Anda di halaman 1dari 9

TOPIK 7

KELUARGA
A.Maksud keluarga dan Masalah-masalah Mentakrifkannya
Hubungan-hubungan kekeluargaan memainkan peranan yang penting dalam hidup kita. la
memainkan peranan penting dalam pemeliharaan dan sosialisasi anak-anak, menentukan
taraf dan kedudukan kelas kita. la juga adalah kelompok asas di mana ahli-ahli mempunyai
hubungan emosional yang rapat.
Keluarga adalah suatu institusi sejagat yang terdiri dari individu-individu yang mempunyai
pertalian darah yang mempunyai bentuk-bentuk hubungan yang tertentu dalam
menyelenggarakan aktiviti-aktiviti rumahtangga isikeluarga. Walaupun keluarga adalah
suatu institusi sejagat, bentuk-bentuknya berbeza di antara kebudayaan - baik dari segi
keahliannya mahupun dari segi pola-pola perhubungan di antara ahli-ahlinya.
Bagi Worsley et.al (1977) keluarga adalah suatu institusi yang mempunyai perghubungan-
perhubungan tertentu yang berasaskan kepada perkahwinan dan 'parenthood! di mana ahli-
ahli utamanya sering tinggal bersama.
Bagi G.P. Murdock pula keluarga adalah suatu institusi di mana ahli-ahlinya mempunyai
tempat tinggal yang sama, bekerjasama untuk menyara hidup mereka. la terdiri dari orang-
orang dewasa lelaki dan wanita dan sekurangkurangnya dua dari mereka itu mempunyai
perhubungan seks yang sah. la juga. terdiri dari anak-anak (kandungan sendiri atau anak
angkat) yang dibela oleh orang-orang dewasa yang disebutkan di atas. P.B. Horton dan C.L.
Hunt sebaliknya mentakrifkan keluarga sebagai suatu kelompok 'kine ("kinship group") yang
menyelenggarakan pemeliharaan anak-anak dan keperluan-keperluan manusia yang lain.
Semua definasi di atas tidak sempurna kerana hidup manusia terlalu berbagai jenis
bentuknya dan perbezaan-perbezaan itu pula tidak dapat diambil kira dengan mudah dalam
sesuatu definasi. Di antara unsur-unsur yang mencirikan "keluarga" yang disentuh oleh
definasi-definasi yang di atas ialah:
a. perkahwinan
b. parenthood
c. tinggal bersama
d. perhubungan seks yang sah di antara 2 orang (atau lebih) dewasa tadi
e. menyelenggarakan pemeliharaan anak-anak.

a. Perkahwinan
Perkahwinan adalah pola-pola kebudayaan yang mengesahkan 'parenthood' yang
merupakan unsur stabil dalam pemeliharaan anak. Ia bukan sahaja merujuk kepada
pengesahan perhubungan seks di antara sesuatu kelamin kerana ia juga mernpunyai
berbagai jenis tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Perkahwinan sering merupakan
mekanisme utama dalam pembentukan sesuatu isi keluarga dan perhubungan diantara
saudara-mara.
Oleh kerana pembentuk keluarga dan perhubungan saudara-mara adalah penting dalam
hidup kita, maka perkahwinan sering diasaskan kepada norma-norma dan undang-undang
yang dimaksudkan itu berbagai jenis (seperti bila boleh seseorang itu kahwin, dengan siapa,
apa upacara-upacara yang perlu dilakukan); kita cuma akan menyentuh sebahagian darinya:
i) pemilihan teman
ii) bentuk-bentuk pasangan
i) Pemilihan teman
Semua masyarakat mempunyai panduan-panduan tertentu mengenai pemilihan teman
hidup ahli-ahlinya. Yang paling nyata dalam hal ini adalah larangan sejagat berkahwin
dengan adik-beradik sesuatu keluarga asas. Selain dari itu setiap masyarakat juga
mempunyai syarat-syarat lain mengenai pemilihan teman hidup. Syarat-syarat ini berbeza di
antara satu kebudayaan dengan yang lain. Kita boleh mendapat gambaran yang lebih jelas
dengan membahagikan pilihan-pilihan masyarakat kepada dua jenis:
a. perkahwinan-perkahwinan endogami
b. perkahwinan-perkahwinan exogami.
Perkahwinan-perkahwinan endogami adalah pilihan-pilihan teman yang terhad kepada
"orang-orang kita" dan ini pula bergantung kepada siapakah yang ditakrifkan sebagai "kita"
kadangkala merujuk kepada orang-orang dari bangsa, ras, kelompok etnik, kasta, suku
dan mungkin juga kelas sosial. Orang-orang Hindu di India umpamanya, tidak dibenarkan
berkahwin dengan ahli-ahli kasta Iain. Orang Minangkabau atau orang Navajo, sebaliknya
diperlukan berkahwin dengan teman-teman yang berasal dari suku-suku yang Iain; ini
dikatakan sebagai exogami.
Jangkaan-jangkaan dan syarat-syarat pemilihan teman tidak sama pentingnya; ada yang
wajib, manakala ada yang perlu atau pilihan ('prefered). Di kalangan orang Melayu,
berkahwin dengan seorang Muslim (samada orang yang "dilahirkan sebagai seorang Islam"
atau orang yang baru di Islamkan) itu adalah wajib, manakala berkahwin dengan seorang
Melayu tidaklah wajib. Selain dari perbezaan di atas, syarat-syarat itu mungkin juga tidak
menyeluruh, tetapi cuma kepada kelompok-kelompok tertentu. Kaum kerabat diraja dan
"kaum Syed" sering memerlukan anak-anak mereka berkahwin dengan kaum yang sama -
tetapi keperluan ini cuma diawasi di kalangan kaum wanitanya. Ini adalah kerana
seseorang wanita dari kaum kerabat diraja atau "kaum Syed" akan tidak dapat mewariskan
tarafnya sebagai seorang "raja" atau "Syed" kepada anak-anaknya.
ii) Jenis-jenis Pasangan
Tentunya komposisi dan perhubungan-perhubungan yang wujud dalam keluarga
bergantung kepada jenis pasangan yang dibenarkan. Umpamanya, bagaimana seseorang
suami melayan dan menolong anak-anak dan teman hidupnya bergantung kepada jumlah
isterinya. Terdapat dua jenis pasangan:
a. monogami
b. poligami.
Monogami adalah perkahwinan dengan seorang suami/isteri manakala poligami adalah
perkahwinan dengan lebih dari seorang suami/isteri. Bagi seorang wanita dari kaum Iodas
dari Selatan India, perkahwinannya dengan seorang lelaki juga bermakna, sekurang-
kurangnya dalam teori, bahawa beliau juga adalah isteri kepada adik beradik suaminya.
Perkahwinan diantara seorang wanita dengan beberapa orang lelaki ini dipanggil poliandri,
manakala perkahwinan di antara seorang lelaki dengan beberapa orang wanita dipanggil
poligami.

Di kalangan orang-orang Dahomey, umpamanya, seseorang wanita boleh dikahwinkan


kepada seorang wanita lain (yang sudahpun mempunyai seorang suami) yang bersedia
untuk membayar "belanja" ("bride price"). Wanita yang membayar "belanja itu seterusnya
menjadi seorang suami wanita. Isteri mereka dibenarkan mempunyai hubungan seks
dengan lelaki tertentu dan anak-anak dari perhubungan-perhubungan itu adalah dibawah
kuasa "bapa wanita" tersebut.

iii) "Parenthood"
Contoh dari Dahomey tadi mencadangkan bahawa orang yang memainkan peranan
memelihara dan mendidik anak-anak sesuatu keluarga tidak terhad kepada ibu dan bapa
sebenar, kerana peranan tersebut boleh juga dimainkan oleh "female father" tadi bersama
dengan ibu sebenarnya.
Taraf dan peranan yang sering dikaitkan dengan keibubapaan (parenthood) tidak
semestinya dipikul oleh ibu dan bapa seseorang anak. Peranan-peranan keibubapaan,
terutamanya peranan yang sering dibeban oleh seseorang ibu, telah ditolak dalam komuniti
Kibbutzim di Israel. Dalam komuniti-komuniti tersebut ibu dan bapa tidak memelihara anak-
anak mereka, kesemuanya diselenggarakan oleh individu-individu tertentu seperti
pengasuh, guru dan sebagainya. Dalam ertikata lain, tanggungjawab-tanggungjawab
"parenthood" telah dipindahkan kepada komuniti kibbutzim. Ini menunjukkan bahawa
"keluarga' tidak semestinya terdiri dari seorang ibu dan seorang bapa yang memainkan
peranan-peranan "parenthood".

iv)Tinggal Bersama
Seperti yang dihuraikan dalam definasi-definasi di atas, keluarga itu sering dianggap sebagai
suatu kelompok yang mana ahli-ahlinya tinggal bersama. Anggapan ini juga tidak tepat
kerana terdapat juga bentukbentuk susunan yang berlainan. Sebagai contoh, ibu dan bapa
dalam komuniti kibbutzimi tadi tinggal dari anak-anak mereka, yang tinggal dalam asrama-
asrama bersama dengan anak-anak lain. Anakanak lelaki kaum Nyakyusa di Tanzania juga
terpisah dari tempat tinggal ibu dan bapa mereka selepas meningkat umur remaja. Anak-
anak remaja Masai juga tidak tinggal bersama dengan ibu-bapa dan adik-beradik lain.
Selain dari perpisahan di antara ibu-bapa dan anak-anak mereka, terdapat juga dibeberapa
masyarakat di mana suami makan dan tidur berasingan dari isteri mereka. Orang-orang Fur
mempunyai susunan sedemikian. Kaum lelaki Ashanti pula tidak makan dengan anak dan
isteri mereka; mereka makan bersama dengan saudara-mara lain. Walaupun demikian,
makanannya disediakan oleh isterinya.

iv)Perhubungan seks
Proses pembentukan keluarga seringkali adalah juga proses pengesahan perhubungan seks
di antara suami dan isteri. Ini tidak boleh kita nafikan. Dalam hal ini, G.P. Murdok tepat
perhatiannya. Seperti dalam susunan-susunan lain, peraturan-peraturan yang berkaitan
dengannya berbeza di antara satu kebudayaan dengan yang lain. Contoh orang-orang
Dahomey tadi mempunyai suatu susunan perhubungan seks yang agak berlainan, di mana
isteri kepada "suami wanita" dibenarkan mempunyai perhubungan seks dengan orang yang
tertentu. Di kalangan orang Banaro (di New Guinea) pula, pengesahan perhubungan seks di
antara suami dengan isteri cuma diberi selepas isteri itu mendapat anak dari
perhubungannya dengan kawan bapa si suami.

Jenis-jenis keluarga:
a. keluarga asas dan
b. keluarga/famili luas.

a. Keluarga asas
Keluarga asas terdiri dari seorang suami dan isteri dan anak-anaknya dan kadangkala juga
meliputi beberapa saudara mara (seperti ibu dan/atau bapa). Ramai telah berpendapat
bahawa keluarga asas adalah suatu jenis keluarga yang sejagat, seperti yang telah
dinyatakan oleh R.H.Lowie. "Tidak kira şama ada hubungan-hubungan perkahwinan itu
adalah tetap atau sementara; sama ada wujudnya poligami atau poliandri atau lesen seks;
sama ada dalam keadaan-keadaan yang menjadi lebih kabur dengan pertambahan ahli-ahli
yang tidak termasuk dalam keluarga kita; satu kenyataan yang jauh lebih ketara dari semua
yang lain ialah bahawa di mana-mana seorang suami, isterinya dan anak-anak kecilnya
merupakan suatu unit yang terasing dari unit-unit lain dalam sesuatu komuniti" ( R.H. Lowie,
seperti yang dipetik dari TB. Bottomore, Sociology: A Guide to Problems and Literatüre,
1962 m.s. 162.
Dan seperti yang dijelaskan oleh Bottomore, keluarga asas dianggap sejagat kerana ia
mengendalikan fungsi-fungsi asas seperti keperluan seks, kelahiran, pendidikan dan juga
fungsi-fungsi ekonomi. Anggapan di atas tidak tepat, bahawa keluarga asas itu bukanlah
suatu yang sejagat. Ini adalah kerana:
i) Kajian-kajian memperlihatkan bahawa banyak dari masyarakat di dunia ini tidak
berasaskan kepada keluarga asas. Keluarga-keluarga di kalangan sebahagian besar dari
orang-orang kulit hitam di Amerika Syarikat, Guyana dan Honduras, umpamanya, tidak
mempunyai seorang lelaki dewasa (suami) dan seorang wanita dewasa, tetapi cuma terdiri
dari seorang wanita dewasa ("single parent). Ini telah diakibatkan oleh desakan-desakan
poligami atau kemiskinan.
Fikirkan contoh-contoh lain yang telah kita huraikan di atas untuk menyokong pendapat
bahawa keluarga asas itu tidak sejagat.
ii) Selain dari masalah pasangan suami-isteri yang diperlukan untuk melayakkan sesuatu
kumpulan itu dipanggil keluarga asas, kita juga telah mendapati bahawa anak-anak tidak
juga seharusnya tinggal bersama dan diasuh dan dibela oleh ibu dan bapa. Kita juga
mendapati bahawa "isteri-isteri ' di kalangan orang-orang Fur di Sudan dan Nayar di Kerala
tidak tinggal bersama dengan "suami-suami" mereka. Di kalangan masyarakat Nayar,
wanita- wanita tersebut tinggal bersama adik-beradiknya dan teman-temannya adalah
orang-orang yang tidur bersamanya semalaman. Anak-anak dari perhubungan-
perhubungan tersebut dibela sebagai sebahagian dari unit keluarga yang diketuai oleh adik-
beradik lelaki ibu mereka.
iii) Ada juga yang telah menghujahkan bahawa keluarga asas itu sejagat kerana ia
mengendalikan fungsi-fungsi asas seperti perhubungan seks, pemeliharaan anak, kelahiran
anak dan juga kerana ia adalah suatu unit ekonomi yang penting. Seperti yang telah kita
lihat tadi, semua dari fungsi-fungsi boleh dikendalikan dalam cara-cara yang berlainan dan
bukan melalui keluarga asas. Umpamanya, keluarga asas itu sejagat kerana ianya ialah cara
untuk mengawal perhubungan-perhubungan seks. Ini tidak didapati benar dalam
masyarakat Samoa, di Polinesia mahupun di kalangan orang-orang Masai di Afrika kerana
perhubungan-perhubungan seks. Dengan itu, adalah nyata bahawa keluarga asas itu
bukanlah suatu yang sejagat.

b. Keluarga Luas ("extended family")


Keluarga luas adalah suatu isi keluarga yang terdiri dari adik-beradik, suami-isteri dan anak-
anak mereka dan/atau ibubapa adik-beradik tadi. Contoh keluarga luas ini adalah seperti
yang-terdapat di sebahagian dari petani-petani China kaya di kawasan Muda di Kedah.
Keluarga-keluarga luas itu diketuai oleh bapa adik-beradik keluarga itu. Anak-anaknya, isteri
dan semua bekerjasama mengusahakan tanah bendang yang dimiliki dan disewa.
Di antara masalah-masalah yang penting dalam isi-keluarga keluarga luas ialah cara-cara
mereka bekerjasama dalam mengusahakan sesuatu untuk menyara hidup mereka:
bagaimanakah mereka membahagikan pendapatan, membuat keputusan dan bila, dan
mengapakah, keluarga luas bercerai, bagaimanakah mereka membahagikan harta yang
terkumpul. Selain dari itu kita juga perlu mengkaji sama ada keluarga luas itu masih
merupakan suatu jenis keluarga yang penting (ramai mengatakan ia tidak penting, malah
akan hilang akibat pemodenan) di kalangan kumpulan manusia mana, mengapa dan
sebagainya.

Perspektif-perspektif Menganalisa Keluarga


Setakat ini kita melihat dua perkara:
i) definasi dan ciri-ciri yang dikaitkan dengan "keluarga” dan
ii) jenis-jenis keluarga,
Di mana kita juga telah meninjau samada keluarga asas itu sejagat. Perbezaan-perbezaan
pendapat mengenainya akan Iebih mendalamkan lagi kefahaman kita mengenainya.
a. Fungsionalisme
Analisis mengenai keluarga dari pendekatan fungsionalisme boleh diringkaskan kepada 3
soalan:
i) Apakah fungsi-fungsi keluarga? Soalan ini cuba merujuk kepada sumbangan-sumbangan
keluarga kepada sistem sosial.
ii) Apakah perhubungan-perhubungan fungsional di antara keluarga dengan bahagian-
bahagian Iain dalam sesuatu sistem sosial?
iii) Apakah fungsi-fungsi keluarga kepada ahli-ahlinya?
Mengikut Murdock, keluarga mempunyai 4 fungsi asas; tanpanya masyarakat tidak akan
berterusan. Fungsi-fungsi yang dimaksudkan adalah:
a. fungsi seksual
b. reproductif
c. ekonomi (contoh: menyara hidup keluarga)
d. pendidikan (sosialisasi)
Fungsi-fungsi keluarga untuk sesuatu sistem sosial juga menyediakan fungsi yang sama
kepada ahli-ahlinya. Umpamanya, institusi keluarga membenarkan perhubungan seks di
antara individu. Pada masa yang sama, ini bermakna bahawa ia juga mengawal
perhubungan seks dalam masyarakat.
Tanpa kawalan ini perhubungan seks dalam masyarakat tidak terkawal dan ini mungkin
akan mengakibatkan kesan-kesan yang tidak diingini. Begitu juga dengan peranan ekonomi
yang dimainkan oleh keluarga untuk ahli-ahlinya.
Selain dari fungsi-fungsi 'reproductive' dan fungsi pendidikan, fungsi-fungsi Iain yang
dikaitkan dengan keluarga ialah seperti fungsi melonggarkan tekanan-tekanan emosi luar
dan sebagainya. Sesuatu analisis yang bertitik-mula dari fungsi mempunyai berbagai
masalah:
a. Bahawa keluarga asas itu muncul untuk menyesuaikan ahli-ahli kepada masyarakat
moden - seperti melonggarkan tekanan-tekanan emosi dari luar: Fungsi ini dikatakan wujud
kerana ia perlu mententeramkan tekanan-tekanan emosi individu: tanpanya, ketenteraman
itu mungkin tidak akan wujud dan masyarakat akan tidak stabil atau berkekalan.
Ini bermakna bahawa keluarga asal itu muncul untuk menstabilkan masyarakat. la perlu
kerana ia mempunyai akibat yang baik .
Keluarga _______________________ kestabilan
Oleh itu keluarga itu perlu kerana ia mempunyai akibat yang 'baik'. Jadi perlunya keluarga
itu adalah kerana ia mempunyai akibat. Jadi akibat itu (kestabilan, penyelesaian konflik)
dianggap sebagai sebab mengapa fungsi itu perlu.

b. la tidak membuktikan perhubungan yang dibuat:


Sekiranya ketenteraman jiwa tidak didapati pada keseluruhannya, maka mereka juga boleh
mengatakan bahawa ketidakketenteraman dalam rumah adalah perlu untuk meluahkan
segala tekanan jiwa. Jadi segala konflik yang berlaku dalam keluarga boleh dilihat sebagai
suatu proses yang membersihkannya dari tekanan-tekanan.
c. Bahawa keluarga asas itu muncul supaya ia bersesuaian dengan kehendak-
kehendak bentuk ekonomi yang moden (keluarga asas itu wujud kerana pasaran buruh
memerlukan buruh yang lebih 'mobile). Tekanan kepada keharmonian memesongkan
perhatian kita dari percanggahan-percanggahan adalah penting kerana ia memperlihatkan
bagaimana bentuk keluarga berubah dari suatu masa ke satu masa yang lain.
Umpamanya, kemunculan ekonomi moden telah menggalakkan kemunculan keluarga asas
(seperti yang diperkatakan oleh teori fungsionalisme). Namun demikian, ini tidak bermakna
bahawa ia adalah suatu institusi yang muncul untuk mententeramkan segala tekanan jiwa
yang berlaku dalam kehidupan moden. Kemunculan keluarga asas dalam ekonomi moden
sendiri mengandungi percanggahan-percanggahan.
Sebagai contoh: kemunculan ekonomi moden (sistem kapitalisme) dicirikan oleh sistem
buruh gaji, di mana buruh (lelaki atau wanita) adalah suatu kommoditi yang dijual-beli.
Kommoditi ini ialah tenaga buruh dan sepatutnya, sekurang-kurangnya dalam teori, tidak
membezakan lelaki dan wanita. amalan dalam sistem ini berbeza dari logik teori tadi kerana
kaum wanita tidak diberi taraf yang sama dalam pasaran buruh.

Dan ketidaksamaan taraf sini dikaitkan dengan taraf wanita dalam keluarga. Jadi,
walaupun pasaran buruh ekonomi moden adalah suatu yang berdasarkan kepada penjualan
dan pembelian tenaga buruh (yang "sex-neutral’’ tetapi keluarga masih merupakan sebagai
suatu yang "sex bias” atau patriarkal, sehinggakan ia mempengaruhi taraf wanita dalam
pasaran buruh. Ini menunjukkan bahawa logik pasaran buruh bercanggahan dengan
keluarga dan percanggahan inilah mengapa suatu pergerakan wanita yang ingin
membebaskan dirinya dari kongkongan patriarki (penguasaan institusi masyarakat mengikut
kepentingan-kepentingan kaum lelaki) telah muncul dalam zaman moden ini. Contoh ini
memperlihatkan percanggahan dan bukan persesuaian di antara ekonomi moden dengan
keluarga asas tadi.
d. Pendekatan Marxian (konflik)
Unsur asas pendekatan ini ialah bahawa masyarakat tidak terasing dari percanggahan.
Percanggahan-percanggahan inilah yang mengakibatkan berlakunya perubahan dalam
masyarakat. Mengikut pendekatan ini, percanggahan utama dalam masyarakat ialah
percanggahan-percanggahan kelas, iaitu percanggahan-percanggahan yang muncul dari
kepentingankepentingan ekonomi yang bertentangan di arıtara kelas-kelas yang berlainan.
Bagaimanakah mereka melihat taraf keluarga dalam masyarakat?
i. keluarga merupakan unsur asas melalui mana pembahagian kerja mengikut jantina
dikekalkan. Bagaimanakah berlaku?
Keluarga merupakan institusi utama dalam pengekalan ketidaksamaan jantina kerana
dengan berlakunya proses proletarianisasi (di mana petani-petani dipisahkan atau
terpaksa memisahkan pemilikan alat pengeluaran mereka kepada orang lain) keluarga
petani tidak lagi merupakan sebagai suatu unil pengeluaran (seperti sebelumnya) di mana
kaum wanita (isteri) bukan sahaja merupakan suri rumahtangga malah mereka juga aktif
menyelenggarakan aktiviti ekonomi keluarganya.
Apabila keluarga tidak lagi wujud sebagai suatu unit pengeluaran dan apabila buruh kaum
lelaki sahaja yang diberi peluang bekerja, ini bermakna bahawa kaum wanita tidak
mempunyai nilai ekonomi kerana terlibat dengan kerja-kerja rumahtangga yang tidak
mempunyai nilai, tidak diselenggarakan melalui pasaran buruh. Ini bermakna bahawa taraf
kaum wanita merosot dan kerendahan taraf mereka dalam keluarga dijadikan sebab
mengapa taraf mereka tidak sama rata dengan kaum lelaki dalam pasaran buruh. Inilah
mengapa gaji yang diberi kepada mereka adalah sekadar menambah gaji kaum lelaki (suami)
mereka. Kongkongan kaum wanita kepada kerja-kerja di rumah juga bermakna bahawa
kerjaya suaminya lebih penting dan ini berrnakna bahawa kaum wanita adalah jenis buruh
yang "peripheral", yang tidak penting - dan taraf mereka seterusnya adalah rendah.
ii. Bentuk keluarga bercanggahan dengan pasaran buruh (lihat perbincangan di atas).
iii. Sepertimana yang telah kita sebutkan dalam perbincangan mengenai pendidikan,
latarbelakang sosio-ekonomi merupakan unsur utama yang mempengaruhi kedudukan
kelas seseorang. Ini bermakna keluarga adalah suatu institusi penting dalam pengekalan
ketidaksamaan kelas. Ini ditentukan oleh sistem mewarisi pusaka ahli-ahli keluarga.
Bahan-bahan Rujukan
1. Belas, RSL. , Hoijer, H. , Beals, A.R.: An Introduction to Anthropology, New York,
MacMillan Publishing Cos. Inc., Bab 1 1 (m.s. 377 403),
2. Bottomore, T.B.; Sociology : A Guide To Problems and Literature, London, Unwin
University Books, 1962, Bab 10 (m.s. 162 178).
3. Haralambos, M. And Heald, R.M.: Sociology: Themes and Perspectives Slough,
University Tutorial Press, 1980 Bab 8 (m.s. 325 342).
4. Harris, M: Culture, People, Nature: an Introduction to General Anthropology, New
York, Thomas Y. Crowell Co., Inc. (Harper International Edition), 1975, Bab 15 (ms. 310 330).

Anda mungkin juga menyukai