Anda di halaman 1dari 2

Abstrak Buku : Tanaman Hiasan Dalam Landskap: Heliconia dan Halia(Dewan Bahasa dan Pustaka 2013) Oleh : Zainudin

Haji Meon Tujuan utama buku Tanaman Hiasan Dalam Landskap: Heliconia dan Halia ini ditulis adalah untuk menjadi panduan bagi mengenal pasti tanaman hiasan, terutamanya Heliconia dan halia hiasan yang digunakan dalam industri landskap di negara kita. Walaupun Heliconia bukanlah tanaman hiasan asal di Malaysia, tetapi ia telah lama dipopularkan sebagai hiasan dalam landskap. Manakala, famili halia pula berasal dari Nusantara hingga ke Asia Selatan. Istilah halia digunakan di dalam buku ini merujuk pada semua jenis tanaman yang mempunyai rizom. Buku ini mengandungi tujuh bab. Bab 1 mengenai habitat dan faktor-faktor

keperluan hidup dan pengelasan saintifik. Secara amnya Heliconia dan halia memerlukan habitat dan keperluan hidup yang hampir sama dari segi suhu, hujan dan cahaya. Secara pengelasan saintifik Heliconia terdiri daripada kelompok Zingiberales. Kelompok ini mempunyai kaitan filogenetik (phylogenetic) di antara satu sama lain, iaitu kaitan dari segi tumbesaran sama ada rizom, perdu atau umbisi. Bab 2 menerangkan kepentingan tanaman Heliconia dan halia dalam industri landskap sebagai landskap fungsional yang dilihat dalam beberapa aspek. Ciri-ciri menarik pada tanaman ini seperti warna bunga, bentuk pokok dan daun dapat memberikan kesan estetika kepada pemandangan secara keseluruhan. Bab 3 pula menerangkan morfologi dan pembiakan tanaman ini, iaitu penerangan secara am tabiat tanaman, daun, bunga serta batang. Selain itu, bab ini turut menjelaskan teknik pembiakan dengan menggandakan bilangan tanaman mengikut teknik yang tertentu.
Bab 4 dan 5 masing-masing memuatkan jenis-jenis Heliconia dan Strelitzia dan jenis-jenis halia hiasan termasuk Alpinia, Costus, Zingiber, Maranta , Canna, Etlingera,Curcuma dan Hedychium . Bab-bab ini memperincikan setiap jenis tanaman dalam kategorinya dari segi morfologi, iaitu tabiat tanaman, daun, jambak bunga dan batang. Selain itu, bab ini turut menyentuh tentang keunikan tanaman, pembiakan dan tumbesarannya. Keperluan hidup tanaman Heliconia dan halia ini turut dimuatkan dalam bab 4 dan 5 ini. Bab 6 menyentuh aspek-aspek amalan kultur seperti penanaman, pengapuran, pembajaan, pengairan, keperluan lindungan, kepadatan tanaman dan pengurusan serangga dan penyakit. Hal ini termasuk juga penjagaan Heliconia dan halia hiasan melalui cantasan dan proses menggemburkan tanah. Bab 7 menyentuh potensi dan cabaran serta permintaan dan penawaran terhadap industri ini pada masa hadapan.

Penulisan terhadap buku ini berdasarkan pengalaman penulis semasa menjalankan penyelidikan, lawatan teknikal, lawatan ke luar negara dan perbincangan dengan pengusaha tapak semaian. Penulis telah sekian lama berkecimpung dalam pengurusan tanaman ini dan telah menghasilkan beberapa kertas teknikal, syarahan dan poster berkaitan tanaman tersebut. Penulisan buku ini dibuat dengan harapan menjadi sumber rujukan dan maklumat kepada para pelajar, peminat, pengusaha dan penanam. Semoga maklumat yang terdapat dalam buku ini dapat mempertingkatkan pengurusan tanaman ini di negara kita. Semoga buku ini dijadikan salah satu pelengkap ke arah meningkatkan khazanah koleksi buku-buku landskap yang ada di negara kita.

Anda mungkin juga menyukai