Anda di halaman 1dari 5

Setiap orang yang mempunyai perasaan dan berakal memang mengetahui apa yang

dinyatakan sebagai hasad dengki. Malah, kita mungkin pernah mengalami perasaan ini, iaitu
satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Perasaan
ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki
oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin iri hati itu bersama cita-cita
untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang
berbunyi;

Yang bermaksud: “Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak
menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka
merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut.” (Surah al-Imran: 120)

Apakah pandangan Islam terhadap perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan
manusia, dengki ini sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana
kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;

“Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang
sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang
dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil):
“Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban)
dari orang-orang yang bertakwa”. (Al-Mai’dah: 27)

Kisah ini mengenai konflik yang berlaku di antara dua orang putera Nabi Adam a.s., yakni
Qabil dan Habil. Apabila Allah menurunkan perintah agar mereka ini mempersembahkan
korban, maka Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang
ternakannya yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah dengan
mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Sebaliknya pula, Qabil menerima
perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun, mempersembahkan hasil pertanian
yang paling buruk kepada Allah s.w.t. Dengan dua bentuk korban yang persembahan
kedua-duanya amat berbeza, maka tentulah Allah memilih korban yang baik dan
dipersembahkan dengan hati yang ikhlas dan penuh pengharapan sebagai seorang hamba.
Lantaran itu, Allah s.w.t. pun memerintahkan api untuk memakan korban yang
dipersembahkan oleh Habil. Bagaimanapun, Qabil tidak merasa senang dengan keadaan
tersebut dan merasa iri hati terhadap Habil. Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya
menimbulkan rasa dendam di dalam diri Qabil.

Selain Qabil berdendam dengan Habil kerana korbannya yang terpilih, Qabil juga turut
mendendami Habil kerana ayahanda mereka menjodohkan Habil dengan saudara
kembarnya yang lebih cantik berbanding dengan saudara kembar Habil. Sebaliknya, Qabil
pula dijodohkan dengan saudara kembar Habil yang berupa paras lebih sederhana.

Apabila Qabil mempunyai kesempatan untuk melepaskan dendamnya, maka diapun


menemui Habil dan menyatakan, “Sesungguhnya aku mahu membunuhmu.” Habil pun
bertanya dengan perasaan yang amat hairan, “Mengapa engkau mahu membunuh aku?”
Jawab Qabil dengan hasad yang terbuku di dadanya, “Kerana Allah menerima korbanmu
dan menolak korbanku, dan engkau akan menikahi saudara perempuanku yang cantik
sedangkan aku pula harus menikahi saudara perempuanmu yang hodoh, sehingga orang
lain akan berbicara bahawa engkau itu lebih baik daripadaku dan keturunanmu akan
berbangga kepada keturunanku.”
Apabila Qabil berjaya membunuh Habil, timbul rasa menyesal dengan apa yang telah
dilakukannya. Walau bagaimanapun, penyesalan tersebut hanya sia-sia kerana apabila Nabi
Adam mengetahui mengenai peristiwa tersebut, baginda tidak mahu menerima kembali
anaknya itu dan diapun dihalau. Dalam keadaan yang terbuang, Qabil telah menerima
hasutan dan pengaruh iblis yang akhirnya menjadikan dirinya sesat dan melakukan pelbagai
perkara yang keji. Lantaran itu, Allah telah memusnahkan keturunannya ketika zaman Nabi
Nuh a.s.

Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad
dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan
penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk
melakukan perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;

“Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka
berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan
dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya
yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan
keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.”

Rasulullah s.a.w. bersabda;

Yang bermaksud: “Sesungguhnya pada nikmat Allah ta’ala itu terdapat musuh-musuh.
Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka
ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan
oleh Allah.”

Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai
rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa
berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah
keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim.
Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang
kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh
saudaranya (seislam).

Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih
tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang
mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar.
Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.

Orang yang mudah merasa iri hati terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan
sebagai pemimpin atau ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya.
Orang-orang sebegini sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang
lebih berwibawa dan berpengaruh daripadanya.

Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi, hasad dengki merupakan sifat yang boleh
memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya. Sekurang-kurangnya terdapat lapan
kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;

1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh
seseorang. Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala.
Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan
kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya
dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar.” Yakni,
boleh menyebabkan kufur.

2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan


penderhakaan terhadap Allah dalam bentuk yang lain. Apabila hasad dengki telah bersarang
di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan
(ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan
kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.

Dari Dhamrah bin Tha’labah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud: “Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling
dengki-mendengki.”

3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa’at
pada hari kiamat.

Syafa’at adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya bagi seseorang yang
menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini kerana, seseorang yang menerima syafa’at diberi izin
untuknya membantu orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika
hari perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan hasad
dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi penghalang yang
amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa’at pada hari akhirat yang boleh
memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab pada hari dia dihisab.
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar, Rasulullah bersabda:

Yang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang
yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya.”

Kemudian baginda membaca ayat al-Qur’an:

Yang maksudnya berbunyi: “Orang-orang yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki
dan perempuan di atas perkara yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah
melakukan dusta dan dosa yang nyata.”

4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan
menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak
bertaubat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud;

“Rasulullah telah ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam
neraka. Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam
neraka ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik,
penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang
kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki mereka.”

5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh
memudaratkan orang lain. Contoh yang paling mudah adalah dengan melihat kisah Habil
dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan dendam kesumat yang wujud
dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian Habil. Di dalam hal ini, Habil telah
menerima kemudaratan yang amat dahsyat disebabkan rasa hasad abang kandungnya
sendiri. Apabila seseorang telah melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan
buruknya akan pulang semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh
didapati di sini, kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad
dengki. Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang
bermaksud;

“dan dari kejahatan orang yang mendengki.”

6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada
pemiliknya. Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasa selesa dengan keadaan
dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan
kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk
memiliki kelebihan tersebut.

7) Hasad dengki yang berada di dalam hatinya akan menghalang pintu hatinya daripada
memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai
hukum hakam. Hatinya akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada
dalam kerugian. Ini kerana orang lain dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu
agama, dan kesannya perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi
semakin dekat berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak
ada keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi semakin
jauh. Kata Sufyan dalam hal ini;

“Jangan engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan.”

8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan
dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.Ini kerana, orang-orang
yang mempunyai rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik,
yang sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun
demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang didengkinya itu
akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih mudah untuk menjatuh
atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan kelebihan tersebut.

Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang
berhasad dengki. Oleh sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang
didengkinya dan pada masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada
musuh-musuh orang yang didengkinya. Maka, dia sebenarnya telah meminggirkan dirinya
dari semua orang. Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan;

“Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan.”

Jika dilihat kepada akibat yang bakal diterima oleh mereka yang mempunyai perasaan ini,
maka kerugian yang perlu ditanggung amat besar nilainya. Jadi, tentulah amat malang bagi
mereka yang tidak melakukan apa-apa untuk menahan daripada perasaan ini wujud. Islam
memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu
dosa ini.
Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh
menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran
tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran
dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia
yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk
mencapai darjah ketakwaan.

Ketakwaan seorang hamba pula akan menjadikan seseorang manusia itu menginsafi akan
kewujudannya di bumi ini. Di dunia ini, sebagai seorang khalifah dia diperintahkan untuk
memakmurkan muka bumi ini, menyayangi sesama umat Islam, berlaku adil, membuat
kebaikan dan meninggalkan segala keburukan dan kejahatan. Dia akan sanggup melakukan
apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya
semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dia meyakini bahawa sebaik-baik umat
manusia adalah yang paling bertakwa kepada Allah.

Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang
memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan
terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan
akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di
akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah
penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafa’at
dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan,
yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan
tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam
akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat
ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang
akan rugi.

Walaupun demikian, sebenarnya terdapat sedikit ruang atau keringanan dalam perkara
dengki. Sebenarnya, tidaklah jatuh haram atau berdosa sekiranya seseorang itu merasa iri
hati apabila memandang kelebihan dan kebaikan yang dimiliki oleh orang lain tanpa harapan
atau cita-cita untuk melihat kelebihan tersebut hilang dan lenyap dari pemiliknya.

Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada


perbincangan ini.

Anda mungkin juga menyukai