Anda di halaman 1dari 5

Teks Forum Remaja FORUM REMAJA Jenayah Pemerdagangan Manusia Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil alamiin, wassolatu wassalaamu

alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ala alihi wa sohbihi ajmaiin. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia. Warga dewan sekalian, Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya Al-Fahmi Mubarak Ali pada pagi/petang yang berbahagia ini. Hadirin yang dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, jenayah perdagangan manusia berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini, perdagangan manusia,punca dan cara mengatasinya. Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai salah satu langkah untuk membendung permasalahan ini. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini. Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara Muhd. Iskandar bin Nordin yang merupakan ketua kelas kita. Apa khabar saudara? Panel Pertama : Alamdulillah sihat Encik Pengerusi. Encik Pengerusi macamana? Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga. Seterusnya ahli panel kedua, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata Ahmad Fuad bin Zainudin. Selamat datang saudara. Dan di hujung sana, segak berbaju biru, saudara Muhd Najmi Selamat datang juga buat saudara. Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya jenayah pemerdagangan manusia dan siapakah yang menjadi mangsanya? Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang baik budi pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, guru dan hakim yang bijaksana, rakan-

rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Menurut lama web gergasi Wikipedia, perdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuklah aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang). Pada kebiasaannya, mangsa yang terlibat dalam perdagangan manusia terdiri daripada golongan wanita, pemuda dan kanak-kanak. Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa mangsa perdagangan manusia kebiasaannya terdiri daripada golongan wanita, pemuda dan kanak-kanak. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, mengapakah golongan-golongan ini yang menjadi majoriti mangsa perdagangan manusia ini? Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah... Kanak-kanak merupakan mangsa utama bagi pelaku pemerdagangan manusia. Hal ini disebabkan kanak-kanak dianggap senang dikawal dan tidak berupaya untuk melakukan sebarang tindakan di luar jangkaan. Perkara ini boleh dikaitkan juga dengan fikiran mereka yang belum matang, yang tidak dapat membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Selain daripada golongan kanak-kanak, golongan wanita juga menjadi tumpuan bagi penjenayah. Golongan wanita yang lemah dan tidak dapat melindungi diri sendiri selalunya dipaksa membuat sesuatu yang tidak diingini seperti menjadi pembantu rumah yang tidak sah di sisi undang-undang, penjaga bayi yang tidak berlesen, GRO ataupun pelacur. Kehidupan yang dialami oleh mereka sangat dahsyat. Maruah wanita diabaikan dan hak-hak kaum wanita langsung tidak dihormati. Manakala bagi golongan pemuda, mereka selalunya ditipu dengan muslihat yang diberikan oleh penjenayah. Penjenayah mungkin merancang satu penipuan seperti kerja di luar negara yang dapat mengaut keuntungan yang besar dengan cepat. Pemuda-pemuda yang terpengaruh dengan tipu muslihat tersebut akan dipergunakan untuk melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang. Pada kebiasaannya, tugasan yang diberikan ialah menjual pil estacy atau mengedar heroin di tempat

awam seperti disko atau pub. Pemuda tersebut akan terperangkap dengan penipuan dan akhirnya tidak dapat melepaskan diri. Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak punca berlakunya jenayah yang keji ini. Forum diteruskan lagi dengan satu soalan kepada panel kita yang ketiga. Apakah impak aktiviti perdagangan manusia ini terhadap mangsa? Dipersilakan. Panel ketiga : Bismillah...Terlebih dahulu saya ingin ucapkan, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-isu berkaitan dengan perdagangan manusia sering diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, pada 20 April 2012 yang lalu, berita penyelamatan empat wanita warga Filipina yang dijual dengan harga RM7,500 oleh pihak pedagang manusia telah terpapar di muka depan akhbar Berita Harian. Hadirin yang dirahmati Allah sekalian, Kebanyakan mangsa pemerdagangan manusia mengalami gangguan mental dan trauma akibat daripada pekerjaan yang terpaksa dilakukan. Tamsilnya kanak-kanak dijadikan sebagai pengemis, tentera paksa atau bagi tujuan aktiviti keagamaan. Manakala bagi wanita pula dijadikan sebagai pelacur, hamba dan buruh paksa. Aktiviti seumpama ini kadang kala dilakukan tanpa bayaran kerana mangsa tidak diberikan bayaran/gaji tetapi mereka hanya diberikan tempat tinggal serta makan dan minum sebagai saraan hidup. Perkhidmatan mereka seolah-olah dipergunakan oleh pihak yang tak berwajib. Selain itu, mangsa pemerdagangan manusia mungkin mengalami jangkitan penyakit. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mangsa-mangsa ini sememangnya terdedah kepada wabak seperti AIDS, HIV, filis, jangkitan kuman, dan sebagainya. Penyakit seperti ini mudah merebak terutama bagi wanita yang memperdagang diri mereka untuk aktiviti pelacuran. Bagi golongan kanak-kanak juga tidak ketinggalan apabila mereka dijadikan pengemis jalanan, mereka turut terdedah kepada wabak penyakit seperti SARS, jangkitan kuman dan lain-lain. Akibat daripada aktiviti pemerdagangan manusia juga, mangsa menanggung malu seumur hidup. Perkara ini menyebabkan mangsa tidak suka berhadapan dengan khalayak umum kerana mangsa mungkin dikeji atau dihina kerana pernah melakukan aktiviti terkutuk seperti melacur atau mengemis. Lantaran itu mangsa-mangsa aktiviti perdagangan manusia lebih suka memencilkan diri daripada bergaul dengan orang

ramai kerana mereka mungkin bimbang akan terjerumus dengan aktiviti itu lagi dan turut bimbang akan perspektif masyarakat terhadap pekerjaan yang telah dilakukan oleh mereka sebelumnya. Pengerusi: Terima kasih kepada panel ketiga di atas penjelasannya yang panjang lebar sebentar tadi. Sebelum kita mengakhiri forum kita pada pagi yang mulia ini, saya ingin mengajukan soalan terakhir kita kepada panel pertama kita. Pada pendapat anda, apakah langkah yang patut dilakukan untuk membendung jenayah ini? Panel Pertama : Pihak kerajaan hendaklah memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia. Selain itu, kementerian yang berkenaan hendaklah bekerjasama dengan badan antarabangsa untuk melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu. Penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret hendaklah dilatih mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan dengan isu terbabit. Penyelarasan sistem data maklumat kemasukan dan mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang, pelabuhan, dan pintu sempadan sangat diperlukan dalam usaha membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini. Panel 2: Izinkan saya menyelit sedikit hemat saya. Pembasmian gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguat kuasa setiap negara juga hendaklah dilakukan. Jabatan-jabatan yang masih menjadi kambing hitam seperti imigresen, kastam, polis marin, RELA dan organisasi-oraganisasi yang sama di negara-negara jiran hendaklah diperiksa agar amalan ini dapat dibasmi. Hal ini kerana amalan rasuah merupakan tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara malahan kepada ekonomi tanah air kita. Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan). Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam

membendung kemelut ini daripada terus menjadi barah. Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi: Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan; Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Sekian sahaja untuk hari ini, andai kami terkasar bahasa, tersilap bicara, anpun maaf kami pinta. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri. Wallahualam. Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia. Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai