Anda di halaman 1dari 2

Contoh karangan ulasan (Tema: Keracunan Makanan)

Keracunan makanan ialah masalah kesihatan yang diakibatkan seseorang individu termakan
makanan yang tercemar atau rosak. Simptom keracunan makanan ialah cirit-birit, muntah, demam
panas dan kadang-kadang boleh mengancam nyawa jika serius. Dalam dekad terdekat ini, keracunan
makanan di Malaysia bukan satu fenomena yang ganjil dengan budaya pemakanan negara kita yang
banyak makanan jalanan. Keracunan makanan di sekolah pun kerap kedengaran di negara ini. Keracunan
makanan banyak berlaku disebabkan kecuaian pengusaha terhadap kebersihan sama ada ketika
menyediakan makanan atau kebersihan persekitaran. Ada kala keracunan makanan berlaku juga akibat
kesegaran makanan mentah yang sudah berkurangan. Walau bagaimanapun, keracunan makanan di
sekolah harus dibendung dengan langkah proaktif dan bukan jenis hangat-hangat tahi ayam pelbagai
pihak.

Langkah dominan bagi membendung keracunan makanan di sekolah ialah pengusaha kantin
harus memainkan peranan dengan menjaga kebersihan premis. Premis makanan yang tidak bersih akan
mengundang kehadiran makhluk perosak mahupun serangga perosak seperti tikus, lipas dan lalat.
Makhluk perosak ini pembawa pelbagai bakteria, kuman dan virus yang menjadi punca pencemaran
makanan. Pengusaha kantin harus memastikan sisa-sisa makanan dilupuskan dengan cara yang betul
dan bersih supaya tidak terdedah lalu menjadi tarikan kepada makhluk perosak. Selain itu, mereka juga
harus memastikan dapur kantin dalam keadaan bersih sebelum, semasa dan selepas penyediaan
makanan. Peralatan memasak seperti kuali, periuk, senduk, sudip dan sebagainya harus dibasuh setiap
kali sebelum diguna. Dengan langkah sedemikian pengusaha kantin dapat meminimumkan kemungkinan
makanan yang disediakan itu tercemar sehingga mengakibatkan keracunan makanan terhadap murid-
murid. Tuntasnya, pengusaha kantin harus pasang mata tentang aspek kebersihan dalam dan luar kantin
bagi membendung masalah keracunan makanan di sekolah supaya tidak berlaku situasi sudah terhantuk
baru tengadah.

Di samping itu, pengusaha juga harus menjaga kebersihan dan kesegaran makanan yang dijual
bagi mengelakkan kes keracunan makanan. Hal yang dikatakan demikian kerana makanan tercemar
selepas dimasak atau hilang kesegaran juga menjadi faktor utama keracunan makanan di kawasan
sekolah. Sebagai contoh, makanan yang basi atau terdedah kepada punca kekotoran. Pengusaha kantin
sekolah harus memastikan kebersihan makanan yang telah disediakan dengan menutup makanan
dengan tudung saji atau diletakkan dalam tempat yang bertutup supaya tidak dihinggapi lalat. Mereka
juga perlu memastikan makanan yang dijual pada setiap hari adalah segar terutamanya masakan seperti
kari dan nasi lemak. Hal ini kerana makanan yang dimasak dengan santan mudah basi akibat cuaca yang
panas. Makanan mentah seperti daging dan ikan pun perlu diproses dan disimpan dalam peti sejuk
sebelum dimasak supaya dapat menjaga kesegarannya. Dengan langkah berhati-hati seperti ini,
kemungkinan murid dapat makanan yang rosak atau tercemar dapat diminimumkan. Jelaslah bahawa
inisiatif menjaga kebersihan makanan daripada pengusaha kantin dapat mengatasi masalah keracunan
makanan di sekolah.

Melihat dari perspektif yang berbeza, murid juga merupakan pihak penting dalam usaha
membendung masalah keracunan makanan di sekolah. Kadang-kadang keracunan makanan berlaku
disebabkan kecuaian seseorang pengguna itu sendiri. Murid sendiri harus menjaga kebersihan diri
terutamanya mencuci tangan sebelum makan. Jika makanan dibeli awal, mereka juga harus memilih
tempat penyimpanan makanan yang sesuai supaya makanan mereka tidak tercemar. Selain itu, murid
juga harus peka akan keadaan makanan mereka sebelum makan dengan melihat makanan secara teliti
dan menghidu bau makanan untuk memastikan makanan mereka selamat dimakan. Contoh makanan
Contoh karangan ulasan (Tema: Keracunan Makanan)

yang selalu perlu diberi perhatian ialah kuah roti canai, nasi lemak dan air soya. Tindakan berhati-hati ini
dapat membantu murid mengelakkan makanan yang sudah kurang elok. Natijahnya, murid juga harus
memainkan tanggungjawab mereka bagi menghindari kasus keracunan makanan.

Akhir kata, ikhtiar daripada pelbagai pihak amat diperlukan bagi membendung keracunan
makanan di sekolah. Kesedaran orang ramai tentang kebersihan makanan yang dimakan perlu
ditingkatkan. Pihak-pihak yang berkaitan termasuk murid sendiri harus berwaspada terhadap isu
keracunan makanan kerana boleh mendatangkan kesan yang serius iaitu melibatkan soal hidup mati.
Kita harus melindungi generasi muda dari peringkat akar umbi lagi. Dengan menghindarkan murid
sekolah daripada masalah, kita dapat melahirkan generasi muda yang sihat dan sejahtera kerana
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Anda mungkin juga menyukai