Anda di halaman 1dari 4

TEMA PERTANIAN KEUSAHAWANAN DAN

Langkah-Langkah Untuk Meningkatkan Pengeluaran Hasil Pertanian Negara

Isi-isi penting

Menghubungkan penyelidikan dengan penghasilan pertanian

Meningkatkan kemudahan logistik

Merangka strategi pemasaran terbaik

Meningkatkan kadar kebergantungan negara terhadap hasil tempatan

Memperkasa agensi kerajaan dan lembaga pertanian

Menggunakan teknologi terkini

Baca juga: Peranan Ibu Bapa Untuk Menggalakkan Pembelian Barangan Tempatan

Contoh Karangan Langkah-Langkah Meningkatkan Hasil Pertanian Negara

Pendahuluan

Industri pertanian di Malaysia menyumbangkan lebih dua belas peratus daripada jumlah Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada hari ini. Pada
peringkat dunia pula lebih enam puluh peratus daripada jumlah penduduk dunia bergantung kepada
hasil pertanian yang menggerakkan ekonomi dunia secara amnya. Namun, masyarakat kita masih
mempunyai stigma bahawa pertanian adalah industri yang kecil dan golongan petani terdiri daripada
golongan yang miskin dan duduk di luar bandar. Marcapada ini, masyarakat konvensional perlu
meluaskan horizon pemikiran supaya kemajuan dapat dijalankan dan kita tidak menjadi seperti katak
di bawah tempurung. Sektor pertanian di negara kita yang merangkumi perladangan, penternakan
dan penanaman secara besar dan kecil mempunyai potensi yang meyakinkan sekiranya hasil yang
dituai menepati standard tertentu. Maka, apakah langkah-langkah yang harus disusun bagi
memastikan mutu penghasilan pertanian negara berada di tahap terbaik?

Isi 1

Prakarsa utama dalam meningkatkan hasil pertanian negara adalah dengan menghubungkan institusi
penyelidikan dengan pemain-pemain industri pertanian dalam negara. Kerajaan telah pun
menubuhkan pelbagai agensi-agensi kerajaan untuk menguruskan industri pertanian di negara kita.
Sebagai contoh Jabatan Pertanian ditubuhkan untuk menguruskan program-program pertanian
manakala FAMA menguruskan hal ehwal pemasaran hasil pertanian dan MARDI menjalankan
penyelidikan khusus pada pertanian negara. Tetapi kita tidak dapat melihat secara kasar sinergi
antara agensi-agensi ini dalam meningkatkan hasil pertanian negara. Kementerian Pertanian Dan
Industri Makanan perlu bertindak lebih proaktif dengan mencari mekanisme yang simbiosis antara
agensi yang terlibat dalam memastikan hasil pertanian negara ditingkatkan. Tambahan pula,
kewujudan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lazimnya menjalankan penyelidikan sewajarnya
dihubungkan dengan petani-petani tempatan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi
terutamanya dari sudut kualiti pertanian yang disemai. Intihannya, kerjasama yang jitu akan
membuahkan hasil yang lebih baik berbanding usaha yang dilaksanakan secara bersendirian.

Isi 2

Di samping itu, hasil pertanian negara dapat ditingkatkan dengan menambah baik kemudahan logistik
di bawah rangkaian pemasaran dan penghasilan produk pertanian. Kualiti hasil pertanian dapat
dikekalkan sekiranya proses daripada ladang ke pasaraya dititik berat dengan menggunakan kaedah
terbaik. Sebagai contoh, kebanyakan ladang di Malaysia masih tidak mempunyai bilik sejuk beku
yang mampu mengekalkan kualiti kesegaran sayur-sayuran dan buah-buahan setelah dituai
sementara menunggu pemborong tiba. Seterusnya pemborong dan peruncit pula menggunakan
pengangkutan yang kurang sesuai seperti lori dan van yang tiada ruangan sejuk beku. Apabila tiba di
pasaraya dan dipamerkan kepada pengguna, tahap kualiti produk tersebut telah pun berkurangan
seterusnya menyebabkan harga jatuh dan tidak diminati oleh pengguna. Oleh itu, kawalan kualiti
terhadap produk pertanian secara menyeluruh dari ladang sehingga ke pengguna perlu diperkasa
agar produk tempatan kita mampu memecah pasaran global suatu hari nanti. Kita boleh lihat negara
jiran kita iaitu Thailand di mana petani tempatan mereka bekerjasama dengan jurutera tempatan
untuk menghasilkan bilik sejuk beku menggunakan kos yang berpatutan pada saiz yang sesuai
dengan kuantiti pengeluaran sesebuah ladang di sana. Peribahasa Melayu berkata, sedikit-sedikit,
lama-lama menjadi bukit. Tindakan yang diambil hari ini walaupun memberi impak yang kecil pasti
akan membuahkan hasil yang berbaloi di masa akan datang.

Isi 3

Setelah memastikan ekosistem pertanian daripada penanaman sehingga penuaian berada pada
kualiti yang terbaik, langkah seterusnya adalah untuk merangka strategi pemasaran yang unggul.
Penganjuran Malaysian Agriculture, Horticultur & Agrotourism (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian
Malaysia (MAEPS) merupakan langkah yang baik dan wajar dilaksanakan dari tahun ke tahun. Hal ini
demikian kerana ia merupakan satu medan bagi usahawan-usahawan tani tempatan untuk
memasarkan produk mereka dan mendapat sambutan yang baik daripada seluruh rakyat Malaysia.
Bahkan penganjuran karnival tersebut dilakukan selama dua minggu bagi memberi peluang seluruh
rakyat di Malaysia untuk berkunjung dan membeli produk-produk tempatan. Jika produk yang
berasaskan pertanian yang dihasilkan oleh tenaga tempatan mendapat sambutan yang hangat dalam
kalangan rakyat tempatan, tidak mustahil untuk ia memecah pasaran global dengan panduan dan
bimbingan oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Di sini, pihak berkuasa juga seharusnya memainkan
peranan dengan memberikan pengiktirafan seperti yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian yang
memperkenalkan sijil MyGAP dan sijil myOrganic. Pengiktirafan ini merupakan standard yang
menjamin hasil pertanian tersebut melepasi piawaian yang tinggi dan berkualiti untuk dipasarkan
secara tempatan dan global.

Isi 4

Pada masa yang sama, hasil pertanian negara dapat ditingkatkan dengan meningkatkan tahap
kebergantungan bekalan makanan negara terhadap hasil tempatan. Untuk makluman semua,
bekalan makanan rakyat Malaysia secara keseluruhan masih bergantung pada produk import dan
peratusannya adalah tinggi dan membimbangkan. Sekiranya berlaku sesuatu bencana atau
pandemik yang menyebabkan aktiviti import tidak boleh dilaksanakan, negara kita tidak mampu untuk
menampung bekalan makanan secara sendirian. Oleh itu, jika kerajaan kita berhasrat untuk
menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdikari dalam bekalan makanan, ia perlu dilaksanakan
dengan meningkatkan industri pertanian negara. Hasrat ini boleh dicapai apabila kita sebagai rakyat
Malaysia membeli barangan tempatan dan hasil keuntungan yang diperoleh petani digunakan untuk
menambah baik kualiti dan kuantiti pengeluaran mereka dengan bimbingan yang betul dan
menyeluruh daripada agensi kerajaan. Kemudahan teknologi dalam industri pertanian juga menjadi
pendorong kepada hasrat ini dimana sayur-sayuran boleh tumbuh tanpa tanah dan ikan boleh
diternak tanpa air sungai ataupun air laut.

Penutup

Konklusinya, pelbagai langkah yang boleh digarap oleh setiap pihak jika ingin meningkatkan hasil
pertanian negara. Pada hemah saya, industri pertanian di negara ini mempunyai potensi yang besar
untuk ditambah baik dan dimanfaatkan sendiri oleh penduduk negara ini. Kekayaan sumber semula
jadi seperti bekalan air, tanah tinggi dan tanah landai seharusnya menjadi kelebihan yang digunakan
oleh kita dengan sebaiknya untuk mengusahakan pertanian yang berkualiti tinggi. Inisiatif ini boleh
dijayakan sekiranya pengurusannya dilaksanakan dengan penuh hemah, telus dan menerima
cadangan serta kritikan daripada pihak-pihak yang terbabit. Persepsi masyarakat juga harus diubah
kerana bidang pertanian sebenarnya sangat menguntungkan. Bak kata pujangga Aminuddin Baki,
ayam dikepuk mati kelaparan,itik di air mati kehausan. Kiasan tersebut boleh didefinisikan bahawa
apa-apa bidang sekalipun jika tidak diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak
akan dapat mengubah hidup kita dan mendapat manfaat daripadanya.

Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/langkah-meningkatkan-hasil-pertanian.html

Usaha Dan Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Isi-isi penting

Mengubah kaedah pertanian menggunakan teknologi terkini

Memberi bantuan insentif dan bengkel kemahiran

Menggalakkan pengguna membeli produk tani tempatan

Membuka kawasan pertanian baru

Menawarkan sistem pemasaran tanpa orang tengah

Menganjurkan pameran pertanian tempatan di luar negara

Baca juga: Langkah-langkah Memajukan Sektor Pelancongan Di Malaysia

Contoh Karangan Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, sektor pertanian di dalam negara sering kali dipandang enteng
dan tidak mendapat perhatian oleh pentadbir negara. Malahan masyarakat konvensional masih
mempunyai stigma fikiran bahawa pertanian adalah suatu pekerjaan yang kuno dan tidak
mendatangkan hasil yang lumayan. Perkara ini menjadi faktor-faktor yang membantutkan usaha bagi
meningkatkan kemampuan industri tani domestik menjadi salah satu pemain utama dalam ekonomi
negara. untuk makluman semua pertanian merangkumi aktiviti perladangan sawit dan getah,
penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ayam, lembu, dan hidupan laut
seperti ikan dan udang. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memajukan
sektor pertanian di Malaysia?

Isi 1

Langkah pertama untuk memajukan sektor pertanian dengan mengubah kaedah pertanian
menggunakan teknologi terkini. Industri tani mengalami kelembapan dalam kemajuan dek kerana
petani dan syarikat perladangan masih menggunakan kaedah lama yang menghasilkan kuantiti
produk yang tidak banyak dan berlaku banyak kerosakan. Hal ini disebabkan oleh kos untuk
mengubah kaedah pertanian adalah tinggi dan pengguna tidak akan membeli sekiranya harga produk
pertanian meningkat. Petani kecil dan syarikat pertanian bertindak untuk mengekalkan kaedah lama
dan mencipta keuntungan daripada mengambil risiko kerugian. Maka, anjakan paradigma seharusnya
diusahakan supaya hasil pertanian menjadi lebih berkualiti dan kuantiti produk dapat ditingkatkan.
Sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya masyarakat diperlukan agar sektor yang
menghasilkan sumber mentah bekalan makanan dan minuman kita dapat dibawa ke tahap yang lebih
baik.

Isi 2

Selaras dengan langkah pertama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan bantuan bimbingan dan
insentif daripada pihak yang bertanggungjawab. Penerapan kaedah baru yang menggunakan
teknologi tinggi memerlukan kepakaran pekerja yang mampu membimbing petani menghasilkan
produk yang terbaik. Lambakan graduan yang terhasil pada ketika ini boleh diberikan peluang untuk
menyertai sektor pertanian dan menyumbangkan kepakaran masing-masing dalam meningkatkan
kemampuan industri pertanian domestik. Selain itu, sektor pertanian juga layak mendapatkan bantuan
insentif sebagai modal untuk mereka beralih kepada penggunaan kaedah pertanian yang berteknologi
tinggi. Kewujudan agensi-agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
(MARDI) sepatutnya menjadi penggerak kepada inisiatif untuk memajukan sektor pertanian dalam
negara. Dengan adanya peruntukkan bajet yang mencukupi dan bimbingan yang tepat, pasti
kemajuan sektor pertanian dapat dijalankan dengan baik.

Isi 4

Bagi menyokong langkah di atas, ladang-ladang pertanian yang baru perlu dibuka dengan lebih
banyak mengikut kadar pertumbuhan dan permintaan pengguna. Hal ini demikian kerana apabila
terciptanya permintaan yang tinggi, kuantiti produk perlu ditambah bagi menampung keperluan
pengguna. Dengan pembukaan ladang atau kawasan pertanian yang baru, kaedah pertanian yang
terkini boleh diasimilasikan sekaligus membentuk pertanian terancang dan lebih berkesan berbanding
kaedah lama. Perkara ini boleh direalisasikan jika setiap pihak yang terlibat bekerjasama demi
membantu memajukan sektor pertanian dalam negara. Tamsilnya, Jabatan Pertanian telah
memperkenalkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di mana dengan kerjasama kerajaan
negeri, sebahagian tanah telah digazetkan sebagai kawasan pertanian kekal dan menggalakkan
aktiviti pertanian secara komersial dan berskala besar. Inisiatif ini perlu disemarakkan lagi supaya
masyarakat tahu dan lihat bahawa hasil pertanian adalah menguntungkan dan membantu
meningkatkan ekonomi diri dan negara.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di
Malaysia. Sejarah menunjukkan bahawa negara kita pernah menjadi pusat dagangan dunia dalam
membekalkan barang dagangan seperti hasil pertanian ke seluruh pelusuk dunia. Sekiranya sektor
pertanian diangkat sebagai industri utama dalam negara, Malaysia berpotensi menjadi hub produk
pertanian di rantau Asia Tenggara. Tambahan pula, industri halal yang semakin mendapat perhatian
masyarakat dunia wajar disinergikan bersama sektor pertanian negara yang lazimnya menghasilkan
produk-produk yang “Halalan Toyyiban”. Semoga masyarakat bersikap cakna dalam potensi yang ada
pada industri pertanian dan pemimpin negara membuka mata dan peluang kepada rakyat untuk
menghasilkan produk pertanian yang terbaik serta mampu dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Bak
kata peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Anda mungkin juga menyukai