Anda di halaman 1dari 13

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/371467032

Pengurusan Penjara Negeri-Negeri Selat (1826-1900) : Analisa Masalah


Kesihatan Banduan.

Conference Paper · June 2023

CITATIONS READS

0 64

3 authors, including:

Siti Alwaliyah Mansor


Universiti Utara Malaysia
9 PUBLICATIONS 5 CITATIONS

SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Siti Alwaliyah Mansor on 10 June 2023.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
PENGURUSAN PENJARA NEGERI-NEGERI SELAT (1826-1900):
ANALISA MASALAH KESIHATAN BANDUAN

Siti Alwaliyah Mansor


Universiti Utara Malaysia (UUM)
alwaliyah@uum.edu.my

Salmah Omar
Universiti Utara Malaysia (UUM)
salmahomar@uum.edu.my

Rashidah Mamat
Universiti Utara Malaysia (UUM)
shidah@uum.edu.my

ABSTRAK
Perbincangan bertujuan menganalisis pengurusan kesihatan banduan dari segi fizikal khususnya penyediaan
rawatan, masalah-masalah pengurusan kesihatan banduan antara tahun 1826 dan 1900. Pada peringkat awal,
perkhidmatan perubatan yang disediakan hanya untuk keperluan kakitangan British dan tentera sahaja. Namun,
menyedari pentingnya hubungan antara perubatan dengan pertumbuhan ekonomi maka perkhidmatan perubatan
di NNS mula diberikan tumpuan dengan mengambil kira semua golongan termasuk buruh banduan. Kesihatan
banduan penting disebabkan permintaan bekalan buruh yang tinggi untuk menggerakkan perkembangan
ekonomi. Walau bagaimanapun, British terlepas pandang akan kepentingan menjaga kesihatan buruh
pekerjanya. Dalam memaksimumkan guna tenaga, sejumlah besar banduan jatuh sakit sehingga menemui
kematian. Perbincangan ini dihalakan kepada menganalisis masalah pengurusan kesihatan banduan seterusnya
meneliti kaedah mengatasinya. Kajian menggunakan kaedah analisis kualitatif berdasarkan penelitian disiplin
sejarah, sebahagian besar sumber diperolehi dari sumber-sumber primer Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur
seperti Pejabat Tanah Jajahan British merangkumi C.O 273, C.O 274, C.O 276, dan C.O 277, termasuk dari
Jabatan Penjara NNS dan Jabatan Perubatan NNS. Hasil kajian mendapati pada dekad terawal abad ke-19,
pengurusan kesihatan diabaikan apabila sumber buruh banduan yang sihat mulai susut, berlaku peningkatan
ketara kemasukan banduan ke hospital dan statistik kematian berlaku secara konsisten. Kedudukan penjara yang
tidak sistematik kerana terbina di kawasan berpaya menggalakkan wujudnya pelbagai isu kesihatan di tambah
dengan kelemahan pengurusan hospital penjara menjejaskan lagi kesihatan banduan.

Kata Kunci : Banduan, Penyakit, Sel, Keselamatan, Kesihatan

ABSTRACT
The discussion aimed to analyze the health management of prisoners in physical terms in particular the
provision of treatment, problems of prison health management, and methods of overcoming them between 1826
and 1900. In the early stages, medical services were provided only for the needs of British and military
personnel. However, realizing the importance of the relationship between medicine and economic growth,
medical services in the Straits Settlements began to be focused on by taking into account all groups, including
prisoner labor. The health of prisoners is important due to the high demand for labor supply to drive economic
development. However, the British overlooked the importance of maintaining the labor health of its workers. In
maximizing employment, a large number of prisoners fell ill to the point of death. This discussion is directed to
analyzing the health management problems of prisoners and then examining methods to overcome them. The
study uses qualitative analysis method based on historical discipline, most of the sources are obtained from
primary sources of the National Archives of Malaysia Kuala Lumpur such as the British Colonial Office include
CO 273, CO 274, CO 276, and CO 277, including from the Prisons Department and Medical Department. The
study found that in the early decades of the 19th century, health management was neglected when the source of
healthy prisoner labor began to decrease, there was a significant increase in the admission of prisoners to
hospital and death statistics occurred consistently. The unsystematic position of the prison because it is built in a
marshy area promotes the existence of various health issues coupled with the weakness of the prison hospital
management further affecting the health of the prisoner.

189
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
Keywords: Prisoner, Disease, Cell, Security, Health

PERBINCANGAN DAN HASIL KAJIAN

PENGENALAN

Perkembangan Negeri-Negeri Selat (NNS) sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi mendorong British
mewujudkan sistem penjara yang sistematik dan berkesan. Peluasan pengaruh kolonial British
terhadap ketiga-tiga negeri ini bermula di Pulau Pinang pada 1786, Singapura pada 1819 dan Melaka
pada 1824 (Nordin Hussin, 2007). Bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan, pihak British
menyatukan ketiga-tiga negeri di bawah satu unit pentadbiran pada tahun 1826 menjadi NNS (J. F. A.
Macnair, 1889). NNS merupakan gabungan kawasan milik Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI)
merangkumi Pulau Pinang, Singapura, Kepulauan dan Jajahan Dinding (Perak), Seberang Perai,
Melaka, dan Labuan. Namun hanya Singapura, Melaka dan Pulau Pinang dijadikan Penempatan
Hukuman (Penal Settlement) kerana kedudukan yang strategik. Kehadiran kolonial British membawa
pengaruh sistem hukuman Inggeris. Pada penghujung abad ke-18, pihak British menguatkuasakan
hukuman buang negeri sekali gus membawa masuk banduan luar ke NNS (C. M. Turnbull, 1970).
Menerusi akta ini, pihak British membawa masuk banduan secara berperingkat menyebabkan
peningkatan populasi secara mendadak sehingga awal abad ke-19. Kemasukan kelompok banduan
sebagai buruh kerajaan menguasai kebanyakan sektor kerajaan dan swasta (Enh, A. M. 2019).

Perkembangan ekonomi menyebabkan peningkatan tenaga buruh untuk memenuhi permintaan


ekonomi. Sejak awal abad ke-18 lagi, Pihak British mengarahkan banduan melakukan pelbagai
pekerjaan seperti pembinaan, perhutanan, perladangan, perlombongan dan kerja-kerja berat yang lain
dengan bayaran yang rendah (The Straits Times, 1885). Ia mendatangkan keuntungan dan menjadi
pendapatan kerajaan dan pihak penjara. Buruh banduan berupaya menjimatkan kos kerajaan,
menyebabkan pihak British menggunakan seluruh tenaga banduan bagi mencapai matlamat
pembangunan dan ekonomi British. Perkembangan NNS sebagai pusat ekonomi mendorong British
menawarkan perkhidmatan kesihatan yang baik di penjara NNS, secara tidak langsung berupaya
memulihkan imej kolonial British yang telah tercemar dengan pelbagai isu dan kelemahan. Walau
bagaimanapun, British tidak menjaga kepentingan kesihatan buruh pekerjanya, kebanyakan banduan
jatuh sakit sehingga meninggal dunia. Di penjara NNS, sebahagian besar banduan tidak mendapat
rawatan yang diperlukan sehingga diabaikan. Meskipun sebahagian banduan tahap kronik dihantar ke
hospital untuk mendapatkan rawatan, berlaku kematian akibat sering lewat dihantar ke hospital.
Orientasi penjara berkonsepkan deraan dan hukuman menyebabkan kesihatan banduan makin terjejas,
disusuli kemunculan pelbagai penyakit. Pengurusan kesihatan banduan tidak pernah diberi perhatian
serius oleh pihak pengurusan penjara. Pada penghujung abad ke-19, banyak sumber buruh banduan
jatuh sakit lantas menjejaskan sumber buruh dan ekonomi NNS. Oleh itu, kajian ini akan
menganalisis masalah-masalah dalam pengurusan kesihatan banduan.

Latar Belakang Pengurusan Kesihatan Banduan

Pengurusan kesihatan banduan di Penjara NNS merupakan salah satu cabang perkhidmatan perubatan
British dan faktor kematian yang tinggi mendorong British memberikan tumpuan terhadap isu ini
dengan mengambil langkah menawarkan perkhidmatan kesihatan terhadap banduan. Ia dimulai
dengan perkhidmatan Hospital Penjara di Penjara Pulau Pinang dan Penjara Singapura. Kedudukan
hospital ini yang berdekatan dengan penjara memudahkan pihak Pegawai Perubatan menjaga dan
merawat banduan. Pada penghujung abad ke-18, Hospital Penjara mulai sesak berikutan peningkatan
jumlah kemasukan banduan. Tambahan pula, pihak kerajaan tidak mempunyai fasiliti perubatan yang
mencukupi untuk merawat banduan. Hakikatnya pihak British berusaha memastikan buruh banduan
adalah sihat dan tidak mempunyai penyakit memandangkan mereka merupakan guna tenaga penting
untuk kerja-kerja pembangunan ekonomi. Malah banduan dikenakan saringan kesihatan dan diberi
vaksin sebelum masuk ke NNS. Mereka dipilih daripada kalangan buruh pekerja yang sihat dan tidak
mempunyai sebarang penyakit (The Public Health of the Straits Settlements Medical Report, 1896).
190
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
Dasar Kolonialisasi British yang mempraktikkan amalan membawa banduan luar khususnya dari
India dan China memfokuskan sasaran kerajaan untuk mendapatkan sumber buruh murah, jadi
kolonialiasi yang berkembang rancak menggalakkan kemasukan banduan secara besar-besaran.
Pemindahan ini dilihat apabila pihak British membawa banduan dari India ke Pulau Pinang dan
Singapura, diikuti banduan dari China di Negeri-negeri Selat. Namun pada pertengahan abad ke-19,
Penjara NNS mula mencatatkan jumlah banduan yang jatuh sakit secara berterusan. Pada tahun 1850,
dua penyakit utama telah menular dalam kalangan banduan iaitu sifilis dan malaria. Pada tahun 1859
sebanyak 2301 kes sifilis telah dicatatkan (The Public Health of the Straits Settlements Medical
Report, 1896). Pihak British menyedari hubungan penyakit ini dengan budaya pelacuran yang giat
dijalankan namun bagi menjaga rasa malu, tiada tindakan susulan diambil secara serius. Hal ini
disebabkan oleh sebahagian besar pesakit ini adalah dalam kalangan bangsa Eropah dan Cina.

Penggunaan tenaga buruh banduan semakin meningkat khususnya pada tahun 1860. Pada tahun
1867 berlaku perubahan pentadbiran NNS, oleh itu Gabenor NNS Sir Harry St George Ord meminta
Superintendan Penjara iaitu Macnair menyediakan sumber banduan untuk pelan pembinaan rumah
kerajaan. Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat meluluskan permohonan ini dengan kos tanah
$43,800 dolar dan kos bangunan, perabot, dan fasiliti lain bernilai $115,000. Pada 1 Disember 1869,
kebenaran menggunakan tenaga banduan pula diluluskan. Bermula tahun 1870, banduan India dan
Cina diberi pelbagai tugas dalam projek mendirikan bangunan mahkamah baru, pejabat awam,
hospital besar, Lunatic Asylum dan lain-lain menjadikan Penjara NNS institusi utama yang
membekalkan sumber buruh kerajaan. Penggunaan banduan menjimatkan perbelanjaan kerajaan
kerana mereka tidak perlu membayar kos penginapan dan kos penghantaran pekerja memandangkan
banduan hanya mendiami penjara (H. St. G. Ord, 1868). Buruh banduan mendapat permintaan yang
tinggi daripada pihak kerajaan termasuk menerima kontrak swasta untuk dijadikan buruh kontrak (C.
Anderson, 2007). Dalam kerancakan pembangunan pelbagai projek kerajaan, banduan di penjara mula
menunjukkan tahap kesihatan yang semakin merosot. Kemasukan banduan ke Hospital Penjara pula
tidak pernah surut. Banduan kelihatan lemah dan sering mempunyai simptom-simptom tidak berdaya
menyebabkan banyak kerja tidak dapat dilakukan (Straits Times Overland Journal, 1881).

Bermula tahun 1867, NNS sudah mempunyai autoriti menjalankan pentadbiran sendiri, tetapi
pengurusan kesihatan banduan kurang diberi tumpuan menyebabkan perkhidmatan kesihatan penjara
serba kekurangan, tidak mempunyai fasiliti perubatan, dan berhadapan masalah kewangan. Dalam
masa yang sama, perkhidmatan kesihatan penjara tidak mempunyai kakitangan perubatan yang
berpengalaman kerana sebahagian besar kakitangan merupakan banduan yang diambil bekerja sebagai
pembantu doktor dan jururawat. Hospital Penjara hanya mempunyai seorang Senior Surgeon yang
yang dipinjamkan dari Hospital Umum kerajaan. Banduan yang sakit sering dihantar ke hospital-
hospital luar seperti ke Hospital Umum. Pihak penjara juga tidak mempunyai sebarang peraturan
tertentu untuk menguruskan kesihatan banduan walaupun sehingga tahun 1868. Seterusnya pada
tahun 1870, pihak Pakar Perubatan hospital yang ada diberi kebenaran menguruskan perjalanan
hospital mengikut acuan sendiri. Ia dianggap sebagai pampasan ke atas gaji yang dibayar dengan
kadar yang rendah. Oleh itu, setiap hospital atau asilum di NNS diuruskan mengikut pentadbiran
pegawai perubatan.

Mereka mempunyai kebebasan penuh mengendalikan pengurusan dan pentadbiran hospital


masing-masing. Mereka juga perlu berusaha mencari pendapatan untuk membiayai perbelanjaan
rawatan hospital. Tetapi tidak semua kakitangan menjalankan tugas dengan amanah. Ini kerana
kebanyakan kerja rawatan hospital terbiar, tidak terurus dan terbengkalai. Contohnya, pada tahun
1870 Pegawai Perubatan bertugas dilaporkan tidak bertugas ketika waktu bekerja, tidak membuat
pemeriksaan, tidak membuat lawatan, malah menyerahkan sepenuh tugas kepada pembantu-
pembantunya yang terdiri daripada pegawai rendah. Hakikatnya mereka dilantik untuk membantu
Pegawai Perubatan dan mereka juga adalah banduan yang terpilih kerana mempunyai kelayakan yang
ditetapkan (Straits Times, 1870).

Pada penghujung tahun 1870, serangan penyakit kusta berlaku dan ia menjadi lebih progresif
kerana pihak perubatan tidak menemui rawatan yang berkesan. Sebahagian besar banduan mengalami
kerosakan kekal pada kulit, saraf, otot dan mata. Contohnya tahun 1871, 80 banduan jenayah dan 10
191
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
banduan mental menderitai penyakit ini. (Report on Pauper Hospitals, 1871). Mereka dihimpunkan di
dalam asilum tetapi sebahagian besarnya berada pada tahap kritikal. Simptom penyakit kusta yang
mudah berjangkit mencetuskan rasa panik dalam kalangan populasi penjara termasuk masyarakat di
NNS. Terdapat banyak pandangan yang menggesa pihak kerajaan dan pihak penjara mengeluarkan
pesakit-pesakit kusta ini daripada negeri dan menempatkan mereka di tempat yang terasing daripada
masyarakat di NNS (E. A. H. Anson, 1871). Pada tahun 1880, penyakit malaria pula menyerang
hampir keseluruhan populasi Penjara NNS. Laporan Perubatan 1880 menyatakan, persekitaran yang
kotor dan tidak terurus dikaitkan salah satu punca utama malaria. Pengurusan persekitaran yang tidak
terurus dan tidak sihat menggalakkan malaria menular dengan lebih cepat. Pada tahun 1885, Dr Dane
Pegawai Perubatan British menyatakan beberapa penyakit bahaya yang lain pula menular di Penjara
NNS seperti penyakit beri-beri yang turut dikaitkan dengan malaria. Banduan yang sudah dijangkiti
pula telah menjadi ejen penularan penyakit. Banduan-banduan lain pula sangat mudah dijangkiti
kerana sistem pertahanan tubuh lemah dan mendiami persekitaran yang tidak sihat. Oleh itu, kajian ini
akan menganalisis masalah-masalah dalam pengurusan kesihatan banduan di Penjara NNS.

MASALAH PENGURUSAN KESIHATAN BANDUAN DI PENJARA NNS

Penelitian terhadap pengurusan kesihatan banduan di Penjara NNS menunjukkan pengurusan penjara
berhadapan dengan banyak masalah dalam menguruskan banduan secara sistematik. Ia menjadi
permulaan kepada usaha yang lebih giat untuk mengurangi jumlah kematian banduan. Walau
bagaimanapun, peruntukan kewangan amat minimum disebabkan kerajaan memberikan tumpuan
kepada pelbagai bidang pengurusan penjara yang lain. Sejak peringkat awal, pengurusan kesihatan
memperlihatkan kemunculan pelbagai masalah dan kerajaan berusaha memperbaiki kaedah
pengurusan kesihatan supaya lebih sistematik. Perbincangan seterusnya difokuskan kepada melihat
masalah-masalah yang berlaku dalam pengurusan kesihatan banduan di Penjara NNS.

Kedudukan Tapak Penjara Kotor

Antara isu utama dikenal pasti ialah masalah kedudukan tapak penjara yang sentiasa kotor disebabkan
kebanyakan penjara dibina di kawasan bertanah lembap dan berpaya. Oleh itu, keadaan penjara
sentiasa basah menyebabkan pembiakan bakteria dan kemunculan pelbagao penyakit. Kedudukan
tapak penjara yang dibina di kawasan yang lembap menyukarkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Meskipun British berusaha mewujudkan persekitaran yang bersih dan mengeringkannya, keadaan
tanah akan cepat kembali basah dan kotor semula. Sebagai contoh, Penjara Singapura terletak di Jalan
Bras Basah yang terletak agak rendah menyebabkan kawasan ini sering ditenggelami air kerana padat
dengan air paya. Persekitaran sebegini menggalakkan pembiakan kuman berbahaya yang membawa
kepada pelbagai penyakit. Oleh sebab kebanyakan tapak yang ada basah dan berpaya, pihak British
melakukan penimbusan tanah di tapak Penjara Singapura. Banduan-banduan diarahkan mengangkut
tanah dari kawasan Government Hill untuk menimbus semua kawasan berpaya. Banduan menimbus
kawasan rendah kepada ketinggian dua kaki dari tanah sedia ada. Menurut Macnair selaku
Superintendan Penjara Singapura, ketika tahun 1863-1864 wujud beberapa jenis penyakit yang
dikaitkan berpunca dengan tanah. Sebahagian besar populasi banduan sering demam, diserang ulser,
bisul-bisul serta mendapat luka-luka di kaki (J. F. A. Macnair, 1889). Penghujung tahun 1864 terusan
telah dibuat dan disalurkan ke longkang bagi melancarkan air di kawasan yang bertakung. Kerja-kerja
menimbus tanah dilakukan secara berterusan.

Penjara Singapura yang sebelumnya merupakan Penjara Convict dipecahkan dan ditukar
menjadi Penjara Kriminal (Criminal). Namun sejak pertukaran penjara, muncul pula penyakit lain
yang dianggap misteri pada tahun 1878 (J. F. A. Macnair, 1889). Pelbagai simptom direkodkan di
Penjara NNS sejak Mei 1875 (S. A. Mansor, 2019). Kebanyakan laporan penjara mengklasifikasikan
penyakit ini sebagai penyakit berjangkit. Ini disebabkan penyakit ini menular sangat pantas dan ketika
itu status sebenar penyakit tidak diketahui. Penyakit khusus ini dikenali sebagai penyakit beri-beri
yang diumumkan secara rasmi pada tahun 1877 (The Daily Times, 1880). Hakikatnya, sebelum
diumumkan sebagai penyakit beri-beri, kemasukan yang tinggi direkodkan dalam kalangan banduan
yang mempunyai simptom beri-beri sejak tahun 1875 lagi. Dalam tahun 1870, sebanyak 1981 kes

192
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
kemasukan banduan ke hospital, tahun 1871 pula 1933 kes, dan meningkat ke 2500 kes pada tahun
1873. Pada tahun 1874, jumlah kes beri-beri di Penjara NNS masih berlaku secara konsisten,
sebagaimana yang ditunjukkan dalam jadual berikut:

Jadual 1: Jumlah Kes Beri-Beri di Penjara NNS 1874-1878

Tahun Jumlah Kes Beri-Beri


1874 763
1876 667
1878 826
Sumber : Daily Times, 30th July. The Outbreak of Beri-Beri. 31 July 1880, hlm. 1.

Dari tahun 1874 hingga 1878, kes beri-beri terus berlaku. Pada tahun 1874, 1876, dan 1878, masing-
masing terdapat 763, 667 dan 826 kes beri-beri (Straits Times Overland Journal, 1880). Walaupun
kes berlaku secara konsisten, berlaku sedikit penurunan kes beri-beri pada tahun 1876.
Penurunan ini dikaitkan dengan usaha giat kerajaan British menangani penyakit ini. Ia
membuktikan terdapat usaha mengawal penularan penyakit ini walaupun bukanlah secara
menyeluruh. Dalam masa sama, masih terdapat sebahagian banduan yang direkodkan masuk
ke hospital berikutan penyakit beri-beri. Kemasukan berlaku secara berterusan namun berada
di bawah jumlah 1000 orang. Di sebalik kadar kemasukan dan penularan penyakit yang
berterusan, kadar kematian turut dicatatkan secara konsisten. Contohnya dapat dilihat dalam
jadual berikut:

Jadual 2 : Peratus Kematian Penyakit Beri-Beri Bagi Tahun 1878-1879

Bil Tahun Peratus kematian


1. 1878 16.20%
2. 1879 20.63%.
Sumber : The Straits Times, Beri-Beri. Outbreak in the Singapore Prison. 18 Disember 1911, hlm. 8.
Kadar kematian bagi tahun 1878 ialah 16.20% dan pada tahun 1879 ia meningkat kepada 20.63%.
Dalam tahun 1878, pihak British mengaitkan sebab kematian yang tinggi dengan faktor angin monsun
Timur Laut. Ia menyebabkan keadaan lembap dalam persekitaran penjara secara berterusan sepanjang
tahun. Keadaan sebegini menggalakkan penularan penyakit beri-beri disebabkan keadaan lembap
mempengaruhi pertumbuhan bakteria secara aktif (The Straits Times, Beri-Beri, 1911). Sehingga
tahun 1880, beri-beri telah menular secara menyeluruh melibatkan semua banduan sama ada di
Penjara Singapura, Pulau Pinang mahupun Melaka (S. A. Mansor, 2019). Pada tahun 1881,
peningkatan penyakit beri-beri terus berlaku di Penjara Pulau Pinang. Terdapat 648 kes kemasukan
banduan akibat beri-beri ke hospital penjara (Straits Times Overland Journal, 1881). Penularan yang
sangat pantas membawa kepada kematian, misalnya dalam jadual berikut:

193
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4

Jadual 3: Peratus Kematian Banduan Disebabkan Penyakit Beri-Beri Tahun 1869-


1879.

Tahun Kadar kematian


1869 2.6%
1874 2.4%
1875 12.4%
1879 12.8%
Sumber : Straits Times Overland Journal, Beri-Beri in the Criminal Gaol, 12 July 1880, hlm. 2.

Kematian banduan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Misalnya pada tahun 1869 dan 1874,
kadar kematian banduan disebabkan beri-beri ialah masing-masing 2.6% dan 2.4%, namun pada tahun
1875 peratus kematian banduan naik mendadak iaitu 12.4% seterusnya tahun 1879 meningkat kepada
12.8% kematian (Straits Times Overland Journal, 1880). Dalam tempoh sepuluh tahun, peratus
kematian banduan akibat beri-beri menunjukkan peningkatan mendadak. Kematian ini dapat dikaitkan
dengan pelbagai eksperimen dijalankan pihak perubatan British dalam mencari rawatan berkesan.
Pelbagai ubatan diberikan kepada banduan yang diserang penyakit ini. Terdapat rawatan yang mampu
menangani penyakit beri-beri tetapi dalam masa sama ubatan juga memberikan kesan sampingan yang
negatif sehingga meragut nyawa. Kematian sangat kerap berlaku. Ini mendatangkan kebimbangan
pihak British kerana penularannya meragut nyawa.

Selain itu, penyakit malaria turut menular rancak di penjara. Takungan air busuk dikaitkan
sebagai punca malaria. Nyamuk telah membiak di kawasan berair termasuk di longkang-longkang
penjara. Pengurusan air yang tidak terjaga, aliran pengudaraan yang lemah ditambah dengan tapak
penjara berpaya membawa kepada teori Miasma sebagai penyebab malaria (R.S. Desowitz, 1991).
Pada tahun 1882, Dr Rowell, Pegawai Perubatan British mengeluarkan laporan perubatan menyatakan
kawasan berpaya hanya menyumbang kepada lebih banyak penyakit (Straits Times Weekly Issue,
1883). Pihak Jurutera Kolonial mencadangkan supaya banduan menimbus lebih tinggi, daripada 2
kaki ke 4 kaki. Tapak berpaya ditimbus sehingga ke ketinggian empat kaki. Walau bagaimanapun,
Penjara Pulau Pinang, Penjara Melaka dan Penjara Singapura masih diserang pelbagai penyakit. Pihak
perubatan mengaitkan kemunculan pelbagai penyakit ini mempunyai kaitan erat dengan pencemaran
tanah di semua penjara yang menyebabkan penyebaran pelbagai kuman berbahaya. Haiwan-haiwan
perosak seperti tikus, lipas dan lalat pula semakin banyak bertumpu di sekitar penjara sekali gus
menyebarkan kuman penyakit ke tempat-tempat lain.
Pada abad ke-19, 90% populasi penjara jatuh sakit dan demam, mendapat serangan bisul-bisul
di seluruh badan. Terdapat sebahagian besar banduan mengalami ulser di bahagian kaki dan terdapat
banyak batu-batu kecil melekat di pergelangan kaki mereka. Ketika ini, demam Reumatik menjadi
simptom dominan menyerang semua banduan di Penjara NNS. Bagi banduan yang mengalami
reumatik tahap serius, kebanyakan mereka dijangkiti bakteria streptokokus yang menyebabkan
kegagalan jantung (L. Manderson, 2002) serta mempunyai komplikasi lain sseperti demam berdarah.
Kemunculan penyakit ini turut dikaitkan dengan keadaan lembap dan iklim di kawasan penjara,
ditambah dengan kelewatan mendapat rawatan mempercepatkan kadar kematian banduan. Pada tahun
1890, penyakit kusta pula menyerang populasi banduan menyebabkan gatal-gatal kulit. Berdasarkan
laporan Dr Kerr selaku Pegawai Perubatan British, kusta menyerang sebahagian besar populasi
banduan kerana keadaan banduan sentiasa berpeluh, bekerja di kawasan tanah lembap dan
mempunyai jangkitan bakteria (The Public Health of the Straits Settlements Medical Report, 1896).
Kebanyakkan banduan bekerja di tempat kotor menyebabkan kesihatan terjejas, jangkitan kuman serta
jangkitan penyakit lain.

Dalam masa yang sama, pengurusan kesihatan yang lemah menyebabkan kuarantin tidak
diusahakan. Dari abad ke-18 hingga ke-19, banduan yang ditempatkan di dalam dormitori saling
bercampur dan ia menjadi kebiasaan di penjara kerana British berhasrat memudahkan mereka bekerja
dalam kumpulan masing-masing. Banduan yang sakit pula berada pada jarak dekat dan tidak
dikenakan kuarantin menyebabkan penularan penyakit berlaku lebih cepat. Keadaan ini tidak diatasi
194
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
dan dibiarkan sehingga keadaan makin melarat dan meninggal dunia. Dr Simon, Pegawai Perubatan
yang bertugas menyatakan, pengasingan tidak dilakukan mengakibatkan pelbagai wabak penyakit.
Banduan yang sudah jatuh sakit berada pada tahap kritikal tidak dihantar ke hospital.

Sifilis dan penyakit kulit termasuk kusta terus tersebar kepada banduan lain. Memandangkan
sebahagian besar populasi banduan merupakan pesalah hukuman panjang, tempoh masa yang lama di
penjara menyebabkan mereka dijangkiti. Hakikatnya, kuarantin dapat mencegah penularan penyakit
dengan cepat dan mengelakkan banduan menjadi ejen penularan penyakit tetapi malangnya pihak
British tidak melaksanakan usaha kuarantin dan pengasingan (R. L. Jarman, 1998). Keadaan tapak
berpaya menyebabkan kesukaran mewujudkan persekitaran bersih. Ini menimbulkan kesan berbahaya
dengan membawa pelbagai masalah kesihatan kepada banduan sehingga sering dimasukkan ke
hospital. Dalam tempoh lima belas tahun, terdapat pelbagai penyakit yang menyebabkan banduan
dimasukkan ke hospital. Pada tahun 1884, kedua-dua kes kematian yang menyebabkan maut adalah
disebabkan banduan masuk ke Hospital Penjara dalam keadaan kritikal. Selain itu, dalam tahun yang
sama, antara sebab kemasukan banduan ke hospital ialah diarrhoea, beri-beri, phthisis, dropsy,
general debility, disentri dan demam yang berulang. Bagi penyakit beri-beri sahaja, 232 pesakit
dirawat dan 102 kematian berlaku. Penyakit malaria juga berlaku, di samping diarrhoea dan disentri.
Simptom- simptom ini dilihat berlaku pada pertengahan tahun dan dikaitkan sebabnya kerana musim
panas berpanjangan dan penebangan hutan yang sangat dekat dengan wad hospital.

Pihak kerajaan mengarahkan tindakan diambil untuk mendapatkan sumber bekalan air dan
membersihkan hutan. Pada tahun 1884, dua buah wad didirikan bersambung dengan laluan pejabat
penjara. Pada tahun 1888, wabak kolera pula menular di Penjara Singapura. Ia menyebabkan 215
orang banduan hukuman pendek dipindahkan ke stesyen kuarantin di Pulau St John. Seramai 194
banduan dibebaskan dan 20 orang banduan dipindahkan ke Melaka. Pada tahun 1895, di Singapura
kadar kematian meningkat dua kali ganda dari tahun sebelumnya. Peningkatan kematian disebabkan
keadaan banduan yang sudah lemah dan jatuh sakit sejak tahun sebelumnya. Pada tahun 1896,
Colonial Surgeon Province Wellesley, Dr Dane menyatakan kematian terus berlaku dan dikaitkan
dengan demam malaria yang menular dengan cepat. Penyakit kolera mencatatkan 43 kes dan 39
meninggal dunia. Di Penjara Melaka pada tahun 1899 mencatatkan 9 kemasukan banduan ke hospital,
30 banduan hukuman panjang menghidapi penyakit beri-beri dan dipindahkan ke Penjara Singapura.
Kepelbagaian punca kemasukan banduan ke hospital sebenarnya mempunyai hubung kait yang erat
dengan masalah tapak penjara sehingga membawa kemunculan penyakit utama iaitu malaria, beri-beri
dan kolera.

Perkhidmatan Hospital yang Terhad

Seterusnya masalah lain yang dihadapi British ialah perkhidmatan hospital yang terhad di Penjara
NNS. Kekurangan ini menjejaskan pengurusan kesihatan banduan menyebabkan British
menghubungkan Hospital Penjara dengan Hospital Umum kerajaan. Hospital Penjara dibina
berangkai dengan bangunan Hospital Umum. Contoh dapat dilihat seperti di Singapura, kedudukan
Hospital Umum dibina berdekatan dengan penjara Hospital ini dibina berdekatan dengan kawasan
berek tentera dan Sungai Singapura. Malah hampir dengan Jalan Outram, pondok Sepoy Lines, dan
kawasan penjara. Ini bertujuan memudahkan urusan penghantaran banduan ke hospital untuk
mendapat rawatan sekali gus menjimatkan kos pengangkutan yang telah dijalankan sejak tahun 1821
sehingga tahun 1882. Pada tahun 1868, ketiga-tiga institusi rawatan yang menguruskan banduan
disambungkan dengan Hospital Umum. Ia melibatkan Hospital Banduan (Convict Hospital), Hospital
Penjara (Jail Hospital), dan Asylum Mental (Lunatic Asylum) (H. St. G. Ord, 1868).

Pulau Pinang merupakan negeri yang terawal mempunyai Hospital Penjara. Pada tahun 1869,
tiga buah Hospital Penjara telah dibina untuk perkhidmatan merawat banduan merangkumi Hospital
House of Correction, Convict Jail Hospital, dan Leper Hospital. Namun semua hospital ini
mempunyai ruang terhad dan sentiasa sesak. Contohnya, House of Correction mempunyai bilik
rawatan bersaiz kurang 600 kaki padu sahaja. Bilik ini tidak mempunyai pengudaraan yang baik dan
memuatkan seorang individu sahaja. Ia disambungkan dengan Hospital Banduan (Convict Jail
195
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
Hospital) dengan jarak yang sangat dekat. Struktur binaan hospital juga tidak teratur dan sistematik,
sebagai contoh tandas hospital dibuat bersebelahan dapur memasak. (R. L. Jarman, 1998) Keadaan ini
memudahkan pembiakan bakteria dari tandas menular ke dapur masakan, dan menjijikkan. Keadaan
yang sesak juga menyebabkan pihak British menghantar banduan-banduan ke Hospital Umum. Pihak
British turut membina Hospital Umum di Pulau Pinang ekoran peningkatan tenaga buruh. Hospital
Umum dibina untuk perkhidmatan kesihatan kepada buruh. Kedudukannya dibuat agak jauh dari
bandar supaya pesakit tidak bersesak, namun ia tetap mempunyai pelbagai masalah kerana serba
kekurangan dari pelbagai segi. Pengurusan hospital juga tidak mempunyai kakitangan yang
mencukupi dan mengambil banduan sebagai kakitangan pembantu. Masalah komunikasi juga
selalu berlaku dalam kalangan kakitangan hospital disebabkan kekangan memahami pelbagai bahasa
berbeza (H. St. G. Ord, 1870).

Penyediaan khidmat hospital dilihat sukar memandangkan pihak kerajaan perlu menanggung
kos yang banyak untuk pengurusan penjara. Misalnya, penggunaan kos pada tahun 1868 sehingga
1869 sahaja adalah 350 untuk pengubahan di Hospital Banduan, 850 untuk bayaran quartes pembantu
wadar, 2800 untuk pembaikian berek polis di Kampung Kerbau, 12000 untuk memperbaiki stesyen
polis di Seranggon, 1500 untuk penambahan penjara, 1300 untuk pembaikian House of Correction
dan mengubah sel lokap di balai polis pusat dan lain-lain kegunaan. Kos ini pelbagai bayaran
berfokuskan pembangunan dan pembinaan. Pada tahun 1869, hospital penuh dan sesak dalam masa
sama kekurangan fasiliti rawatan. Oleh sebab kesesakan, banduan turut dihantar ke hospital lain
termasuk Hospital Pauper di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Hospital ini menyediakan rawatan
untuk orang miskin yang tidak berkemampuan dan dikenali sebagai Poor House. Hospital ini merawat
banduan di ruang yang berasingan. Ia merupakan sumbangan saudagar Cina iaitu Tan Tock Seng dan
telah beroperasi pada tahun 1844 di Singapura. Kedudukan hospital ini yang sebelumnya dibina di
kawasan Pearl Hill telah dipindahkan ke Serangon Road (A. Knight, 1913).

Hospital Pauper di Melaka pula siap dibina pada tahun 1869 di Pulau Serimbon dan mendapat
pembiayaan Jabatan Kebajikan dan pihak kerajaan. Namun, masalah yang sama dihadapi iaitu
kekurangan fasiliti perubatan untuk merawat banduan. Jumlah kemasukan banduan ke hospital pula
yang meningkat. Berikutan jumlah banduan yang dihantar ke Hospital Pauper tinggi, ia menyebabkan
pihak hospital kekurangan kakitangan untuk merawat banduan. Pada tahun 1871, kesemua Hospital
Pauper di NNS yang merawat banduan mula kekurangan peruntukan perubatan, malah kemasukan
pesakit berterusan tanpa henti sehingga mempercepatkan kematian banduan. Masalah ini menjadi
tular dan menjadi tajuk utama di media-media rasmi NNS antara kerajaan British Singapura dan
London. (R. L. Jarman, 1998). Pengurusan kesihatan banduan yang semakin merosot akhirnya
mendesak British menutup perkhidmatan kesihatan yang disediakan. Tetapi Gabenor NNS iaitu Sir
Ord mempertahankan dengan mencadangkan usaha penambahbaikan pengurusan kesihatan banduan
dilakukan dengan kadar segera. Jadi ia tetap diteruskan. Selepas lebih sepuluh tahun, kemasukan dan
kes banduan ke hospital tetap menunjukkan corak kemasukan yang konsisten.

Pada tahun 1888 sehingga 1889, jumlah kes banduan di Hospital Pauper dicatatkan paling
tinggi. Ini kerana kekurangan ruang dan fasiliti perubatan penjara menyebabkan banduan sakit tidak
dirawat di penjara dan dihantar ke Hospital Pauper dan Hospital Umum. Menurut A.M. Skinner
selaku Setiausaha Kolonial NNS, pada tahun 1888 kesihatan banduan kurang baik disebabkan
sebahagian besarnya diserang malaria. Isu malaria masih menjadi masalah utama di penjara.
Meskipun terdapat pelbagai pandangan yang mengaitkan punca malaria disebabkan tanah,
persekitaran dan air, namun pihak perubatan masih gagal menangani isu malaria ini. (R. L. Jarman,
1998).

Pengurusan Air Bersih

Pihak British juga menghadapi masalah pengurusan air bersih. Masalah air di Penjara NNS bukan
sahaja mendedahkan banduan kepada penyakit, malah mendatangkan pelbagai masalah termasuk
mempercepat kematian. Kegagalan menyediakan bekalan air bersih dan kegagalan menyelenggara
196
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
sistem air sejak penubuhan penjara sehingga berabad demi abad meninggalkan kesan buruk terhadap
pengurusan penjara. Bekalan air sedia ada hanya diperoleh dari sumber air yang digali dari bawah
tanah di penjara. Ia menjadi sumber utama untuk pelbagai kegunaan harian banduan. Air tidak bersih
dari sumber air tercemar digunakan dalam tempoh yang lama dan berterusan sehingga mempengaruhi
tahap kesihatan banduan. Banduan sering kali menderita penyakit kolera, malaria, beri-beri, dan lain-
lain. Kebanyakan penjara juga menghadapi masalah air bertakung selain berhadapan masalah
pembiakan nyamuk. Air bertakung berada di merata tempat di seluruh kawasan penjara. Ini
menyebakan persekitaran kotor dan mengeluarkan bau busuk. Pihak penjara mempunyai saliran air
sendiri namun ia tidak diuruskan dengan baik dan keadaan ini berlarutan sehingga tahun 1879.

Penghujung abad ke-19, Penjara NNS mencatatkan serangan penyakit malaria dan beri-beri
paling serius. Menurut Dr Rowell, kegagalan menguruskan sistem air menyebabkan air terus
bertakung di kebanyakan kawasan penjara. Pembinaan Stamford Canal di Singapura juga
menyebabkan air tersekat dan melimpah masuk semula ke kawasan penjara. Ia bercampur dengan air
yang bertakung di penjara. Masalah ini menyumbang kepada perkembangan penyakit khususnya beri-
beri (R. L. Jarman, 1998). Selain itu, banduan juga mengambil bekalan air dari lombong-lombong
yang dibuka di tapak pekerjaan mereka di luar penjara. Kebiasaannya, mereka menetap secara
sementara di pondok-pondok untuk melakukan kerja pembersihan hutan untuk membina penempatan
baru kerajaan (C.M. Turnbull, 1970). Senario ini juga dikaitkan dengan punca kes penyakit malaria
berlaku. Semua kawasan yang baharu diterokai berdekatan dengan tempat tinggal banduan dan hampir
dengan jalan-jalan raya utama. Oleh yang demikian, mendapatkan sumber air daripada lombong-
lombong terbuka adalah satu perkara biasa.

Pada tahun 1900, Dr Malcolm Watson (The Institute for Medical Research 1900–1950)
menyatakan pandangannya supaya sistem pengairan sesuatu kawasan mesti disesuaikan dengan
bentuk muka bumi kerana ia boleh mengakibatkan penyakit malaria. Kerja-kerja penebangan dan
pembersihan hutan telah mengganggu habitat serangga tersebut, sekali gus mendedahkan banduan
kepada vektor malaria.
Kelemahan pengurusan air bersih menggalakkan nyamuk membiak di dalam lopak-lopak air
berdekatan tempat tinggal banduan sama ada dalam atau luar penjara. Ini membolehkan vektor
anopheles umbrosus membiak dan menyumbang peningkatan penyakit malaria. Dr Malcolm
menyarankan pihak penjara membina saliran air terbuka dan membuat pengeringan kawasan. Pihak
kerajaan menerima cadangan ini oleh itu saliran air terbuka telah diusahakan. Namun kebanyakan
kawasan diduduki banduan dekat dengan bukit-bukau. Ia telah menyukarkan saliran air untuk
mengalir dengan lancar. Dalam masa yang sama, vektor anopheles maculatus tetap boleh membiak
walaupun di dalam air yang mengalir (M.Watson). Justeru, masalah air bersih dan penyenggaraannya
masih gagal diselesaikan dan masih menjejaskan kesihatan banduan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pengurusan kesihatan banduan yang sering diabaikan berikutan tumpuan beralih
kepada perkembangan ekonomi terkesan apabila sumber buruh banduan yang sihat mulai susut.
Jumlah banduan yang jatuh sakit meningkat secara ketara seiring dengan kadar kematian banduan.
Bangunan penjara yang dibina di tapak berpaya menimbulkan pelbagai masalah kesihatan kepada
banduan, ditambah dengan kelemahan pengurusan hospital penjara menjejaskan kesihatan banduan.
Keadaan yang kotor dan tidak terurus, kedudukan tanah tapak yang tidak sistematik, kekurangan
kawalan kebersihan, kesesakan, diikuti oleh keadaan semula jadi iklim NNS iaitu beriklim Tropika
memberikan kesan terhadap kesihatan banduan. Malaria dan beri-beri merupakan penyakit yang
dominan dan 90% banduan menghidap demam sebagai simptom awal sehingga meragut nyawa.
Malaria dan beri-beri menyerang seluruh populasi banduan. Sebagai contoh, terdapat 90 kes beri-beri
pada tahun 1890 dan meningkat kepada 223 kes pada tahun 1892. Begitu juga dengan malaria,
terdapat 6156 kes pada tahun 1890 dan meningkat kepada 7000 kes pada tahun 1892. Keseluruhan
penjara NNS mencatatkan sebanyak 59,208 kes malaria dengan kematian sebanyak 9000 kes pada
tahun 1893. Selain itu, sebahagian besar kematian banduan adalah disebabkan dua atau tiga penyakit
197
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
menyerang serentak antaranya malaria dan cacing, malaria dan beri-beri, selain disebabkan masalah
kekurangan nutrisi yang serius, seiring menyebabkan rangkaian penyakit berkaitan dengan malaria,
cacing, dan diarrhea. Sebahagian besar banduan yang mendiami penjara pasti menghidapi penyakit,
berasa lemah, dan terbunuh secara perlahan. Selain itu, kebanyakan banduan juga mendapat jangkitan
penyakit lain seperti cacing, penyakit kelamin, tuberkulosis, disentri, pneumonia, dan kolera yang
juga menyumbang kepada kematian. Oleh itu, dari tahun 1800 hingga 1898, seakan menjadi
kebiasaan di penjara setiap banduan menghidapi dua atau tiga penyakit dalam satu masa yang sama.

RUJUKAN

SUMBER PRIMER

Rekod Pejabat Kolonial

Straits Settlements Original Correspondence

C.O 273 : Colonial Office, Original 1098 correspondence relating to the Straits Settlement.
(1859 - 1939)

C.O 273/19 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
4 Jun 1868.
C.O 273/19 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
10 Julai 1867.
C.O 273/19 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
15 Disember 1868.
C.O 273/19 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
10 Julai 1867.
C.O 273/19 : Circular Dispatch Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry St. George Ord, 16 Januari
1865.
C.O 273/31 : Section V of Ordinance XI of 1868 empowered the Governor to transport local prisoners to other
colonies.
C.O 273/36 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
24 Disember 1870.
C.O 273/39 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
29 Julai 1870.
C.O 273/62 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
3 Disember 1872.
C.O 273/62 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
27 Disember 1872.
C.O 273/62 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
4 November 1872.
C.O 273/62 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
3 Disember 1872.
C.O 273/66 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
3 April 1873.
C.O 273/66 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
9 Mei 1873.
C.O 273/66 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
22 Ogos 1873.
C.O 273/66 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
3 April 1873.
C.O 273/70 : Sir Harry St. George Ord kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan,
23 Oktober 1873.
C.O 273/19 : Minit Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry Ord, 5 Jun 1868.
C.O 273/19 : Minit Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry St. George Ord, 5 Jun 1868.
C.O 273/19 : Minit Sir Harry Ord kepada Pejabat Tanah Jajahan, 10 Julai 1867.
C.O 273/19 : Pekeliling Pejabat Tanah Jajahan bertarikh 16 Januari 1865,
198
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
15 Disember 1868.
C.O 273/19 : Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry St. George Ord,
15 Disember 1868.
C.O 273/19 : Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry St. George Ord,
16 Januari 1865.
C.O 273/49 : Report on Pauper Hospitals, 5 Jun 1871.
C.O 273/50 : Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Edward Archibald Harbord Anson, 24 Januari 1872.
C.O 273/62 : Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry St. George Ord,
18 Februari 1873.

C.O 273/66 : Minit Sir Harry Ord kepada Pejabat Tanah Jajahan, 9 Mei 1873.
C.O 273/66 : Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry Ord,
22 Ogos 1873.
C.O 273/70 : Report on Hospitals and Asylums, Enclosure in Ord To C.O,
23 Oktober 1873.
C.O 273/79 : Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan kepada Sir Harry St. George Ord,
15 Febuari 1875.
C.O 1022/210 (11) : Ucapan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir William Jervois,
7 Oktober 1875, di Badan Perundangan Negeri-Negeri Selat.

Laporan Tahunan

R. L. Jarman, Annual Reports Of The Straits Settlements, 1855-1941, Vol 1,


1855-1867, Archive Editions Limited, 1998.
R. L. Jarman, Annual Reports Of The Straits Settlements, 1855-1941, Vol 2,
1868-1883, Archive Editions Limited, 1998.
R. L. Jarman, Annual Reports Of The Straits Settlements, 1855-1941, Vol 3,
1884-1891, Archive Editions Limited, 1998.
R. L. Jarman, Annual Reports Of The Straits Settlements, 1855-1941, Vol 4,
1892-1900, Archive Editions Limited, 1998.

Straits Settlement. Statistical Office Blue Book.

Blue Book of the Straits Settlements for the Year 1881-1900

Persidangan Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat

Proceedings of the Legislative Council Of The Straits Settlements for the year 1880, 1889, 1900

Warta Kerajaan

Straits Settlements Government Gazette, 1888. & 1900

Perundangan

Rules and Regulations for Prisons, Straits Settlements, Government Gazzette, 12 Disember 1868.
Rules and Regulations under Ordinance No. XIV Of 1872, for the Guidance of All Persons Concerned in the
Care and Management of Prisons and Prisoners in the Straits Settlements, The Laws of the Straits Settlements,
Volume 1, 1835-1900, London : Waterlow & Sons Limited, 1872.

SUMBER SEKUNDER

Barry, J. V. (1958). Alexander Maconochie of Norfolk Island: A study of a pioneer in penal reform. Oxford
University Press.

Brooke, G. E., & Braddell, R. S. J. (1991). One hundred years of Singapore (Vol. 2). Oxford University Press.

199
e-Prosiding Seminar Kebangsaan Kenegaraan dan Perpaduan Nasional Siri 1-Tahun 2023
e-ISBN: 978-967-2681-72-4
Enh, A. M., & Mansor, S. A. (2019). Establishment of Penang Prison under British in Malaya. e-Bangi, 16(6).

Hassan, N. M. (2008). Penyakit tropika di negeri-negeri Melayu bersekutu, 1896-1914. Penerbit Universiti
Malaya.

Knight, A. (1969). Tan Tock Seng's Hospital, Singapore. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic
Society, 42(1 (215), 252-255.

Lee, Y. K. (1993). The Mental Diseases Hospital, Singapore (1st 100 years)-Part IV. Singapore medical
journal, 34, 67-67.

Mansor, S. A., & Rus, A. K. A. M. (2019). Penularan Penyakit Beri-beri di Penjara Negeri-Negeri Selat:
Penelitian Terhadap Sebab dan Langkah-Langkah Kawalannya, 1870-1915 (The Outbreak of Beri-beri Disease
In The Straits Settlements Prison: A Study On Its Causes and Control Measures, 1870-1915). Jebat: Malaysian
Journal of History, Politics & Strategic Studies, 46(1).

McNair, J. F. A., & Bayliss, W. D. (1899). Prisoners their own warders: A record of the convict prison at
Singapore in the Straits Settlements, established 1825, discontinued 1873, together with a cursory history of the
convict establishments at Bencoolen, Penang and Malacca from the year 1797. A. Constable and Company.

Pieris, A. (2009). Hidden hands and divided landscapes. University of Hawaii Press.

Song, O. S., & Singapore Heritage Society. (1923). One Hundred Years’history Of The Chinese In Singapore:
Being A Chronological Record Of The Contribution By The Chinese Community To The Development, Progress
And Prosperity Of Singapore; Of Events And Incidents Concerning The Whole Or Sections Of That Community;
And Of The Lives, Pursuits And Public Service Of Individual Members Thereof From The Foundation Of
Singapore On 6th February 1819 To Its Centenary On 6th February 1919.

Turnbull, C. M. (1970). Convicts in the Straits Settlements 1826-1867. Journal of the Malaysian Branch of the
Royal Asiatic Society, 43(1 (217), 87-103.

Akhbar

Straits Times Overland Journal, 12 Julai 1880.


Straits Times Overland Journal, 30 September 1876.
The Straits Observer 25 Januari 1876.
The Straits Observer, 1 November 1876.
The Straits Observer, 15 Februari 1875.
The Straits Times, 12 Febuari 1909.
The Straits Times, 15 Mei 1875.
The Straits Times, Februari 1875.
The Straits Times, 14 Oktober 1876.

200

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai