Anda di halaman 1dari 3

Syair Pohon Buluh

Mohd. Yusof Md. Nor & Dr. Abd. Rahman Kaeh


Antologi Kuingin Berterima Kasih (Tingkatan 1)

Menara tinggi banyak bertingkat


Di sana tiada bilik bersekat
Tiada bertangga naik melekat
Mata-mata menjaga segenap pangkat

Yang ada sedia panji-panji bendera


Hingga sampai ke kemuncak menara
Banyak ada ia bersaudara
Yang ada pula bersama gara

Selalu dipandang dilihat adanya


Tinggi rendah dijerat pangkatnya
Besar kecil ikat binanya
Terlalu kuat pula asasnya

Ikatnya licin di luar di dalam


Gelapnya di dalam seperti malam
Air tak tiris seperti kolam
Ikat tingkatnya tak nampak alam

Rangkap 1
Pohon buluh digambarkan sebagai sebuah menara tinggi yang bertingkat-tingkat tetapi tidak mempunyai bilik dan tangga.
Setiap pangkat (merujuk kepada ruas buluh) dikawal oleh mata-mata (merujuk kepada miang buluh). Secara realiti,
rumpunan buluh menggambarkan masyarakat. Masyarakat dinasihatkan supaya hidup secara bermuafakat, saling
menghormati antara satu sama lain.

Rangkap 2 
Daun-daun buluh yang kebanyakannya sama saiz diibaratkan sebagai kibaran bendera dari pangkal hingga ke puncak
pokok. Menggambarkan kehidupan masyarakat berbilang kaum dalam satu tampuk pimpinan yang hidup aman, sentosa
dan sejahtera.

Rangkap 3
Resmi pokok buluh, hidup berbatang-batang dalam satu rumpun tanpa mengira kekuatan atau saiz. (Menggambarkan
kesatuan yang kuat/utuh). Masyarakat perlu hidup bersatu padu tanpa mengira kaum, pangkat, kedudukan atau status.
Barulah boleh hidup dengan harmoni.

Rangkap 4
Menjelaskan lebih lanjut keadaan di bahagian dalam dan di luar buluh yang licin. Bahagian dalam batangnya gelap
(umpama malam), boleh menakung air tanpa tumpah. Ini menggambarkan keadaan masyarakat yang bersatu padu dan
hidup secara muafakat. Hubungan yang kukuh sesama anggota masyarakat menjadikan masyarakat tersebut satu unit yang
kuat.

Tema
Kemegahan pohon buluh yang hidup dan bertumbuh dengan subur menggambarkan kepentingan hidup bersatu padu
dalam masyarakat.

Persoalan
1. Ciri fizikal pohon buluh, pokok yang tinggi dengan ruas-ruasnya yang banyak. Kepentingan hidup
bermasyarakat di bawah satu tampuk pimpinan yang adil dan saksama.
2. Kekuatan rumpun buluh lambang kesatuan antara pepohonnya. Sikap cinta akan negara dan bersemangat
patriotik dalam kalangan masyarakat penting untuk membina masyarakat yang bersatu padu.
3. Keindahan lambaian dedaun buluh umpama bendera-bendera yang berkibar megah. Kepentingan sikap
saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang kaum akan melahirkan masyarakat yang hidup
harmoni.
4. Keadaan di dalam dan luar batang buluh yang licin dan mampu menampung air. Perpaduan amat penting
dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.

Bentuk
1. Mempunyai empat rangkap.
2. Setiap rangkap mempunyai empat  baris.
3. Setiap baris terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata.
4.  Mempunyai empat hingga enam perkataan dalam sebaris.
5.  Rima akhirnya  aaaa.

Gaya Bahasa
 Asonansi
Pengulangan vokal a
Contoh: 
Mata-mata menjaga segenap pangkat
Yang ada sedia panji-panji bendera

Pengulangan vokal i
Contoh: 
Ikatnya licin di luar di dalam

 Aliterasi
Pengulangan konsonan  g
Contoh: 
Menara tinggi banyak bertingkat

Pengulangan konsonan  t
Contoh: 
Tiada bertangga naik melekat
Tinggi rendah dijerat pangkatnya

 Kata ganda - panji-panji, mata-mata


 Imej alam - kolam,  alam
 Inversi - banyak ada ia bersaudara
 Simile - gelapnya di dalam seperti malam, air tak tiris seperti kolam
 Sinkope - tak
 Repetisi 
Yang ada sedia panji-panji bendera
Hingga sampai ke kemuncak menara
Banyak ada ia bersaudara
Yang ada pula bersama gara

Nilai
1. Perpaduan – Masyarakat yang berbilang kaum hanya boleh hidup aman dan harmoni seandainya
mengamalkan nilai perpaduan. Apabila rakyat hidup bersatu padu, negara yang aman sejahtera akan terbina
dengan kukuhnya.
2. Saling memerlukan - Pohon-pohon buluh yang hidup dalam satu rumpun saling bergantungan antara satu
sama lain, membentuk rumpunan yang kuat. Dalam hidup bermasyarakat, kita perlu saling menolong antara
satu sama lain.
3. Bermuafakat - Masyarakat wajar hidup bermuafakat dan bersatu padu tanpa mengira kaum, agama, pangkat
dan kedudukan.
4. Semangat patriotik/Cinta akan negara - Masyarakat yang bersemangat patriotik akan sentiasa hidup harmoni
dan bersatu padu.

Pengajaran
1. Kita haruslah bersatu padu dalam kumpulan (termasuk komuniti/masyarakat) tanpa mengira pangkat, agama,
darjat dan keturunan.
2. Kita haruslah bekerjasama dalam kumpulan kerana kita hidup saling memerlukan dalam membentuk satu unit
kumpulan yang kuat. 

Anda mungkin juga menyukai