Anda di halaman 1dari 2

Biolembangan Sektor pertanian perlu dimajukan untuk menjamin keperluan makanan bagi penduduk di negara kita.

Jelaskan usaha-usaha untuk memajukan sektor pertanian di negara kita. Marcapada ini, sektor pertanian semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Ada masyarakat yang mula menyedari bahawa sektor pertanian perlu dimajukan untuk menjamin keperluan makanan mereka. Sepertimana yang telah diketahui, sumber makanan sering berkurang hari demi hari. Setiap hari, kita mendengar berita kematian anak-anak yang kebuluran kerana kekurangan makanan di negara yang kurang bernasib baik. Oleh itu, untuk mengelakkan masalah kekurangan makanan daripada berlaku kepada rakyat di negara ini, beberapa usaha perlulah dilakukan untuk memajukan sektor pertanian. Antara usaha yang perlu diambil ialah para petani perlu mengadakan transformasi atau perubahan kepada sektor pertanian di negara ini. Para petani boleh menggunakan dan mengaplikasikan sains dan teknologi yang canggih untuk meningkatkan produktiviti. Para petani perlu menjimatkan penggunaan tenaga dan meningkatkan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, petani boleh menggunakan ilmu genetik dan tanaman secara hidroponik untuk mencari baka yang dapat menghasilkan tanaman bermutu tinggi. Tanaman hidroponik ialah sistem penanaman yang tidak memerlukan tanah, tetapi membolehkan tanaman hidup di dalam air. Sistem ini secara tidak langsung membantu menjimatkan penggunaan tanah yang semakin terhad belakangan ini. Seterusnya, kementerian Pertanian perlulah berkerjasama bagai aur dengan tebing dengan pihak swasta. Kerjasama ini penting untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R &D) terhadap sektor pertanian di negara ini. Pakar pertanian dan pelajar jurusan pertanian di universiti tempatan perlulah mengkaji penggunaan sains dan teknologi dengan lebih mendalam dalam sektor pertanian. Golongan ini perlu memastikan kelangsungan perindustrian dalam sektor pertanian dapat dijalankan, sebagai contoh perusahaan membuat sos cili dan produk kesihatan berasaskan herba. Usaha ini penting untuk menjamin keperluan makanan untuk rakyat di negara ini. Di samping itu, agropelancongan merupakan bidang yang seharusnya diberikan perhatian dalam sektor pertanian. Kaum petani perlu memperbaiki kemudahan di ladang mereka untuk memajukan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut. Selain menghayati ketenangan alam, pelancong juga dapat menikmati buah-buahan yang segar, lazat dan berkhasiat serta berpeluang untuk bercucuk tanam bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Sebagai contoh, Cameron Highlands merupakan kawasan peranginan yang popular sama ada kepada pelancong di dalam negara mahu pun luar negara. Pihak berkuasa di kawasan tersebut telah menyediakan kawasan penginapan yang menarik di sekitar ladang the dan strawberi. Hal yang demikian secara tidak langsung mampu menarik minat pelancong lain untuk turut sama berkunjung ke tempat tersebut.

Akhir sekali, pihak seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (FELCRA) perlulah memperuntukkan dana untuk membantu usahawan dalam bidang pertanian. Usaha ini penting untuk memberi bantuan kewangan kepada petani atau pengusaha sektor pertanian memajukan ladang mereka. Subsidi dan infrastruktur tanah juga perlu disediakan sebagai tanda menyokong usaha mereka dalam menjamin keperluan makanan rakyat di negara ini. Sesungguhnya, bantuan seperti ini perlulah diberikan kepada semua yang layak menerimanya dan bukan sahaja kepada sesetengah pengusaha. Sudah terang lagi bersuluh, terdapat pelbagai usaha yang perlu diambil dalam memajukan sektor pertanian di negara ini. Semua pihak perlulah bergerak seiring sejalan senada seirama dalam memastikan sumber makanan bagi penduduk di negara ini.

Anda mungkin juga menyukai