Anda di halaman 1dari 2

PENONTONAN FILEM CEREKA DI MALAYSIA:

TINGKAH LAKU, CITARASA, PERSEPSI DAN HARAPAN

SK/19/2006/GLK

Prof. Madya Fuziah Kartini Hassan Basri


Prof. Madya Dr. Faridah Ibrahim

Prof. Dr. Mohd Safar Hasim

ABSTRAK

Setelah hampir 70 tahun filem cereka Melayu pertama ditayangkan di pawagam,


penonton filem cereka di Malaysia masih menjadi suatu misteri. Yang jelas, mereka
wujud dalam suatu pasaran terbuka yang menyaksikan penerbitan tempatan bersaing
hebat dengan hidangan antarabangsa, dari Hollywood, Bollywood, Cina, Korea dan lain-
lain lagi. Kajian ini dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2007 untuk memahami
tingkah laku, citarasa, persepsi, dan harapan rakyat Malaysia terhadap filem cereka
Malaysia. Melalui tinjauan soalselidik terhadap 1000 responden yang disampel secara
bertujuan dan perbincangan tiga kumpulan fokus, kajian ini menemui tiga golongan
penting penonton filem cereka di Malaysia, yakni penonton yang mengutamakan cerita,
penonton yang mencari hiburan, dan penonton yang kritis tentang teknik. Namun
demikian, hanya segelintir sahaja menonton filem cereka di pawagam kerana banyak
orang menonton filem di rumah sendiri melalui televisyen dan/atau VCD/DVD. Tahap
persekolahan, citarasa, jenis filem dan genre, persepsi tentang manfaat dan kepentingan
filem, mutu dan strategi persembahan didapati ada hubungan dengan proses buat
keputusan audien untuk menonton filem, di samping laporan media. Filem Inggeris
paling dipilih oleh semua audien, tetapi orang Cina lebih condong ke arah filem Cina,
orang India lebih memilih filem Hindi dan Tamil, manakala orang Melayu
mengakomodasikan semua filem. Namun begitu, industri filem cereka tempatan dianggap
mempunyai masa depan yang cerah jika para penggiatnya serius memposisi dan
mempakej filem mereka secara menyeluruh melalui perancangan strategi pemasaran yang
mantap dan profesional serta tidak meremeh-temehkan penerbitan mereka. Ketara dari
kajian ini, dasar komprehensif untuk menyokong industri perfileman tempatan masih
belum wujud walaupun kesedaran terhadap filem sebagai komoditi ekonomi dan budaya
sudah menular. Pemegang taruh dan pemain dalam industri ini harus yakin bahawa
kejayaan sesebuah filem terletak pada perancangan yang dibuat untuk mencari
penontonnya, dan bukannya penonton yang mencari filem itu. Sesungguhnya filem boleh
mencipta penontonnya sendiri jika digarap, diposisi dan dipakej untuk segmen
khalayaknya. Dimensi inilah belum diteroka pembikin filem cereka tempatan justeru
sering hampa di pawagam.

Anda mungkin juga menyukai