Anda di halaman 1dari 11

Dalam pemilihan bidang kerjaya, minat menjadi faktor utama. Bincangkan.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah
menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di
Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah
rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-
guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?” Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih
gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang
dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada
masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini
mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan
tidak menyesal dengan keputusan yang diambil. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor,
juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam
pemilihan sesuatu bidang kerjaya? Hakikatnya, minat merupakan salah satu faktor dominan yang
mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Kita dapat menyaksikan betapa minat merupakan faktor paling dominan yang mempengaruhi seseorang
dalam pemilihan kerjaya mereka. Dalam konteks ini, minat juga akan menyebabkan seseorang berusaha
dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita mereka. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan
belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mahupun STPM.
Pelajar haruslah memberikan tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas. Kesannya, pelajar akan
lebih mudah memahami sesuatu pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan dengan senang. Sikap
kesungguhan ini dapat digambarkan melalui peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Tegasnya, seseorang yang mempunyai minat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan
kerjaya yang diidam-idamkannya menjadi kenyataan.

Umum mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang
berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan
menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah
mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan
perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-
masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam zaman yang serba canggih ini,
bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang
dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh
yang boleh diketengahkan ialah jika seseorang ingin menjadi seorang jurutera, subjek yang mesti dipilih
ialah Lukisan kejuruteraan. Sebagai langkah untuk merealisasikan kerjaya idaman dan cita-cita yang
menggunung tinggi ini, pelajar haruslah memilih subjek yang seiring dengan kursus yang dipilih mereka.
Sesungguhnya, seseorang pelajar sudah pasti mempunyai idola yang ingin dicontohi sebelum mereka
menentukan kerjaya masa depan. Biasanya, idola yang dipilih memang dikagumi dan menepati dengan
kerjaya yang dipilih. žSebagai contoh, seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek, mereka boleh
menjadikan arkitek negara yang terkenal dan gah namanya di persada dunia iaitu Hijjas Kasturi sebagai
idolanya. Bukan itu sahaja, malah segala ketekunan, kegigihan dan kekreatifan beliau akan dijadikan
sebagai teladan dalam menggapai kerjaya idaman mereka. Impaknya, seseorang yang dijadikan idola
seharusnya mampu mempengaruhi pemikiran, tindak tanduk dalam membuat keputusan serta
kesungguhan seseorang untuk memastikan kerjaya yang dihasratkan dapat direalisasikan.
Sememangnya, idola dapat mempengaruhi seseorang dalam membina semangat dan motivasi ke arah
menjadikan kerjaya sebagai kenyataan bukannya omong-omong kosong sahaja.

Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah
tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi
tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti
mereka akan kecundang di peringkat awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya
menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-
dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh
memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan. Sebagai
buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada
dalam bentuk material mahupun spiritual. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat
anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan anak-anak mereka.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama
dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan
dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara
dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak,
manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-
anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat
dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana
mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan
hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak
ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk
kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-
perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-
keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas
lagi.
Jenis jenis kemahiran yang perlu dikuasai untuk Berjaya dalam bidang yang diceburi
Zaman modenisasi memberi pelbagai cabaran kepada setiap individu untuk merebut peluang dalam
pasaran kerjaya yang terbentang luas. Sudah pasti sesuatu kerjaya yang ditawarkan menjadi rebutan
dan mendapat persaingan yang sengit. Oleh itu, setiap individu perlu melengkapkan diri masing-masing
seawal usia remaja membuat persediaan untuk menempuh alam kerjaya pada masa hadapan.
Persoalannya, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu? Saya akan menghuraikan
secara terperinci persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perenggan-perenggan
selanjutnya.

Persediaan yang utama untuk menempuh alam kerjaya adalah setiap individu perlu
mendapatkan kelayakan akademik yang tertinggi. Antara kelayakan akademik yang perlu diperolehi
sekurang-kurangnya Kelulusan diploma hingga ke peringkat master dalam bidang yang diminati selaras
dengan kajian dan kehendak pasaran kerjaya semasa. Hal ini disebabkan, memiliki pengetahuan yang
tinggi dalam sesuatu bidang memberi keyakinan diri. Kelayakan yang tinggi membolehkan seseorang
individu dapat menggunakan ilmunya memberi idea, cadangan, pandangan yang bernas dan
menyelesaikan masalah berkaitan kerjaya yang akan disandang. Jelaslah, mendapatkan kelayakan
akademik yang tinggi disertai dengan pengetahuan kajian pasaran kerjaya menjadi input utama untuk
menempuh alam kerjaya.

Selanjutnya, setiap individu yang telah mempunyai kelayakan akademik perlu


mendapatkan pengalaman kerjaya sebanyak yang mungkin. Antara pengalaman kerjaya yang boleh
disertai pada awal usia remaja termasuklah pengalaman dalam perhubungan dengan pelanggan,
pengurusan dan pentadbiran perniagaan, bidang pemasaran, pengurusan kewangan dan bidang logistik
dalam mana-mana syarikat. Pengalaman dalam bidang kerjaya yang tiada kaitan dengan kerjaya yang
bakal disandang akan menjadi nilai tambah kepada kelayakan akademik yang dimiliki. Selain itu,
pengalaman yang dimiliki dapat mengurang kos pengurusan untuk melatih pelatih baru yang diambil
untuk bekerja. Sesungguhnya, pelatih yang memiliki pengalaman kerjaya dan kelayakan akademik yang
tinggi mengatasi tawaran skala gaji yang lebih tinggi dari pelatih yang hanya bersandarkan kepada
kelayakan akademik.

Seterusnya, setiap individu juga perlu membuat persiapan mengasah kemahiran berkomunikasi. Antara
kemahiran berkomunikasi yang perlu dimiliki termasuklah mempelajari kemahiran berucap, kemahiran
mendengar, kemahiran mempengaruhi orang lain, kemahiran menulis secara verbal dan bahasa tubuh
melalui kelas-kelas yang dianjurkan pelbagai pihak. Kemahiran komunikasi membolehkan setiap Individu
mempunyai keupayaan untuk petah berbicara, mampu mempengaruhi orang lain, menjadi seorang
pendengar yang baik, mampu melontarkan idea, berani dan berkeyakinan menghadapi kerenah
masyarakat. Memiliki pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi, sudah pasti dapat memberi
sinergi kepada produktiviti, tarikan dan sokongan dari semua arah dan menceriakan organisasi.
Tuntasnya, kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu kemahiran insaniah yang perlu dikuasai
oleh setiap individu ke alam kerjaya.
Disamping itu, setiap individu perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental. Antara eleman
ketahanan fizikal dan mental termasuklah setiap individu mampu berdikari, berdisiplin dalam
melaksanakan tugasan, bijak membuat keputusan dan seorang yang proaktif yang boleh dipelajari
melalui kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh sekolah atau pihak kolej. Kelebihan semangat berdikari
mendorong setiap individu betah dan sentiasa memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam menyelesaikan
segala cabaran yang mendatang. Berdisiplin dalam menjalankan tugas pula dapat memastikan
seseorang melaksanakan proses tugasan yang diamanahkan dengan penuh bertanggungjawab.
Manakala bijak membuat keputusan menjadikan individu seorang pemikir yang matang, pintar dan
berkeyakinan. Jelaslah, mempunyai ketahanan fizikal dan mental adalah satu aset menuju ke alam
kerjaya bagi setiap individu.

Setiap individu juga perlu menguasai pelbagai bahasa utama dunia. Antara bahasa utama yang perlu
dikuasai termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Jerman. Hal ini disebabkan, bahasa
Inggeris menjadi bahasa perhubungan yang digunakan di seluruh dunia. Manakala bahasa Jepun dan
bahasa Jerman adalah bahasa yang digunakan dalam bidang teknologi. Menguasai pelbagai bahasa
membolehkan kita menambah pelbagai input ilmu melalui pengajian dan bacaan buku-buku ilmiah
berkaitan kerjaya pilihan kita. Selain itu, keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa juga dapat
meningkatkan keyakinan dalam diri dan membuka peluang yang lebih luas kepada setiap individu untuk
merebut peluang kerjaya yang disediakan diseluruh dunia. Selanjutnya, individu turut dapat
mengeratkan hubungan dan berkomunikasi yang baik dalam organisasi yang dimiliki oleh penutur jati
bahasa tertentu. Jelaslah, menguasai pelbagai bahasa memberi impak yang besar kepada seseorang
individu ke alam kerjaya.

Kesimpulannya, untuk melorongkan diri ke alam kerjaya yang menjadi idaman, setiap individu perlu
melakukan pelbagai persediaan yang lengkap dari segi mental, fizikal dan kelayakan yang ditetapkan
sesuatu tawaran kerjaya. Segala persediaan boleh diperolehi melalui pengalaman, pengajian secara
formal atau tidak formal.
PERSIAPAN-PERSIAPAN UNTUK MENGHADAPI ALAM PEKERJAAN

Setiap individu mempunyai cita-cita tersendiri yang menjadi impian untuk dicapai suatu ketika nanti.
Kita sedia maklum bahawa setiap peringkat dalam kehidupan seseorang individu berkait rapat dengan
keperluan dan kematangan masing-masing dalam menghadapi sesuatu situasi atau konflik. Misalnya
peringkat kanak-kanak dan remaja dikaitkan dengan alam persekolahan manakala peringkat dewasa
lebih cenderung kepada alam pekerjaan yang pada dasarnya menentukan taraf hidup seseorang individu
sama ada mampu menampung keperluan diri, keluarga, dan sebagainya dalam menjalani kehidupan
yang semakin mencabar. Persoalannya, apakah persiapan-persiapan yang wajar dilakukan untuk
menghadapi alam pekerjaan. Justeru, bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara teliti
dan terperinci tentang persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan.

Antara persiapan untuk menghadapi alam pekerjaan adalah berkaitan dengan kelayakan akademik
yang sesuai dengan pengkhususan pekerjaan. Hal ini kerana, jika seseorang individu ingin meneceburkan
diri dalam sesuatu bidang pekerjaan sudah tentu pihak majikan akan meneliti tentang kemahiran atau
kebolehan yang setaraf dengan sektor atau jabatan yang dapat dijawat melalui kelayakan akademiknya.
Sebagai contoh, individu yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang perubatan kebiasaannya
akan menceburkan diri dalam bidang sama atau berkaitan dengan pengkhususan kemahiran seperti ahli
farmasi, doktor pakar, jururawat, pakar bedan dan sebagainya. Kesannya, seseorang individu dapat
menumpukan perhatian ketika di bangku sekolah terhadap bidang yang berkaitan dengan pengkhususan
pekerjaan yang sesuai dengan cita-citanya agar dapat mengelakkan pengangguran akibat tidak
memenuhi kriteria yang sepatutnya ada apabila berkhidmat di bawah sesebuah agensi sama ada
kerajaan mahupun swasta. Justeru, jelaslah bahawa kelayakan akademik amat penting bagi seseorang
membuat persediaan menempuh alam pekerjaan.

Selain itu, seseorang individu juga hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum memasuki
alam pekerjaan. Hal ini demikian kerana, seseorang pekerja seharusnya mempunyai fizikal dan mental
yang kuat untuk membolehkan mereka menghadapi tekanan kerja yang boleh memudaratkan bukan
sahaja emosi malah kesihatan sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik. Contohnya, sekiranya
seseorang individu tidak biasa melaksanakan tugasan-tugasan yang berat dan menguji kesabaran secara
tidak langsung dapat menggangu emosi dan fikiran yang bercelaru sehingga satu tahap boleh
mengundang penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, migraine, dan sebagainya. Impaknya, apabila
individu itu berkhidmat dalam pekerjaan, akan menyukarnya untuk mengekalkan pretasi dan
berkemungkinan besar boleh dipecat oleh majikan. Natijahnya, jelaslah bahawa seseorang individu
perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.

Seterusnya, seseorang individu juga hendaklah mempertimbangkan tentang prospek pekerjaan


berkaitan bidang yang diceburi. Hal ini kerana, apabila seseorang individu membuat pertimbangan awal
berkaitan prospek pekerjaannya membolehkan kadar perbelanjaan dan sumber pendapatan alternatif
dapat ditentukan untuk mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga. Contohnya, sebelum
berkhidmat dalam sesebuah agensi, seseorang individu perlulah menekankan faedah sampingan yang
bakal diperoleh selain daripada gaji pokok yang ditawarkan seperti elaun tambahan, bonus, suasana
tempat kerja, peluang kenaikan pangkat, jarak ke tempat kerja dan sebagainya agar dapat menjamin
kedudukan kewangan yang stabil. Impaknya, individu dapat menyeimbangkan kadar perbelanjaannya
sesuai dengan pendapatan yang diperoleh untuk menjamin tabungan dan kejadian luar jangka ketika
berkhidmat dalam sesebuah sektor pekerjaan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.
Tuntasnya, jelaslah bahawa prospek pekerjaan seseorang individu perlu dipertimbangkan sebelum
menceburi alam pekerjaan.

Di samping itu, persediaan-perssediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah
mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini kerana, apabila seseorang itu mempunyai
komunikasi yang baik dapat membantunya menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja melalui
khidmat nasihat dan pergaulan yang baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama mengelakkan
perasaan hasad dengki sesama rakan sekerja. Contohnya, individu yang pandai menjaga tutur kata dan
adab sesama rakan akan mudah digauli serta mendapat bimbingan khususnya ketika memasuki alam
pekerjaan yang bukan sahaja melibatkan komunikasi sesama rakan sekerja dan majikan, malah para
pelanggan, klien, pelabur dan sebagainya bergantung kepada bidang masing-masing. Kesannya, kita
dapat memperoleh kepercayaan majikan serta pelanggan dalam memberi komitmen dalam tugasan
secara profesional yang dapat dijadikan motivasi atau penggerak untuk berkhidmat dalam sektor yang
diceburi. Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemahiran berkomunikasi amat penting
sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Sementelahan pula, persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan
ialah bijak membahagikan masa. Hal ini demikian kerana seseorang yang dapat membahagikan masa
dengan baik dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah tekanan akibat prestasi kerja yang tidak
selari dengan dengan kitaran biologi seseorang. Misalnya, jika seseorang gagal membahagikan masa
kerja dan masa tidur akan menyebabkan produktivitinya menurun berpunca daripada gejala kekurangan
tidur semata mata untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Kesannya, seseorang itu akan sukar
untuk melengkapi keperluan hidup yang sihat dari segi rohani,jasmani,emosi,dan sebagainya jika tidak
membahagi waktu dengan baik kerana pepatah Arab pernah menyebut waktu bagaikan pedang,
sekiranya kita tidak memotongnya dia akan memotong kita. Justeru jelaslah bahawa pengurusan masa
amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai persediaan yang boleh dilakukan untuk menghadapi alam
pekerjaan. Sehubungan itu, semua pihak khususnya individu seharusnya berganding bahu bagai aur
dengan tebing dalam usaha bagi melahirkan generasi yang professional dan syumul dalam pelbagai
sektor pekerjaan.Oleh hal yang demikian,diharapkan pelbagai program dan bengkel dapat terus
dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak muda tentang pelbagai bidang pekerjaan
untuk menjana taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi negara.
SUKAN

KEPENTINGAN REKREASI

1. Pembentukan Personaltit
- Membentuk personaliti diri yang berkualiti seperti berdikari, berani dan yakin.

2. Kepimpinan
- Melatih rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap keselamatan orang lain.

3. Dinamik Kumpulan
- Melalui aktiviti berkumpulan, seseorang itu akan dilatih untuk bekerjasama dalam satu pasukan dan
belajar mengendalikan kumpulan.

4. Meningkatkan Kecergasan
- Sukan rekreasi yang melibatkan kecergasan fizikal dapat meningkatkan kecergasan dirinya.

5. Sosialisasi
- Dapat melibatkan diri dengan aktiviti kumpulan yang dianjurkan oleh sesebuah pihak
- Memberi peluang kepada kita untuk mengenali orang lain yang turut serta dalam aktiviti berkenaan.

6. Pembangunan Insan
- Dapat melahirkan insan yang bersedia berdepan dengan risiko dalam kehidupan melalui pembinaan
emosi yang baik.

7. Pembangunan Negara
- Masyarakat yang sihat dari segi fizikal serta mentalnya boleh menyumbang kepada pembangunan
negara khususnya dalam bidang sukan.

8. Pendidikan Sepanjang Hayat


- Sesuai dilakukan oleh semua peringkat umur.
- Setiap lapisan masyarakat bebas melakukan aktiviti sukan rekreasi bersesuaian dengan peringkat umur
mereka.
Sukan merupakan satu aktiviti riadah yang paling sesuai dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat
negara ini. Antara jenis sukan itu meliputi bola sepak, acara larian, badminton, hoki, dan bola tampar
yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia tersebut. Media massa di negara ini juga sering
menyiarkan siaran langsung sebarang acara sukan yang menarik perhatian masyarakat untuk ditonton
itu. Sebenarnya, sukan ini membawa banyak faedah kepada individu, masyarakat, dan negara secara
tersirat.

Impak positif penglibatan sukan kepada individu ini ialah diri mereka akan berasa puas dapat
melakukan sesuatu aktiviti tersebut. Kepuasan ini tercapai kerana sebarang aktiviti sukan itu
memerlukan tumpuan tenaga yang banyak lalu menjadikan individu tersebut menikmati suasana
kehidupan yang bermakna selepas selesai melakukan sukan tertentu itu. Lama-kelamaan kepuasaan
ini membawa keyakinan diri seseorang itu menjadi lebih tinggi sehingga mampu menyelesaikan
pelbagai cabaran hidupnya dengan mudah. Ringkasnya, acara sukan membawa kehidupan manusia
itu lebih bermatlamat dan fokus untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

Selain itu, golongan yang sering bersukan boleh memperoleh kebaikan daripada aspek kesihatan diri
mereka pula. Sebarang aktiviti sukan pasti akan membawa seseorang itu berpeluh lalu banyak toksik
badan akan dilepaskan dengan lancar. Apabila semua toksik badan dibuang secara baik sudah pasti
sistem badan akan berjalan dengan tersusun sehingga menyukarkan sebarang penyakit berbahaya
berlaku. Akibatnya, masyarakat di negara ini tidak akan menghabiskan wang mereka untuk kos
rawatan di hospital itu kerana tidak mengalami penyakit kronik seperti diabetes, jantung, dan
kerosakan buah pinggang.

Kajian juga membuktikan bahawa perpaduan masyarakat boleh dipupuk menerusi acara sukan yang
diadakan tersebut. Konsep perpaduan ini dicapai kerana kejayaan atau kegagalan pasukan
kebangsaan dalam sebarang acara sukan turut dirasai oleh masyarakat tanpa mengira keturunan itu.
Situasi ini mendidik masyarakat erti menikmati sesuatu baik dalam bentuk positif atau negatif secara
bersama-sama sehingga tercetusnya perpaduan antara kaum tersebut. Lantaran itu, semua cabaran
negara akan lebih mudah diharungi kerana rakyat memiliki rasa kekitaan yang mendalam hasil
daripada aktiviti sukan yang murni itu.

Tambahan pula, sebarang acara sukan yang diadakan atau dianjurkan oleh sesebuah negara itu bakal
menjana pertumbuhan ekonomi negara juga. Usaha menganjurkan acara sukan bertaraf dunia seperti
Sukan Olimpik dan Piala Dunia bola sepak memerlukan pembinaan stadium serta kemudahan awam
lainnya terutamanya pengangkutan awam. Aktiviti sebegini memerlukan sejumlah modal yang besar
untuk membawa semua projek ini berjalan lancar sehingga menjadikan perniagaan sampingan turut
berkembang. Sesungguhnya, aktiviti sukan yang diadakan apabila dirancang dengan teliti boleh
memajukan sektor ekonomi negara dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, semua kebaikan sukan tadi memang boleh terserlah apabila sukan dimajukan dengan
sebaik mungkin. Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memberikan sokongan apabila anak
mereka ingin terlibat dalam sesuatu acara sukan itu. Tanpa disedari sukan itu boleh menghasilkan
pelbagai kebaikan yang berguna untuk individu, masyarakat, dan negara. Slogan majulah sukan untuk
negara harus dipegang oleh setiap lapisan insan Malaysia jika kita mahu acara sukan ini terus mendat
tempat dalam jiwa rakyat.

PELANCONGAN

Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara. Huraikan usaha-usaha yang mampu
dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan negara.

Tahun 2014 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan memandangkan
industri pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Sektor pelancongan juga perlu
dimantapkan kerana sektor ini mampu memantapkan ekonomi negara kita. Banyak tempat menarik
yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan seperti di
Cameron Highland, Genting Highland, bandar raya Melaka, Desaru dan sebagainya. Oleh itu, pelbagai
usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak
kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.

Usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan antaranya ialah menambah kemudahan
pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan
pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi
yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke
Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke
Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada
pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa
apabila berkunjung ke Malaysia.
Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet
perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang
yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat
pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej
penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah
pelancong menginap di hotel tersebut. Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara
berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping
menggalakkan kedatangan pelancong baharu.

Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan
aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik,
kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar
negara. Sebagai contohnya, Kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi
menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi. Usaha mempromosikan negara ini
juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan
maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong
memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di
Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan
secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.

Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek
kebersihan dan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan
baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa
terkawal. Begitu juga halnya dengan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan
selesa. Sebagai contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat beli belah perlu dibina di
kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus
menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati.

Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap
ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat
negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi
yang dianggap “duta pelancongan negara” haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin
mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat
perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana “bahasa menunjukkan bangsa”.
Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing
ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis pada
sepanjang hidup mereka.

Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi


pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan
perlu diperluas dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti “ekopelancongan”,
pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini
sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Jika pelancongan versi baharu ini tidak
dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat diperoleh daripada industri
pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta
persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik
jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.

Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang dilakukan
amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita
merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan
bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatinan dan rasa bertanggungjawab
dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk
dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

Anda mungkin juga menyukai