Anda di halaman 1dari 4

TEKS PIDATO

SERANDI

PERTANDINGAN PIDATO SEKOLAH


RENDAH

TAJUK :
BUMI BORNEO DI PENTAS DUNIA

BUMI BORNEO DI PENTAS DUNIA


Salam Keluarga Malaysia

Salam Sejahtera…… Salam pencinta Bumi Borneo.

Buya Hamka pernah mengungkapkan, bahawa, “Borneo dan seluruh wilayahnya bakal
menjadi agung apabila Buminya ditadbir urus dengan tulus. Pakej panoramanya
memuntahkan penciptaan Tuhan yang Maha Indah, memukau pandangan mata,
mendinginkan segenap jiwa.”

Kalungan apresiasi buat saudara pengerusi, dif-dif berinovatif, kombinasi juri


berintegriti, hadirin, warga dewan yang budiman. Ayuh, renungilah, mauduk pidato
saya, ‘BUMI BORNEO DI PENTAS DUNIA.’

Sebagai interpretasi awal, menurut Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud,
BUMI BORNEO merupakan sebuah pulau yang terdiri daripada tiga buah negara iaitu
Malaysia, Brunei, dan Indonesia. Manakala, menurut Dato’ Seri Najib Tun Abdul
Razak, PENTAS DUNIA merupakan lapangan yang hebat dalam persaingan dengan
negara luar. Tuntasnya, BUMI BORNEO DI PENTAS DUNIA membicarakan tentang
kemegahan Kepulauan Borneo yang mampu untuk melakarkan keterbilangan di
pentas antarabangsa. Oleh itu, empat kupasan idea akan saya unjurkan.

Hadirin,
Pertama : Biodiversiti Dilestari, Borneo Berseri.

Cuba bayangkan, jika hari ini kita hidup tanpa flora dan fauna. Cuba bayangkan,
sekalipun kita bersama mereka, mereka dalam keadaan hancur dan tercemar.
Menyedari akan hakikat inilah, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri mengadakan
Pembangunan Mapan Pemuliharaan Ekosistem dan Biodiversiti Borneo di Sabah,
dengan Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Agensi Kerjasama Antarabangsa
Jepun semata-mata ingin memelihara dan memulihara biodiversiti agar terus lestari.
Siapa sangka, dengan keprihatinan kita, khazanah biodiversiti menjadi tarikan dunia.
Pulau Manukan, Pulau Sulung, Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pantai Dalit, dan Gayana Eco
Resort masing-masing menonjolkan keunikan dan tarikan sehingga menjadi pusat
pelancongan dan pusat Penyelidikan Ekologi Marin yang memelihara khazanah laut
dan memulihkan terumbu karang. Taman Nasional Gua Niah pula, mempunyai artifak
bernilai tinggi, dengan coretan Lukisan Gua yang ikonik dan esotik, bukti kumpulan
arkeologi dunia mengenai penempatan manusia sejak 40 ribu tahun dahulu
Hadirin,
Kedua : Keunikan Masyarakat, Memakmurkan Sarwajagat.

Setelah kemerdekaan kita kecapi, masyarakat kita bebas untuk mengatur kehidupan
sendiri. Bermulalah episod kemakmuran, keharmonian, dan kemesraan. Borneo
memiliki penghuni yang berkepelbagaian ras, pegangan, dan latar belakang. Misalnya,
etnik asli Kedayan dari Brunei, suku banjar dari Indonesia, Melayu, Cina, India, 214
etnik di Sabah dan Sarawak, serta penduduk asal Filipina yang berhijrah ke sekitar
Kepulauan Borneo. Pertembungan ideologi suku dan etnik ini mengalami
pengasimilasian sehingga dikagumi seluruh dunia. Bukan itu sahaja, amalgamasi
dalam perkahwinan campur mewujudkan lembaran salasilah keluarga yang baharu.
Syukur kepada Tuhan, kerana Borneo masih aman, meskipun hidup bercampur
keturunan. Buktinya, statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara
menunjukkan terdapat 5675 pasangan perkahwinan campur yang berbeza bangsa
dan negara didaftarkan sehingga awal 2017. Maka, jelaslah, keunikan masyarakat,
memakmurkan sarwajagat.

Hadirin,
Ketiga : Budaya Dijaga, Warisan Terpelihara.

Hakikatnya, masyarakat Borneo sangat terkenal dengan adat dan budaya yang unik.
Lebih daripada 300 etnik di Borneo, sama-sama mengangkat budaya, agar terus
terpelihara, meskipun melalui arus pemodenan. Benarlah, tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas. Kelembutan dan kesantunan budaya Borneo, menggamit berjuta
mata warga dunia. Hasilnya, Persatuan Tobilung Sabah Bersatu (TOBISA) dan Tagap
Dance Company dianugerahkan pingat emas dalam Pertandingan Tarian Dunia di
Jerman. Ditambah pula, karyawan Tanoti House menjulang Songket Sarawak, bersama
Alene Murang, pemain sape Sarawak yang mempromosikan songket dan sape di Bumi
Paris. Tidak dilupa juga, tarian Alus Jua Dindang dan Umak Ruma, tarian Endang,
tarian Topeng, dan tarian Papua dari Brunei dan Indonesia, telah dinobatkan Tarian
Jalanan Terbaik dalam Pertandingan Tarian Liangolen 2017 di Eisteddfod. Jelaslah,
kebudayaan Borneo sememangnya meneroka sejauh mana peluang ke pentas global.

Hadirin,
Keempat : Bahasa Dijunjung, Masyarakat Disanjung.

Sesungguhnya, bahasa melambangkan identiti dan maruah sesuatu bangsa. Sebab


itulah, Kepulauan Borneo memiliki variasi bahasa yang unik dan menarik, yang
dibahagikan kepada enam induk utama, iaitu, Bahasa Barito, Bahasa Borneo Kayan,
Land Dayak, Timur Laut, Punan Nibong Sunting, dan Bahasa Malayic, sehinggakan
mendapat sanjungan dalam World Book of Record sebagai pulau yang mempunyai
bahasa terbesar di Asia. Kesemua bahasa ini telah dikaji oleh penyelidik dunia dan
mendapati bahawa wujud pecahan bahasa-bahasa kecil yang digunakan oleh suku
dan etnik di Kepulauan Borneo. Mujurlah, Dewan Bahasa dan Pustaka telah
menerbitkan buku dan kamus istilah seperti Glosari Leksikal Bahasa Sukuan yang
memuatkan rujukan kata dan makna dalam pelbagai versi sukuan, yang menjadi
panduan pelancong dan penyelidik di dalam dan di luar negara. Maka, benarlah
bahawa bahasa antara daya penarik warga dunia untuk menyelami Bumi Borneo.

Kesimpulannya, sebagai penduduk di pulau yang indah dan bertuah ini,


peliharalah segala nikmat penciptaan Tuhan di pulau ini. Usahalah untuk
memartabatkan kegemilangan anak-anak Borneo ke persada dunia. Ayuh anak
nusaku, berjuanglah, kerana kita bukanlah pemenang selagi tidak berjuang! Semoga
Bumi Borneo terus di pentas dunia.

Sekian, terima kasih.

Nukilan :
Cikgu Zaki Khan Bin Mat
Sekolah Kebangsaan Rantau Dilang, Kanowit

Pemidato :

Anda mungkin juga menyukai