Anda di halaman 1dari 17

USTAZ USTAZAH YANG DIHORMATI..

Untuk melengkapkan penilaian kerja kursus bagi subjek Pembangunan Sahsiah, ustaz ustazah diminta menyiapkan tugasan di bawah. Diharapkan tugasan kali ini dibuat dengan lebih sempurna mengikut panduan penulisan yang diberikan sebelum ini. ( 10 % ) SOALAN :

Terdapat pihak-pihak yang mendakwa bahawa kualiti guru-guru mutakhir ini tidak sehebat guru-guru pada era sebelum ini terutama dari segi kekuatan mental, semangat juang, keikhlasan dan pengorbanan. Malah kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka dipersoalkan. Nyatakan pendirian anda mengenai isu ini dan kaitkan dengan teori-teori yang dipelajari dalam unit 3,4,5 dan 6 serta nilai-nilai dan etika yang dibincang dalam unit 7,8 dan 9. Available from: Saturday, 2 June 2012, 12:35 AM Due date: Saturday, 16 June 2012, 11:55 PM

Cabaran Mendidik dan Mendisiplin Pelajar Alaf 21 Cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang cukup terkenal yang berbunyi; Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa Segalanya dimulakan oleh seorang guru Biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca Sajak ini tentunya sudah biasa kita baca malah sering dideklamasikan setiap kali Sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sajak yang dihasilkan oleh Allahyarham Datuk Usman Awang, pasti membuatkan setiap insan yang bergelar guru terasa dihargai. Namun apakah perasaan guru apabila membaca baris-baris terakhir sajak yang diambil daripada artikel Pejuang dan Pengisi Kemerdekaan yang ditulis oleh Mohd Yusri Ibrahim ( Majalah Ehwal Pendidikan, Ogos 2007) yang berbunyi; Jika hari ini siapa saja perosak bangsa; Bermula dengan kegagalan guru kita Cuai mengasuh generasi muda Penulis yakin sajak ini bisa menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak menjadi. Dr Novandri Hasan Basri dalam tulisannya Buli Dan Masalah Sosial Pelajar : Satu Penyelesaian menyatakan bahawa dahulu masyarakat memandang tinggi terhadap guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu, ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru. Tegas Dr Novandri lagi, dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi. Ibu bapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang. Mereka berjaya bertindak sebagai penyerap kepada permasalahan anak-anak mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama, sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat penting.

Dr Novandri Hasan Basri juga menyatakan bahawa bahawa waktu sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini telah pun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Hal ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur ilmu secara formal sahaja (Jun 2003). Yusri Abdul Malek dalam artikelnya Displin Pelajar Bermula di Rumah pula menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah senjata utama mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap relevan lagi. Tegas beliau, kebanyakan ibu bapa yang berkerjaya dan bergaji besar serta berasal dari kampung bagaikan lupa peranan guru yang membantu kejayaan mereka hanya kerana anak mereka dirotan kerana kesalahan disiplin. Sebaliknya, mereka bertindak datang ke sekolah dan menyalahkan guru yang terbabit merotan anaknya. Hal ini sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.Terlalu banyak campur tangan dan akhirnya guru tiada kebebasan untuk bertindak menyebabkan masalah disiplin tiada noktah. (Harian Metro, 25 Mei 2006) Adakah situasi ini berpunca daripada ibu bapa hilang kepercayaan terhadap guru-guru untuk mendidik pelajarpelajar? Atau ibu bapa sendiri yang terlampau memanjakan anak? Realiti hari ini pelajar dimewahkan oleh ibu bapa sendiri. Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah para guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang apabila selesai sesi persekolahan. Tidak kurang yang memandu sendiri ke sekolah dan amat biasa murid memegang telefon bimbit. Kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik menyebabkan hormat mereka terhadap guru berkurangan. Guru sering dipandang rendah dan akibatnya mereka tidak takut untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga menjadi punca pelajar melawan guru. Berdasarkan bancian oleh laman web utusan.com.my terhadap insiden guru menghukum atau mendenda pelajarpelajar sekolah kerana kesalahan yang kian mendapat publisiti meluas media, ramai yang mengundi pernyataan Pelajar zaman sekarang terlalu dimanjakan sebagai sebab meningkatnya masalah disiplin di sekolah.. Undian ini merupakan undian tertinggi daripada lima pilihan. Jumlah undi tersebut adalah sebanyak 57.59% daripada 24084 undi ( data sehingga 30/7/2007). Hal ini mengambarkan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat mengakui bahawa masalah disiplin berkait rapat dengan tindakan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak mereka. Jika diamati, pelajar hari ini yang juga terdiri daripada golongan remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku, antaranya pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam (vandalisme) dan merompak. Kes yang terbaru ialah sembilan orang pelajar perempuan yang membelasah seorang rakan mereka dan merakam gambar bogel mangsa. Perlakuan sebegini lazimnya tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Namun apabila nasi sudah menjadi bubur dan hal ini diketahui oleh ibu bapa pelajar-pelajar terbabit, mereka bertindak merayu bapa mangsa supaya menarik balik laporan polis yang dibuat. Mereka seolah-olah takut anak-anak mereka dihukum sedangkan hukuman wajar dijatuhkan terhadap pelajar-pelajar yang bertindak agresif dan di luar batas kemanusiaan itu. Perkembangan terbaru kes ini ialah kesembilan pelajar ini telah memohon maaf daripada mangsa dan menyatakan penyesalan. Adakah dengan meminta maaf dan menangis, perbuatan yang mereka lakukan mudah dilupakan dan dimaafkan?. Apakah tidak mustahil mereka ini akan mengulangi perbuatan mereka terhadap orang lain? Mungkinkah segala-galanya hanya lakonan dan tindakan kepura-puraan sekadar untuk mengelak dikenakan hukuman yang berat? Apakah yang akan dilakukan oleh ibu bapa pelajar-pelajar terbabit seandainya anak-anak mereka dihukum dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak? Adakah mungkin ibu bapa menganggap bahawa hukuman tersebut adalah tidak adil? Bagaimana pula sekiranya yang menjadi mangsa adalah guru perempuan yang didendami oleh kumpulan pelajar ini yang mungkin cuba mendisiplinkan mereka? Segalanya tidak mustahil berlaku kerana sesuatu yang tidak terduga oleh akal boleh dilakukan oleh pelajarpelajar zaman ini. Berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilirmenjadi buktinya ( Buletin 1.30,TV3, 5 Ogos 2007). Tentunya kejadian ini mengejutkan kita dan pasti menerbitkan rasa bimbang di hati para guru akan keselamatan diri. Masakan tidak, pelajar-pelajar zaman ini sudah berani melakukan apa sahaja tanpa memikirkan risiko yang bakal ditanggung. Norhayati Md Said dalam tulisannya Kekurangan Guru Lelaki Amat Dirasai yang disiarkan di Berita Minggu , turut mengakui bahawa masalah disiplin ketika ini bukan boleh dibandingkan dengan zaman dulu. Masalah yang menghambat anak zaman sekarang terlalu berat, bermula daripada ponteng, menghisap rokok, samseng, pergaulan bebas lelaki wanita dan pelbagai masalah yang tidak terfikir akal boleh dilakukan anak zaman ini.Inilah cabaran hebat yang perlu ditanggung oleh guru ( Ahad, 29 Julai 2007).

Cabaran yang hebat dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar boleh mematahkan semangat guru.Guru sering berada dalam keadaan dilema sama ada mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar atau membiarkannya sahaja. Guru menjadi serba salah kerana bimbangkan keselamatan diri. Kebimbangan guru ada rasionalnya. Guru bimbang sekiranya mereka mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah, mereka akan menghadapi risiko. Pelajar yang nakal ini berkemungkinan membalas dendam dengan cara mencederakan guru atau merosakkan harta benda guru seeprti mencalar kereta guru atau membocorkan tayar kereta guru. Pelajar-pelajar zaman ini berani mengambil tindakan terhadap guru-guru yang cuba mendisiplinkan mereka di sekolah. Buktinya,terdapat banyak kes pelajar melawan guru, mengugut guru , menumbuk guru, malah ada juga pelajar yang memukul guru walaupun hanya berumur 12 tahun. Satu kes pernah dilaporkan oleh akhbar Harian Metro berkaitan seorang murid darjah enam yang membelasah gurunya dengan penyodok sampah pada 18 April 2006 kerana tidak puas hati dengan hukuman guru terbabit terhadapnya berikutan tidak menyiapkan kerja sekolah.Dalam kejadian tersebut , murid itu dimarahi oleh guru dan disuruh menyiapkan kerja rumah sambil berdiri. ( Harian Metro, 26 April 2006) Terdapat juga dua kes dalam tempoh satu bulan yang dilaporkan di Kedah .Kes-kes tersebut membabitkan kes pelajar memukul guru. Kes pertama , seorang guru perempuan di sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar oleh seorang pealjar tingkatan empat kerana menegur disiplin pelajar terbabit di perhimpunan pagi sekolah. Kes kedua pula,melibatkan seorang guru disiplin lelaki sekolah di Lebuhraya Sultranah Bahiyah. Guru tersebut dipercayai cedera di muka dan rusuk akibat tendangan ala kungfu oleh dua orang pelajar.Sebelum kejadian, guru yang berusia 39 tahun itu dikatakan menegur kedua-dua pelajar tingkatan lima yang terbabit yang dipercayai enggan menjalani pemeriksaan dan cuba melarikan diri (Harian Metro, 17 April 2006). Kes yang berlaku di Negeri Sembilan pula melibatkan sembilan pelajar dan bekas pelajar yang cuba membakar sekolah. Tindakan pelajar-pelajar berkenaan dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan ke atas mereka. ( Utusan Malaysia. 23 Mei 2006) Semua itu hanya sebahagian kecil daripada kes-kes yang dilaporkan melibatkan risiko yang terpaksa ditanggung oleh guru kerana cuba mendisiplinkan pelajar.Akibatnya kini, guru sering berada di dalam dilema dalam membuat keputusan yang bersangkut paut dengan disiplin pelajar.Guru tidak mempunyai lagi kuasa veto untuk menghukum pelajar. Andai diteruskan bentuk hukuman yang sama seperti zaman dulu iaitu dengan merotan, pasti akan dipertikaikan biarpun yang melaksanakan hukuman itu guru besar atau guru disiplin sekalipun. Bukan sahaja dibimbangi reaksi negatif pelajar atas hukuman yang dikenakan ke atas mereka tetapi respon daripada ibu bapa sering membatasi guru dalam menjatuhkan hukuman.. Terdapat ibu bapa yang lebih sedia menyalahkan guru daripada menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah melanggar disiplin sekolah. Mereka tidak percaya anak mereka telah melakukan kesalahan serius di sekolah. Faktor campur tangan ibu bapa turut mendorong ada guru mengambil sikap mendiamkan diri terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Kes guru memukul pelajar sering menjadi topik media juga bualan hangat masyarakat. Kejadian guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa Pihak ibu bapa hari ini acapkali mencari jalan penyelesaian mudah bagi menangani masalah anak-anak mereka yang dipukul guru. Mereka lebih gemar berpaling kepada media sebagai perunding cara dan jalan penyelesaian segera. Sikap sebegini boleh dianggap tidak rasional dan tidak adil bagi para guru. Dalam beberapa kes guru memukul pelajar, ibu bapa sering menjadikan pihak media sebagai tempat mengadu hal sedangkan jalan terbaik ialah ibu bapa mendapat keterangan dari pihak sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan. Seandainya ibu bapa cuma mendengar aduan anak mereka, sudah pastilah mereka akan menyalahkan guru yang memukul anak mereka. Keadaan ini pasti sering membawa kepada laporan negatif kerana mengikut perasaan marah dan dendam ibu bapa itu sendiri. Pihak media massa pula sering memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan dapat melariskan jualan mereka. kerana ada sesetengah media massa cuma mengutamakan keuntungan sahaja tanpa mengutamakan kenyataan yang betul. Ada waktunya murid yang dipukul hanya mengalami segaris luka tetapi perkataan sensasi yang sering digunakan ialah cedera. Guru digambarkan sebagai jahat kerana memukul murid sedangkan tidak diberi difokuskan kepada sikap murid terbabit sebagai punca dia dipukul. Kes terbaru ialah kes pelajar mencekik guru. Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi yang telah mencekik seorang guru wanita selepas dimarahi, telahpun dikenakan hukuman buang sekolah. Bapa pelajar tersebut berasa kecewa dengan hukuman yang dikenakan ke atas anaknya yang disifatnya tidak wajar

kerana anaknya tidak berpeluang untuk membela diri bagi menceritakan hal sebenar. Bapa pelajar itu menuntut agar pihak PPD menyiasat dengan terperinci dan tidak menyalahkan satu pihak. (Metro Ahad,29 Julai 2007) Saranan bapa pelajar itu supaya anaknya dan guru terbabit dipanggil untuk diberi keterangan memang ada asasnya. Malah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar sudah mengarahkan agar pihak PPD memanggil pelajar, guru yang menjadi mangsa, Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) selain polis untuk mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya pihak yang terlibat bermuzakarah untk menyelesaikan masalah.( Berita Minggu, Ahad, 29 Julai 2007) Walau bagaimanapun, tindakan bapa pelajar menggunakan media massa sebagai saluran untuk menegakkan keadilan adalah satu tindakan yang tidak wajar.Bapa pelajar itu cuba membuktikan bahawa anaknya tidak bersalah. Dalam kes ini,biarpun tindakan pelajar itu mungkin berpunca daripada kesilapan guru wanita itu yang mungkin terlalu emosi dan menggunakan kaedah hukuman yang boleh dipertikaikan kebolehlaksanaannya namun mengasari guru tetap merupakan satu kesalahan yang serius dan pelajar itu wajar dihukum. Sewajarnya, bapa pelajar itu bertindak bertemu dengan pihak pentadbir sekolah atau pihak PPD untuk berbincang. bukannya mengadu nasib kepada pihak media. Penulis berpendapat bahawa hukuman buang sekolah adalah tindakan yang wajar.Kewajarannya boleh dilihat berdasarkan penjelasan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran ,Tan Sri Murad Mohd Nor .Menurutnya, jika pendekatan nasihat dan hukuman gagal, pelajar akan menimbulkan masalah lebih besar di sekolah. Apabila keadaan ini berlaku,lebih baik pelajar terbabit ditarik keluar ke tempat lain kerana jika kekal di situ, dia akan mempengaruhi pelajar lain. Tegasnya lagi, apabila pelajar dihantar keluar, ibu bapa merayu supaya anaknya diberi peluang. Tan Sri bersetuju dalam hal ini namun beliau juga mempersoalkan bagaimana pula dengan peluang anak orang lain yang mahu belajar? (Berita Minggu, Ahad 29 Julai 2007) Perihal isu guru sendiri yang menimbulkan kontroversi, Tan Sri Murad Mohd Nor ketika membincangkan isu guru besar menampar murid dan warden menghukum pelajar berendam dalam kolam menegaskan bahawa kita patut sedar guru pada hari ini menghadapi banyak cabaran, terutama faktor luaran yang menekan mereka.Sebagai contoh, sikap ibu bapa terhadap guru. Walaupun 100 peratus tidak bersetuju dalam kes guru merendam pelajar-pelajarnya seperti yang berlaku di Sarawak, beliau meminta supaya masyarakat memikirkan niat baik guru berkenaan.Meskipun cara guru tersebut mendisiplinkan pelajar boleh dipertikaikan namun yang pasti pelajar yang melanggar disiplin sekolah adalah orang yang mementingkan diri sendiri dan tegas beliau, kelakuan ini harus dibenteras ketika di sekolah lagi. Kejadian-kejadian yang berlaku dan mendapat liputan meluas ini merupakan satu cabaran yang besar buat guru. Pastinya juga hal ini mampu membuatkan guru-guru berada dalam keadaan dilema. Niat untuk mendidik dan mendisiplin pelajar-pelajar dikekang oleh pelbagai faktor. Bagi guru yang pernah mengalami pengalaman buruk akibat cuba mendisiplinkan pelajar, berkemungkinan sudah serik atau trauma seperti yang terjadi kepada guru wanita yang dicekik oleh pelajarnya. Akhirnya berkemungkinan guru lebih berminat meneruskan pengajaran tanpa menghiraukan hal ehwal disiplin pelajar dan mengambil jalan keluar dengan tidak berbuat apa-apa apabila pelajar melanggar disiplin. Penulis sendiri pernah melihat bagaimana seorang guru wanita masuk ke dalam kelas dan terus menulis sesuatu di papan putih tanpa menghiraukan pelajar-pelajarnya yang masih belum bersedia untuk belajar. Ada yang sedang berbual-bual di luar kelas, ada yang masih leka bermain di dalam kelas. Malah yang lebih menghairankan , ada pelajar kelas lain yang berada di dalam kelas tersebut tetapi masih meneruskan aktiviti mereka. Mereka tidak mempedulikan kehadiran guru. Hanya selepas lebih kurang 10 minit kemudian, dengan sendirinya pelajar-pelajar tersebut duduk di tempat masing-masing dan mengeluarkan buku dan membuat catatan. Walau bagaimanapun, masih ada pelajar yang tidak berbuat apa-apa tetapi hanya bersembang sahaja di dalam kelas. Guru tersebut tidak boleh disalahkan kerana beliau pernah keguguran lantaran terlalu stress dan menghadapi trauma akibat perbuatan pelajarnya yang degil dan melawannya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Hal itu berlaku ketika beliau cuba untuk mendisiplinkan pelajar-pelajarnya. Selepas peristiwa itu, guru tersebut mengambil langkah yang lebih selamat iaitu dengan tidak terlalu emosi dalam menegur tingkah laku pelajar, sebaliknya membiarkan pelajar dengan hal sendiri. Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar tidak menafikan bahawa kadang kala ada guru yang bertindak keterlaluan tetapi kebiasaannya setiap tindakan itu berpunca daripada perbuatan pelajar itu sendiri ( Berita Utara, 25 Julai,2007). Baru-baru ini berlaku kes seorang guru telah menumbuk pelajar perempuan.Menurut laporan akhbar, hal ini dikatakan berpunca daripada kata-kata kasar yang diucapkan oleh pelajar tersebut kepada gurunya. Malah pelajar mencabar guru tersebut untuk mengambil tindakan menumbuknya. Provokasi yang

dilakukan oleh pelajar itu telah menghilangkan kesabaran guru itu.Pastinya guru tersebut terasa keegoaannya dan kredibilitinya sebagai guru tercabar dan diperkotak-katikkan oleh pelajarnya sendiri. Pihak pentadbir sekolah haruslah memainkan peranan mereka dan membantu guru-guru agar dapat menumpuh cabaran dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Mereka hendaklah memastikan bahawa pada peringkat awal, guru-guru baru dan tidak berpengalaman tidak dibebani dengan tugas dan tanggungjawab yang besar dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar seperti menjadi guru disiplin atau warden. Kes merendam pelajar yang berlaku di Sarawak merupakan satu contoh yang boleh dijadikan iktibar oleh pentadbir sekolah.Guru yang berumur baru 27 tahun telah diberi tugas sebagai warden asrama. Tanggungjawab yang diberikan kepada guru muda ini tentunya amat berat. Kemungkinan guru tersebut menghadapi tekanan dan akhirnya mengambil tindakan mengikut emosi.Mungkin tindakan merendam pelajar tidak berlaku sekiranya yang menangani masalah ialah guru yang lebih berpengalaman.Sebagaimana yang dinyatakan oleh Tan Sri Murad Mohd Nor dalam kes tersebut bahawa perbezaan umur antara warden dan pelajar tidaklah besar. Sarannya, biarlah warden yang menangani masalah pelajar membuang tuala wanita ke dalam tandas itu seseorang yang lebih berumur dan boleh bertindak sebagai ibu. Dalam hal ini, seharusnya pihak pentadbir sekolah memberi peluang kepada guru-guru baru untuk menimba pengalaman daripada guru-guru yang telah lama bertugas, terutamanya dalam hal-hal berkaitan cara dan kaedah menangani pelajar bermasalah dan tindakan yang wajar dalam mendisiplin pelajar. Biarlah mereka menjalankan tugas sebagai penolong atau AJK bukannya ketua dalam sesuatu tugas yang berat seperti tugas sebagai guru disiplin atau warden asrama. Selain itu, dalam usaha mempertingkatkan kualiti guru dan menyediakan guru dengan pelbagai ilmu pengajaran , perhatian juga harus diberi terhadap faktor rohani guru. Perkembangan staff untuk para guru dan wajib diadakan di sekolah hendaklah diisi juga dengan kursus-kursus motivasi. Bukan pelajar sahaja harus dimotivasi tetapi para guru pun perlu diberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang mendidik anak bangsa dengan niat yang ikhlas. Cabaran yang dihadapi oleh guru pada era globalisasi ini amat besar . Guru perlu dimotivasi supaya rasa cinta akan profesion mereka akan terus mekar di hati biarpun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh . Melalui cara ini, para guru akan lebih tabah menghadapi cabaran yang mendatang. Dalam pada itu, kursus pengawalan emosi dan tekanan juga dapat membantu guru dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar.Adakalanya tekanan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. Dr. Robiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi. Namun , pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan (Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007) Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan. Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga diadakan. Biarpun para guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi bersama-sama terutamanya dengan guru-guru baru. Lazimnya, guru-guru yang berpengalaman sedar bahawa penguatkuasaan peraturan sekolah perlu dilaksanakan dengan cara yang berhemah. Pelajar-pelajar sekarang mudah menentang sekiranya pendekatan yang digunakan guru bertentangan dengan jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menerima hukuman secara membuta tuli dan akan bertindak menentang. Sebagai contohnya, kes guru dicekik pelajar . Pelajar tersebut melaporkan kepada akhbar bahawa dia dan kawan-kawannya disuruh oleh guru supaya melakukan tekan tubi di kawasan laluan air tandas yang kotor. Jika benar sebagaimana yang dilaporkan, tentunya tindakan pelajar melarikan diri daripada hukuman itu merupakan sesuatu tindakan yang rasional dan logik.Masakan mereka sanggup melakukan tekan tubi di kawasan laluan air kotor. Bukan sahaja menjijikkan malah mungkin akan menjejaskan kesihatan. Dalam hal ini, saranan Dr. Rubiah K. Hamzah, elemen perasaan dalam perlaksananaan peraturan seharusnya diambil perhatian oleh para guru. Menurutnya, untuk mewujudkan keserasian antara guru-pelajar, peraturan sekolah mestilah ada elemen perasaan.Peraturan saling berkait dengan emosi manusia, jadi perlu ada cetusan emosi di dalamnya.( Harian Metro, 6 Ogos 2007). Dalam erti kata lain, guru-guru perlu memasukkan elemen perasaan dalam melaksanakan atau menguatkuasakan sesuatu peraturan supaya pelajar akur.Ledakan perasaan yang mencetuskan masalah disiplin yang lebih besar dapat dielakkan.

Guru seharusnya diberi peluang untuk bernafas. Cabaran mendidik dan mendisiplinkan pelajar bukanlah tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya hanya menunding jari kepada guru setiap kali timbul masalah disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar. Kebimbangan Ruhaiza Rusmin yang dinyatakan dalam tulisannya Guru Emosi, Pelajar Melenting,ada benarnya. Beliau bimbang semangat berkobar-kobar guru akan merundum. Ditakuti sikap kurang ajar pelajar akan mencantas dedikasi guru memberi ilmu dan hal ini tentunya merugikan pelbagai pihak terutamanya ketika negara menuju Wawasan 2020.( Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007). Sesungguhnya tugas mendidik dan mendisiplin pelajar tidak harus hanya dihadapi oleh golongan guru dan pentadbir sekolah sahaja. Ibu bapa perlu menaruh kepercayaan kepada guru-guru tetapi tidak bersikap lepas tangan. Tanggungjawab mereka memberi kasih sayang dan didikan agama kepada anak-anak mereka harus dijadikan agenda utama dalam membentuk keluarga yang bahagia. Apabila anak-anak diasuh dengan baik dan diberi perhatian, usaha guru membudayakan ilmu lebih mudah dilaksanakan. Tentunya masalah disiplin pelajar tidak timbul malah misi disiplin sifar akan lebih mudah dicapai. Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohamed Zakaria Mohd Noor ketika hadir majlis perasmian Siri Jelajah Kempen Menangani Gejala Displin Murid Di Sekolah turut menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga harus memainkan peranan penting dan tidak harus terlalu bergantung kepada sekolah dalam menangani masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar. Menururt beliau lagi, ibu bapa dan penjaga harus bekerjasama dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang disertai anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah ( Berita Harian, 19 Disember 2006). Yusri Abdul Malek juga mempunyai pendapat yang sama. Beliau menegaskan bahawa masalah disiplin ini bermula dari rumah, jika ibu bapa sentiasa mengambil berat, pasti anak mereka menjadi orang yang boleh diharapkan pada masa depan. Sarannya lagi, ibu bapa hendaklah menghentikan tuduhan, sebaliknya memastikan anak mereka tidak terbabit melakukan salah laku.Jika ibu bapa mampu mendisiplinkan anak di rumah, pasti anak mereka akan berdispilin di sekolah atau di luar rumah.(Harian Metro, 25 Mei 2006) Siti Aishah Mahamad dalam tulisannya Pendekatan Mendidik Lebih Sesuai Atasi Masalah Remaja pula menekankan peri pentingnya pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Institusi dalam masyarakat seperti masjid atau surau boleh berfungsi dengan luas sebagai pusat pendidikan Islam bagi seluruh lapisan masyarakat terutamanya untuk menarik remaja mengikut cita rasa golongan itu seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Kelab Rukun Tetangga yang dibentuk di kawasan perumahan perlu mengenal pasti masalah dan membuat perancangan aktiviti berbentuk kebajikan atau mencegah kemungkaran seperti masalah remaja melepak lelaki perempuan dan melakukan perbuatan sumbang.Pihak KRT perlu menggunakan pendekatan mendidik sebelum menghukum atau memberikan hukuman yang membina. Siti Aishah juga tidak mengenepikan peranan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tegasnya, NGO juga boleh membantu golongan remaja bermasalah ini. NGO boleh melaksanakan atau bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan atau mana-mana institusi dalam masyarakat setempat. Tuntasnya, jaya atau gagalnya usaha mendidik dan mendisiplinkan pelajar sepatutnya ditanggung bersama oleh semua pihak bukan terletak di bahu guru semata-mata.Dengan memastikan tugas mendidik dan mendisiplin pelajar adalah tanggungjawab bersama, masalah disiplin pelajar dan cara sekolah menanganinya tidak lagi menjadi isu dan tidak menimbulkan kesan negatif kepada guru , pelajar mahupun ibu bapa . Melalui kerjasama daripada pelbagai pihak, pasti para guru lebih mudah menempuh cabaran yang mendatang berbekalkan semangat juang yang tinggi. Akan terlerailah konflik dalaman yang dihadapi oleh para guru dan akan lebih mudahlah para guru berusaha menyusun langkah dan mengatur strategi meneruskan perjuangan dan memikul amanah Allah sebagai pendidik anak bangsa . Maka akan lahirlah modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang sebagai pewaris negara. PERSONALITI GURU Personaliti guru : Pengaruh ke atas pengajaran dan pembelajaran Abstrak Personaliti guru memainkan peranan kerana ianya mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Personaliti guru sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Guru yang mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar, kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan mencerminkan personaliti diri seseorang guru itu untuk menjadi pendidik yang sejati. Guru juga perlu mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi membolehkan guru mencapai prestasi yang tinggi. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar dan secara tidak langsung mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Individu yang bergelar guru

perlu sentiasa melakukan refleksi dan kritik-kendiri, fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan perlu mempunyai semangat untuk mengajar pelajar. Personaliti guru sering menjadi penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan ibubapa. Pada ketika dahulu, personaliti guru turut menjadi ikutan dan idola pada masyarakat. Status guru dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat ketika itu, namun kini segalanya telah berubah kerana sesetengah guru tidak menjaga personalitinya bila berada dalam lingkungan masyarakat. Sifat-sifat yang sepatutnya wujud pada diri seorang guru semakin berkurangan kerana guru tidak menjiwai apa tugas sebenar untuk menjadi guru dan hanya melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu pekerjaan tetapi sebagai satu profesion.

Pendahuluan Takrifan personaliti membawa maksud satu konsep yang mengambarkan keperibadian seseorang manusia. Manakala mengikut Dictionary of Psychology (1973), personaliti ditakrifkan sebagai hasil paduan sifat fizikal, mental, emosi, nilai dan perlakuan seseorang manusia dalam perhubungan sosialnya, sebagaimana yang dilihat oleh manusia lain. Dalam konteks perguruan,sifat-sifat personaliti yang positif, iaitu yang baik, sesuai, berkesan dan mulia yang perlu ada pada seseorang guru atau ahli professional keguruan adalah merujuk kepada personaliti seseorang guru. Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan pelajar-pelajarnya dikatakan mempunyai profesionaliti yang tinggi. Oleh itu, seseorang guru itu dapat dilihat bahawa perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu pekerjaan tetapi sebagai satu profesion. Personaliti guru yang dianggap positif adalah satu penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan profesion perguruan terhadap para guru bukan sahaja pakar yang mengajar tetapi juga sebagai pakar yang mendidik kanak-kanak dalam sesuatu institusi pendidikan seperti sekolah. Oleh itu, personaliti guru dapat dilihat daripada tingkah lakunya, satu cara bagi melihat personalitinya ialah dengan menentukan apa yang dicerminkan oleh tingkah lakunya. Personaliti guru yang dianggap positif adalah satu penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan profesion perguruan terhadap para guru bukan sahaja pakar yang mengajar tetapi juga sebagai pakar yang mendidik kanak-kanak dalam sesuatu institusi pendidikan seperti sekolah. Oleh itu, personaliti guru dapat dilihat daripada tingkah lakunya, satu cara bagi melihat personalitinya ialah dengan menentukan apa yang dicerminkan oleh tingkah lakunya.

Latar belakang Pendidikan perguruan memainkan peranan penting bagi pencapaian matlamat pendidikan sesebuah negara. Guru merupakan individu yang memainkan peranan untuk memberi fokus kepada pemerolehan kemahiran dan ketrampilan di samping keperluan menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sekolah. Guru semakin dianggap bertanggungjawab untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan di kalangan pelajar sama ada dari aspek mental mahupun moral. Aspek peribadi guru yang bersikap tidak sesuai dan tidak mencerminkan seorang guru yang sejati dengan tingkah laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri contohnya lambat masuk kelas mengajar, masuk sekejap kemudian tinggalkan pelajar membuat kerja sendiri, dan suka membuang masa mencerminkan peribadi guru itu perlu diubah. Aspek peribadi yang perlu ada pada seseorang guru perlu mempunyai sikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikaikan, berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku), pandai mengurus masa dan keperibadian yang tinggi iaitu menepati masa, masuk ke kelas dengan cepat, mengajar dengan penuh dedikasi, suka bekerjasama dengan rakan sejawat dan mempunyai sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi perlu ada pada diri setiap individu yang bergelar pendidik. Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif, hitam atau putih; buruk atau baik, cemerlang atau kecundang, begitu juga sikap kita sebagai guru-guru bukan sahaja professional malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang

professional dengan guru yang tidak professional ,merujuk kepada gambarajah di bawah.

Bil Guru yang profesional Guru yang tidak profesional 1 Mula kerja awal pagi Memulakan kerja setelah loceng berbunyi 2 Sedia bergerak awal pagi Sudah pun letih di awal pagi 3 Mengurus dengan merancang Mengurus dengan krisis 4 Ada perancangan & matlamat Ada berbagai alasan 5 Berpakaian secara professional Berpakaian selekeh 6 Guna waktu luang sebagai waktu kerja Guna waktu luang dengan mengumpat dan mengeji 7 Cari perkara-perkara untuk dipuji Cari perkara-perkara untuk dikomplen 8 Sedia membuat keputusan dan menyelesaikan masalah Bertanya Apa patut saya buat?

Kajian LiteraturTerdapat beberapa sorotan kajian yang telah dilakukan oleh beberapa orang pakar berkaitan dengan personaliti guru mempengaruhi pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini telah dijalankan oleh tokoh-tokoh pendidikan semenjak dahulu lagi, semua kajian ini bertujuan untuk memperbaiki kelemahan dan strategi untuk mempertingkatkan mutu pengajaran guru. Flanders(1960) telah mengkaji tentang jenis dan cara pengaruh guru, sikap pelajar dan kesannya terhadap pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik dan sains sosial. Beliau melaporkan bahawa terdapat empat ciri positif guru yang dianggap sangat kuat pengaruhnya terhadap motivasi, sikap dan pembelajaran pelajar di dalam bilik darjah. a) Guru yang boleh memain peranan yang spontan dalam pelbagai situasi yang berbeza, iaitu daripada yang aktif kepada yang agak pasif, sama ada peranannya sebagai pengawas atau pembantu dalam situasi pengajaran dan pembelajaran. b) Guru yang boleh menukar peranannya dengan serta merta menurut kehendak situasi, dan tidak terikat hanya kepada satu cara berinteraksi tanpa memikirkan cara-cara lain yang lebih sesuai.

c) Guru yang cepat membuat diagnosis mengenai situasi, dan cepat membuat keputusan mengenai sesuatu tindakan yang seharusnya dijalankan. d) Guru yang mempunyai kesedaran yang sensitif dan kritis sebagai pengawas dan pemerhati di dalam bilik darjah.

Thorndike, Hull dan B.F.Skinner(1971) telah membuat kajian yang menunjukkan bahawa pembelajaran dapat dicapai dengan berkesannya apabila usaha seorang pelajar diikuti oleh satu perasaan pencapaian (pengukuhan). Cara untuk mendapatkan pelajar membuat sesuatu dengan cepat dan menyukai kerja sekolah ialah dengan memberi perhatian kepada kerja-kerja yang baik yang dibuat oleh mereka. Semasa memenuhi keperluan untuk pencapaian ini, yang ada pada semua pelajar, guru seharusnya mengendalikan aktiviti bilik darjah pada ras pencapaian semasa bagi setiap orang pelajar. J.S.Kounin dan P.V.Gump juga telah membuat kajian iaitu hasil kajiannya menunjukkan bagaimana tingkah laku guru mempengaruhi tingkah laku pelajarnya. Dalam kajian ini, enam orang guru tahun satu telah dipilih, tiga orang daripada mereka menggunakan denda dan tiga orang lagi tidak mengenakan denda. Setiap orang daripada 174 orang pelajar ditemubual untuk mendapat maklumat berkaitan dengan perkara yang paling buruk sekali yang dilakukan di sekolah. Setiap orang pelajar yang ditanya kenapa dia memikirkan kelakuan yang tidak sopan itu buruk. Ahli penyelidik tersebut membuat kesimpulan bahawa jika dibandingkan kedua-dua kumpulan pelajar, mereka yang mempunyai guru yang suka mendenda menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif, tidak tenteram, mempunyai konflik dengan kelakuan yang tidak sopan, tidak mengambil berat terhadap pelajaran atau sekolah, tidak mempunyai pemikiran yang rasional terhadap tingkah lakunya di sekolah tetapi pemikiran tersebut tidak begitu tekal.

Kajian yang telah dilakukan oleh Hart (1934) menunjukkan empat sebab yang paling kerap dinyatakan bagi guru-guru yang paling disukai oleh 3725 orang pelajar di sekolah menengah di Amerika Syarikat iaitu

Bil Alasan pelajar menyukai personaliti guru Peratus 1 Sedia menolong dalam kerja-kerja sekolah, pengajarannya jelas dan menggunakan contoh-contoh dalam pengajaran 51 2 Periang dan peramah, suka berlawak dan pelajar pun boleh berlawak dengannya 40 3 Berperikemanusiaan, baik dan menganggap pelajar sebagai sahabat 30 4 Mempunyai minat dalam hal-hal pelajar dan memahami pelajar 26 Empat sebab yang paling kerap dinyatakan bagi guru-guru yang paling tidak disukai oleh 3725 orang pelajar sekolah menengah. Bil Alasan pelajar tidak menyukai personaliti guru Peratus 1 Terlampau kasar, keras, cerewet, tidak pernah senyum, suka penyindir dan pembengis 50 2 Tidak membantu kerja-kerja sekolah, pengajaran tidak jelas dan tidak teratur 30 3 Menyayangi sebahagian pelajar dan tidak menyayangi pelajar yang lain 20 4 Sombong, besar diri, tidak kenal nama pelajar dan tidak mempunyai minat terhadap pelajar

20

Kajian ini jelas menunjukkan bahawa selain teknik mengajar yang boleh mempengaruhi pelajar, terdapat berbagai-bagai personaliti guru yang boleh mempengaruhi sikap dan minat pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Kemahiran ini merupakan aspek penting kerana ianya menggambarkan sifat interaksi guru-guru yang berjaya. Ini merupakan sifat-sifat yang positif, selain pengetahuannya mengenai isi sesuatu mata pelajaran yang diajar.

Beliau juga mengatakan guru-guru yang kurang berjaya kerana mereka terikat kepada sesuatu prosedur pengajaran dan cara berinteraksi yang ketat. Mereka ini sangat ketat dalam pengawasan di dalam bilik darjah dan tidak memberi kebebasan kepada pelajar berinteraksi sesama mereka dan guru ini juga kurang sensitif kepada keperluan pelajar sebagai individu.

Manakala menurut Sue Leach (2006) personaliti dan cara pengendalian kelas boleh mencerminkan keperibadian seseorang guru. Seseorang guru perlu belajar dari pengalaman sendiri, dari pengalaman sewaktu bergelar pelajar dan seseorang guru itu perlu memperuntukkan masa untuk memikirkan strategi pengajaran di antara guru dan pelajar bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan. Seseorang yang bergelar perlu mempunyai sikap menjadi seorang pendengar yang baik, berkebolehan berkomunikasi melalui pandangan mata di antara guru dan pelajar,pengetahuan pembendaharaan kata bagi memastikan pelajar memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru atau berkemahiran berkomunikasi secara lisan dan tanpa lisan, berpengetahuan untuk daya memujuk pelajar dengan tidak terus menghukum pelajar sekiranya melakukan kesalahan dan berkeyakinan untuk menyakinkan pelajar bahawa guru itu adalah seorang yang berilmu dan berpengetahuan terhadap apa yang ingin disampaikan. Persoalan i- Adakah personaliti guru mempengaruhi minat pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan ?

Dapatan dan perbincangan Pendekatan individu merupakan komponen kemahiran dan teknik personal pada seseorang guru semasa proses interaksi berlaku antara guru dan pelajar. Kebolehan guru bagi mewujudkan persefahaman dan rasa saling percaya mempercayai dengan pelajar dengan mengambil kira beberapa aspek. Ciri-ciri personal guru yang digemari oleh pelajar akan membolehkan guru dengan lebih mudah diterima dan mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar, seterusnya memudahkan tugas pengurusan dan pengajaran guru di sekolah dan di bilik darjah. Pada umumnya, pelajar menyanjung tinggi guru-guru yang memiliki ciri-ciri personal yang berhemah tinggi. Ciri-ciri personal guru yang berhemah tinggi ini juga sangat penting bagi membolehkan guru yang menjadi model yang berwibawa dan dihargai oleh pelajar-pelajar. Di antara ciri-ciri personal yang digemari oleh pelajar ialah mempunyai sifat sabar, tenang, dedikasi, periang, bertimbang rasa, adil, rajin.mesra, kreatif, inovatif, kesediaan mendengar kritikan dan teguran. Penampilan juga memainkan peranan dalam membentuk personaliti seseorang guru. Guru perlu menampilkan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian, kebersihan tubuh badan dan kekemasan diri. Penampilan guru yang boleh mengganggu tumpuan pelajar adalah seperti imej guru yang tidak kemas, selekeh, tidak bersih, memakai perhiasan diri yang keterlaluan ataupun haruman yang melampau mencerminkan keperibadian guru tersebut. Cara duduk guru turut dalam pemerhatian pelajar di sekolah. Pelajar sentiasa memerhati kelakuan guru terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya guru berada dalam posisi duduk,pastikan tidak terlalu menyandar ke kerusi. Duduk dalam keadaan tegak mahupun condong sedikit ke hadapan bagi menunjukkan yang guru berminat dengan pelajar. Bagi posisi berdiri pula, guru digalakkan berdiri secara berhadapan dengan pelajar. Posisi ini akan membolehkan guru melihat keseluruhan tingkah laku tanpa lisan yang ditunjukkan oleh guru itu.

Guru juga perlu mempunyai tahap tenaga yang mencukupi apabila melayan pelajar. Tahap tenaga yang ditunjukkan akan memberi gambaran pada mood guru sama ada dalam keadaan cergas, bersemangat, letih, lesu ataupun tidak berminat dengannya. Biasanya tahap tenaga akan memberi kesan pada hubungan yang dibina bersama pelajar. Guru yang dalam keadaan bersemangat akan mengajar dengan bersemangat juga dan secara tidak langsung akan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu.Pelajar turut bersemangat untuk terus belajar setelah melihat kesungguhan guru semasa mengajar. Keberkesanan dalam usaha mengajar dan mendidik pelajar mungkin mempunyai pengertian yang berbeza di kalangan para guru. Ini adalah bergantung kepada kefahaman dan penekanan mereka mengenai konsep berkenaan. Ada guru yang mengutamakan penguasaan pelajar mengenai isi pengajaran dan pembelajaran manakala ada juga guru yang berpendapat pengajaran yang berkesan membawa maksud kemajuan dalam pertumbuhan dan perkembangan sosial pelajar yang dinilai dari sudut, sama ada pelajar tersebut telah mencapai sikap yang positif mengenai diri sendiri dan orang lain. Kemungkinan bagi kebanyakkan guru berpendapat bahawa pengajaran yang berkesan adalah satu imbangan yang sempurna di antara kemajuan pemikiran dan perasaan; dan di antara penekanan kepada isi mata pelajaran dan pelajar. Personaliti guru merupakan di antara faktor-faktor guru yang memainkan peranan penting dalam pengajaran yang berkesan atau tidak di sekolah. Besar kemungkinan bahawa dua orang guru yang mempunyai kelulusan akademik yang sama, dan latihan perguruan yang serupa masih berbeza dari segi kebolehan mereka, menggalakkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Sebahagian daripada perbezaan itu adalah disebabkan oleh kesan atau pengaruh personaliti guru terhadap pelajar. J.S.Kounin dan P.V.Gump telah membuat kajian iaitu hasil kajiannya menunjukkan bagaimana tingkahlaku guru mempengaruhi tingkah laku pelajarnya.Dalam kajian ini, enam orang guru tahun satu telah dipilih, tiga orang daripada mereka menggunakan denda dan tiga orang lagi tidak mengenakan denda. Setiap orang daripada 174 orang pelajar ditemubual untuk mendapat maklumat berkaitan dengan perkara yang paling buruk sekali yang dilakukan di sekolah. Setiap orang pelajar yang ditanya kenapa dia memikirkan kelakuan yang tidak sopan itu buruk.

Ahli penyelidik tersebut membuat kesimpulan bahawa jika dibandingkan kedua-dua kumpulan pelajar, mereka yang mempunyai guru yang suka mendenda menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif, tidak tenteram, mempunyai konflik dengan kelakuan yang tidak sopan, tidak mengambil berat terhadap pelajaran atau sekolah, tidak mempunyai pemikiran yang rasional terhadap tingkah lakunya di sekolah tetapi pemikiran tersebut tidak begitu tekal. Aspek tingkah laku guru tanpa lisan dan aspek fizikal turut memainkan peranan dalam mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan baik. Keadaan serta lokasi bilik perlu dipastikan sesuai dan sekiranya komunikasi bersifat serius,ianya perlu mengambil kira beberapa keadaan seperti keadaan dan lokasi bilik yang selesa, suasana tidak terlalu sejuk ataupun panas dan kondusif. Bagi membina hubungan yang berkesan adalah digalakkan supaya duduk di atas kerusi secara berhadapan ataupun duduk dalam keadaan yang membolehkan guru dapat melihat keseluruhan posture (kedudukan tubuh) dan gesture(gerakan badan) pelajar. Guru juga perlu memastikan ruang komunikasi tidak terlalu dekat ataupun tidak terlalu jauh iaitu kira-kira sedepa tangan guru atau antara 1 meter hingga 1.5 meter dengan pelajar bagi mewujudkan kontak atau hubungan mata yang sesuai. Dari aspek tingkah laku tanpa lisan pula, guru perlu membentuk ekspresi wajah, kedudukan dan pergerakan badan yang sesuai ketika proses pengajaran. Guru perlu membentuk item-item tanpa lisan seperti ekspresi wajah, mimik muka, sinaran ataupun pandangan mata, kedutan dahi, bentuk senyuman dan kedudukan serta pergerakan tubuh badan seperti pergerakan tangan dan kaki serta suara separa bahasa. Guru yang baik juga perlu mengetahui aspek-aspek komunikasi dan tingkah laku tanpa lisan kerana mesej-mesej yang lahir daripadanya boleh memberi makna-makna tertentu kepada guru. Ekspresi wajah guru pula menunjukkan guru dalam keadaan gembira, marah, terperanjat, sedih dan sebagainya dengan kombinasi pergerakan mata, kening, pipi, hidung dan mulut. Bagi pelajar yang memahami pergerakan tubuh, guru yang kerap berpeluk tubuh menggambarkan marah, kurang bersedia, rasa tidak selamat dan defensive. Pergerakan yang berjalan ke hulu dan ke hilir

menggambarkan seseorang itu dalam keadaan resah, gelisah dan bimbang.

Manakala pergerakan yang mengangkat bahu membawa maksud ragu-ragu dan tidak tahu. Suara guru turut memainkan peranan yang mana bunyi-bunyi suara seperti mengecis, menarik ataupun menghela nafas, tinggi atau rendah nada suara ataupun pic suara yang dikeluarkan dan juga kelajuan percakapan. Semua aspek ini mempengaruhi pelajar untuk menarik minat terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru. Menurut Mel Silberman(2004) kecenderungan seseorang pelajar lupa tentang apa yang didengarinya adalah berkaitan dengan kelajuan seseorang guru, ini menunjukkan pelajar hanya berupaya mendengar antara 50 hingga 100 patah perkataan sahaja dalam masa seminit atau pun separuh daripada apa yang diperkatakan oleh guru. Ini menunjukkan tahap pemahaman pelajar banyak bergantung kepada kelajuan percakapan guru ketika mengajar. Personaliti ini banyak dipengaruhi oleh pengaruh budaya dan amalan yang biasa dilakukan oleh individu dan masyarakat setempat. Guru perlu mempunyai kemahiran mendengar bagi membantu guru menafsir dan membuat penilaian yang baik pada maklumat yang disampaikan oleh pelajar. Ianya juga dapat membantu guru memberi maklum balas yang tepat kepada pelajar berkaitan maklumat yang diterimanya

Rumusan dan cadangan

Setiap individu yang bergelar pendidik, perlu membina hubungan interpersonal bagi mewujudkan persefahaman dan rasa saling percaya mempercayai dengan pelajar iaitu mengambil kira beberapa aspek positif seperti prihatin, mengambil berat, mesra,ikhlas dan mempunyai sikap menerima. Kebolehan-kebolehan ini juga memerlukan beberapa kemahiran tertentu bagi memastikan hubungan yang diterima berada di tahap situasi yang diterima baik dalam hubungan sosial biasa. Kemahiran interpersonal ini memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tugas sebagai seorang guru dan seseorang guru perlu menanamkan sifat ini di hari pertama bergelar pendidik. Kemahiran ini akan terus berkembang dari masa ke semasa mengikut pengalaman guru itu berkhidmat. Personaliti guru mudah dikenali oleh masyarakat umumnya. Pengalaman saya sendiri yang sering dialami sewaktu ke kedai atau sesuatu tempat baru, walaupun pada peringkat awalnya, saya tidak memperkenalkan diri sebagai seorang guru tetapi peniaga terus memanggil saya dengan panggilan cikgu. Ketika disoal kepada peniaga tersebut, terus peniaga itu mengatakan perwatakan saya mencerminkan personaliti seorang guru. Katanya dari cara pertuturan, cara pemakaian, cara berjalan dan sebagainya. Walaupun pada peringkat awalnya, saya tidak mengiakan tetapi peniaga tersebut berkeyakinan memanggil dengan panggilan cikgu kerana katanya pada pengamatannya personaliti guru memang mudah dikenali dalam pengalamannya berurusniaga dengan guru. Personaliti guru ini tidak dididik secara formal sewaktu kita belajar di Maktab Perguruan atau di Universiti tetapi pada hakikat sebenarnya profession sebagai pendidik membentuk personaliti guru sebenarnya. Situasi ini bukan saya sahaja yang pernah mengalaminya, malah rakan-rakan sekerja dan saya yakin sudah pasti Dr. Rajendran sendiri pernah mengalaminya. Kesemua sifat personal pengurus yang berkesan bagi seseorang guru ini amat penting dimiliki oleh guru-guru untuk melayakkan mereka menjadi pendidik yang berwibawa dan dapat mencorakkan prestasi kerjaya yang cemerlang. Sifat-sifat ini akan dapat mencorakkan kualiti personal yang berkesan untuk menangani pelbagai masalah, perubahan dan cabaran dalam dunia pendidikan dan dalam dunia profesion perguruan yang mengalami perkembangan yang terbuka dan dinamik. Cadangan saya ialah seseorang yang bergelar pendidik perlu menjaga personaliti ini untuk menjadikan profesion perguruan terus dihormati oleh masyarakat umum. Personaliti guru sentiasa mendapat perhatian dari anak didik

dan secara tidak langsung masyarakat membuat penilaian terhadap guru. Kepercayaan masyarakat terhadap profesion pendidikan banyak dinilai dari sikap dan tingkah laku seseorang guru, secara tidak langsung rasa hormat dan elemen persefahaman serta rasa mempercayai adalah mustahak bagi menjayakan hubungan berkesan di antara guru, pelajar dan ibubapa. Ini penting ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan baik dan secara tidak langsung membantu pelajar minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru kepada pelajar.

Rujukan i- Abdul Rahim Abdul Rashid (2000). Panduan Latihan Mengajar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. ii- Ainon Mohd, Abdulah Hasan (2002), Guru sebagai pendorong dalam darjah, PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd,Bentong, Pahang. iii- Johns WestBurnham & Fergus OSullivan,penterjemah : Hamidah Baba(2004), Mengembangkan Profesionalisme di Sekolah, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB), Kuala Lumpur. iv- _____________(1993), Cabaran,falsafah dan strategi dalam pembentukan guru yang unggul. Kumpulan Kertas Kerja Seminar JKLKAU ke 9, Universiti Kebangsaan Malaysia,Selangor. v- Lihat Winfred F.Hil(1971), A Survey Of Psychological Interpretations, Edisi Semula, San Fransisco, Chandler Publishing Co. vi- http://http://www.angelfire.com/journal2/fakir%20zamani/ceramah8.htm vii- Glenn Myers Blair etl.al, penterjemah: Noran Fauziah Yaakub (1991), Psikologi Pendidikan.Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur.

viii- Sue Leach(2006),How to be a successful Secondary Teacher, Continuum, London,New York. ix- Mel Silberman(2004),Active Learning :101 Strategies To Teach Any Subjec,Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Kuala Lumpur Dicatat oleh LOGIK di 2:49 PG Cabaran dan hala tuju guru Posted by Akubah under My Kampus Leave a Comment Salam Sekadar pandangan untuk difikirkan Zaman semakin merentas masanya ke arah yang lebih dinamik lagi. Pelbagai isu dan masalah sering melanda tatkala zaman meninggalkan zaman-zaman sebelumnya. Bukan sahaja melibatkan isu politik, ekonomi atau sosial bahkan soal isu remeh-temeh pun menjadi masalah untuk diketengahkan mahupun dipergolakkan. Lain

lagi isu-isu politik ketika ini semakin meruncing untuk difikirkan sejauh mana ianya mempengaruhi kepelbagaian isu berbangkit. Dalam konteks pendidikan yakni tentang dunia perguruan ada sahaja isu-isu mula diperkatakan sejak dari dahulu lagi dan kadang kala ianya terus menerus untuk dicelotehkan oleh pelbagai lapisan. Bukan sahaja pihak yang terbabit yakni guru malahan masyarakat dan juga melibatkan sistem pengurusan di peringkat pentadbiran negara. Beberapa hari lalu akhbar media cetak dan elektronik ada mengisahkan karenah pelajar yang langsung tidak menghormati guru dengan melakukan kecederaan kepada guru terbabit. Jangan lihat pada masa ini, malahan dari dulu lagi pelbagai karenah pelajar tidak memikirkan siapa diri mereka untuk berbuat demikian kepada seorang guru. Ini bukan lagi kes tidak menghormati guru bahkan sudah menjadi gejala pelajar berlaku biadap kepada guru yang jika kita lihat membantu memajukan diri pelajar. Adakah kes-kes yang berlaku seperti ini cara pelajar menghargai guru mereka? Sama-samalah difikirkan. Kalau kes ini melibatkan tindakan pelajar kepada guru, begitu juga sebaliknya sering berlaku. Tindakan guru atau pihak sekolah yang dikatakan merosakkan masa depan pelajar sama ada melalui tindakan sendiri mahupun tindakan disiplin yang dirasakan kurang wajar dilakukan seharusnya perlu diketengahkan jalan penyelesaian yang terbaik. Soal siapa yang bersalah, siapa yang betul atau sebaliknya bukan soal ukuran ke arah memantapkan hala tuju pendidikan negara tetapi cara yang berkesan serta konsisten menangani segala permasalahan yang melibatkan kedua pihak semestinya diambil kira agar tidak memudaratkan masa depan semua yang terlibat. Jika diperhatikan dan dinilai setiap yang pernah menjadi murid atau pelajar pastinya kita akan lebih tahu pengorbanan guru amat mulia mendidik anak bangsa. Namun sering kedengaran luahan atau keluhan guru dengan bebanan kerja yang terlalu banyak sehinggakan kerja pentadbiran juga menjadi bidang kerja. Mungkin itulah cabarannya sebagai seorang guru dengan lambakan pelbagai bidang kerja walaupun sebelum memasuki alam mengajar guru lebih tertumpu kepada aspek teknik pengajaran dan pembelajaran di universiti/maktab masing-masing walaupun sedikit diselitkan bidang lain.

Bebanan kerja sudah menjadi keluhan apatah lagi bagi guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Tidak perlu mengisahkan bebanan kerja tetapi cabaran kehidupan di pedalaman dikatakan cukup memeritkan sama ada soal penginapan, kemudahan dan banyak lagi. Adakah ini cabaran yang semestinya dilalui sebagai seorang guru untuk memartabatkan anak bangsa ke mercu kegemilangan? Bagi guru mahupun masyarakat yang tidak mengalaminya pasti akan memperkatakan, sudah menjadi tanggungjawab guru untuk mengajar anak bangsa jadi segala masalah hendaklah dihadapi walaupun perit. Diakui memang itulah sebenarnya namun kena difikirkan juga aspek-aspek cabaran tersebut untuk memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran seorang guru. Memetik laporan Utusan Online bertarikh 4 April 2010 bertajuk bidang kuasa beban guru dibincang , Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji beban guru di seluruh negara. Itulah sebenarnya yang patut dilakukan agar keluhan dan aduan guru-guru yang terlibat dapat diselesaikan mengikut ketetapan jawatankuasa khas yang bakal mencari jalan penyelesaian masalah ini. Keluhan dan aduan seperti yang kita baca dipelbagai sumber atau

dengar mungkin amat kurang jika dibandingkan dengan keluhan guru dari pelosok negeri yang kita sendiri tidak tahu disebabkan redha dengan ketentuan menjalankan tanggungjawab mereka. Justeru, kepada bakal-bakal guru pengalaman guru-guru terdahulu dan sekarang ini sudah menjadi sahutan untuk menjalankan kewajipan yang sama kelak. Siap siagakan diri dengan isu-isu yang sudah dan semakin diketengahkan agar ianya menjadi pendorong untuk lebih memperkasakan jati diri seorang guru mendidik anak bangsa. Soal gaji dan imbuhan elaun bukan lagi persoalannya kerana acap kali kita mendengar peruntukan mahupun bajet disediakan untuk guru-guru sudah cukup memadai walau di mana pun tempat menjalankan kewajipan lebih-lebih lagi imbuhan elaun kawasan pedalaman yang sudah cukup merangsang bakal guru untuk mengajar dengan tambahan elaun pedalaman yang diumumkan baru-baru ini. Apa-apa pun, persiapkan diri semasa menjalani atau mempelajari teknik amali dan praktikal serta aspek pelbagai seperti kepimpinan , berpersatuan di universiti/maktab dengan sebaiknya. Bekalan inilah yang lebih penting untuk dikemukakan kepada pelajar-pelajar kita nanti dan pastinya kita sendiri ingin melihat hasil tanggungjawab kita telah memberikan manfaat yang berguna kepada pelajar demi kepentingan memajukan diri pelajar, keluarga khususnya mencapai pemantapan sistem pendidikan negara. All the best.

Beban Tugas Guru Sepanjang minggu lepas isu mengenai beban tugas guru terpampang di dada akhbar. Saya terbaca satu email yang berbunyi 'teruknya pelajar sekarang. Cikgu dihamun dengan perkataan tidak senonoh seperti 'babi' dan 'gila' didepan guru tanpa rasa bersalah' oleh MINIMAY:BH13237. Alangkah malangnya profesion ini, sehingga dimaki hamun sebegini. Dimanakah nilai murni yang ditekankan selama ini? Adakah ini satu indikator kepada kegagalan sistem pendidikan negara ini? Keseimbangan antara Jasmani, Emosi, Intelek dan Rohani dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat dicapai, dimana aspek Rohani dan Emosinya tidak dapat dihayati oleh murid?

Ada tiga lagi email yang mengaitkan profesionalisme ini mengenai beban tugas guru dan rasa hormat murid terhadap guru. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng juga mengulas dengan terperinci mengenai tugas guru yang semakin bertambah saban hari, minggu dan bulan. Sekiranya terdapat isu negara, maka menteri yang berkenaan akan mengesyorkan supaya kurikulum mengenai isu tyersebut ditambah dengan tujuan untuk membendung gejala yang berlaku. Umpamanya kes buang bayi dan dera bayi yang kian berleluasa masa kini. Ada pihak yang mengesyorkan supaya kurikulum sekolah ditambah. Sebelum ini ada isu yang dibangkitkan supaya pendidikan seksual dijadikan kurikulum sekolah.

Pihak guru pula saban hari dibebani dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar. Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat. Bagi saya, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melakukan pelbagai usaha dengan mengadakan pelbagai insentif daripada segi kenaikan pangkat dan gaji serta elaun. Apa yang menjadi isu masa kini ialah penghormatan yang ditagih daripada masyarakat umum. Ibu bapa seharusnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada kerjaya guru dengan memberikan kerjasama yang tinggi demi memartabatkan profesion ini. Masyarakat janganlah asyik menyalahkan guru sahaja apabila terdapat isu yang melibatkan murid atau anak-anak mereka. Kita perlu menangani masalah yang timbul bersama-sama dengan guru secara permuafakatan dengan menggunakan saluran yang tertentu dengan bijaksana.

Berbalik kepada isu beban tugas yang semakin bertambah, isu ini sudah pun lama wujud dan sentiasa menjadi rungutan semua guru. Malahan, isu perbualan sesama guru ketika berbual sama ada di kantin sekolah, bilik guru, ketika berjumpa di pasaraya, pasar ketika membeli ikan, restoran, tempat joging dan sebagainya tak boleh lari daripada memperkatakan hal-hal mengenai beban tugas yang tak pernah berkesudahan. Menurut Lok Yim Pheng, guru banyak membazirkan masa mengajar mereka dengan membuat kerja-kerja yang diarahkan oleh phak-pihak tertentu. Amat malang perkara ini berlaku sebab tugas guru adalah mengajar dan mendidik murid dengan penuh tanggung jawab. Khabarnya satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menangani masalah ini di peringkat kementerian yang juga dianggotai oleh NUTP. Semoga perkara ini akan menjadi kenyataan dan isu yang berlarutan ini dapat ditangani dengan bijaksana dan berkesan. Dan semoga selepas ini para guru akan menjadi lebih selesa dan mempunyai banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan. Ingatlah wahai para guru sekelian, tunaikan tanggung jawab kita dengan penuh ikhlas dan setia. Masa yang ada kelak, jangan dihabiskan dengan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Saudara Norhisyam Mohamad, yang mewakili Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah (Berita Harian 2 April 2010) mengesyorkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapatkan laporan daripada akar umbi supaya apa yang sebenarnya berlaku dapat diketahui dengan lebih tepat. Saya amat bersetuju dengan saranan beliau sebab sekiranya laporan daripada Guru Besar, Pengetua, PPD atau JPN kadang-kadang tidak begitu tepat. Mereka cuba menyembunyikan apa yang sebenarnya berlaku kerana hal tersebut akan memberikan implikasi buruk kepada mereka sendiri, seolah-olah mereka tidak buat kerja. Lalu laporan yang sampai adalah sentiasa baik belaka.

Tokoh-tokoh akademik juga mengesyorkan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan (BH 2April 2010). Kewujudan jawatan ini akan dapat mengurangkan beban tugas pengkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan guru. Kalau di negara maju, ramai sukarelawan yang dibenarkan menjalankan tugas membantu guru dalam sekolah. Anggota polis, bomba dan lain-lain jawatan dibenarkan masuk ke sekolah dan memberikan khidmat mereka mana yang sesuai, dan sekali gus dapat membantu meringankan beban tugas guru. Ibu bapa juga digalakkan masuk ke sekolah bagi membantu guru, seperti membantu dalam pusat sumber dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan kaedah ini. Mungkin satu sistem atau mekanisme tertentu dapat diwujudkan oleh KPM selepas jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapat maklumbalas yang terperinci mengenai masalah yang berlaku. Pihak sekolah juga perlu proaktif dan inovatif bagi mencari jalan penyelesaian, kemungkinan melalui PIBG, ahli-ahli PIBG yang mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu dapat menyumbang tenaga bagi membantu guru. Dalam hal ini, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan bagi mendekatkan sekolah dengan masyarakat. Kini apa yang berlaku adalah terdapat jurang antara sekolah dengan masyarakat, pihak sekolah sendiri agak terasing dan terpencil dengan masyarakat sekelilingnya. Kita harus sama-sama memikirkan bagaimana sekolah dan masyarakat dapat digembelingkan dalam usaha membantu mengurangkan beban tugas guru.

Anda mungkin juga menyukai