Anda di halaman 1dari 3

"GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA (2012)"

Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan dan
diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun.
Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan
menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang
melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin
keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru
berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru
cemerlang negara terbilang.

Pada tahun ini, tema "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" telah dipilih
sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan
pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012
merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi
para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.

Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan
bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana
idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam
menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan
mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta
menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran
dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan
yang tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan
sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan
dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam
mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan
seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.

Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang berbentuk
dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif,
berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan profesionalisme
keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan.
Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara
khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan
berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.

Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi memastikan
kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi
pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti
dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa
penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan
kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada
guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia
pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran
global.

Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang semakin
bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja
Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada
lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi
latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk
tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan
bilangan ujian /peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan
pengajaran dan pembelajaran.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di negara ini
untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada
pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan
oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif,
berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan generasi masa depan
yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama
serta mengamalkan nilai sejagat.

Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di samping tekanan yang
dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua.
Semua guru yang ada di hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran
murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan
mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang
mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya
nescaya akhirnya mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing,
berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan kepentingan amalan berterima
kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati
atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang
sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.

Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus
melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan
etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses
transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai kedudukan tersendiri,
disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja
cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada
kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.

Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh
pendidikan di Mesir, "Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung
kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas,
mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka,
serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah".

Anda mungkin juga menyukai