Anda di halaman 1dari 7

bismillah... ini adalah tugasan buat ros paada hari persaraan GPK 1 SK Bukit Beruang..

ros
kena baca biodata..diiringi background music yang sedih..huuu..selamat bersara dan
berehat Puan Hajah Duriah Bt Omar....semoga diberikan kesihatan yang berpanjangan...:)
Segak bergaya putera mahkota, Dimahkotakan dalam majlis yang meriah, Izinkan saya
membacakan biodata, Didahului dengan lafaz bismillah. Bismillahirrahmanirrahim…. Pada
tanggal 9 oktober 1956 tarikh keramat bagi pasangan bertuah Encik Haji Omar bin
Jamaludin dan Puan Halimah Binti Nasih di kampung Pantai Remis, Perak apabila
dikurniakan seorang puteri. Anak ke -5 dari 8 orang adik beradik ini diberi nama Duriah binti
Omar. Beliau telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh dan di beri didikan yang
sempurna. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan
Pengkalan Baharu, Pantai Remis, Perak pada tahun 1963. Maka bermulalah pencarian ilmu
yang pertama baginya. Detik waktu menginjak pantas dan tahun juga bersilih ganti. Setelah
enam tahun di sekolah rendah, pada tahun 1969 beliau melanjutkan pelajaran di peringkat
menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Idris sehingga ke tingkatan 3,
manakala tingkatan 4 dan 5 nya di sekolah menengah convent jalan peel, Kuala Lumpur.
Bukanlah cita-citanya untuk menjadi seorang guru, namun hajat dan keinginan bapanya
yang tinggi untuk melihat beliau berjaya dalam bidang pendidikan, beliau telah melupakan
keinginannya di dalam bidang perubatan lantas beliau memilih untuk mengikuti latihan asas
perguruan di Maktab Perguruan Kota Baharu, Kelantan pada tahun 1976. Bermula dari sini,
beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani menempuhi segala dugaan dan ujian
dalam arena pendidikan yang penuh mencabar. Kata orang, “alah bisa tegal biasa”, dan
“genggam bara biar sampai jadi abu”, begitulah semangat yang dimiliki oleh Puan Duriah
Binti Omar, Guru Penolong Kanan 1 yang sangat dihormati dan disayangi. “selamat pagi
cikgu” ucapan keramat pertama beliau terima pada tanggal 3 januari 1978 di SJK © Tit Bin,
Pantai Remis, Perak. Semenjak tarikh itu, Cikgu Duriah terus menabur bakti mendidik anak
bangsa tidak kira di mana barada. Tenanglah tenang air dilaut, Sampan kolek mudik ke
tanjung, Hati terkenang mulut menyebut, Budi yang baik pasti disanjung.

Bermula tarikh melapor diri pada 3 Januari 1978 sehingga ke hari ini 31 Oktober 2013,
Cikgu Duriah telah berkhidmat selama 34 tahun 9 bulan dan 29 hari. Sepanjang tempoh
tersebut Cikgu Duriah telah mengajar di 6 buah sekolah di 4 buah negeri yang berbeza iaitu
di negeri Perak Darul Ridzuan, di negeri Pahang Darul Makmur, di Negeri Sembilan Darul
Khusus dan di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Sekolah pertama yang mendapat
sentuhannya adalah SJKC Tit Bin, Pantai Remis, Perak iaitu pada tahun 1978 sehingga
1980. Pada tahun berikutnya, Cikgu Duriah berkhidmat di SK Kuala Tembeling, Jerantut,
Pahang Darul Makmur sehingga November 1985. Pada tahun 1986, Cikgu Duriah berpindah
ke SK Jelai, Gemas N.Sembilan dan berkhidmat disitu sehingga Novermber 1991.
Perkhidmatan beliau di negeri Sembilan selama 6 tahun sahaja kerana pada tahun 1991
Cikgu Duriah telah berpindah ke negeri Melaka. Di negeri Melaka, beliau telah ditempatkan
di SK Bukit Beruang diikuti dengan SK Kubu dan SK Seri Bandar. Negeri yang kaya dengan
sejarah, Melaka..disinilah segala-galanya bermula. Beliau telah dilantik sebagai pentadbir
ketika berkhidmat di Sk Bukit Beruang. Selama 13 tahun perkhidmatannya di sekolah ini,
beliau telah memegang beberapa jawatan sebagai GPK Kokurikulum, GPK HEM, dan GPK
Kurikulum sehinggalah tarikh keramat persaraan beliau pada hari ini. Bakat kepimpinannya
sungguh menyerlah. Berpegangag kepada prinsip hidupnya yang suka berterus terang dan
hanya percaya kepada kejujuran. Beliau mempunyai wawasan yang cukup tinggi dan patut
dicontohi. Sikap prihatinnya terhadap anak didik amat tinggi malah sentiasa mengutamakan
mereka dalam banyak hal. Beliau tidak pernah jemu dan mengalah dalam usaha
memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua anak didiknya. Beliau telah memulakan
tugas sebagai seorang guru penolong kanan 1 pada 16 julai 2010. Disinilah destinasi
terakhir beliau sebelum menamatkan perkhidmatan beliau pada usia persaraan 57 tahun.
Sikap keprihatinannya terhadap anak bangsa tidak pernah luntur ditelan masa di mamah
usia. Sentiasa ikhlas menjalankan tugasnya dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan
wang ringgit. Banyak masanya dihabiskan dengan mengabdikan diri pada tugasnya sebagai
seorang guru. Terang bulan dimalam hari, Indah gemerlap bintang bercahaya, Kasih dan
sayang ikhlas terpatri, Rindu bertaut sepenuh jiwa. Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu,
guruku, Budi yang diapungkan didulangi ilmu, Panggilan keramat CIKGU kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat. Tinggi sungguh pohon kuini, Dililit pepaku bersulam
semalu,

Melepaskan dirimu disaat ini, Basahlah kami meratap pilu. Sekian, Wabillahi taufiq
walhidayah, wassalamu…….~

CONTOH PENULISAN BIODATA UNTUK MAJLIS PERSARAAN~

Segak bergaya putera mahkota, Dimahkotakan dalam majlis yang meriah, Izinkan saya
membacakan biodata, Didahului dengan lafaz Bismillah.

Bismillahirrahmanirrahim.....

Dilahirkan pada tanggal 15 Ogos 1956 bersamaan dengan 10 Muharam di Kg Tengah,


Jelutong iaitu di sebuah negeri di utara Semenanjung yang terkenal dengan panggilan Pulau
Mutiara. Merupakan anak kepada pasangan Alapitchay b Shaik Lebai dan Fatimah bt Muhd
Yusuf yang telah mendirikan rumahtangga pada tahun 1943. Dibesarkan dalam sebuah
keluarga besar iaitu seramai 12 orang adik-beradik dan Encik Abdul Habib merupakan anak
ketujuh. Ketika beliau belajar di darjah enam, ayahnya telah meninggal dunia. Semenjak itu,
segala keperluan dan tanggungjawab terhadap keluarga diambilalih oleh ibunya.

Mendapat pendidikan awalnya di SK Jelutong, Pulau Pinang iatu dari tahun 1963 hingga
1968. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di SM Raja Tun
Uda, Bayan Lepas dari tahun 1969 hingga 1973. Meneruskan pelajarannya di peringkat
menengah atas di SM Abdullah Munshi, Pulau Pinang pada tahun 1974. Kecemerlangan
beliau dalam bidang akademik dan juga Ko-Kurikulum memang tidak dapat dinafikan.
Pernah menjadi Naib Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan juga Naib Pengerusi Kelab
Ping Pong serta menjadi Ketua Rumah Sukan. Aktif dalam bidang sukan dan pernah
menjadi wakil sekolah dalam pertandingan catur, perlawanan bola sepak dan juga sukan
olahraga.

Beliau telah mengikuti Latihan Asas Perguruannya di Maktab Perguruan Jalan Northen,
Pulau Pinang selama tiga tahun iaitu dari 1975 hingga 1977. Bermula dari sini, beliau mula
melangkah dengan lebih yakin dan berani untuk menempuhi segala dugaan dan ujian dalam
arena pendidikan yang penuh mencabar. Kata orang, “alah biasa tegal biasa” dan “genggam
bara api biar sampai jadi abu”, begitulah semangat yang dimiliki oleh Encik Abdul Habib b
Alapitchay, Guru Besar SKPA yang sangat dihormati dan disayangi.

Memulakan tugas beliau sebagai seorang pendidik di negeri Selangor Darul Ehsan. Bermula
1 Mac 1978 sehingga 1980, beliau bertugas di SK Bukit Tampoi, Dengkil, Selangor.
Seterusnya pada tahun 1980 sehingga 31 Januari 1984, beliau

telah bertukar ke SK Dengkil, Selangor.

Apalah guna memasang pelita, Jika tidak dengan sumbunya, Apalah guna bermain mata,
Jika tidak dengan sungguhnya.

Ambil gendang di Kampung Kandis, Ditabuh ramai ditingkah biola, Makin dipandang
semakin manis, Dilabuh hati menyala cinta.

Puteri bongsu memetik melati, Tumbuh mewangi di tengah laman, Gerak laku pancaran
budi, Baiknya pekerti hati tertawan.

Begitu indahnya pantun Melayu yang tersimpan pelbagai maksud yang tersirat dan tersurat.
Benar jugalah kata pepatah, “Kalau jodoh tak ke mana...”, akhirnya dua hati ini bersatu
dengan ijab dan kabul dengan restu seluruh ahli keluarga tercinta. Justeru bertautlah kasih
berpautlah ikatan sayang antara Encik Abdul Habib b Alapitchay dan pasangannya Puan
Zaharah bt Dahlan pada 4 April1981. Ketentuan Allah swt adalah yang terbaik buat sekalian
hamba-Nya, begitulah ungkapan yang boleh menggambarkan penyatuan antara dua hati ini.
Encik Abdul Habib yang merupakan anak yatim akhirnya bertemu jodoh dengan Puan
Zaharah yang juga merupakan anak yatim piatu. Kesunyian dan kesepian ketika bertugas di
rantau orang akhirnya terubat apabila bertemu dengan pilihan hati yang menjadi pemangkin
serta pencetus semangat untuk terus berbakti kepada anak bangsa demi negara bangsa
yang tercinta.

Bertautnya kasih di Jabbar Rahmah, Adam dan hawa menyulam rasa, Anak-anak itu
amanah Allah, Pengikat kasih dan sayang keduanya.

Pucuk pegaga tumbuh melata, Jadi ulaman penambat selera, Anak itu seumpama permata,
Sejuk di mata damai di jiwa.

Encik Abdul Habib b Alapitchay dan pasangannya Puan Zaharah bt Dahlan telah
dianugerahi Ilahi dengan kehadiran lima orang cahaya mata, iaitu dua perempuan dan tiga
lelaki. Anak sulung pasangan ini, Siti Nor Afzan berusia 29 tahun, diikuti Siti Nor Aisyah 27
tahun, ketiga Nor Saiful Hafiz 26 tahun, keempat Nor Saiful Bahari 23 tahun dan yang
bongsu Nur Muhammad Syahir 20 tahun. Keempatkeempat anak pasangan ini berjaya
dalam bidang masing-masing dan mempunyai kerjaya yang boleh dibanggakan. Manakala
anak bongsu pasangan ini masih menuntut di pusat pengajian tinggi.

Puteri sulung dan puteri kedua pasangan ini telah mendirikan rumahtangga dengan
pasangan pilihan masing-masing pada November tahun lepas. Dan kini Encik Habib dan
pasangannya Puan Zaharah boleh tersenyum gembira kerana telah dikurniakan dengan
kehadiran cucu pertama dalam keluarga mereka. Tahniah diucapkan. Semoga kebahagiaan
yang dimiliki oleh keluarga ini akan terus berkekalan dan berpanjangan hingga ke akhirnya.
Aameen Ya Allah.

Bak kata bidalan Melayu, ‘benih yang baik, dilempar ke mana-mana pun tetap memberikan
hasil’, begitulah juga dengan Encik Abdul Habib b Alapitchay. Khidmat bakti beliau sentiasa
ditagih lantaran ciri-ciri kepimpinan yang telah sebati dalam diri beliau serta semangat beliau
yang sentiasa membara dan tidak pernah mahu mengalah. Bermula Februari 1984
sehinggalah 30 November 1990, beliau berkhidmat di SK Bukit Changgang, Banting,
Selangor. Setelah enam tahun menabur bakti di SK Bukit Changgang, beliau kembali
berkhidmat di sekolah lama beliau iaitu SK Dengkil, Selangor bermula Disember 1990
hingga 30 November 1991.

Selama 13 tahun menabur bakti di bumi Selangor Darul Ehsan, akhirnya Encik Abdul Habib
b Alapitchay memulakan tugasnya di negeri Perak Darul Ridzuan. Sekolah pertama yang
mendapat sentuhannya adalah SK Toh Johan, Trong, Perak. Bermula Disember 1991
sehingga 15 Disember 1995 dan jawatan yang dipegang oleh beliau adalah Penolong
Kanan Pentadbiran. Seterusnya beliau telah

dinaikkan pangkat menjadi guru besar di SK Air Putih, Taiping bermula 16 Disember 1995
sehingga 9 Julai1999. Beliau merupakan Guru Besar pertama yang merintis sekolah
tersebut dan telah berjaya mencipta kecemerlangan. Seterusnya pada 10 Julai 1999 beliau
telah berpindah sekolah dan menjadi Guru Besar di SK Sultan Abdullah, Kg Cheh sehingga
28 Februari 2001. Bakat kepimpinan beliau sungguh menyerlah dan beliau mempunyai
wawasan pendidikan yang cukup tinggi dan patut dicontohi.

Dan apa yang pasti beliau begitu prihatin terhadap anak-anak didiknya malah sentiasa
mengutamakan mereka dalam banyak hal. Tidak pernah jemu dan mengalah dalam usaha
memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua anak didiknya, sejajar dengan prinsip
hidup beliau ‘mengajar anak orang bersungguhsungguh, pastinya anak kita orang lain akan
ajar bersungguh-sungguh juga’. Seharusnya kita semua meneladani sikap beliau ini.
Bermula 1 Mac 2001sehinggalah 15 Disember 2003, beliau telah meneruskan tugas beliau
sebagai seorang Guru Besar di SK Long Jaafar, Kamunting. Seterusnya pada 16 Disember
2003 beliau bertukar angin dan menjadi Guru Besar di SK King Edward I. Beliau menabur
bakti di sekolah ini selama hampir 8 tahun sebelum memulakan tugasnya di SK Pengkalan
Aur pada 1 Julai 2011 sehinggalah sekarang ini. Dan SK Pengkalan Aur merupakan
destinasi terakhir beliau sebagai Guru Besar sebelum menamatkan perkhidmatan beliau
selama 34 tahun pada 31 Disember ini. Untuk pengetahuan semua, Encik Abdul Habib b
Alapitchay telah menyandang jawatan sebagai Guru Besar selama 17 tahun dan
mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan cemerlang.

Perlu dinyatakan di sini, sifat keprihatinan dan kepemimpinan Encik Abdul Habib begitu
terserlah dan sukar disanggah. Beliau telah membuat banyak perubahan di SKPA.
Antaranya menjenamakan SKPA dengan menjadikan warna oren sebagai warna identiti
sekolah, memperkenalkan slogan ‘SKPA Hebat’ bagi memberikan motivasi dan semangat
kepada semua murid, mengadakan kelas bimbingan atau ‘prep malam’ bagi calon-calon
UPSR, melaksanakan program turun padang dengan membuat kunjungan mesra ke rumah
murid-murid yang akan menduduki UPSR serta murid-murid Tahun 5 yang bakal menduduki
UPSR. Makna kata, sikap keprihatinan beliau terhadap anak bangsa tidak pernah luntur
ditelan masa dimamah usia.

Sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugasnya dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan
wang ringgit. Mempunyai ramai anak angkat yang terdiri daripada

murid-murid miskin yang tidak berkemampuan. Beliau sanggup membelanjakan wangnya


semata-mata ingin melihat kejayaan anak-anak muridnya. Malah ada di antara anak
muridnya yang telah berjaya dalam bidang kerjaya mereka berkat bantuan Encik Habib.
Membiayai pengajian mereka sehingga ke peringkat yang tertinggi dan boleh dibanggakan.
Begitulah mulianya hati Encik Abdul Habib b Alapitchay. Kebanyakan daripada masanya
dihabiskan dengan mengabdikan diri pada tugasnya sebagai guru dan anggota masyarakat.
Beliau lebih mengutamakan tugasnya daripada perkara-perkara yang lain.

Tinggi bukit gilang-gemilang, Air laut tenang-tenangan, Budi sedikit tidakkan hilang, Ia
menjadi kenang-kenangan.
Tenanglah tenang air di laut, Sampan kolek mudik ke tanjung, Hati terkenang mulut
menyebut, Budi yang baik rasa nak junjung.

Untuk berjaya kita perlu mendaki setangga demi setangga sehingga ke puncak jaya, Begitu
jugalah dengan Encik Abdul Habib b Alapitchay. Kecemerlangan dalam kepemimpinan
beliau memang terserlah dan tidak boleh disangkal lagi. Pada tahun 2003, beliau telah
dilantik sebagai Guru Besar Cemerlang DGA 38. Pada tahun 2006, beliau telah terpilih
sebagai Pemimpin KoKurikulum peringkat Negeri Perak dan pada Tahun 2009 pula, beliau
telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Antara tugas-tugas luar yang beliau terlibat adalah:

Setiausaha Sambutan Hari Negeri Selangor 1982

Setiausaha Sukan Majlis Sukan-sukan Daerah (MSSD) Kuala Langat 1986 – 1990

Pengadil Hoki Bawah 12 tahun Negeri Selangor

Yang Dipertua Majlis Guru Besar, Larut Matang dan Selama

Naib Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Perak

Exco Majlis Guru Besar Kebangsaan

Pengerusi Sekolah Agama Rakyat, Assam Kumbang

Pengerusi PIBG SK Assam Kumbang

Demikianlah serba sedikit biodata Encik Abdul Habib b Alapitchay, Guru Besar SK
Pengkalan Aur Taiping, yang akan menamatkan perkhidmatan beliau pada hari ini. Segala
jasa bakti beliau akan dikenang sepanjang hayat kita dan hanya Allah swt sahaja yang
dapat membalasnya.

Terang bulan di malam hari, Indah gemerlap bintang bercahaya, Kasih dan sayang ikhlas
terpatri, Rindu bertaut sepenuh jiwa.

Indah gemerlap bintang bercahaya, Semilir berhembus berpuput mesra, Rindu bertaut
sepenuh jiwa, Mesra terjalin indah terasa.

Raut wajah damai dan tenang, Tiada terkalam kasih dijunjung, Jasa baktimu tetap dikenang,
Budi baikmu tetap disanjung.

Sekian, terima kasih.

Biodata Persaraan Puan Hajah Siti Minah Abdullah

Biodata Persaraan Puan Hajah Siti Minah Abdullah Raut wajah penuh ketenangan, Tidak
terkalam kasih dijunjung, Jasamu puan tetap dikenang, Budimu pula tetap disanjung
Menjunjung kasih buat yang diraikan, izinkan saya membaca sedikit biodata diri. Tanggal
25hb Januari 1957, merupakan detik kelahiran beliau, bertempat di Kampung Kubang Palas,
Telemong. Beliau merupakan cahaya mata keempat daripada lapan orang puteri , bagi
tambatan hati pasangan bahagia Encik Abdullah b. Mat Zain dan Puan Ngah bt.
Mohammad. Menjangkau seusia tiga tahun, saat baru merasai kasih ibu , saat dambakan
belaian manja siibu, bonda tersayang, bonda tercinta pergi buat selamanya menyahut
seruan ilahi.. Setelah permergian bonda, neneklah tempat beliau menumpang kasih untuk
bermanja. Sebagai anak petani kehidupannya agak sukar dan memerlukan ketabahan yang
jitu.Seusia enam tahun hadirlah wanita yang dipanggil “emak” . Kehadiranya amat disyukuri ,
menutupi ruang kosang dihati nan kecil… Mendapat pendidikan awal pada tahun1964
hingga 1968 di Sekolah Kebanggsaan Telemong, bermula Darjah Satu hingga Darjah
Empat. Berpindah ke Sekolah Pasir Akar Besut ketika Darjah Lima pada tahun 1969 hingga
1970. Perpindahan ini kerana menemani kakaknya yang baru memulakan tugas sebagai
jururawat desa. Semenjak itu beliau terus tinggal bersama kakaknya sehingga
berumahtangga. Meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Padang Midin pada tahun
1971 hingga 1976. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu…

Sebaik sahaja menamatkan alam persekolahan beliau terus mendapat tawaran meneruskan
pelajaran dibidang perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka dalam
jurusan Ekonomi Rumah Tangga pada tahun 1977 hingga 1979. Profesion beliau sebagai
guru bermula pada tahun 1980. Sebaik sahaja tamat tempoh pengajian, beliau di tempatkan
di SMK Pengkalan Berangan bermula 1980 hingga 1983. Di sinilah bermulanya titik
pertemuan ikatan hati dengan sijejaka, Encik Mohd b. Ibrahim. Tanggal 20 Julai 1979,
termeterailah ikatan hati pasangan sejoli ini. Mengecapi bahagia, hasil pengkongsian hidup
beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata, iaitu lapan orang putera dan dua orang puteri.
Didikan dan amalan untuk meraih kecemerlangan di sekolah , dipraktikkan semasa mendidik
anakanaknya. Alhamdulillah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Kemudian
berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Marang, yang kini dikenali sebagai Sekolah
Menegah Lela Segara pada tahun 1982 hingga 1994. Menunaikan rukun Islam ke lima
bersama suami tercinta pada tahun 1988. Mula menyandang jawatan penyelia petang di
Sekolah Seberang Marang pada tahun 1994 sehingga 2004. Keterampilan beliau telah
membawa kepada penganugerahan Sijil Khidmat Cemerlang pada tahun 2000. Setelah 10
tahun berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, beliau ditukarkan ke Sekolah
Kebangsaan Rusila pada 2004 dengan jawatan Penolong Kanan Kokurikulum. Mula
berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing, sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
pada 2011. Sepanjang perkhidmatannya beliau merupakan seorang yang ramah,
berdidikasi, sopan santun dan lemah – lembut. Namun dalam kelembutan ada ketegasan
ketika menangani kerenah anak didiknya.Gaya penampilannya yang sederhana tetapi
menarik sering menjadi idola rakan sejawatan dan anak didiknya.

Setelah 34 tahun mengerah keringat mencurah bakti maka pada hari ini tamatlah sebuah
perjalanan yang panjang dalam dunia pendidikan. Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa, Bilik darjah dan anak-anak keletah, Pejabat
tugas dan pembantu ikhlas,

Bilik guru dan timbunan buku. Selamat tinggal anak-anak didik semua Jadilah anak bangsa
yang berguna Agar ilmu yang diberi bukan sia-sia Sesungguhnya telah banyak jasa dan
bakti yang beliau tinggalkan. Tak tumbuh tak melata,tak sungguh orang tak kata. Benar kata
pepatah, patah tumbuh hilang berganti, tapi takkan sama dengan yang pergi. Sama-
samalah kita berdoa semoga beliau terus berbahagia dalam menjalani kehidupan baru
selepas ini iaitu alam persaraan beliau. Melati kuntum tumbuh melata, Sayang merbah
dipohon cemara, Akhir kalam penyudah kata, Moga bahagia di alam pesara. InsyaAllah.
Wassalam.

Anda mungkin juga menyukai