Anda di halaman 1dari 3

Kisah Nabi: Nabi Yusuf dan Zulaikha

Assalamualaikum wbt. Salam ukhwah dan salam 1 Malaysia buat para hakim yang bijaksana,guru-guru dan rakan yang dikasihi sekalian.Mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yusuf yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW dalam Quran saya ingin menyampaikan sebuah kisah tentang Nabi Yusuf dan Zulaikha yang diagung-agungkan. Kisah para nabi diwahyukan kepada Rasulullah supaya dijadikan petunjuk dan teladan oleh manusia sepanjang zaman. Harap kawan-kawan dengarkan kisah yang akan saya sampaikan. Dikisahkan bahawa Nabi Yusuf ketika kanak-kanak telah dianiaya oleh adik beradiknya yang berlainan ibu. Dia telah ditinggalkan oleh adik beradiknya di dalam telaga ketika masih kanak-kanak. Kepada bapa mereka, Nabi Yaacob diberitahu bahawa Yusuf dibaham serigala.Nabi Yaacob tahu bahawa apa yang diceritakan kepadanya bukanlah kejadian sebenar, tetapi beliau bersabar dan menyerahkan segala urusan bersabit anaknya itu kepada Allah SWT. Maka ditakdirkan Yusuf yang masih kanak-kanak telah diselamatkan oleh sekumpulan peniaga yang singgah di telaga itu, lalu beliau dibawa ke Mesir dan dijual dengan harga yang murah sebagai hamba sahaya kepada seorang pembesar negara.

Apabila dewasa, Yusuf menjadi seorang pemuda yang sangat kacak. Kekacakannya menyebabkan si isteri pembesar yang memeliharanya jatuh cinta pada beliau. Akibat tidak tahan menanggung bebanan cintanya, pada suatu hari wanita bernama Zulaikha itu telah menggodanya ketika mereka berduaan dalam rumah.Walaupun Yusuf hampir tergoda, imannya yang kukuh telah menahan dirinya daripada terjerumus ke perlakuan buruk. Yusuf cuba melarikan diri sehingga koyak bajunya di bahagian belakang akibat direntap oleh Zulaikha.Kejadian itu disedari oleh suami

Zulaikha yang kebetulan kembali ke rumahnya. Ketika itu, Yusuf sedang berlari ke pintu untuk menyelamatkan diri. Walaupun Zulaikha berkeras menuduh bahawa kononnya Yusuf yang cuba berbuat jahat terhadapnya, namun bajunya yang koyak di bahagian belakang menjadi bukti mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Jika Yusuf yang cuba berbuat jahat, tentulah bajunya koyak di bahagian depan jika Zulaikha melawan.Betul tak kawankawan? Kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf itu menjadi bualan hangat terutamanya di kalangan wanita bangsawan. Lalu Zulaikha menganjurkan satu jamuan dan menjemput wanita-wanita yang mengejeknya. Masing-masing diberikan sebilah pisau untuk memotong bahan-bahan makanan.Ketika wanita-wanita itu sedang asyik memotong bahan makanan dengan pisau, Yusuf diarahkan masuk ke tempat mereka. Melihat seorang pemuda yang sangat kacak tampil di hadapan mereka, wanita-wanita itu terpegun sehinggakan tidak menyedari pisau menghiris tangan mereka. Menyedari apa yang berlaku, Yusuf bimbang peristiwa dengan Zulaikha akan berlaku lagi terhadapnya. Lalu beliau berdoa kepada Allah SWT. Doanya berbunyi ; Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh. - Ayat 33 Meringkaskan cerita, Allah SWT memakbulkan doanya dan mengilhamkan kepada wanita-wanita itu supaya sepakat merencanakan Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.Tinggallah Yusuf di dalam penjara bagi suatu tempoh sehingga akhirnya dia diminta mentafsirkan mimpi raja. Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering. Hai orang-orang yang

terkemuka: Terangkanlah kepadaku tentang tafsir mimpiku itu jika kamu dapat mentafsirkannya. Tiada siapa yang dapat mentafsirkan mimpi raja itu. Lalu seorang bekas banduan memberitahu tentang seorang banduan bernama Yusuf dapat berbuat demikian. Apabila dipanggil, Yusuf bukan sahaja mentafsirkan mimpi raja itu dengan tepat, malahan beliau juga memberikan nasihat yang betul kepada raja. Yusuf berkata: Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu simpan kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan, kecuali sedikit daripada yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang berhujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras anggur. Raja juga mendapati bahawa Yusuf dipenjarakan kerana fitnah. Selepas membebaskannya, raja yang terpikat dengan kebijaksanaan Nabi Yusuf telah melantiknya menjadi penjaga perbendaharaan dan akhirnya dinaikkan pangkat sebagai wazir. Sesungguhnya kawan-kawan; pada kisah itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. Iktibar daripada kisah Nabi Yusuf ini ialah supaya orang-orang beriman bersabar dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi apa jua ujian dan masalah dalam kehidupan.

Sekian, wassalam

Anda mungkin juga menyukai