Anda di halaman 1dari 10

BISMILLAHIROHMANIRROHIM..

Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh dan salam


madani buat semua.

Seawal Nabi Adam A.S dicipta, saat itulah penerokaan ilmu


bermula. Dengan membaca segala petanda kebesaran Yang
Maha Esa, maka terbinalah ketamadunan bangsa yang berjaya.

Terima kasih saudara pimpinan majlis, kombinasi intelektual


kehakiman bervisi, dif – dif kehormat yang disanjungi, seterusnya
saudara hadirin pewaris bangsa yang saya muliakan.

Hadirin sekalian,
Sebagai anak muda yang memiliki visi futuris, saya menyahut
lamaran berpidato pada hari ini dengan mengusulkan mauduk,
‘Bangsa Berilmu Bangsa Berjaya’. Sebelum melewati lebih jauh
tutur bicara ini, saya definisikan frasa, ‘Bangsa Berilmu Bangsa
Berjaya’ bermaksud, individu daripada sesuatu bangsa yang
mempunyai ilmu membawa citra kejayaan bangsanya, dan
individu tersebut berjaya memberi impak yang positif kepada diri,
keluarga, masyarakat dan nusa tercinta. Hal ini bertepatan
dengan definisi berilmu oleh Smith dan Johnson (1980:4)
menganggap proses mencari ilmu sebagai satu proses
komunikasi kerana dalam proses mencari ilmu, perlakuan
membaca, berlaku pertukaran idea-idea antara penulis dan
pembaca. Dengan kata lain, pertukaran ini membolehkan
pembaca mengutip segala input bacaannya untuk melakukan
sebarang perubahan dalam kehidupan. Justeru, saya mengajak
rakan-rakan dan sidang pendengar sekalian untuk menghayati
wacana ini agar kita menjadi sebahagian bangsa yang berjaya
dan cemerlang.
Hadirin sekalian,
Hijab pidato ini, saya buka menerusi indikator pertama
amalan pencarian ilmu melahirkan bangsa yang berjaya.
Bangsa yang berilmu pastinya membibitkan bangsa yang berjaya.
Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya berilmu sehingga
terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu
Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni
dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan
penerokaan ilmu bermula dengan bacaan sama ada bacaan lisan
mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan
penemuan baru serta merubah sesuatu bangsa ke arah kejayaan.
Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara
dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi.
Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of
Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan
berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan
Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan
Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi
serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam
mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan
di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di
bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam
indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama
sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah.
Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah
Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub
khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang berilmu tercegat
menjadi bangsa yang berjaya.
Sidang pendengar budiman,
Indikator saya yang kedua ialah melestarikan bangsa
berilmu bangsa yang maju. Sejarah telah mencatatkan bahawa
negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman
adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana
masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Oleh sebab itu,
amat wajarlah negara-negara tersebut maju dalam segala bidang,
jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai
perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali
menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya
juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang
tinggi. Dalam erti kata lain, budaya literasi memiliki peranan yang
begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah
masyarakat dan negara. Dengan menjadi bangsa berilmulah kita
menjadi tahu dan faham, sekali gus memperoleh wawasan
mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang
menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan.
Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang
hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh
Tentera Sekutu pada 6 dan 9 Ogos 1945. Jepun kemudiannya
berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya,
dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika
Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya
membangunkan kembali negaranya dari kehancuran. Tidak
cukupkah semua ini sebagai bukti bahawa bangsa yang berilmu
akan lahir sebagai bangsa yang berjaya?
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah bangsa berilmu
mendaulatkan bangsa menjadi peneroka pelbagai bidang.
Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun.
Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di
segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan
Jepun. Kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana
budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin
Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-
penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya
literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru, di
Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang
buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang
suka membaca dan berilmu, walau di mana-mana mereka
berada. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun
mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut
Cakram Fokus edisi April 2006, daripada 10 akhbar terbesar di
dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-
akhbar Jepun seperti Yomiuri Shimbun, The Asahi Shimbun dan
Mainchi Shimbun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri
Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari.
Indikator saya yang keempat ialah bangsa berilmu
mendaulatkan bangsa. Perang Salib telah menjadi satu lagi
bukti bahawa bangsa berilmu telah berjaya mengangkat martabat
bangsa. Hal tersebut berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah
yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart telah memperoleh
inspirasi budaya ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu
telah dibawa balik dan diterjemah ke bahasa Latin. Akhirnya
berkembanglah suatu lagi tamadun yang terbina atas pencarian
ilmu. Begitu juga dengan rakyat Malaysia, pada era penjajahan
dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah. Namun, atas
kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia mula celik
ilmu untuk berjuang memerdekakan negara. Hasil kesedaran
terhadap budaya ilmu, kita telah berjaya mencapai kemerdekaan
negara pada 31 Ogos 1957. Kini, setelah hampir 60 tahun
kemerdekaan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah
Negara Dunia Ketiga yang cukup pantas berkembang dan
disegani di mata dunia. Demikianlah suatu dimensi baru dalam
bangsa berilmu untuk meletakkan kita duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Jelaslah
bahawa, sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang
berjaya mengangkat maruah bangsa ialah bangsa yang berilmu.

Hadirin sekalian,
Beralih kita kepada hujah saya yang terakhir di bawah
lembayung kata bangsa berilmu, teknologi terkuasa. Berbalik
kepada era moden, bangsa berilmu telah menjadi penanda aras
utama kepada pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa
ekonomi dunia khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Kuasa ilmu telah mengangkat negara-negara seperti Jepun,
Korea Selatan untuk terus bersaing dalam pasaran teknologi
moden. Jepun amat dikenali dengan kekuatan rakyatnya berilmu
yang memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta
Amerika Syarikat. Sebut sahaja Toyota, Mazda, Mitshubitshi dan
Honda membuktikan bahawa teknologi automobil Jepun terhasil
daripada sikap bangsanya yang berilmu. Manakala dalam
persaingan teknologi telefon pintar, jika rakyat Amerika
berbangga dengan jenama Apple, rakyat Korea selatan pula
mampu berbangga dengan penghasilan telefon pintar Samsung
yang telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah petunjuk
hebat hasil penjanaan ilmu kerana bangsa yang berilmu,
teknologi terkuasa, bangsa berjaya.

Hadirin yang bervisi,


Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah
mengundur pergi, ayuh bersama-samalah kita membina bangsa
yang berjaya kerana dayung sudah di tangan, sampan sudah di
ayer, tinggal lagi usaha kita untuk mulakan Langkah pertama…
Percayalah bangsa berilmu, bangsa berjaya… bangsa berjaya,
kebanggaan dunia..

Sekian terima kasih, arjuna bestari mohon permisi.

Anda mungkin juga menyukai