Anda di halaman 1dari 2

BAHAYA RASUAH

Jenayah rasuah merupakan ancaman utama kepada kita. Gejala rasuah yang tidak dibendung
akan membawa malapetaka kepada sesebuah negara. Budaya rasuah boleh diumpamakan
seperti barah yang boleh menjatuhkan sesebuah bangsa dan negara. Pembangunan dan kejayaan
negara sudah tentunya bergantung pada sikap dan moral yang diamalkan oleh setiap pengurusan,
pentadbiran dan rakyat secara keseluruhannya untuk melaksanakan tugas dengan rasa
tanggungjawab, bersih dan beramanah. Rasuah dirujuk sebagai penyalahgunaan kepercayaan
untuk kepentingan peribadi. Rasuah juga boleh diertikan sebagai suatu pengkhianatan terhadap
kepercayaan sama ada melibatkan pemerintah, lembaga swasta ataupun masyarakat umum.
Rasuah boleh ditafsirkan sebagai pemberian atau penerimaan wang sogokan, komisen, pelincir,
duit kopi, ang pow, kau tim, atau “under table money” manakala dari sudut undang-undang pula,
definisi rasuah tidak dinyatakan secara khusus tetapi hanya dinyatakan sebagai takrif suapan.

Catatan sejarah tertulis sejarah peradaban Empayar Rom, Empayar Uthmaniah dan Dinasti
Ming yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa
mengamalkan rasuah. Akhirnya empayar-empayar tersebut hancur. Demikian juga dengan
kejatuhan Kerajaan Nasionalis Chiang Kai-Shek di China, Richard Nixon di Amerika, Marcos di
Filipina dan Presiden Mobuto di Zaire yang tumbang kerana jenayah yang sama. Kegiatan rasuah
di negara kita berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sejarah Melayu sendiri
menyaksikan bagaimana sebuah tamadun Melayu yang gemilang di bawah pemerintahan
Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis akibat amalan rasuah yang berleluasa dalam
kerajaannya. Dalam catatan Sejarah Melayu atau juga dikenali sebagai Sulalat al-Salatin, Tun Sri
Lanang meriwayatkan bagaimana korupsi yang melibatkan Bendahara Seri Maharaja yang
menerima wang pemberian Raja Mendeliar, sekali gus telah meruntuhkan segala yang baik dan
mulia dari kerajaan Melaka yang telah dibina oleh beberapa generasi sebelumnya.

Sehingga hari ini, polemik yang sering dibincangkan kerana menganggu-gugat kedaulatan
mengancam kedaulatan negara ini adalah gejala salah laku rasuah. Jelas di kaca televisyen dan
media sosial kita dapat melihat gejala ini berlaku di setiap peringkat dan yang menyedihkan adalah
rasuah dalam kalangan kakitangan awam. Perbincangan mengenai rasuah akan memfokuskan
kepada elemen yang terdapat dalam rasuah iaitu pemberi rasuah yang merupakan individu yang
bertanggungjawab dalam memberi rasuah kepada seseorang, manakala penerima rasuah pula
adalah individu yang menerima rasuah. Merujuk kepada elemen ketiga iaitu suapan, ianya tidak
terhad kepada wang ringgit sahaja. Bentuk-bentuk suapan dinyatakan dalam Seksyen 3 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Sebagai contoh bentuk suapan hadiah,
pembekal A memberi hadiah berbentuk set golf kepada B, seorang pegawai kewangan supaya
mempercepatkan bayaran bagi tuntutannya. Manakala terdapat juga elemen balasan ialah tujuan
rasuah diberi atau diterima dan elemen terakhir ialah Mens rea atau niat jahat yang mana merujuk
kepada elemen paling penting untuk dibuktikan.

Dalam konteks pendidikan, rasuah juga boleh berlaku dengan mengemukakan atau
menggunakan tuntutan palsu. Kesalahan berlaku apabila seseorang itu mengemukakan dokumen
tuntutan yang mengandungi maklumat tidak benar kepada sesebuah pejabat sama ada agensi
kerajaan atau swasta. Tuntutan palsu dibuat bagi mendapat keuntungan peribadi. Kesalahan ini
diperuntukkan melalui Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Secara mudahnya, kesalahan berlaku
apabila tuntutan bayaran bagi barang/perkhidmatan adalah tidak sama dengan pembekalan
sebenar. Tuntutan palsu boleh berlaku dalam beberapa keadaan, sama ada barang atau
perkhidmatan tidak dibekalkan langsung atau dibekalkan pada kuantiti yang kurang atau tidak
mengikut spesifikasi seperti mana dinyatakan dalam dokumen tuntutan. Warga pendidik berisiko
terlibat bagi kesalahan ini. Berikut adalah beberapa contoh kes yang melibatkan warga pendidik:
Contoh 1: Dekan dipenjara kerana perakukan tuntutan palsu PUTRAJAYA, 30 Januari 2012 -
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 ke atas Dekan
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA).
Beliau didapati telah memperakukan pembekalan peralatan Multi Joint 2 AP berharga RM138,600.
Padahal, peralatan sebenar yang dihantar adalah Multi Hip yang hanya berharga RM27,965.

Terdapat beberapa punca berlakunya rasuah. birokrasi juga dikatakan sebagai suatu
peluang wujudnya masalah rasuah di dalam sektor awam. Seringkali karenah birokratik dianggap
perkara yang melambatkan sesuatu perkara dalam urusan pengurusan awam. Keadaan menjadi
kritikal apabila melalui birokratik, kehendak-kehendak seseorang sering terbatas ataupun lambat.
Oleh itu, keadaan ini telah mewujudkan peluang rasuah bagi memastikan kehendak seseorang da
lam khidmat awam menjadi lebih cepat. Sehinggakan perkara -perkara yang remeh temeh juga
dikaitkan dengan rasuah bagi memastikan seseorang yang berkehendakan sesuatu mendapat
kehendaknya dengan segera. Faktor lain yang menyebabkan mudahnya seseorang menerima
rasuah adalah apabila mereka mengalami tekanan kewangan dan tekanan kerja yang berlebihan.
Kebanyakan mereka mempunyai salah satu dari masalah-masalah seperti hutang, tunggakan bil,
inginkan gaya hidup mewah, terlibat dengan dadah, alkohol dan sebagainya. Kos sara hidup yang
semakin hari semakin meningkat juga menyumbang tekanan kepada pekerja-pekerja sedangkan
gaji yang diberi tidaklah seiring dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya mereka yang
mempunyai isteri dan anak yang ramai.

Seterusnya, dalam menangani isu rasuah terdapat beberapa peruntukan peraturan–


peraturan penguatkuasaan undang-undang mengenai hadiah. Berdasarkan Pekeliling Bil 3 Tahun
1998 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) (Peraturan 8 dan
Peraturan 9) iaitu Penjawat awam dilarang daripada memberi dan menerima hadiah sekiranya
berkaitan dengan tugas awamnya dan atau bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan
dengan maksud hadiah itu diberi. Selain itu, peraturan dalam Seksyen 165 Kanun Keseksaan
adalah Adalah menjadi kesalahan ke atas penjawat awam menerima benda yang berharga,
dengan tiada balasan daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa pembicaraan atau
urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.

Setiap individu memainkan peranan dalam membentuk nilai jati diri bagi mencegah dan
menjauhi gejala rasuah. Secara keseluruhan, negara boleh berintegriti kalau individu penuh
dengan integriti. Individu yang bertanggungjawab dalam membentuk nilai sendiri. Tidak boleh
bergantung kepada sebuah organisasi sahaja mencegah rasuah. Seseorang mempunyai
kewajipan melapor jenayah rasuah. Seorang individu wajib melapor sekiranya dijanji, ditawar atau
diberi rasuah. Sekiranya gagal melapor akan didenda tidak lebih RM 100, 000 atau penjara tidak
lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Sesetengah individu berasa takut untuk melaporkan
kegiatan rasuah ini. Namun perkara ini sebenarnya tidak perlu untuk ditakuti kerana terdapat Akta
Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 merangkumi kerahsiaan identiti Pemberi Maklumat itu
sendiri, pemberi maklumat akan kebal daripada tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat
daripada pendedehan dengan syarat pemberi maklumat bersedia dikenali oleh pegawai SPRM.

Kesimpulannya, rasuah perlu dibanteras dari akar umbinya kerana ia sudah menjadi
masalah kepada masyarakat. Semua pihak hendaklah bekerjasama mengatasi masalah rasuah
agar masalah ini dapat dibendung. Kita juga hendaklah mengukuhkan dan meningkatkan nilai-
nilai murni dalam kehidupan seharian kita untuk mengatasi masalah rasuah. Rasuah diibaratkan
sebagai anai-anai yang boleh menumbangkan sebuah kerana kerjanya tidak nyata tetapi mampu
melumpuhkan sebuah negara.

Anda mungkin juga menyukai