Anda di halaman 1dari 6

"Di hari raya Terkenang daku kepada si dia Kampungku indah nun jauh di mata Ayah serta bonda...

" Aduh, syahdu pulak rasanya bila dengar lagu raya! Ni yang buat aku rasa macam nak terbang terus ke Alor Setar ni. Tak sabar-sabar rasanya aku nak balik kampung. Aku bukannya boleh dengar sangat lagu-lagu raya macam ni. Mulalah hati rasa sebak. Padahal bukannya tak selalu balik kampung. Pantang cuti je akulah manusia pertama yang tercegat kat Pudu Raya tu. Boleh dikatakan orang yang jaga kaunter bas tu dah kenal kat aku. Mana taknya... asyik muka aku je yang menjadi pelanggan tetap beli tiket. Beg plastik di tangan kugenggam erat. Kaki aku ni dah naik lenguh berjalan. Bilalah aku nak sampai rumah ni. Itulah nak berjimat sangat. Sanggup berjalan kaki daripada naik bas atau teksi. Tapi kalau aku tak berjimat, alamatnya larilah budget aku bulan ni. Duit yang abah kirim pun cukup-cukup je. Takkan aku nak mintak tambah kot. Mak abah aku pun nak pakai banyak duit jugak. Nak beli baju raya adik-adik aku dan persiapan hari raya yang akan menjelang tiba, walaupun hanya hari raya haji je. Yang penting mak dan abah aku memang nak tengok anakanak dia gembira dan cukup segalanya. Tapi kita orang nipun bukan jenis demand lebih, cukuplah dengan apa yang ada dan termampu oleh kedua orang tua aku tu. Jadi, sebagai anak sulung aku kenalah bertimbang rasa sikit. Alah, setakat jalan kaki tiga kilometer tu apalah sangat. Tapi semput jugak akak dibuatnya. "Baru balik Ika?" tegur Jihah ketika aku sampai di muka pintu. Aduh, rasa macam baru lepas maraton sukan Olimpik pulak! Aku tersandar di muka pintu. Kepala aku pun mulalah nak berdenyut-denyut. Nak suruh cari bantallah tu. "Kalau ye pun letih, takkanlah kau nak tidur kat depan pintu tu kot Ika?" Eh macam tahu-tahu jelah dia. Aku bingkas bangun, menuju ke bilik. Jihah hanya menggelenggelengkan kepalanya melihatkan telatahku. "Kau tu dah sembahyang Zohor ke belum?" Tak sempat lagi aku masuk ke bilik, Jihah menegur lagi. Alamak! Aku belum sembahyang lagi. Kalau tahu dek abah aku, mesti aku kena sembur punya. Nasib baiklah ada mek Kelate sorang ni nak jugak tegur-tegur aku, walaupun kadangkala tu aku rasa mulut dia ni dah lebih daripada mulut tok aku di kampung. "Engkau ni Ika, kalau aku tak tegur tadi sure dah dapat dosa besar percuma tadi." Haa... kan aku dah cakap. Mulut minah ni memang mengalahkan mulut tok aku di kampung. Pedih jugak aku dengar. Dahlah letih aku tadi tak hilang lagi. "Aku bukannya tak nak sembahyang Ika, tapi aku terlupa. Selama ni pernah ke kau tengok aku tinggal sembahyang?" Panas jugak telinga aku bila dia tegur macam tu, walaupun memang dah sah-sah aku yang salah. "Amboi, cantiknya kain. Nak buat baju raya ke?" Bahuku tiba-tiba sahaja ditepuk dari arah belakang. Kus semangat! Dia ni masuk tak reti bagi salam agaknya. Nasib baik aku tak de sakit jantung kalau tak dah jadi satu kerja nak hantar aku kat hospital. Kan naya tu jadinya.... "Kau ni Jihah, kalau sehari tak bagi aku terperanjat tak boleh ke?" balasku sambil menghamparkan kain yang baru kubeli di atas katil. "Cantik tak?" Tanyaku. "Kau nak buat baju raya lagi ke Ika? Eh baju yang ada tu tak cukup lagi ke?" "Ada aku cakap nak buat baju raya untuk aku?"

"Habis tu kau nak buat apa? Takkan nak buat langsir tingkap kot?" "Aku nak buat baju melayulah..." "Baju melayu? Untuk siapa?" "Untuk lelaki yang paling aku cintai dalam hidup aku." "Siapa? Sampai hati kau yek. Bercinta tapi tak cerita kat aku." "Eh kau tak tahu lagi ke? Kan dah lama aku bercinta dengan dia." "Siapa? Iskandar ke?" Terkejut jugak aku. Tak de nama lain ke yang dia nak sebut? Sebutlah nama yang sedap sikit. Ni tak budak Iskandar tu yang menjadi pilihan. "Mamat perasan tu? Daripada aku bercinta dengan dia, baik aku bercinta dengan Dr Hashim yang tua tu. Dapat gak ilmu dia, tua-tua berisilah jugak..." Jihah merenung tajam ke arahku. Aku ketawa kecil melihatkan wajah Jihah yang serius. Tapi ketawa ku reda akhirnya bila melihat wajahnya semakin mencuka. Takkan marah kot. Alah minah ni, aku bergurau sikitpun tak boleh. Tetiba je jadi gadis sensitif. "Kau ni Ika, cubalah serius sikit. Siapa lelaki tu?" "Nama lelaki bertuah tu Zulkifli Shaari. Ha! Puas hati?" "Zulkifli? Aku tak pernah dengar pun nama tu. Budak fakulti mana? Aku rasa member kita memang tak de nama tu. Budak mana pulak ni?" "Dia bukan student sini, Dia dah kerja dan duduk kat Alor Setar." "Siapa dia tu? Orang kampung kau ke? Wah! Okeylah tu, dapat orang satu kampung. Bolehlah tengok mak dan abah kau kat kampung. Paling tidak pun senang kau nak kahwin nanti. Tak payahlah hantar jauh-jauh." Ya Allah. Blur betullah perempuan ni. Dah bagi clue pun tak boleh nak tangkap lagi. Nama je belajar tinggi-tinggi tapi... L.E.M.B.A.B! "Kata kau ni member baik aku. Tapi Zulkifli Shaari pun kau tak kenal. Itu abah akulah!" Geram betul aku. Nama abah aku pun dia tak tahu. Macam baru sehari dua kenal aku. "Abah akukan dah lama tak berganti baju raya. Jadi aku ingat raya tahun ni biarlah dia beraya dengan baju baru pulak. Barulah bermakna raya haji tahun ni." "Kenapa kau tak beli yang dah siap berjahit? Kan senang... tak payahlah kau tempah lagi." "Beli dengan jahit tak samalah Jihah. Ada lainnya. Aku rasa puas kalau abah aku pakai baju hasil daripada tangan aku sendiri," terangku sambil melipat kembali kain yang kubeli. Esoklah aku mula menjahit. Hari ni aku rasa letih sangat. Mata ni pun dah tak larat nak celik dah. Berat je rasanya. "Dekat abah je ke? Dekat mak kau?" "Bukannya aku tak nak beli untuk mak aku, tapi dah tiap-tiap tahun baju baru. Tunggulah tahun depan lak aku buatkan untuk mak aku pulak."

*** Baju raya untuk abah hampir siap. Tinggal untuk aku kemaskan jahitannya je lagi. Puas hati aku bila baju melayu berwarna biru laut itu sudah hampir kusiapkan. Mesti abah aku terkejut punya tengok baju baru yang aku jahitkan ini. Bersusah payah menjahitnya, bersengkang mata tak tidur malam semata-mata untuk abah tersayang. Lagipun abah memang minat dengan warna biru. Aku pun begitu juga. Warna biru nampak suci dan lembut. Aku pun tak tahu mengapa sejak akhir-akhir ni aku teringat sangat kat abah. Hanya gambar abah je yang menjadi pengubat rindu pada abah. Mak pun begitu juga. Aku terlalu rindukan leteran abah. Tiba-tiba aku teringat kenakalan aku semasa aku di zaman kanak-kanak dahulu. Aku ni nama je anak sulung, tapi kalau bebal tu mengalahkan anak bongsu pulak. Semua benda aku nak. Aku tak pernah fikir susah payah abah aku cari duit, menanggung kami enam beradik. Apa yang aku ingat, setiap kali aku dan adik-adik aku buat perangai... rotan abah mesti hinggap kat badan kami. Masa aku kena rotan dulu, aku selalu menjerit yang abah tak sayang kat aku. Ada sekali tu, aku merajuk sampai tak mahu makan. Tapi abah pandai pujuk aku. Dia janji nak belikan aku anak patung yang dah lama aku minat. Walau bagaimanapun janji abah cuma setakat itu je. Sampai sekarang aku masih tak dapat anak patung yang aku suka tu. Tapi aku tak salahkan abah. Mungkin dia ada sebab kenapa dia tak belikan aku anak patung tu. Mak dan abah memang kakitangan kerajaan, tapi cuma pegawai biasa je. Nak dikatakan hidup mewah tak juga, tapi aku bersyukur kerana keluarga aku tak pernah kebulur kerana tak makan. Untuk menjaga kami enam beradik, mak dan abah terpaksa berjimat, terutamanya abah. Kadang kala keperluan dia sendiripun terpaksa diketepikan semata-mata kerana nak jimatkan belanja. Apatah lagi ketika aku di usia remaja, abah terpaksa ditukarkan ke Pulau Pinang. Waktu itu hampir separuh duit abah habis hanya untuk membayar tambah bas sahaja, kerana terpaksa berulang alik dari Alor Setar ke Pulau Pinang. Bukannya abah tak mahu tinggal di sana, tapi kos di sana terlalu tinggi. Lagipun dia rasa tak mampu untuk menanggung dua rumah sekali gus. Oleh sebab itulah, abah mengambil keputusan berulang alik sahaja dari tempat kerja. Pada mulanya abah berulang alik dengan menaiki motorsikal, tapi akhirnya dia terpaksa berulang dengan bas je. Dia sering mengadu sakit kepala dan letih sebab berjam dalam bas. Dahlah kerja awal pagi, pulang pulak bila waktu dah hampir senja. Aku memang betul-betul kasihan melihat abah waktu tu. Tapi apalah yang mampu aku lakukan. Semenjak hari itu juga, mood abahpun selalu tak menentu. Dia sering marah kalau ada sesuatu perkara yang tak kena di matanya. Yang selalu menjadi mangsanya adalah aku dan adik-adik akulah. Kadangkala mak juga terkena tempias angin abah tu. Sakit betul telinga kami dibuatnya kalau abah dah mula berleter. Mulalah keluar perkataan yang tak elok dari mulut dia. Tapi aku tak pernah kecil hati atau dendam dengan abah. Abah dah penat kerja, dah tentu dia tak mahu dengar apa-apa masalah di rumah. Dahlah penat bekerja belum hilang, aku dan adik beradik aku yang lain buat perangai pulak. Riuh rendah jadinya rumah bila kami bergaduh. Kalau orang tak tahu tentu mereka ingat kami nak berperang. Tapi inilah hakikatnya, kalau berjumpa ada sahaja yang menjadi gurauan. Tapi itulah pengorbanan abah yang terlalu besar buat kami. Pengorbanan yang belum tentu aku dapat membalasnya. Begitu juga dengan mak, mak juga tidak kurang hebatnya. Banyak pengorbanan yang telah mak buat untuk membesarkan kami. Terima kasih abah, terima kasih mak... "Eh kenapa dengan kau ni Ika?" "Tak ada apa-apa, tetiba je aku ingat kat abah aku." Balasku sambil menyembat baju melayu yang kujahit. Kalau boleh aku nak buat secantik yang boleh. Biar segak bila abah memakainya di pagi raya. Inilah yang mampu untuk aku tunjukkan betapa aku sayangkan abah!

"Kenapa dengan abah kau? Dia sakit ke?" "Itulah yang aku risaukan. Abah aku tu ada sakit darah tinggi. Entah macam mana agaknya keadaan dia waktu ni. Kau tahu Jihah, abah aku pernah pengsan kat stesen bas kerana diserang darah tinggi." "Ika, sekurang-kurang kau boleh bersyukur sebab kau masih ada abah untuk bermanja. Tapi aku, dah lama kehilangan kasih sayang seorang ayah. Sekarang ni aku hanya ada mak sahaja Ika." Jihah mula merintih, sayu kurasakan. Aku menghentikan sebentar jahitan, cuba menarik nafas dalam-dalam. Sebak aku melihat Jihah. Sekurang-kurangnya ada orang lain yang lebih tidak bernasib baik berbanding dengan aku. Kasihan Jihah. "Jihah, kadang-kadang aku tak faham dengan remaja zaman sekarang. Terlalu mudah melupakan pengorbanan seorang ayah, sedangkan ayah juga wajib dihormati dan disayangi seperti mana kita menyayangi ibu kita. Bukan setakat melawan kata-kata ayah malah ada juga di kalangan mereka sanggup memukul dan menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Apa, terlalu murah sangat ke kasih sayang yang pernah mereka curahkan sewaktu mereka masih kecil?" Aku melepaskan kekesalan yang bersarang di hati. Anak yang sebegitu memang tidak wajar untuk dilahirkan! Deringan telefon menghentikan perbualan aku dan Jihah. Aku bingkas bangun, menuju ke arah telefon yang bingit menjerit minta diangkat. "Hello." "Boleh cakap dengan Zulaika?" "Ika cakap..." "Kak, ni Haikal... bila akak nak balik?" "Eh, kan raya minggu depan. Tunggu minggu depanlah." "Kak, sebenarnya.... abah dah dua hari kat hospital." Aku tersandar di dinding. Suara Haikal dah tak kedengaran lagi. Terputus agaknya.... "Apa yang aku takutkan dah terjadi Jihah..." Aku menahan sebak... *** Perjalanan ke Alor Setar kurasakan terlalu jauh. Jika aku punya sayap, ingin sahaja aku terus terbang ke kampung. Tak sabar rasanya untuk aku bertemu dengan abah. Entah bagaimana agaknya keadaan abah sekarang. Pak Lang kata, abah pengsan sebab sakit darah tinggi abah menyerang lagi. Dahlah tu, abah pun terpaksa kerja di dalam keadaan cuaca yang tak menentu. Hujan, panas, terpaksa diredah. Abah tu bukannya kerja dalam pejabat macam orang lain, tapi bekerja di luar. Memeriksa lesen-lesen perniagaan di merata-rata tempat. Abah memang seorang yang bertanggung jawab. Aku bangga punya abah yang bertanggung jawab. Masuk hari ni, dah empat hari abah kat hospital. Mak kata abah semakin stabil. Mak pun tak pasti sama ada abah akan dibenarkan pulang menjelang raya ni atau tidak. Kalau ikut abah, memang abah nak sangat balik. Aku bukannya tak tahu abah tu bukan boleh lama-lama sangat kat hospital. Tak tahan bau ubat katanya. Tiba di terminal bas Shahab Perdana, aku dijemput oleh Pak Lang. Dari jauh kulihat wajah Pak Lang nampak keletihan. Aku berkeras mahu terus ke hospital walaupun Pak Lang mencadangkan aku melawat abah pada waktu petang sahaja. Lagipun masa melawat cuma ada 15 minit je lagi. Tak sempat katanya. Akhirnya aku mengalah, walaupun hati aku meronta-ronta

nak jumpa abah. Dari jauh aku dah nampak abah. Dia tersenyum lemah, cuba menyembunyikan kesakitannya daripada penglihatanku. Ah, abah, kesakitan yang kau tanggung tetap mengocak ketenangan fikiranku. Mana bisa hatiku tenteram jika orang yang kusayang bergelut dengan kesakitan. Tak sanggup aku lihat abah begini. "Abah macam mana?" "Baik saja, bila Ika sampai?" "Tengahari tadi abah..." Aku dah tak mampu bercakap. Air mata seolah-olah sudah mahu tumpah dari kolam mataku, namun aku cuba menahan. Aku tak mahu abah melihat air mataku. Aku tak mahu abah tahu kesedihanku ini. Cukuplah apa yang ditanggungnya selama ini. Sayu aku memikirkan betapa tangan yang pernah membelai aku ketika kecil dulu dicucuk dan ditoreh di sana sini. "Macam mana dengan pelajaran Ika?" "Okey saja abah. Setakat ni tak ada apa-apa masalah." "Alhamdulillah. Baguslah macam tu. Kalau boleh abah nak Ika menjadi pendorong dan perangsang kepada adik-adik. Abah nak anak-anak abah semuanya berjaya. Kalau kita dah berjaya dan berilmu barulah orang pandang pada kita. Ika fahamkan? Tapi kalau Ika ada masalah janganlah segan bagi tahu abah terutamanya tentang masalah kewangan. Abah tahu belajar di universiti banyak belanjanya. Insya-Allah selagi tulang empat kerat abah ni ada, abah akan tanggung pelajaran Ika." Abah masih bercerita tentang tulang empat kerat sedangkan penyakit abah menuntut rehat yang banyak darinya. Mak hanya mendiamkan diri. Maklah selama ini yang menjaga abah di hospital. Kulihat badan mak pun semakin susut, wajah mak pun semakin cengkung. Mak juga telah banyak berkorban untuk kami, namun jarang sekali menceritakan atau merungut tentang kesulitan yang ditanggung selama ini. Tapi... mak hanya tersenyum. Senyuman yang menyembunyikan seribu satu kepahitan yang mak lalui. Aku hanya beredar dari katil abah apabila waktu melawat sudah tamat. Sebelum beredar aku sempat memandang abah. Kupandang wajah itu bagai tidak mahu kulepaskan dan dadaku semakin sebak. Semoga abah lekas sembuh, itu doaku. Aku dan adik-adikku yang lain masih memerlukan abah. *** Hari raya haji. Hari yang penuh dengan kemuliaan. Takbir sayup-sayup berkumandang. Sayu dan hiba kurasakan apabila hari yang mulia sebegini diraikan tanpa insan yang kusayang. Dah lebih seminggu abah dirawat di hospital namun abah masih belum mendapat kebenaran oleh doktor untuk pulang ke rumah. Menurut kata doktor, abah masih memerlukan rawatan lanjutan. Tika umat Islam sedang bergembira, suasana di rumahku hening sekali. Tiada jerit pekik dan usik mengusik seperti sebelum ini. Mak juga macam tu. Diam saja. Kalau tidak mulut maklah yang paling bising mengerah kami buat kerja itu dan ini. Wajah adik-adikku pun muram saja. Berbeza sungguh di hari raya haji tahun ni. Walaupun kebiasaannya raya haji dan hari raya Aidilfitri pada kami tiada bezanya. Sebelum sembahyang raya, seperti biasa aku enam beradik akan memohon ampun daripada mak dan abah. Itu yang selalu kami lakukan seperti mana pada hari raya yang sudah-sudah. Sudah menjadi adat tradisi kami. Cuma kali ni yang bezanya hanya tiada abah untuk kumohon

maaf. Cuma mak sahaja tempat aku melepaskan tangis. Memohon maaf atas segala dosa yang terlalu banyak kulakukan sedari kecil lagi. Pak Lang pulak dah berjanji nak bawa aku, mak dan adik-adik bertemu dengan abah selepas sembahyang raya. Sewaktu aku pulang dari masjid, aku singgah sebentar di pusara arwah tok wan. Doa dan alfatihah kukirimkan, semoga arwah tok wan bersemadi dengan aman. Setibanya aku di rumah kulihat kereta Pak Lang dah sedia menunggu di halaman rumah. Cepat pulak Pak Lang sampai.Mesti dah lama dia tunggu. Bukannya kami sengaja melambatkan masa tapi singgah sebentar di pusara tok wan yang telah lama tidak kuziarahi. Mak dan adik-adik tentu dah lama menunggu aku. Maafkan Ika... "Kakak, abah dah balik!" Tiba-tiba adik bongsuku berlari mendapatkan aku. Sesampai sahaja aku di muka pintu, abah tersenyum memandangku. Abah dah balik? Tergamam aku dibuatnya. Aku beberapa kamu menggosok mataku yang tak gatal. Betul ke apa yang aku lihat ni? "Ika, tak nak salam abah ke?" Pak Lang menegurku. Aku tergamam... Memang benar abah dah balik. Aku berlari mendapatkan abah dan aku menangis semahumahunya. Terhinggut-hinggut bahuku dibuatnya. Tangan kasar abah yang pernah mendukungku tika kecil dahulu kucium, pipi dan dahinya kukucup dan kupeluk abah seeratnya. Air mata abah dan aku bersatu, membasahi tudung yang kupakai. Dan yang mengharukan abah memakai baju melayu yang kujahit tu. "Abah sebenarnya gembira sangat hari ni. Pertama, abah dapat beraya dengan kamu semua. Kedua abah dapat baju baru yang dijahit khas oleh anak abah sorang ni." Aku tersenyum kembali. Namun yang penting aku gembira kerana nur kebahagiaan sudah mula terpancar pada pagi hari raya ni. Dan yang paling penting abah dah pakai baju melayu yang aku jahitkan tu... Ni yang aku bangga ni. Mak, abah, Ika dan adik-adik sayangkan abah dan mak.Terima kasih atas pengorbanan kalian selama ini....

Anda mungkin juga menyukai