Anda di halaman 1dari 5

MAHASISWA BITARA: PERSIAPAN MENCIPTAKAN PERIBADI UNGGUL

“Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang
melimpah-ruah dan kesembuhan dari segala macam penyakit. Amin”

PRAWACANA

Bergelar ‘mahasiswa’ tidak hanya bermaksud menjadi pelajar di institut pengajian


tinggi atau universiti. Mahasiswa adalah sebenarnya ‘the custodian of knowledge’.
Justeru, menjadi mahasiswa bermakna menjadi golongan terpelajar yang sedar
tentang peranan dan tanggungjawab keilmuwan yang terbeban ke atas pundak
mereka. Ia menuntut kesungguhan, ketekunan dan keteguhan menempuh alam
kampus yang cukup mencabar.

Mahasiswa bukan seperti pelajar sekolah. Di kampus, sistem pembelajarannya


berbeza daripada apa yang pernah dirasai di sekolah; sistem semester, pemarkahan
‘carry-assessment marks’, tugasan, buku rujukan, kuiz, ujian dan pelbagai lagi
perkara yang mungkin tidak pernah dilaksanakan di sekolah bakal dialami di
universiti.

Tidak sekadar sistem pembelajaran sahaja yang berbeza, malah kehidupan alam
kampus juga berbeza. Suasana alam kampus lebih bebas dan menuntut mahasiswa
untuk berdikari. Disiplin diri adalah sangat utama agar tidak berlaku keciciran dalam
pelajaran kelak.

Selain itu, mahasiswa tidak selayaknya hanya belajar di bilik kelas, menyelesaikan
tugasan matakuliah, tutorial dan mencapai kecemerlangan akademik, tetapi
mahasiswa juga punya tanggungjawab kemasyarakatan. Justeru, pembinaan
syakhsiah (peribadi) adalah asas kepada usaha persiapan mahasiswa untuk
cemerlang dalam pengajian, terlatih dalam medan, membina daya kepimpinan
seterusnya menyumbang kepada umat dan masyarakat.

MAHASISWA DAN JATIDIRI KEMAHASISWAAN

Mahasiswa secara umumnya dikenali sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi


atau universiti. Mahasiswa menghadiri kuliah di universiti, menghadapi ujian akhir
dan bergraduasi. Dengan sijil yang diperoleh daripada universiti, maka
berpeluanglah mereka mencari pekerjaan yang bergaji lumayan, dan taraf
kehidupan keluarga dapat ditingkatkan. Itulah gambaran umum tentang siapa
mahasiswa. Sekiranya kita berani berlaku jujur dan mengakui keadaan dan kualiti
diri kita sebagai mahasiswa di universiti, mungkin akan dapat membuka jalan berfikir
secara objektif dan koreksi diri dapat dilakukan.

1) Mahasiswa dalam Cengkaman Orang Industri

Hakikatnya, mahasiswa itu sangat berkait rapat dengan konsep universiti. Mungkin
apa yang kita fahami tentang mahasiswa dan universiti sekarang ini bertitik tolak
daripada penyelewengan tujuan penubuhan universiti. Jika dahulu ilmu pengetahuan
mempengaruhi persekitaran, tetapi hari ini persekitaran mempengaruhi ilmu
pengetahuan dan cara penyampaiannya. Jika universiti zaman dahulu bercakap
tentang ilmu, universiti kini bercakap tentang produk dan servis. Pelajar merupakan
pelanggan mereka (universiti), dan pasaran kerja merupakan panel penilai
keberkesanan mereka. Pendidikan hari ini telah menjadi sejenis bisnes yang mula
didominasi oleh ‘Orang Industri’.

Malah sektor pendidikan itu sendiri telah diberi label ‘industri’; yang tentunya
memberi membawa implikasi penekanan kepada motif perekonomian (mencari
keuntungan) sesuai dengan konotasi kata industri itu sendiri sebagai perusahaan.
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Dato’ Dr.
Siddiq Fadzil pemakaian istilah industri pendidikan sebagai ‘pengkomoditian ilmu
dan ilmuwan yang nilainya ditentukan oleh hukum pasaran; penawaran dan
permintaan’.

2) Mahasiswa dan Elemen-elemen Lain yang Integral dan Saling Melengkapi

Kita perlu ubah! Ubah cara fikir dan kembalilah kepada hakikat mahasiswa yang
sebenar. Dalam tradisi kesarjanaan tamadun-tamadun besar, pelajar sangat berkait
rapat dengan guru, adab-etika dan kutub khanah (pustaka). Guru merupakan
seorang insan yang bertanggungjawab menyalurkan ilmu (transmission of
knowledge) kepada muridnya. Bukan sekadar ilmu, tapi yang lebih utama ialah
metodologi (manhaj) untuk mempelajari atau mendalami disiplin ilmu yang diajarkan.
Metodologi ini penting supaya ilmu yang diajarkan dapat dikembangkan dan tidak
bersifat statik dan jumud. Khutub khanah atau kepustakaan juga merupakan unsur
penting yang berkait rapat dengan pelajar. Di sinilah berkumpulnya rujukan-rujukan
untuk pengembangan ilmu pelajar. Institusi pendidikan yang berkualiti dan punya visi
kependidikan yang unggul akan melabur banyak untuk meningkatkan kualiti
kepustakaannya. Adab pula adalah etika dan disiplin seorang penuntut ilmu. Oleh
sebab amanah keilmuan itu bukan calang beratnya dan perbuatan menuntut ilmu itu
bukanlah mudah, maka disiplin menuntut ilmu perlu dijaga.

3) Hakikat Mahasiswa: Pengemban Amanah Keilmuan

Hakikat mahasiswa ialah mereka merupakan manusia yang sedang disiapkan untuk
mengemban amanah keilmuan; mengamalkan dan menyebarkan ilmu yang benar
untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Inilah jati diri
mahasiswa: sedar akan kedudukannya sebagai penuntut ilmu yang mempunyai
hubungan dengan guru, melalui proses pembelajaran dengan adab dan disiplin
tertentu dan sanggup mengemban amanah keilmuan serta menyebarkan ilmu yang
hak untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat.

Konsep dan aspirasi universiti pula wajar dikembalikan. Universiti sewajarnya


menjadi tempat di mana ilmu dihubungkaitkan secara universal. Iklim ilmiah dan
tradisi akliah wajar menjadi keutamaan. Budaya ilmu diamalkan oleh semua
peringkat warga universiti. Tuntasnya, universiti tidak sepatutnya menjadi tempat
merebaknya wabak kepura-puraan – baca buku untuk ujian dan peperiksaan;
menipu dalam menyiapkan tugasan; menipu dalam peperiksaan; plagiarisme dan
sebagainya – akan tetapi, universiti harus bertindak sebagai institusi melahirkan
para ilmuwan yang berwibawa dan berjasa kepada manusia sejagat.

BITARA: GAGASAN KEUNGGULAN MAHASISWA


Mahasiswa wajar punya cita-cita. Dato Dr Siddiq Fadzil pernah dalam ucapannya di
hadapan anak-anak muda secara berseloroh – tapi mesejnya jelas – menyatakan:
“Jangan ditanyakan kepada orang tua, apa cita-citamu, kerana orang tua tidak
punya cita-cita melainkan pengalaman. Maka, tanyalah engkau akan
pengalamannya. Akan tetapi untuk anak muda, tanyakan apa cita-citanya. Orang
muda wajar punya cita-cita.”

Mahasiswa rata-ratanya terdiri daripada golongan muda. Anak muda perlu ada
idealisme. Kekuatan tenaga kepemudaan yang disepadukan dengan idealisme yang
kukuh dan jelas serta kekuatan ilmu pengetahuan mampu memberi impak besar
dalam diri dan komuniti. Potensi kepemudaan ini tidak sewajarnya dibazirkan. Ini
bermakna, ‘Mahasiswa Bitara’ adalah kelompok mahasiswa yang berusaha untuk
membangunkan potensi diri untuk cemerlang dalam akademik, cemerlang dalam
menggilap kompetensi diri, cemerlang dalam kepemimpinan dan cemerlang dalam
kegiatan kemasyarakatan serta seterusnya menjadi jurubicara ummat yang unggul.

1) Mahasiswa Bitara yang Unggul dan Hebat

Gagasan ‘Mahasiswa Bitara’ bukanlah suatu yang baharu. Istilah ‘bitara’ itu sendiri
menggambarkan keunggulan (khairiyah). Dari segi bahasa, kata ‘bitara’ merupakan
cantuman dua perkataan iaitu ‘bi’dan ‘tara’. ‘Bi’ merupakan imbuhan pinjaman
daripada Bahasa Parsi yang bermaksud ‘tidak’ atau ‘tiada’. Manakala ‘tara’
bermaksud ‘takat’, ‘tahap’ atau ‘had’. Oleh yang demikian, ‘bitara’ membawa maksud
‘tiada had’, ‘tiada takat’, ‘unlimited’. Dalam kata lain, ‘Mahasiswa Bitara’ adalah
mahasiswa unggul yang hebat!

2) Tanda Aras (Indikator) Keunggulan Mahasiswa

Terdapat empat input pembinaan ‘Mahasiswa Bitara’ yang dikenali sebagai


‘Lingkung Kebitaraan’: (1) Idealisme; (2) Intelektualisme; (3) Aktivisme; dan
(4)Spiritualisme. Idealisme ialah kekuatan azam dan cita-cita; visi dan harapan.
Idealisme harus dipandu oleh kekuatan ilmu dan tradisi akliah iaitu aspek
intelektualisme agar idealisme tersebut tidak sekadar bersandarkan semangat
semata-mata. Aktivisme adalah manifestasi idealisme yang dipandu
intelektualisme, manakala spiritualisme adalah aspek kawalan bagi unsur
lingkung kebitaraan yang lain.

MEMBINA KOMPETENSI DAN KEPEMIMPINAN

Mahasiswa Bitara melahirkan pemimpin unggul. Gagasan Mahasiswa Bitara


mensasarkan pembinaan mahasiswa yang kompetens dan punya daya
kepemimpinan yang berkualiti. Kepemimpinan bukan sekadar melihat kepada aspek
karismatik seseorang, malah ia menjangkau lebih daripada itu. Kepemimpinan yang
benar-benar berkualiti adalah kepemimpinan yang didasari oleh nilai-nilai murni yang
kudus. Justeru, PKPIM meyakini bahawa kepemimpinan adalah suatu gerak daya
atau proses ‘sanctified trust’ atau ‘pengkudusan kepercayaan’ yang disulami dengan
niai-nilai seperti integriti, kebebasan dan keadilan.

Kebanyakan pemimpin naik ke teraju kepimpinan tanpa mengetahui dan menyedari


peranan sebenar seorang pemimpin serta nilai-nilai yang patut dianutinya. Mereka
bertindak cuma berdasarkan apa yang mereka percaya mereka boleh lakukan ketika
memegang autoriti; mungkin mereka berbakat dalam pengucapan awam, mampu
berpidato dengan hebat tapi terkadang cuma laungan kosong dan angan-angan
yang akhirnya langsung tak menampakkan hasil kejayaan kepimpinannya.

Akan tetapi, hakikatnya pemimpin yang berkesan bermula dengan menanyakan


dirinya tentang watak kepimpinan yang bagaimana sewajarnya dibentuk.
Kepimpinan yang berkesan memberi fokus kepada pembinaan watak kepimpinan;
kesedaran tentang nilai dan prinsip yang dipegang dan dianuti.

1) Pembinaan Watak Pemimpin

Oleh sebab itu, Pembinaan Watak Pemimpin (PWP) merupakan mekanisme


penyaluran nilai-nilai dalam empat elemen Lingkung Kebitaraan – spiritualisme,
idealisme, intelektualisme dan aktivisme – yang bakal memacu pemimpin dan
kepimpinannya ke arah konsistensi sikapnya yang menentukan tahap keberkesanan
kepimpinan seseorang.

Pemimpin yang berkesan akan mampu menjadi suri tauladan kepada pengikutnya,
yang menunjukkan sikap yang membangkitkan motivasi pengikutnya, yang
menyokong orang bawahannya sehingga mereka mampu berdikari dan yang
sentiasa membuat keputusan bersandarkan matlamat yang jelas dan kaedah yang
efektif. Natijahnya, kepimpinan yang berkesan akan memotivasikan kelompok atau
organisasinya untuk mengembleng sepenuh tenaga bagi mencapai wawasan yang
dicita-citakan.

Justeru, tiga komponen teras dalam Pembinaan Watak Pemimpin (PWP)


diklasifikasikan: 1) Watak Syakhsiy (Personal Character); 2) Watak Ijtima’i (Social
Character); 3) Watak Tanzhimi (Organizational Character). Watak Syakhsiy adalah
peran yang sentiasa tekal dan cekal dalam berhadapan setiap kendala yang
mendatang, manakala Watak Ijtima’i menonjolkan sikap saling menghormati, ambil
berat, menyanjungi persamaan dan menghargai perbezaan. Watak Tanzhimi pula
merupakan manifestasi sikap semangat berpasukan dan amal jama’i yang
berkesanggupan mengutamakan organisasi dan orang ramai berbanding
kepentingan peribadi. Inilah antara output gagasan ‘Mahasiswa Bitara’ yang dicita-
citakan.

2) Kecenderungan, Sikap, Rutin dan Pembinaan Budaya

Kata kunci yang penting untuk difahami dalam membangun gagasan ‘Mahasiswa
Bitara’ ialah budaya. Mahasiswa Bitara perlu membangun budayanya sendiri. hanya
dengan budaya yang baik, tiga komponen teras dalam Pembinaan Watak Pemimpin
(PWP) mampu untuk dilaksanakan. Budaya adalah istilahyang terdiri daripada dua
perkataan iaitu ‘budi’dan ‘daya’. Budi adalah lambang aspek dalaman diri manusia
yang merangkumi idealisme, intelektualisme dan spiritualisme, manakala daya
adalah manifestasi aspek dalaman tadi dalam perbuatan dan kegiatan (aktivisme).

Persoalannya, bagaimana membina budaya? Budaya hanya akan terbina dalam


komuniti. Ini kerana manusia merupakan makhluk sosial yang saling memerlukan
satu sama lain. Sejarah ketamadunan bangsa-bangsa besar dunia membuktikan
tamadun berkembang daripada budaya, dan budaya dibangunkan dalam
masyarakat. Justeru PWP adalah watak-watak yang bersifat syumul kerana watak-
watak inilah yang akan membantu menjayakan pembinaan budaya dan tamadun.

Bagaimana kita dapat membina budaya secara praktikal? Di sini terletaknya


kepentingan kesatuan pemikiran dan idealisme dalam masyarakat. Awal mulanya
budaya akan mungkin terbina dengan munculnya ‘kecenderungan’ (tendency) dalam
diri individu. Daripada kecenderungan ini, maka ‘sikap’ (attitude) mula dibina dalam
diri individu tersebut. Sikap ini akan membentuk ‘rutin’ (routine) yang menjadi
pengamalan harian oleh individu tersebut. Justeru, apabila setiap individu
mempunyai kecenderungan, sikap dan rutin yang sama, maka budaya pun
terbentuk. Dalam kata lain, budaya adalah manifestasi kesatuan pemikiran individu-
individu dalam sesuatu masyarakat yang menzahirkan pengamalan-pengamalan
tertentu dalam bentuk kegiatan dan perbuatan.

KHATIMAH

‘Mahasiswa Bitara’ adalah sebuah gagasan untuk mengembalikan makna diri dan
keunggulan mahasiswa. Mahasiswa harus disedarkan bahawa tugas mereka bukan
semata-mata menjadi pelajar yang belajar di kuliah untuk menjawab peperiksaan
dan memenuhi keperluan pasaran dan Orang Industri.

Mereka merupakan pengemban amanah keilmuan yang punya tanggungjawab


memenuhi hak diri, keluarga dan umat. Empat Lingkung Kebitaraan perlu
diaplikasikan seterusnya membina Watak Pemimpin: watak Syakhsiy, watak ijtima’i
dan watak tanzhimi dalam penyuburan budaya yang positif dalam komuniti
mahasiswa dan warga universiti.

Anda mungkin juga menyukai