hari kiamat akan berlaku, sedangkan jika mereka mengetahuinya sekalipun ia tidak akan
merubah atau menjejaskan suatu apapun. Waima hari kiamat itu datangnya esok atau berjuta-
juta tahun akan datang, keadaan mereka tetap sama kerana hari kiamat itu tetap akan datang
jua. Mereka semua akan dihimpunkan pada hari itu dan segala amalan mereka dalam kehidupan
akan diberi balasan.
2. Sesungguhnya pengetahuan tentang bila hari kiamat akan berlaku hanya ada pada Allah SWT
sahaja. Allah menyuruh Rasulullah SAW supaya menegaskan bahawa tugas Baginda hanyalah
memberi peringatan dan penjelasan sahaja, sedangkan ilmu tentang kiamat itu sendiri tersimpan
di sisi Allah SWT Yang Maha Mengetahui.
3. Apabila orang-orang kafir melihat peristiwa kiamat itu semakin dekat dan menghadapinya di
depan mata mereka, maka muka mereka terus berubah menjadi muram dan tanda-tanda
dukacita semakin jelas. Pada ketika itu, mereka akan ditempelak – inilah hari yang kamu cabar
dan minta disegerakan kedatangannya iaitu hari kiamat. Dan inilah hari yg kamu dakwa ianya
takkan berlaku.

10
Tafsir Ringkas ayat 28-29 : Isyarat Kekuasaan Allah pada IlmuNya tentang Perkara Ghaib (ajal
makhlukNya)
1. Dua ayat di atas ini ditujukan kepada kaum musyrikin atau kafir yang ingkar mengikut seruan
dakwah Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menjawab kembali permintaan orang kafir kepada tuhan
mereka yang mahu Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya terbunuh semuanya agar terhenti
segala penyebaran kerja dakwah Islam. Lalu Allah SAW membantah perkataan mereka dengan
sindiran dalam ayat 28 ini. Waima dengan ketiadaan Nabi Muhammad SAW dan orang-orang
beriman atau baginda serta para pengikutnya diberi kekuatan dapat mengalahkan orang kafir,
mereka tetap tidak akan dapat melarikan diri dari azab Allah.
2. Dalam ayat seterusnya, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk mengatakan
kepada orang-orang kafir, bahawa baginda dan orang mukmin beriman hanya kepada Tuhan
Yang Maha Pemurah yang sentiasa memberi nikmat kepada hamba-Nya, dan hanya kepada-Nya
sahaja tempat berserah diri dan segala urusan di dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat
menyelamatkan manusia daripada sebarang bencana dan malapetaka. Pada hari yang pasti akan
tiba nanti, mereka akan mengetahui siapa sebenarnya yang dalam kesesatan yang nyata, sama
ada orang yang mengikut hawa nafsu dunia semata-mata atau orang yang sentiasa mencari
keredhaan Allah SWT.

Tafsir Ringkas ayat 30 : Kekuasaan Allah Tetap Mutlak


1. Selepas Allah SWT menyatakan kewajipan bertawakkal hanya kepada-Nya dan bukan kepada
tuhan yang lain, Allah SWT menutup surah ini dengan menimbulkan persoalan tentang siapakah
yang mampu mengalirkan air yang banyak dan bertali arus di bumi ini apabila ia kering?
2. Persoalan ini agar orang kafir berfikir, dan mengakui bahawa tiada yang boleh mendatangkan
air kecuali Allah SWT; sama ada dengan menurunkan hujan atau salji, mengalirkannya di mata air
dan sungai, serta memastikan alirannya berlaku dengan seimbang untuk manfaat semua hidupan.

Rujukan
1)Tafsir Fi Zilal Quran
2) Tafsir Al Jalalayn
3) Tafsir Ibn Kathir
4) Hamka, Tafsir Al-Azhar
5) Tafsir Al Munir
6) Achmad Chodjim (2013), Membangun Surga, Serambi Ilmu Semesta.
7) Tafsir Al-Sa’di (Taisir al-Karim al-Rahman)
8) An Nawawi, Kitab Al Azkar

Disusun oleh: Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK
Gombak. 27 Disember 2019 / 30 Rabi’ul Akhir 1441.

11

Anda mungkin juga menyukai