Anda di halaman 1dari 6

 

TEORI ANTROPOLOGI DAN SOSIOLOGI SERTA KEPENTINGANNYA DALAM KEHIDUPAN

1.0 Pendahuluan

Di dalam menelusuri kehidupan seharian, kita sebagai manusia pasti akan menghadapi dengan
pelbagai cabaran, permasalahan dan fenomena. Kita sebagai manusia juga turut tidak lari
berhadapan dengan pelbagai persoalan seperti mengapa kita perlu bertindak seperti yang kita
mahu? Mengapa kita seringkali mempunyai pandangan yang berbeza tentang sesuatu keadaan/isu
dan mengapa perkara atau senario itu terjadi? Para cendekiawan yakin bahawa untuk memahami
dan menjawab persoalan yang wujud di sekeliling manusia, hal ini memerlukan bentuk pemikiran
dan alat yang dapat membantu kita sebagai manusia memahami apa yang berlaku. Ia dikenali
sebagai ‘Teori’. Esei ini akan terdiri daripada dua bahagian iaitu; konsep asas teori dan akan
memperincikan berkenaan pemahaman dan kepentingan teori antropologi dan sosiologi dalam
kehidupan seharian masyarakat serta cuba mengupas dua teori utama dengan contoh yang sesuai.

2.0 Konsep Asas Teori

2.1 Definisi dan peranan teori

Secara umumnya, teori merupakan satu bentuk pemikiran yang membantu manusia untuk
memahami dan menerangkan realiti sosial dalam persekitaran sosial manusia.

Mieke Bal (1985) menyatakan bahawa teori ialah satu set sistematik pernyataan umum
tentang segmen realiti tertentu. Kerlinger (1973:9) mendefinisikan teori sebagai satu himpunan
konsep, takrifan dan definisi yang paling berkait yang memberikan gambaran secara sistematik
tentang fenomena dengan memperincikan hubungan antara pembolehubah. Kerlinger menambah,
tujuan teori itu mengandungi beberapa konsep yang mempunyai kaitan sesama sendiri dan teori itu
sendiri memberikan pengertian kepada kita bagaimana sesuatu fenomena itu terjadi. Hal ini dapat
diperhatikan daripada definisi konsepsual yang diutarakan oleh para sarjana ini bahawa teori
merupakan sesuatu yang abstrak dan memerlukan satu bentuk gagasan pemikiran yang kritis untuk
difahami.

2.2 Teori dalam aspek sosial

Dalam konteks sosial, teori memainkan peranan untuk memahami, menjelas dan meramal sesuatu
realiti dan perubahan sosial yang berlaku dan boleh memberikan jawapan kepada fenomena dan isu
sosial yang berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat.

Menurut (Ritzer&Smart 2001), teori secara amnya merupakan satu bentuk pemikiran
mengenai sesuatu fenomena yang terjadi dan khususnya realiti sosial yang menekankan bagaimana
dan mengapa fakta berhubung dengan fenomena lain. Untuk memahami teori sosial, pemahaman
tentang hubungan antara konsep adalah sangat penting. Rokiah Ismail (2006) menyatakan bahawa
teori merupakan satu bentuk sistem idea yang cuba untuk menunjukkan perkaitan antara satu
konsep dengan konsep yang lain sehingga dapat mengatur dan merumus sesuatu keadaan alam
sosial. Misalnya, isu pengganguran yang berlaku dalam masyarakat. Untuk memahami
bagaimanakah pengangguran dalam masyarakat itu berlaku, teori berperanan untuk menjelaskan
tentang bagaimanakah isu pengangguran seperti hubungan antara konsep kelas sosial yang wujud
dalam masyarakat, pengagihan pendapatan negara yang saksama dalam masyarakat dan peluang
pekerjaan yang disediakan. Hal ini akan memberikan idea kepada pengkaji dalam bidang sosiologi
dan ekonomi untuk terus memperhalusi isu pengangguran yang berlaku dalam masyarakat. Konsep
merupakan elemen penting dalam pembinaan sesebuah teori. (Neuman 1997), konsep adalah
elemen abstrak yang mewakili fenomena sosial yang dianggap sebagai binaan asas sesebuah teori.
Sebagai contoh, konsep ini sesuai untuk menjelaskan teori anomi iaitu anomi, nilai, norma dan
kawalan sosial. Hubung kait antara konsep ini dapat memperjelaskan tentang bagaimana peranan
teori anomi dalam menjelaskan terjadinya kes jenayah dalam masyarakat.

3.0 Pemahaman dan Kepentingan Teori Antropologi dan Sosiologi (ANSOS)

3.1 Perkembangan Teori ANSOS

Perkembangan ilmu sosiologi bermula atas kesedaran manusia untuk memahami perihal masyarakat
dan anggota yang berada dalam masyarakat tersebut. Perkembangannya telah bermula berabad
dahulu. Perkembangan ilmu ini dipelopori oleh golongan-golongan sarjana/pemikir barat.

Menurut Bierstedt (1979), perkataan sosiologi hanya digunakan pada abad ke-19 apabila
Auguste Comte membincangkan berkenaan penggunaan terma sosiologi yang secara umumnya
bermaksud satu bidang yang mengkaji mengenai masyarakat dan hubungannya dengan pelaku-
pelaku masyarakat yang terdiri daripada institusi, kelompok dan manusia. Sarjana itu juga
berpendapat bahawa setiap kemunculan ilmu pengetahuan mempunyai sejarah yang tersendiri
sebelum sesuatu ilmu itu diterima dan berkembang kepada umum. Bidang sosiologi juga sering
dikaitkan dengan ilmu antropologi iaitu bidang pengajian yang mengkaji dan memfokuskan kepada
budaya di dalam sesebuah masyarakat. Dalam konteks hubungan kedua-dua disiplin ilmu ini.
Menurut Rahimah Abdul Aziz (2005) pula, beliau menyatakan bahawa ilmu antropologi sangat
penting dikaitkan dengan ilmu sosiologi untuk memahami masyarakat di Malaysia. Hal ini dikatakan
demikian kerana masyarakat di Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai etnik dan peranan budaya
amat penting dalam kehidupan bermasyarakat ini. Para ahli sosiologi melihat masyarakat daripada
beberapa sudut pandangan yang berbeza. Terdapat juga di antara mereka yang melihat masyarakat
dan persekitaran sebagai suatu keadaan yang stabil, ada juga mereka yang melihat masyarakat
sebagai terdiri daripada kelompok yang berkonflik dan ada juga dalam kalangan mereka yang
berminat terhadap aspek-aspek yang simbolik dalam realiti sosial masyarakat seperti unsur-unsur
interaksi antara individu di dalamnya. Ketiga-tiga keadaan ini secara umumya memberikan
gambaran bahawa perspektif yang berbeza mengenai masyarakat ini.

3.2 Teori ANSOS

Ramai pengkaji ANSOS melaksanakan penyelidikan dan memperoleh maklumat dan data
dalam mentafsir sesuatu realiti sosial yang berlaku. Dengan pendekatan ini, maka wujudlah konsep-
konsep dan seterusnya membolehkan sebuah teori dibentuk. Berdasarkan Rohana Yusuf (2010)
mengenai teori ANSOS, teori adalah penerangan yang saintifik mengenai sesuatu fenomena. Teori
sosiologi merupakan himpunan andaian yang saling kait-mengait secara logik dan daripadanya
keseragaman yang empirikal dapat dirumuskan. Teori ANSOS lazimnya merupakan perhatian
terhadap penerangan dan ramalan secara sistematik terhadap sifat, pola dan elemen dalam
perhubungan manusia dalam masyarakat.

Selain itu, teori ANSOS juga menggabungkan hasil pemerhatian mengenai kehidupan sosial
ke dalam satu bentuk pola yang konsisten. Di samping itu, terdapat juga para sarjana yang telah
mengklasifikasikan teori ANSOS kepada dua kategori iaitu teori ANSOS yang bersifat grand theory
dan teori-teori moden. Grand theory merujuk kepada teori klasik yang muncul sekitar penghujung
abad ke-19 manakala teori moden muncul hasil daripada pengembangan teori klasik oleh para
sarjana ANSOS bermula pada pertengahan abad ke-20. Terdapat 3 perspektif penting yang
mendasari teori sosiologi iaitu perspektif fungsional, perspektif konflik dan perspektif
interaksionisme.

Terma fungsi dalam sosiologi bermakna tujuan atau tugas tertentu bagi setiap anggota
masyarakat kepada sistem dalam masyarakatnya dan akibat yang dihasilkan terhadap orang lain.
Ahli-ahli fungsional mengatakan bahawa masyarakat ialah satu sistem yang terdiri daripada
kombinasi benda, bahan dan manusia yang membentuk keseluruhan masyarakat. Setiap daripada
elemen ini berhubung kait dan saling membantu. Perubahan dalam satu bahagian akan mengubah
bahagian-bahagian lain sehinggalah tercapai titik keseimbangan.

Perspektif konflik pula menekankan aspek penting dalam susunan sosial sesuatu masyarakat
iaitu dominasi satu kelompok individu ke atas satu kelompok yang lain. Perspektif ini mempercayai
bahawa masyarakat ialah gelanggang berlakunya pergelutan antara kelas sosial yang berlainan bagi
mendapatkan sumber-sumber ekonomi.

Perspektif interaksionisme ini pula membahaskan perihal pentingnya memahami dunia


sosial dalam sesebuah masyarakat daripada sudut pandangan individu yang bertindak atau
berinteraksi dalam dunia sosial tersebut. Dalam kehidupan seharian, manusia pasti akan berinteraksi
dengan anggota sama ada dalam kelompok utama atau kelompok sekunder. Proses seseorang itu
bertindak atau memberi gerak balas kepada orang lain kenali sebagai ‘interaksi sosial’. Perspektif
atau teori ini menekankan sesuatu proses yang memfokuskan individu dan persoalan yang
ditimbulkan ialah perkaitan dengan pengertian yang sama dipegang oleh beberapa individu dalam
satu kelompok kecil. Teori ini sedikit sebanyak membawa kita kembali kepada bahawa ‘manusia’
juga mampu untuk mempengaruhi keseluruhan system masyarakat dan kehidupan manusia sentiasa
berubah mengikut masa dan watak yang dimainkan.

Ketiga-tiga perspektif atau teori ini telah berkembang dengan peranan besar dimainkan oleh
para sarjana bidang ANSOS. Dengan perkembangan masyarakat yang semakin kompleks, para
sarjana telah mengembangkan teori-teori ini dalam memahami masyarakat dengan lebih mendalam.
Contohnya, aliran strukturlisme lahir daripada perspektif fungsionalisme. Setiap fungsi dalam
masyarakat perlu mempunyai struktur yang khusus bagi memastikanmasyarakat akan terus harmoni.
Selain itu, perspektif atau teori klasik ini juga membawa munculnya teori-teori moden yang
dipelopori oleh para sarjana ANSOS pada pertengahan abad ke-20 yang ketika itu modenisasi telah
menjadi tunjang kepada pembangunan negara dan jugamasyarakat. Maka, timbullah sarjana seperti
Anthony Gidden yang banyak membahaskan berkenaan teori modeniti dan memperkenalkan teori
Juggernaut yang menekankan aspek risiko dalam masyarakat. Bahagian seterusnya akan
membincangkan berkenaan dua teori utama iaitu struktur fungsionalis dan juggernaut dalam
melihat kepentingan teori ANSOS dalammemahami masyarakat dan kehidupan sosial manusia.

3.3 Teori ANSOS dan Kehidupan sosial

3.3.1 Teori struktur fungsionalisme

Teori struktur fungsionalisme merupakan teori yang dikemukakan untuk memperbaiki dan
mengatasi kelemahan yang terdapat pada teori evolusi yang diperkenalkan sebelum ini. Teori ini
terhasil daripada penggunaan kaedah-kaedah yang diuji secara sistematik dan menyebabkan
penghasilan teori ini dianggap lebih saintifik dan empirical.

Struktur merupakan perhubungan yang berlaku antara satu unit sosial dengan unit sosial
yang lain dalam keadaan yang stabil serta mempunyai identiti yang tersendiri. Manakala fungsi pula
menerangkan tugas dan perkara yang sepatutnya yang dilakukan oleh mereka yang berada dalam
unit sosial tersebut. Secara keseluruhannya, struktur fungsionalisme ini bermaksud setiap ahli yang
berada dalam unit sosial itu berfungsi mengikut kepada perkara yang telah ditetapkan untuk mereka
oleh struktur.

Teori struktur fungsionalis ini amat penting dalam sesebuah masyarakat kerana
denganmenggunakan kaedah ini masyarakat dapat disusun atur dengan baik serta mempunyai
disiplin dalam melakukan fungsi yang telah ditetapkan kepada mereka. Sebagai contoh, struktur
yang mendisiplinkan rakyat untuk melakukan fungsi yang telah ditetapkan kepada mereka ialah
perlembagaan. Perlembagaan merupakan badan tertinggi negara dalam menerangkan mengenai
perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh rakyat. Perlembagaan yang digubal memberikan
garis panduan kepada rakyat dalam menjalankan fungsi setiap daripada mereka. Struktur ini akan
mendisiplinkan masyarakat yang berada di dalamnya. Namun begitu, terdapat juga mereka yang
tidak mengikuti struktur yang telah ditetapkan.

3.3.2 Teori Juggernaut

Teori Juggernaut mempunyai kaitan yang rapat dengan modenisasi. Kaitan ini boleh dilihat
daripada aspek kesan kepada masyarakat hasil daripada arus kemodenan yang berlaku di
dalamsesebuah masyarakat. Seorang tokoh pemikir barat penting dan berpengaruh masa kini yang
banyak membincangkan tentang modenisasi adalah Anthony Giddens. Hal yang menarik daripada
pandangan Anthony Giddens mengenai modenisasi ialah beliau beranggapan modenisasi dapat
dilihat dalam dua perspektif. Pertama, modenisasi sebagai mesin yang merosakkan nilai dan tradisi.
Modenisasi dianggap oleh pengkritiknya sebagai anti tradisi kerana dianggap cuba meruntuhkan
agama, nilai-nilai atau norma-norma yang berkaitan dengan sifat tradisional. Tiada nilai-nilai tradisi
yang dianggap dapat wujud bersama dengan nilai moden. Sesebuah masyarakat yang mahukan
kemodenan perlu mengikut bentuk pemodenan barat yang meninggalkan sama sekali unsur-unsur
tradisional.

Menurut Giddens (2001), konsep run away world yang dinyatakan oleh beliau memberi
petanda bahawa modenisasi telah mengubah dunia dan merangkumi masyarakatnya dengan risiko
dan rasa ketidakpastian. Mereka sedar akan perubahan yang berlaku namun terpaksa menurut bagi
meneruskan kelangsungan hidup kehidupan seharian. Dari titik tersebut, masyarakat mula belajar
untuk memupuksikap kepercayaan terhadap institusi yang diwujudkan oleh golongan yang cerdik
pandai dan mereka belajar untuk percaya dengan apa yang dicipta oleh golongan tersebut. Giddens
(1999) berpendapat moderniti telah mewujudkan satu profil risiko yang tersendiri. Risiko menjadi
semakin global kerana ia memberikan kesan yang lebih besar. Disebabkan oleh kesedaran tentang
risiko tersebut, ia telah memberikan perasaan tidak selamat yang diadaptasi dalam tema juggernaut.
Akibat daripada perubahan serta transformasi berlaku, ia telah memberi kesedaran kepada
masyarakat untuk memupuk sikap ‘sense of trust’ /kepercayaan bagi mengawal kesan dan
akibatnya. Seterusnya, rentetan daripada ‘sense oftrust’ tersebut, wujud elemen refleksiviti bagi
mengimbangi pertimbangan positif dan negatif.

Penyebaran penyakit Covid-19 pada pada tahun lalu mencetuskan rasa cemas dalam
kalangan penduduk di Malaysia. Terkini, penularan Covid 19 turut memberi kesan kepada
masyarakat Malaysia sungguhpun negara pembawa virus terletak ribuan kilometre dari Malaysia.
Masyarakat kini terdedah dengan pelbagai penyakit yang tidak dijangka menyebabkan masyarakat
kini hidup dalam keadaan yang berisiko. Konsep ruang dan masa yang dahulu menjadi penghalang
kini tidak lagi. Kerana dengan adanya ledakan juggernaut ini, penyakit yang bermula di negara luar
lalu menerobos masuk ke dalam negara. Dengan penularanvirus ini, masyarakat mula berjaga-jaga
dengan penjagaan kesihatan dan pihak kerajaan mulamengambil langkah serius dengan membuat
kawalan di setiap lapangan terbang bagi menapissuhu orang yang masuk ke dalan negara bagi
menghalang dan mengawal penularan virus ini didalam negara.

Perkembangan ICT yang semakin pesat telah membawa kebaikkan dan banyak memberikan
kesan kepada kehidupan seharian manusia. Jika dilihat dari segi kemudahan, dengan pengenalan
“Online Banking” dan “Online Shopping ” telah mengubah cara keseluruhan bagaimana masyarakat
berurusan pada masa kini. Walaupun dengan penggunaan ICT dan teknologi sebagai bantuan untuk
membuat pembelian dan urusan perbankan, masyarakat tidak seharusnya meletakkan sepenuh
kepercayaan serratus peratus kepada sistem komputer dan ICT semata-mata. Hal ini dikatakan
demikian kerana, setiap sistem itu kadang kala akan membawa kepada masalah. Dengan itu,
masyarakat haruslah berjaga-jaga dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan tidak
berlakunya masalah pada masa akan datang.

Penggunaan robotik dan jentera dalam Revolusi Perindustrian 4.0 dalam menggantikan
sumber manusia pada masa kini juga semakin berleluasa. Dengan ledakan teknologi dan pengetahun
yang semakin canggih menyebabkan banyak jentera dicipta untuk memudahkan pengeluaran.
Walaupun begitu, konsepreflektiviti haruslah diaplikasikan supaya tidak timbul masalah pada masa
akan datang. Pihak kilang dan pengurusan harus memantau penggunaan robotik, jentera dan mesin
yang ada supaya ia berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kesimpulannya, teori juggernaut sangat releven untuk menggambarkan arus modenisasi


yang dialami oleh masyarakat global pada hari ini. Individu dan masyarakat tidak dapat mengelakkan
diri daripada konsep ini kerana setiap apa yang terjadi dalam kehidupan mempunyai hubung kait
danmenjadi medium serta agen sosialisasi rutin harian. Manusia memerlukan antara satu sama lain
bagi mencapai objektif serta matlamat yang diimpikan mengikut keperluan dan kehendakmasing-
masing. Masyarakat pada hari ini perlu sedar akan pengaruh serta kesan daripada juggernaut agar
dapat menghindari diri daripada dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak yang ingin mengambil
kesempatan.

4.0 Penutup

Kesimpulannya, teori menawarkan suatu huraian bagi sesuatu hal atau kejadian. Dalam disiplin
ANSOS, teori dan konsep merupakan dua elemen penting dalam memahami fenomena dan tingkah
laku individu serta interaksi yang wujud dalam masyarakat. Teori ANSOS akan terus berkembang
kerana struktur masyarakat yang semakin kompleks dan dinamik. Pada pendapat pengkaji, teori
ANSOS sangan pening untuk kehidupan seharian manusia.
Rujukan

1. Rahimah Abdul Aziz, 2005. Pengajian Ilmu Antrapologi dan Sosiologi Di Universiti
Kebangsaan Malaysia: Menoleh Ke Belakang, Melangkah Ke Hadapan. Akademika 66.
2. Gidden, A. 2001. Sociology (4th ED), Polity Press London.
3. Gidden, A. 1999.Runaway World: How Globalization is Reshaping Our Lives. Profiles Book:
London.
4. Rokiah Ismail. 2006. Fungsi Teori Dalam Penyelidikan Dan Penulisan Ilmiah. Dlm. (pnyt.).
Penulisan Ilmiah, hlm.23-27. Malaysia: Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan
Persekitaran dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
5. Rohana Yusof. 2010. Asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa dan Pustaka.
6. Bierstedt, R. 1979. Sociological Thought in the Eight Century. Dlm. Bottomore, T.& Nisbet,R.
(pnyt). A History of Sociological Analysis hlm 39. London: Heinemann Educational Book Ltd.
7. Ritzer, G & Smart, B. 2001. Introduction: Theorists, Theories and Therizing. Dlm. (pnyt.).
Handbook of Social Theory, hlm. 1-9. Great Britain: SAGE Publication Ltd.
8. Fatimah Daud. 1992. Pengenalan Teori-teori Sosiologi. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai