Anda di halaman 1dari 2

ULASAN BUKU

Ramadan Omar
PRANK
Kuala Lumpur: Dear Novels, 2019.
ISBN:
9789672116790

PRANK merupakan sebuah garapan kedua daripada penulis dengan bilangan


sebanyak 249 mukasurat dan dimensi 19cm. Melihat pada cetakan kulitnya
sahaja sudah boleh agak, pasti novel seram! Ramadan Omar bukanlah penulis
yang terlalu dikenali ramai, tetapi sesiapa sahaja yang pernah membaca
penulisannya pasti tidak bosan.

Kisah daripada buku ini merupakan sebuah penulisan bergenre seram dan misteri
dan menimbulkan 1001 persoalan pada pembaca. Menyingkap maksud disebalik
tajuk, anggapan pertama sudah tentu penulisannya kisah seram klise namun
penulis dengan bijak membawa pembaca ke satu tahap yang lain. Penulis tidak
melengah-lengahkan penulisannya namun jalan penceritaan yang sedari awal
menimbulkan tanda-tanya berjaya dibawa dengan baik dan mendebarkan
seoalah-olah pembaca sedang menonton sebuah filem di hadapan mata.
Menelusuri jalan penceritaan, pembaca mungkin dapat mengagak perkara yang
akan terjadi tetapi pada kebanyakannya sangkaan itu adalah meleset.

Watak-watak yang dimainkan dalam cerita ini seakan-akan hidup dan masing-
masing memainkan peranan penting dalam menghidupkan jalan cerita. Saiful
dengan kelebihannya yang luar biasa, Azril yang menimbulkan tanda tanya,
Khalis sebagai penghubung mereka, ibu bapa Azril yang penuh rahsia....dan
siapa Shahrul, Akim dan Azman? Kisahnya bermula dengan Azril dan berakhir
dengan Azril. Satu demi satu rahsia terungkap namun yang melihat dan merasa
pengalaman itu perlu sabar dan tabah.

Penulis telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca kerana


PRANK yang dimaksudkan bukanlah sekadar budaya prank biasa yang sekadar
menakut-nakutkan orang. Unsur-unsur yang dibawa juga bukan sekadar seram
semata tetapi ada juga unsur paranormal, penyiasatan, agama dan pengajaran.
Disebalik kisah ini, pembaca tertanya-tanya adakah ceritanya benar-benar prank
atau benar-benar berlaku secara terancang? Jawapan tidak berada di tengah-
tengah cerita tetapi pembaca hanya akan menemukan jawapan di akhir naskah
ini.

Sekali sudah mula membaca, susah mahu berhenti. Hanya perlukan beberapa
jam sahaja untuk menghabiskan satu naskah.Novel ini tidak setebal novel-novel
lain tetapi jalan cerita yang sebenarnya pendek terasa seperti panjang namun
langsung tidak membosankan. Dalam pengakhiran cerita ini, penulis tidak
menjelaskan beberapa perkara dan menimbulkan persoalan mengapa kisahnya
tamat sekadar itu? Pembaca tertanya ada apa pada rumah agam dan siapakah
sebenarnya watak perempuan dan budak yang disebut dalam jalan cerita.

Secara keseluruhannya, penulis telah berjaya mengasilkan sebuah naskah yang


unik dan tidak klise dengan gaya penulisan yang sangat baik dan teratur.
Diharapkan satu masa nanti akan ada kisah sambungan daripada novel ini kerana
selepas helaian terakhir, terdapat persoalan masih bermain fikiran. Adakah ini
PRANK daripada penulis? Syabas.

Pengulas Noor Syahierah binti Mohamad Rohana


Penolong Pengarah
Noor Syahierah binti Mohamad Rohana
Perpustakaan Negara Malaysia

Anda mungkin juga menyukai