Anda di halaman 1dari 7

TEKS UCAPAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-43 OLEH YAB MENTERI

PENDIDIKAN MALAYSIA
16 May 2014
TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
KALI KE-43

"GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI"
16 MEI 2014, PUKUL 9.00 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berhormat Datuk Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II

Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I

Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II

Yang Berbahagia Datuk Dr. Madinah binti Mohamad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia;

Yang Berbahagia Dato Seri Ir Dr. Zaini bin Ujang,
Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia,

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pendidikan
Malaysia, Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri,

Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah bin Mad Yunus,
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik
yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat-Nya kita dapat
berhimpun pada hari ini sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-43
Tahun 2014. Saban tahun kita meraikan Perayaan Hari Guru sebagai mengiktiraf peranan
dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan negara.
Sempena hari yang amat bermakna ini, saya merakamkan ucapan segunung kasih dan
setulus penghargaan kepada semua guru di seluruh pelosok negara atas segala jasa, bakti
dan sumbangan anda semua.

GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI

Para guru, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana
Inovasi, sudah tiba masanya guru benar-benar menjadi pencetus kreativiti dan penjana
inovasi dalam mendidik murid. Ini adalah amat penting memandangkan negara kita sedang
menuju era negara maju di mana ekonomi negara kita perlu dipacu oleh daya inovasi rakyat.
Untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi
yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita sebenarnya memainkan peranan yang
amat penting dalam menjana daya inovasi rakyat.

3. Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha mentransformasi sistem pendidikan negara
menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberi
penekanan terhadap elemen kreativiti dan inovasi. Selaras dengan itu juga, Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah yang merangkumi tujuh elemen
iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, sumber, sokongan masyarakat, ko-kurikulum dan
bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah diperkukuh melalui Program i-Think iaitu satu
program yang membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya
pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya
menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid. InsyaAllah,
menerusi program i-Think ini kita akan dapat melahirkan para pencipta generasi masa
depan Malaysia yang hebat dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif
dan inovatif.

4. Dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM), sebanyak 1,048 buah sekolah telah
melaksanakan Program i-Think pada tahun 2013. Pada tahun ini, guru-guru dari 1,000 buah
sekolah telah diberi latihan KBAT secara dalam talian sebagai langkah memperluas
Program i-Think ke semua sekolah di seluruh negara. Pembudayaan KBAT turut
dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui kursus untuk guru pelatih dan
pensyarah.

5. Bagi menggalakkan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga pendidik, Kementerian
Pendidikan sentiasa memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada projek-projek inovasi
guru melalui Pertandingan Anugerah Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan yang
dilaksanakan sejak tahun 2002. Antaranya projek Smart Kiosk oleh Cikgu Mohd Solleh
Halim bin Mohd Sokhi dari Sekolah Kebangsaan Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor,
yang dihasilkan daripada bahan terbuang yang terdapat di persekitaran sekolah. Cikgu Teh
Tik Seng dari SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak yang telah menghasilkan inovasi
Matematik EZ Draw, iaitu satu kaedah penyelesaian masalah bagi meningkatkan prestasi
murid dalam Matematik. Cikgu Vimala a/p Muniandy dari SJK(T) Subramaniya Barathee,
Gelugor, Pulau Pinang menghasilkan Courseware Kesusasteraan Bahasa Tamil untuk
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Produk inovasi berkaitan disiplin juga turut dihasilkan
bagi meningkatkan pengurusan disiplin di sekolah. Pada tahun 2013, SMK Agama
Putrajaya telah menghasilkan X-Time2 untuk membantu murid menepati masa; Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah menghasilkan Minda Ajaib Portable Whiteboard untuk
mengatasi masalah pembelajaran luar kelas; dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas
Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menghasilkan projek Smart Iqra untuk mengatasi
masalah penguasaan asas al-Quran dalam kalangan murid berkeperluan khas penglihatan.

6. Semua inovasi ini telah dihasilkan melalui pendekatan, kaedah, teknik, bahan dan
peralatan baharu yang terbukti berjaya meningkatkan keberkesanan PdP. Semoga
kejayaan guru-guru yang saya sebutkan tadi dapat merangsang guru-guru lain untuk terus
meningkatkan usaha mencari idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif ke arah
meningkatkan kualiti pendidikan negara.

PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU

Para guru dan hadirin yang saya hormati sekalian,

7. Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidaklah semudah yang disangka. Tugas dan
tanggungjawab besar yang terletak di bahu para guru menuntut komitmen yang tinggi
khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam
sistem pendidikan. Untuk itu, guru sebagai golongan profesional perlu bersedia untuk
menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam
sebuah Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud, Barang siapa melakukan hal baharu yang
baik, maka ia mendapat pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang
mengerjakan hal baharu yang baik itu.

8. Guru juga perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen
perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita. Great
teachers groom their students to become leaders. Ordinary teachers direct us along the
right path, but great teachers inspire us to seek our own path. They encourage us to
discover our talents.

9. Peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan bagi mencapai matlamat
PPPM. Untuk tujuan ini, Kementerian akan memantapkan latihan guru di IPG. Kursus-
kursus dalam program pendidikan guru turut memberi penekanan terhadap penerapan
unsur-unsur kreativiti dan inovasi dalam latihan perguruan merangkumi Program
Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda
Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI). Elemen
inovasi turut diberi tumpuan melalui aktiviti PdP merangkumi pembentangan, projek,
pembinaan sumber PdP, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan pembelajaran
atas talian. Pembudayaan inovasi di IPG juga dimantapkan dengan penganjuran program-
program inovasi di peringkat IPGM dan IPG kampus.

10. Selain itu, dalam usaha kita untuk memartabatkan profesion keguruan, Kementerian
telah menggabungkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
(PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) ke dalam satu
skim perkhidmatan bersepadu PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP)
berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Pada tahun ini dianggarkan 5,000 orang Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 akan dinaikkan
pangkat ke Gred DG42.

11. Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bermula di bawah Rancangan Malaysia
Kesepuluh meletakkan sasaran 60 peratus guru siswazah sekolah rendah dan 90 peratus
guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015. Pada tahun ini seramai 6,286 orang
PPP yang sedang mengikuti PPG dijangka bergraduat, manakala 27,105 orang PPPD
dijangka bergraduat pada tahun 2015. KPM juga sentiasa menyokong guru-guru untuk
menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Berdasarkan rekod pada tahun
2014 sahaja, seramai 250 guru menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan
150 guru ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

12. Selanjutnya, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan
Kecemerlangan yang memberi peluang yang luas kepada Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan untuk menikmati kenaikan pangkat merupakan satu penghargaan dan
pengiktirafan kerajaan kepada para guru. Sehingga Jun 2014, dijangkakan seramai 195
orang guru dinaikkan ke gred DG54, manakala 643 orang ke gred DG52, 803 orang ke gred
DG48 dan 8,954 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 354 orang
dinaikkan ke gred DGA38, manakala 11,314 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 4,091
orang ke gred DGA32.

13. Dianggarkan seramai lebih 10,500 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
dan 15,700 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma telah mendapat
manfaat kenaikan pangkat melalui skim tersebut. Bagi melaksanakan semua urusan
kenaikan pangkat guru, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan yang
membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam
membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang
kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk
meningkatkan prestasi masing-masing.

14. Saya juga telah mengumumkan penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar kepada
566 buah sekolah rendah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing
melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan pada tahun 2013. Bilangan sekolah tersebut
mewakili 7.31 peratus daripada 7,746 sekolah rendah dan melepasi sasaran 6 peratus yang
ditetapkan oleh KPM. Sebanyak 209 (36.9%) adalah sekolah bandar, 302 (53.4%) adalah
sekolah luar bandar dan 55 (9.7%) adalah sekolah pedalaman. Ini menunjukkan
peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012 iaitu sebanyak 180 sekolah bandar
dan 280 sekolah luar bandar telah menerima anugerah ini.

15. Daripada keseluruhan penerima anugerah ini, 119 buah sekolah telah menerima
anugerah ini sebanyak empat kali berturut-turut. Sebanyak RM23.1 juta telah diagih kepada
hampir 22,063 orang warga sekolah, yang terdiri daripada guru besar, guru-guru serta
anggota kumpulan pelaksana sebagai ganjaran kepada penganugerahan tersebut. Saya
mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin sekolah dan guru-guru yang telah
menerima ganjaran tawaran baru pada tahun ini. Saya berharap ganjaran ini dapat
menyemarakkan semangat guru dalam mengoptimumkan peranan untuk melahirkan anak
didik yang boleh bersaing di peringkat global, mempunyai keistimewaan tersendiri serta
bersahsiah tinggi.

KEJAYAAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

16. Hasil bimbingan guru yang kreatif mampu menjana inovasi murid. Kita berbangga
dengan pencapaian murid kita dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Inovasi
Kebangsaan dan Malaysian International Young Inventors Olympiad 2013 (MIYIO) dengan
muncul sebagai johan dalam beberapa kategori. Di peringkat antarabangsa, murid kita
melakar kejayaan dengan muncul johan keseluruhan dalam World Robots Olympiad 2013
di Jakarta. Pingat emas dan markah penuh telah diraih oleh adik Yeoh Zi Song dari SJKC
Chong Teik, Balik Pulau, Pulau Pinang dalam 16th Primary Mathematics World Contest
(PMWC, 2013) Hong Kong. Semasa 64th INTEL International Science and Engineering Fair
(INTEL ISEF) di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat, adik Nur Liyana Johari telah menerima
Intel ISEF 2013 Special Awards Organizations berjumlah USD5000 daripada United Airlines
Foundation.

17. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pula telah memenangi Anugerah Best
International Team Award Pertandingan National Final F1 di United Kingdom dan Anugerah
Emas dalam Asia Pasific Conference of Young Scientists yang diadakan di Palembang,
Indonesia. Sekolah Seri Puteri Cyberjaya telah menyertai Festival Muzik Antarabangsa
Australia (SP Winds) dan dianugerahkan Gold Award di Sydney, Australia. Manakala,
Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, telah memenangi tempat kedua anugerah
khas United Airlines Foundation sempena Intel International Science and Engineering Fair
2013 di Arizona, Amerika Syarikat. Sekolah Menengah Sains Selangor memperolehi
Anugerah Emas dalam European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT)
2013 yang diadakan di Lasi, Romania. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua
warga pendidikan yang telah berusaha gigih untuk memastikan nama negara harum di
peringkat antarabangsa.

18. Dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa pula, Malaysia melakar sejarah
tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Asia
(ASTFC) yang pertama dengan meraih 12 pingat emas, 14 pingat perak dan 10 pingat
gangsa untuk mendahului lapan lagi negara yang bertanding. Pasukan Malaysia juga
mencapai kejayaan cemerlang dalam Temasya Sukan Asean Para Games, Nay Pyi Taw
Myanmar 2014 dengan memenangi 9 emas, 5 perak dan 2 gangsa.

19. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan guru kita yang meraih kejayaan cemerlang
dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa. Saya mengucapkan tahniah kepada
Cikgu Mohd Jironi Riduan dari Sekolah Sukan Tuanku Mahkota Ismail, Johor yang telah
memenangi 2 pingat emas dalam Sukan Sea ke-27, di Nay Pyi Taw, Myanmar dalam acara
lumba lari 800m dan 1500m.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

20. Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-
tinggi penghargaan dan tahniah kepada para guru yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru
Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Ikon Guru bagi tahun ini.
Anugerah ini ialah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa serta
pengorbanan tokoh-tokoh guru yang tidak ternilai kepada bangsa dan negara.

21. Justeru, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para insan bergelar
guru di mana jua anda berada. Biarkan ungkapan keramat guru atau cikgu tetap kekal
meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru. Semoga
saudara dan saudari para guru terus menjadi inspirasi kepada generasi penerus bangsa.
Kepada guru-guru saya ingin berpesan agar sayangilah murid-murid seumpama ibu atau
bapa kepada mereka dan didiklah mereka dengan baik. Kepada murid-murid, nasihat saya,
hormatilah dan hargailah jasa guru-guru anda.

16 Mei sentiasa dinanti
Sambutan meriah penuh tradisi
Terima kasih guru-guru yang dikasihi
Jasa baktimu sentiasa diingati

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Sambutan Perayaan
Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43 Tahun 2014. SELAMAT HARI GURU! TERIMA
KASIH CIKGU! Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai