Anda di halaman 1dari 1

'Bahasa jiwa bangsa.

Itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa
kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa
Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun
begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan
masyarakat?
Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat
di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Kebelakangan ini, jabatan-jabatan
kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding bahasa
Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa
mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah
bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris juga harus
dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini
dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di peringkat lokal. Jika teras
pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan
datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkasakan Bahasa Inggeris dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat
kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.
Tambahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil juga tidak harus dipandang
enteng kerana perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa Tamil lantas
menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal
ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1Malaysia dalam
kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa
sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini.
Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan
terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya
serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa
rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa
adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya
perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa bahasa Malaysia
bukanlah sebuah wadah mainan komersial.
Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa Malaysia
sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan.
Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan
bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia.
Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang
indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga
bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Anda mungkin juga menyukai