Anda di halaman 1dari 2

PEMOTONG KAYU YANG JUJUR

Selamat sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan
rakan-rakan sekalian.

Tampilnya saya pada hari ini adalah untuk bercerita tentang “Pemotong Kayu Yang Jujur”.

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang lelaki yang tua dan
miskin yang bernama Pak Halim. Kemahirannya hanyalah dengan memotong pokok kayu
yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup
saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi…… Pergilah Pak Halim jauh ke dalam
hutan untuk mencari kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, Mak Melah, isteri Pak Halim tidak
menemaninya kerana telah jatuh sakit. Maka, pergilah Pak Halim seorangan awal pagi
sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api.

Seharianlah Pak Halim menebang pokok kayu yang sederhana besarnya


menggunakan kapak besi yang uzur, seuzur usianya. Sehingga kepenatan tidak jua dia
berhenti. Tiba-tiba, genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangannya dari
tangannya dan terjatuhlah ke dalam sungai yang dalam.

Alangkah sedihnya hati Pak Halim apabila kapak besi kesayangannya yang menjadi
punca rezekinya telah hilang. Hendak terjun mencari, tetapi, nanti disambar oleh arus pula.
Merataplah Pak Halim mengenangkan nasibnya yang kurang baik itu. Maka, pari-pari di
langit pun bersimpati lalu menyapanya, “Wahai manusia, mengapakah engkau bersedih
sedemikian?”.

Dengan perasaan terkejut diperamati benar-benar, maka tahulah Pak Halim bahawa
pari-pari telah turun ke bumi dan telah menyapanya. Dengan terketar-ketar, Pak Halim
menjawab, “Wahai pari-pari, kapak kesayanganku telah terjatuh ke dalam sungai ini.”

“Hmm, baiklah, aku akan menolongmu mencari kapakmu yang tenggelam itu.” Lalu,
dengan serta-merta, pari-pari pun terjun ke dalam sungai itu. Beberapa minit kemudian,
timbullah pari-pari dengan sebilah kapak emas.

Dengan perasaan sedih dan sayu, Pak Halim berkata, “Bukan, bukan ini kapak
kesayangan hamba. Tidak mampu untuk hamba memiliki kapak seperti ini.” Lalu, sekali lagi
pari-pari pun terjun ke dalam sungai dan kemudian timbul bersama kapak perak. Namun,
Pak Halim masih enggan mengakui bahawa itu adalah kapaknya.

Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga Pak Halim
menerimanya sehinggalah pari-pari timbul bersama kapak besi yang kelihatan sangat uzur.
Maka, apabila terpandang akan kapak itu….giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya.
Lalu, si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada Pak Halim. Kerana kejujurannya,
kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan kepadanya. Alangkah gembiranya Pak
Halim apabila menerima kapak-kapak itu.

Pak Halim pun terus pulang ke rumah lalu menceritakan perkara yang berlaku kepada
Mak Melah. Mak Melah berasa gembira dan bangga atas kejujuran suaminya itu. Keesokan
harinya, Mak Melah pun sihat dan mereka hidup aman bahagia.

Ya kawan-kawan, ambillah pengajaran daripada cerita yang saya sampaikan sebentar


tadi. Kita mestilah jujur walau dalam apa keadaan sekalipun. Janganlah kita memberi atau
menerima apa-apa yang bernilai demi mencapai sesuatu tujuan, sebaliknya, kita haruslah
bekerja keras apabila mencari rezeki.

Sekian sahaja cerita saya, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai