Anda di halaman 1dari 4

CABARAN MENGHADAPI KERJAYA MASA DEPAN

(Laman Sesawang Asal : http://karanganspm.com/2015/10/28/karangan-kemahiran-kemahiran-sebagai-


persediaan-untuk-menghadapi-cabaran-era-globalisasi/ )

Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi terakhir kepada kebanyakan pelajar.
Sama ada pada peringkat sijil, diploma atau ijazah mereka mula mencongak-congak akan peluang
pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran
pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan
yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik
yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Oleh hal yang
demikian, seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkap dirinya dengan pelbagai kemahiran yang
diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan.

Antara kemahiran terpenting yang harus dikuasai ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran
berkomunikasi ialah kebolehan istimewa yang menggabungkan kecekapan seperti petah berbicara,
matang dalam melontarkan idea dan pendapat serta berani lagi yakin apabila berhadapan dengan
pelbagai peringkat klien. Hal tersebut amatlah penting memandangkan dunia terbuka pada hari ini
memerlukan seseorang itu berkebolehan untuk mengeluarkan hujah yang bernas serta pendapat yang
matang. Kebolehan dalam berkomunikasi juga memberikan ruang kepada individu tersebut
memperluas rangkaian klien dan tetamu. Melalui interaksi yang baik pada pelbagai peringkat pasti
memberi impak besar apabila pelbagai peluang kerjaya mudah diperoleh. Pada peringkat nasional,
tokoh-tokoh istimewa seperti Dato Dr. Fadhillah Kamsah, Mahathir Lokman, Dr Fatimah Al Zahra
serta ramai lagi telah berjaya membina kerjaya yang lumayan hasil kebijaksanaan berkomunikasi yang
dimiliki oleh mereka. Demikianlah yang dimaksudkan oleh peribahasa, budi menunjukkan hati, bahasa
menunjukkan bangsa.
Di Malaysia, bahasa-bahasa utama seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis dan
Jepun mula mendapat tempat di hati masyarakat. Signifikan menguasai pelbagai bahasa memang tidak
dapat dielakkan lagi dalam era globalisasi tanpa sempadan seperti sekarang. Keupayaan seseorang
menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi
dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya. Dalam konteks negara perindustrian seperti
Malaysia, keupayaan menguasai pelbagai bahasa menjadikan bonus seseorang itu menjawat pelbagai
jawatan penting seperti penterjemah, pegawai perhubungan awam, agen perdagangan antarabangsa dan
pegawai utama di mana-mana kedutaan. Dengan hal yang demikian, seyogialah rakyat negara ini
mengambil peluang mempelajari pelbagai bahasa agar peluang kerjaya yang terbuka menjadi milik
kita. Tanpa penguasaan bahasa yang sesuai dengan tuntutan globalisasi, nescaya kita akan terus
tertinggal dan terperap bagaikan katak di bawah tempurung. Oleh itu, atas dasar tuntutan globalisasi
dan massa kita hendaklah mampu menguasai kemahiran pelbagai bahasa.
Pembawaan dengan sifat sederhana, kemas dan berperawakan yang yakin adalah antara faktor
seseorang itu mudah diterima dalam mana-mana agensi atau organisasi. Demikian pula apabila dalam
alam pekerjaan, kebolehan menyesuaikan diri dalam khalayak menjadi sumber terpenting untuk
seseorang itu berjaya. Sewajarnya, sebelum melangkah ke alam kerjaya, pastikan diri kita memperloleh
suatu kemahiran yang paling penting, iaitu kemahiran membuat penampilan diri. Penampilan diri
adalah berhubung kait dengan cara berpakaian, gaya bertutur dan bijak menyesuaikan diri dalam
pebagai lantai khalayak. Kemahiran ini perlu dipelajari semasa pelajar masih pada peringkat sekolah
dan lebih-lebih lagi di institusi pengajian tinggi. Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan
koakademik membolehkan individu belajar cara-cara bergaul, kebolehan membuat keputusan dan
sentiasa mesra khalayak. Oleh sebab itu, remaja hendaklah tampil dengan perawakan yang baik,
berfikiran positif dan menjauhi sikap menyendiri ibarat kera sumbang.
Kemahiran teknologi adalah antara cabaran terbesar yang mesti dikuasai oleh setiap remaja. Pada
hari ini dianggarkan lebih 200 ribu graduan yang menganggur akibat kesukaran untuk memasuki
pasaran kerja. Namun demikian, rata-rata graduan yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi seperti
kejuruteraan, elektronik dan perniagaan sangat mudah diterima oleh majikan. Oleh itu, bagi memenuhi
pasaran kerja yang mementingkan bidang kepakaran dan kemahiran, para remaja hendaklah tahu akan
potensi diri masing-masing dan memilih mana-mana bidang yang berkaitan dengan teknologi.
Kemahiran seperti pengendalian mesin, arka dan reka bentuk membolehkan graduan dalam bidang ini
amat laris bagaikan pisang goreng panas. Selaras dengan matlamat tersebut pelbagai institusi
kemahiran seperti Politeknik, Pusat Latihan Industri dan IPT yang berorientasi teknologi tumbuh bak
cendawan selepas hujan. Ayuh, remaja sekalian, apa lagi yang ditunggu? Perahu sudah di air,
pendayung di dalam genggaman harungilah samudera nan terbuka.
Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh pengaturcaraan maklumat, kemahiran dalam bidang ICT
sentiasa memberikan kelebihan kepada individu. Pada hari ini semua urusan yang bermula dari kaunter
hadapan hinggalah kepada membuat keputusan yang paling dasar bergantung penuh kepada akses
komputer. Golongan remaja kini mesti celik komputer dan mempunyai pengetahuan secara profesional
dalam bidang pengaturcaraan, ‘programming’ dan perisian. Golongan remaja hendaklah memiliki
sekurang-kurangnya kemahiran asas komputer seperti ‘Office’, ‘Powerpoint’, ‘Excel’, ‘Adobe’ dan
boleh melayari Internet. Malahan, seperkara yang amat penting juga, kebolehan berbahasa Inggeris
juga amat penting dalam menguasai teknologi maklumat ini. Oleh hal yang demikian, bersedialah dari
awal agar anda menjadi anak muda yang lengkap dengan pengetahuan sebelum turun ke pentas kerjaya,
sejajar dengan peribahasa, hilang dicari, terapung direnangi, tenggelam diselami.
Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan oleh orang-orang lama, anak-anak muda mestilah boleh
ditolak ke tepi mahupun ketengah, bak kata peribahasa ‘benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau,
naik ke darat menggunung sasa dan terlontar ke udara menyinar bak kejora’. Begitulah hakikatnya,
anak muda pascamilenium datangnya dinantii, perginya dicari dan hilangnya diratapi.

Persiapan sebelum menghadapi alam kerjaya

Zaman modenisasi memberi pelbagai cabaran kepada setiap individu untuk merebut peluang dalam
pasaran kerjaya yang terbentang luas. Sudah pasti sesuatu kerjaya yang ditawarkan menjadi rebutan
dan mendapat persaingan yang sengit. Oleh itu, setiap individu perlu melengkapkan diri masing-
masing seawal usia remaja membuat persediaan untuk menempuh alam kerjaya pada masa hadapan.
Persoalannya, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu? Saya akan menghuraikan
secara terperinci persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perenggan-perenggan
selanjutnya.
Persediaan yang utama untuk menempuh alam kerjaya adalah setiap individu perlu mendapatkan
kelayakan akademik yang tertinggi. Antara kelayakan akademik yang perlu diperolehi sekurang-
kurangnya Kelulusan diploma hingga ke peringkat master dalam bidang yang diminati selaras dengan
kajian dan kehendak pasaran kerjaya semasa. Hal ini disebabkan, memiliki pengetahuan yang tinggi
dalam sesuatu bidang memberi keyakinan diri. Kelayakan yang tinggi membolehkan seseorang
individu dapat menggunakan ilmunya memberi idea, cadangan, pandangan yang bernas dan
menyelesaikan masalah berkaitan kerjaya yang akan disandang. Jelaslah, mendapatkan kelayakan
akademik yang tinggi disertai dengan pengetahuan kajian pasaran kerjaya menjadi input utama untuk
menempuh alam kerjaya.
Selanjutnya, setiap individu yang telah mempunyai kelayakan akademik perlu mendapatkan
pengalaman kerjaya sebanyak yang mungkin. Antara pengalaman kerjaya yang boleh disertai pada
awal usia remaja termasuklah pengalaman dalam perhubungan dengan pelanggan, pengurusan dan
pentadbiran perniagaan, bidang pemasaran, pengurusan kewangan dan bidang logistik dalam mana-
mana syarikat. Pengalaman dalam bidang kerjaya yang tiada kaitan dengan kerjaya yang bakal
disandang akan menjadi nilai tambah kepada kelayakan akademik yang dimiliki. Selain itu,
pengalaman yang dimiliki dapat mengurang kos pengurusan untuk melatih pelatih baru yang diambil
untuk bekerja. Sesungguhnya, pelatih yang memiliki pengalaman kerjaya dan kelayakan akademik
yang tinggi mengatasi tawaran skala gaji yang lebih tinggi dari pelatih yang hanya bersandarkan
kepada kelayakan akademik.
Seterusnya, setiap individu juga perlu membuat persiapan mengasah kemahiran berkomunikasi.
Antara kemahiran berkomunikasi yang perlu dimiliki termasuklah mempelajari kemahiran berucap,
kemahiran mendengar, kemahiran mempengaruhi orang lain, kemahiran menulis secara verbal dan
bahasa tubuh melalui kelas-kelas yang dianjurkan pelbagai pihak. Kemahiran komunikasi
membolehkan setiap Individu mempunyai keupayaan untuk petah berbicara, mampu mempengaruhi
orang lain, menjadi seorang pendengar yang baik, mampu melontarkan idea, berani dan berkeyakinan
menghadapi kerenah masyarakat. Memiliki pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi, sudah
pasti dapat memberi sinergi kepada produktiviti, tarikan dan sokongan dari semua arah dan
menceriakan organisasi. Tuntasnya, kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu kemahiran
insaniah yang perlu dikuasai oleh setiap individu ke alam kerjaya.
Di samping itu, setiap individu perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental. Antara eleman
ketahanan fizikal dan mental termasuklah setiap individu mampu berdikari, berdisiplin dalam
melaksanakan tugasan, bijak membuat keputusan dan seorang yang proaktif yang boleh dipelajari
melalui kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh sekolah atau pihak kolej. Kelebihan semangat
berdikari mendorong setiap individu betah dan sentiasa memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam
menyelesaikan segala cabaran yang mendatang. Berdisiplin dalam menjalankan tugas pula dapat
memastikan seseorang melaksanakan proses tugasan yang diamanahkan dengan penuh
bertanggungjawab. Manakala bijak membuat keputusan menjadikan individu seorang pemikir yang
matang, pintar dan berkeyakinan. Jelaslah, mempunyai ketahanan fizikal dan mental adalah satu aset
menuju ke alam kerjaya bagi setiap individu.
Setiap individu juga perlu menguasai pelbagai bahasa utama dunia. Antara bahasa utama yang
perlu dikuasai termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Jerman. Hal ini disebabkan,
bahasa Inggeris menjadi bahasa perhubungan yang digunakan di seluruh dunia. Manakala bahasa Jepun
dan bahasa Jerman adalah bahasa yang digunakan dalam bidang teknologi. Menguasai pelbagai bahasa
membolehkan kita menambah pelbagai input ilmu melalui pengajian dan bacaan buku-buku ilmiah
berkaitan kerjaya pilihan kita. Selain itu, keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa juga dapat
meningkatkan keyakinan dalam diri dan membuka peluang yang lebih luas kepada setiap individu
untuk merebut peluang kerjaya yang disediakan diseluruh dunia. Selanjutnya, individu turut dapat
mengeratkan hubungan dan berkomunikasi yang baik dalam organisasi yang dimiliki oleh penutur jati
bahasa tertentu. Jelaslah, menguasai pelbagai bahasa memberi impak yang besar kepada seseorang
individu ke alam kerjaya.
Kesimpulannya, untuk melorongkan diri ke alam kerjaya yang menjadi idaman, setiap individu
perlu melakukan pelbagai persediaan yang lengkap dari segi mental, fizikal dan kelayakan yang
ditetapkan sesuatu tawaran kerjaya. Segala persediaan boleh diperolehi melalui pengalaman, pengajian
secara formal atau tidak formal.

682 patah perkataan

Anda mungkin juga menyukai