Anda di halaman 1dari 4

Tanggungjawab Menantu Lelaki dan Perempuan Mengikut Keutamaan

Menantu Lelaki Allah SWT Rasulullah SAW Ibu/Ibu Mertua Bapa/Bapa Mertua Isteri Anak-anak Lain-lain

Menantu Perempuan Allah SWT Rasulullah SAW Suami Anak-anak Ibu/Ibu mertua Bapa/bapa mertua Lain-lain

Ibu bapa mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati ibu bapa kita sendiri. Kalau mereka kecil hati, sama seperti kita menyinggung perasaan ibu bapa sendiri. Jika kita sayang anaknya, kenapa kita tidak sayang orang yang melahirkannya juga? Penulis yakin ada ramai menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya sehingga mengabaikan anak menantunya. Perbuatan sebegini sudah pasti bercanggah dengan tuntutan agama Islam.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Peristiwa Nabi Ibrahim dan anak menantunya perlu dijadikan teladan. Nabi Ibrahim pergi menziarahi menantunya ketika puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah. Isteri Nabi Ismail belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim. Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya. Nabi Ibrahim: Siapakah kamu? Menantu: Aku isteri Ismail. Nabi Ibrahim: Di manakah suamimu, Ismail?

Menantu: Dia pergi berburu. Nabi Ibrahim: Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga? Menantu: Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah senang dan lapang. Nabi Ibrahim: Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya menceraikan isterinya). Menantu: Ya, baiklah. Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka. Nabi Ismail: Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu? Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita. Nabi Ismail: Apa jawapanmu? Isteri: Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang. Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa? Isteri: Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu. Nabi Ismail: Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah. Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu. Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar. Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali. Nabi Ibrahim: Di mana suamimu? Menantu: Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu. Nabi Ibrahim: Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan? Menantu: Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang. Nabi Ibrahim: Baguslah kalau begitu. Menantu: Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan sedikit makanan.

Nabi Ibrahim: Apa pula yang ingin kamu hidangkan? Menantu: Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu. Nabi Ibrahim: (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah berkat doa Nabi Ibrahim). Nabi Ibrahim: Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail). Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang mencarinya. Nabi Ismail: Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah? Isteri: Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu. Nabi Ismail: Apa katanya? Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita. Nabi Ismail: Apa jawapanmu? Isteri: Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum. Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa? Isteri: Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu. Nabi Ismail: Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan. Isteri: Alhamdulillah, syukur. Pengajaran daripada kisah ini adalah mentua mempunyai hak untuk memberikan pandangan terhadap menantunya. Menantu sepatutnya memberikan contoh yang terbaik kepada mentua demi menjaga keharmonian rumahtangga. Penulis yakin bahawa suami akan lebih mengasihi isterinya, jika isterinya menyayangi ibu bapa suaminya.

Dalam usaha memenuhi tuntutan tersebut, penulis menggariskan beberapa perkara berikut untuk diteliti dan dilakukan oleh menantu terhadap mentua sebagai tanda penghormatan dan membalas budi mereka. 1. mentaati mentua pada segala yang diperintahnya kepada anak, kecuali perkara maksiat 2. berbicara kepada keduanya dengan adab dan lemah lembut 3. memberikan bantuan kewangan (bulanan) sebagai tanda mengambil berat 4. bangun menghormati keduanya apabila mereka datang

5. mencium tangan kedua dan memeluknya, setiap pagi dan petang dan pada setiap upacara 6. memelihara nama, kehormatan, serta harta benda mereka 7. memuliakan mereka, dan memberikan mereka yang diminta 8. bermesyuarat dengan mereka dalam urusan berkaitan 9. memperbanyakkan doa dan permohonan ampun bagi mereka 10. cuba membuat sesuatu untuk menggembirakan mereka tanpa perlu diingatkan atau ditunjukkan kepada si anak 11. tidak mengangkat suara di hadapan mereka 12. tidak cuba memotong percakapan mereka ketika mereka sedang mengatakan sesuatu 13. sentiasa meminta izin mereka jika mahu keluar rumah 14. tidak memeranjatkan mereka, ketika sedang tidur 15. tidak melebihkan isteri dan anak dari kedua mereka 16. tidak mencela mereka, jika mereka melakukan sesuatu yang tidak memuaskan 17. tidak ketawa dalam majlis mereka, jika tidak ada sebab yang menarik untuk ketawa 18. tidak memanjangkan tangan kepada makanan, sebelum mereka terlebih dahulu memulakannya 19. tidak tidur atau baring, padahal mereka masih lagi duduk kecuali jika mereka telah mengizinkan 20. tidak melunjurkan kaki di hadapan mereka 21. tidak masuk dahulu sebelum mereka atau berjalan di hadapan mereka 22. menyahut panggilan mereka serta merta, apabila mereka memanggil 23. memuliakan teman-teman mereka di waktu hayat mereka dan sesudah mereka meninggal 24. tidak berkawan dengan seorang yang tidak mematuhi kedua ibubapanya 25. memberi dan bertukar tukar hadiah ketika hari lahir mereka 26. membawa dan menemani mereka ke masjid jika diperlukan 27. mendoakan keduanya, khususnya sesudah meninggal, sebab adalah sangat berguna kepada mereka

Pengkaji tidak menafikan bahawa contoh terlalu ideal, tetapi apa yang ingin ditonjolkan adalah penghormatan dan keadilan yang perlu dilakukan oleh menantu terhadap ibu bapa dan mentuanya.

Kesimpulan

Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu/ibu mertua dan bapa/bapa mertua. Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki terutamanya. Mengabaikan salah seorang daripada mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumahtangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Jika tanggungjawab ini diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan oleh ibu bapanya sendiri diabaikan oleh suaminya.

Satu persoalan yang perlu difikirkan bersama adalah, adakah derhaka menantu terhadap mentua, sama seperti derhaka anak terhadap ibu bapa sendiri? Adakah syurga di telapak kaki ibu, boleh diaplikasikan dalam konteks syurga di telapak kaki ibu mentua? Sama-sama kita fikirkan.

Anda mungkin juga menyukai