Anda di halaman 1dari 2

SHELLA SAARI

Langkah Memajukan Sektor Pertanian


Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah
mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian.
Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan dalam arus pembangunan
sejak 1980-an. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada
tahun 1997 dan 1998, minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi
negara kita. Sesungguhnya, banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui
sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan sektor
pertanian

Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki


prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor
pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk
mengusahakan petanian, nescaya hasil tanaman atau ternakan mereka hanya
sekadar sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut
rentak perkembangan sektor industri, petani moden kita perlu menggunakan ilmu
sains dan teknologi yang canggih demi meningkatkan produktiviti, iaitu
menjimatkan penggunaan tenaga dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti
dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka
benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird” dapat
menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya, kaum
petani perlu disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi
dalam sektor pertanian.

Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor swasta perlu
menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita.
Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu
berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor
pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir dalam
pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti
lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang
telah diproses sebagai bahan kosmetik dan sebagainya.Pegawai Kementerian
Pertanian terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat
nasihat serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita untuk
menggunakan bioteknologi yang canggih.

Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim


pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya
Bank Agro untuk pekebun kecil . Dengan modal yang mencukupi, pekebun kita baru
dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia untuk
menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan
Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil
dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Walhasilnya, kaum petani tidak
akan digelar sebagai golongan miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.
Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak berkuasa
supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak
haloba. Penubuhan koperasi peladang digalakkan untuk memainkan peranan
sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani kita juga digalakkan
menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka.Tindakan ini dapat
memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna.Sistem pengagihan yang
teratur dapat memantapkan harga produk pertanian. Antaranya Kementerian
Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian
supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.

Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan


dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang
tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan
dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap seperti bilik
yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain
menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati buah-buahan
tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk
ala kampung serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran
yang kusut. Hal ini bagai menyelam sambil minum air. Bagaimanapun, pakej
agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan
Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah
dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin
menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.

Natijahnya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini


berprestij kepada generasi muda. Pembangunan sektor dapat mengurangkan import
makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke
bandar. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan, jasa dan pengorbanan
kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi.

Anda mungkin juga menyukai