Anda di halaman 1dari 4

Keracunan makanan memudaratkan kesihatan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan hal ini terjadi.

(PMR)
Isu tentang keracunan makanan telah banyak kita dengar melalui media massa sejak kebelakangan ini. Kejadian-kejadian seperti muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut malahan sehingga membawa kematian akibat keracunan makanan menyebabkan isu ini mendapat perhatian banyak pihak. Terdapat pelbagai punca berlakunya keracunan makanan. Keracunan makanan banyak berlaku disebabkan oleh kelalaian pengguna itu sendiri. Kebanyakan anggota masyarakat tidak mempunyai pengetahuan tentang kesempurnaan penjagaan makanan. Kita perlu sedar bahawa kebersihan amat penting dalam proses penyediaan makanan. Namun, ada antara kita yang tidak mengetahui cara yang betul membasuh bahan makanan sebelum dimasak. Bahan-bahan seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan amat sensitif dengan perubahan udara. Tanpa pembersihan yang teliti sebelum dimakan ataupun dimasak kuman di dalam bahan makanan akan membahayakan kita. Selain itu, makanan yang tercemar pasti mengundang bahaya keracunan makanan. Pencemaran makanan berlaku apabila makanan yang disediakan atau dihidangkan itu terdedah. Keadaan persekitaran yang kotor juga dapat mencemarkan makanan. Hal ini sudah tentu menyebabkan makanan dihinggapi lalat, lipas dan tikus yang membawa kuman dalam makanan. Sebagai akibat, keracunan makanan berlaku apabila kita makan makanan yang sudah tercemar oleh kuman dan bakteria. Keracunan makanan juga disebabkan kandungan racun yang berlebihan dalam makanan. Para petani dan pekebun sayur yang menanam sayur-sayuran biasanya menyembur racun serangga atau racun daun untuk memastikan tanaman mereka itu hidup subur. Penggunaan racun yang berlebihan terhadap tanam-tanaman seperti sawi, kailan, kobis dan bayam akan menyebabkan kandungan racun terserap ke dalam daun. Keadaan ini sudah tentu membahayakan para pengguna jika bahan-bahan tersebut tidak dibersihkan dengan teliti. Sebagai kesimpulan, kesedaran orang ramai tentang kebersihan makanan yang dimakan perlu dipertingkatkan. Hal ini amat penting kerana gejala keracunan makanan akan dapat menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup kita. Oleh yang demikian, semua pihak haruslah memainkan peranan untuk menjamin kebersihan makanan dan alam sekitar.

Punca-punca Keracunan Makanan dan Akibatnya

Kita sering mendengar cerita dan terbaca kisah yang berkaitan dengan keracunan makanan. Selain itu, berdasarkan pengalaman sendiri, mungkin banyak daripada kita yang mengalami keracunan makanan. Semenjak Januari hingga Ogos tahun lalu, terdapat sebanyak 13 kes keracunan makanan yang melibatkan 801 orang yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Daripada jumlah tersebut, 601 orang mangsa ialah pelajar sekolah. Sewajarnya, masalah ini dipandang serius lebih-lebih lagi dari segi perundangan, Negara ini mempunyai Akta Makanan 1983 yang bertujuan untuk melindungi orang ramai daripada bahaya penipuan dalam penyediaan, penjualan, dan penggunaan makanan. Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah seseorang itu memakan makanan yang tercemar. Tanda-tandanya termasuklah rasa mual, muntah, cirit-birit, pening-pening serta gangguan perut. Kebanyakan kes keracunan makanan disebabkan oleh bacteria, mikro organisma, virus, racun atau toksin, dan bahan-bahan kimia. Selain elemen di atas, keracunan makanan juga melibatkan kewujudan bacteria dalam makanan dan proses penyediaan makanan yang kotor serta tidak dimasak dengan sempurna. Oleh sebab itu, penyedia makanan hendaklah membasuh tangan dengan teliti sebelum atau selepas mengendalikan makanan bagi mengelakkan pencemaran bakteria salmonella atau bakteria lain. Selain itu, peralatan dapur seperti alat pemotong perlu dibasuh dengan air panas terutama sekali alas pemotong daging. Dalam penyediaan makanan, pengendalian yang tidak teliti akan menggalakkan bakteria mencemari makanan.Dalam hal ini, beberapa contoh kecuaian yang dikenal pasti termasuklah penyimpanan daging, ayam, dan ikan di tempat yang tidak cukup dingin, dan makanan beku yang dibiarkan cair pada

suasana panas yang terlalu lama. Pencemaran bacteria berlaku juga pada buah-buahan serta sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan baik. Tanda-tanda khusus kerancunan makanan bergantung pada jenis bacteria atau organismanya. Antara contohnya termasuklah cholera yang disebabkan oleh bacteria vibro cholera yang terdapat pada ikan, kerang, kupang, dan siput yang tercemar. Selain elemen yang dinyatakan di atas, keracunan makanan ada kalanya berkaitan dengan cendawan beracun atau buah-buahan dan sayursayuran yang dicemari oleh racun serangga yang tinggi kadar kepekatannya. Apabila mengambil makanan yang terdiri daripada bijiran, seseorang itu tidak boleh mengambil mudah tentang makanan yang dimakannya. Dalam banyak kes, toksin daripada kulat, iaitu aflatoksin yang terdapat pada bijiran juga merupakan salah satu punca keracunan makanan. Sehubungan dengan itu, sekalipun kebanyakan makanan selamat dimakan, namun seseorang itu hendaklah berhati-hati semasa mengambil makanan agar mereka tidak menjadi mangsa keracunan makanan samada secara sengaja ataupun tidak.

Keracunan Makanan
Kejadian keracunan makanan di sekolah sering berlaku sejak kebelakangan ini. Berikan pendapat anda tentang punca-punca keracunan makanan di sekolah. Belakangan ini kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah sering menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar tempatan.Perkara yang menjadi persoalan kepada kita ialah mengapakah perkara ini semakin kerap berlaku? Apakah tiada tindakan yang diambil untuk menanganinya daripada terus berlaku? Semua persoalan ini tentunya sentiasa bermain-main dalam fikiran kita. Apakah punca yang menyebabkan kejadian ini terus berlaku bak kata pepatah Melayu, kalau tiada angina masakan pokok bergoyang? Antara punca afdal keracunan makanan di sekolah disebabkan sikap pengusaha kantin yang mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Kebanyakan daripada mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan kurang mengambil berat tentang kualiti makanan yang dijual. Sehubungan dengan ini, mereka tidak akan mempedulikan sama ada makanan tersebut boleh dijual atau tidak kepada para pelajar. Sebagai contoh mereka tidak mencuci dengan sempurna bahan mentah yang digunakan sebelum memasak sesuatu hidangan. Perbuatan mereka ini boleh diibaratkan umpama anjing makan muntahnya.Sikap ini jika dibiarkan berterusan pastinya akan membawa kepada keracunan makanan. Selain itu, terdapat pengusaha yang tidak menjaga persekitaran kawasan kantin. Kawasan di sekeliling kantin dan dapur dibiarkan kotor tanpa penjagaan yang sewajarnya. Dengan ini, kawasan tersebut akan dicemari dengan pelbagai jenis haiwan dan serangga yang membawa pelbagai jenis kuman. Sebagai contoh, serangga seperti lipas, semut, cicak, tikus dan sebagainya akan berkeliaran dan kadangkala masuk ke dalam makanan. Sewajarnya sikap ini dijauhi bagi mengelakkan makanan daripada tercemar. Di samping itu, sikap para pelajar yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan diri juga merupakan punca berlakunya keracunan makanan di sekolah. Kebanyakan pelajar memandang remeh kepada soal kebersihan diri dan kualiti sesuatu makanan.Sehubungan dengan itu, mereka akan mengabaikan aspek kebersihan dan membeli makanan yang sudah tercemar. Sebagai contoh, mereka tidak mencuci tangan dengan sabun sewaktu hendak menjamah sesuatu makanan. Selagi pelajar tidak mengambil berat soal kebersihan diri, pastinya masalah ini akan terus berlarutan. Konklusinya, pelbagai punca telah dikenalpasti menyebabkan berlakunya keracunan makanan di sekolah. Masalah ini boleh diatasi dengan menamatkan kontrak pengusaha yang terlibat dengan masalah ini. Dengan ini, akan dapat memberi pengajaran kepada pengusaha kantin yang lain supaya sentiasa peka dalam soal kebersihan di kantin sekolah.Jelaslah bahawa masalah ini akan dapat diatasi sekiranya punca-punca kepada permasalahan ini dapat ditangani secara bersepadu.

Anda mungkin juga menyukai