Anda di halaman 1dari 5

9 CARA UNTUK KITA BANTU GAZA

8 hari telah berlalu. Jumlah syuhada di Gaza makin bertambah. Hospital tidak lagi mampu menampung
bilangan mereka yang tercedera. Bilangan wanita dan kanak-kanak yang dibunuh juga makin meningkat.
Ibu-ibu kehilangan anak kecil, anak kecil kehilangan ibu, kehilangan ahli keluarga seolah menjadi perkara
biasa.

Kerosakan harta benda, bangunan dan tanah pertanian tidak dapat digambarkan. Setelah bangkit dari
serangan tahun 2008 yang mengorbankan 1450 nyawa, Gaza berdarah kembali, dan mereka
memerlukan bantuan kita lebih dari sebelumnya.

Tempoh gencatan senjata kali ini adalah tempoh terbaik untuk masyarakat Muslim membantu rakyat
Gaza kerana mereka adalah saudara seaqidah. Tuntutan untuk membantu mereka adalah jauh lebih
besar dari tuntutan kemanusiaan, ia adalah manifestasi keimanan dan persaudaraan Islam.

Kita boleh membantu Gaza dengan banyak cara, bukan sekadar sumbangan, boikot dan share
maklumat melalui facebook sahaja. Saya cuba senaraikan 9 cara yang efektif bagaimana kita boleh
membantu Gaza secara khusus dan membebaskan masjid Al Aqsa dari cengkaman Zionis secara
umumnya.

1. Memberi sumbangan harta
Tidak dapat dinafikan, sumbangan yang paling utama ketika ini untuk penduduk Gaza adalah sumbangan
harta. Mereka amat memerlukannya bagi membangunkan kembali kehidupan. Sudah tentu dana yang
diperlukan adalah untuk tujuan perubatan, pendidikan, makan-minum, pembangunan semula bangunan-
bangunan yang dimusnahkan, pembelaan anak-anak yatim dan macam-macam lagi. Tidak sedikit dana
yang diperlukan. Sumbangkanlah sedikit jika tidak mampu banyak, Insyaallah harta kita akan lebih subur
walaupun syaitan cuba membisikkan kemiskinan. Itu adalah janji Allah.

Sumbangan kewangan ini boleh disalurkan melalui banyak NGO-NGO di Malaysia yang amat aktif
berperanan dalam membantu masyarakat di Gaza seperti Aman Palestin, Aqsa Syarif, Haluan Palestin,
Viva Palestina dan Muslim Care. Kecilkanlah sedikit perbelanjaan kita bulan ini untuk membantu
masyarakat Gaza. Anda boleh menyumbang dengan memasukkan wang dalam akaun-akaun seperti
yang tertera pada poster di bawah.

2. Berdoa
Doa adalah senjata mumin yang paling efektif, terutamanya dalam waktu-waktu krisis. Antara doa yang
diamalkan oleh Rasulullah adalah doa Qunut Nazilah. Walaupun gencatan senjata sedang berlaku,
namun doa mesti diteruskan agar Israel hancur sehancur-hancurnya dan tanah Palestin yang terjajah
sejak tahun 1948 dapat dikembalikan semula. Jangan lupa doakan kemenangan umat Islam setiap kali
selepas solat fardhu dan juga pada kesempatan-kesempatan lain.






3. Boikot produk syarikat yang menyokong Zionis
Banyak kontroversi berkaitan dengan boikot. Saya akan cuba menulis tentang isu ini di kesempatan lain,
Insyaallah. Pada yang tidak mampu atau tidak berkenan dengan cara boikot, sudah tentu ada banyak lagi
cara lain yang boleh dilaksanakan. Cuma jangan memperlecehkan mereka yang memboikot kerana ada
ulama yang mengharuskannya. Namun bagi yang memilih cara ini, tidak perlu memaksa orang lain untuk
boikot juga. Apatah lagi dengan ayat-ayat takbur dan penuh hukuman. Seperkara lagi, pastikan anda
boikot dengan maklumat yang sahih, bukan sekadar ikut-ikutan. Boikot adalah satu mekanisme efektif
yang telah berjaya di banyak negara dalam memberi tekanan kepada Israel.


4. Memperbaiki kualiti ibadah wajib
Seorang jeneral tentera Israel bernama Moshe Dayan pernah menyatakan bahawa dia hanya akan
gentar bila umat Islam mampu untuk solat Subuh berjemaah di masjid sepertimana solat Jumaat. Ini
adalah petunjuk bahawa Israel memahami hakikat agama ini, iaitu mereka hanya akan ditumpaskan oleh
kelompok Muslim yang berkualiti. Jika kita benar-benar ingin menjadi golongan amrullah yang tidak akan
sesat sepanjang zaman seperti mana yang disebut oleh nabi dalam hadis, maka kita mesti
memulakannya dengan memperbaiki diri sendiri.

Kita mesti memperbaiki kualiti ibadah, diulang MESTI, terutamanya ibadah wajib. Ilmu adalah asas
penting. Sebagai contoh, solat fardhu mesti dilaksanakan bukan sahaja dengan ilmu yang sahih, tapi
dengan perlaksanaan yang bersungguh, iaitu berjemaah dan pada awal waktu.

5. Meningkatkan Ibadah Sunat
Ibadah sunat juga mesti dipertingkatkan. Biasakan diri kita dengan zikir-zikir dan bacaan Al Quran.
Cubalah untuk melaksanakan solat sunat qabliah dan badiah, terutamanya sunat qabliah subuh. Solat
tahajjud dan witir tentunya termasuk dalam senarai sasaran yang mesti kita capai.

6. Ambil tahu tentang isu Palestin
Sejak krisis di Gaza berlaku, semakin ramai yang semakin cakna dengan isu Palestin, termasuklah
golongan atlit dan artis. Terbaru, Afdlin Shauki, Faizal Tahir dan Heliza Helmi yang melakukan banyak
perkara untuk membantu Palestin.

Untuk memahami isu ini dengan lebih baik, tidak cukup sekadar kita beremosi pada waktu krisis berlaku.
Namun, kesedaran bermusim ini lebih baik ada dari tiada. Jangan sesekali kita memperlekehkan mereka
yang baru sedar atau kelihatan bermusim. Sekurang-kurangnya mereka melakukan sesuatu.

Kesedaran ini mesti diisi dengan maklumat yang sahih. Kita mesti mengetahui sejarah penjajahan
Palestin, terutamanya sejak tahun 1948. Isu Palestin bukan sekadar isu serangan di Gaza dan rampasan
rumah di Tebing Barat, tapi ia berkait rapat dengan penghapusan etnik secara sistematik, pembunuhan
besar-besaran di kem-kem pelarian yang telah berlaku dan mungkin akan berlaku lagi, hak untuk kembali
ke tanah asal yang masih dinafikan dan tentunya pembebasan Masjid Al Aqsa yang kini dikuasai oleh
Zionis.

Bacalah buku-buku yang membicarakan perkara ini secara ilmiah. Laburkan sedikit wang dan luangkan
sedikit masa untuk memahami. Hadirkanlah diri ke program-program yang memberi maklumat tentang
Palestin. Insyaallah, selepas memahami, kita akan mengetahui akan urgensi dan hakikat sebenar isu ini
sepanjang sejarah kenabian dan umat Islam.

7. Melakukan kempen kesedaran Palestin di kalangan rakan-rakan
Kesedaran tentang isu Palestin mesti dipromosikan seluas-luasnya. Gunakanlah apa sahaja medium
komunikasi yang ada untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan isu ini kepada umat Islam.
Manfaatkanlah laman media sosial seperti Blog, Facebook dan Twitter. Bagi mereka yang berkemahiran
menghasilkan video, gunakanlah kemahiran tersebut dan sebarkanlah seluas-luasnya melalui YouTube
atau apa jua medium yang ada.

Sebarkanlah maklumat tentang keganasan Zionis, pembunuhan kanak-kanak, sifat pengecut dan tipu
daya mereka. Sebarkan juga tentang semangat luar dan ketaqwaan ahli Gaza yang luar biasa. Banyak
perkara yang umat Islam di negara lain boleh pelajari dari krisis Palestin yang sedang berlaku ini.

8. Didik anak-anak dengan semangat juang
Isu Palestin juga mesti diterapkan dalam diri anak-anak. Bagi mereka yang telah berkeluarga dan
mempunyai anak-anak, letakkanlah agenda cakna Palestin sebagai salah satu agenda utama dalam
keluarga. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama. Antaranya adalah dengan menonton video
tentang Palestin, bercerita kepada anak-anak sebelum tidur, mengajak anak-anak untuk melukis poster,
buat pertandingan bercerita tentang Palestin di kalangan anak-anak rakan dan jiran, bernasyid dan
macam-macam lagi.

Anak-anak mesti dididik dengan semangat juang dan keyakinan bahawa mereka adalah pewaris
perjuangan untuk membebaskan Al Aqsa.

9. Boikot cara hidup Zionis
Akhir sekali, cara hidup tajaan Zionis seperti berhibur secara berlebihan, membuang masa dengan aktiviti
lagha, membazir dengan kemewahan melampau dan terlibat dalam pergaulan bebas tanpa batas mesti
diboikot. Jika kita benar-benar serius untuk membebaskan Al Aqsa, maka kita mesti merancang dan
meletakkan agenda hidup untuk memboikot cara hidup zionis dan mengamalkan cara hidup Islam secara
total.

Tinggalkanlah konsert-konsert, lagu-lagu dan hiburan yang melalaikan. Tinggalkan juga isme-isme sesat
seperti liberalism dan sekularisme dalam beragama. Bina diri dengan semangat perjuangan dan jiwa
yang besar, lakukannya perlahan-lahan. Carilah teman-teman yang baik, yang mampu membimbing diri
kearah kebaikan. Rajinkan diri untuk ke majlis Ilmu dan hadir berjemaah di masjid.

Kesimpulannya, iltizamkanlah diri dengan Islam. Insyaallah, setiap langkah ke arah kebaikan yang kita
buat, maka masa untuk pembebasan Al Aqsa juga akan semakin hampir. Moga kita akan termasuk
dalam golongan mereka yang menyaksikan pembebasan masjid ini buat kesekian kalinya.





Malaysia sokong Palestin diletak di bawah sistem perlindungan
PBB - wakil Malaysia
Bernama |Kemas kini:Julai 23, 2014
(Diterbitkan pada: Julai 23, 2014 11:01 MYT)
KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong gesaan oleh Negara Palestin untuk meletakkan Palestin di
bawah sistem perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berikutan keganasan yang
meruncing di Semenanjung Gaza.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff berkata Malaysia mengulangi gesaan tentang
perlunya mengadakan persidangan Pihak-pihak Berkepentingan Utama kepada Konvensyen Geneva
Keempat bagi menangani pencabulan Israel yang berterusan terhadap konvensyen itu.

"Pencerobohan tentera Israel yang kejam ke atas orang awam tidak boleh dibiarkan dan ia merupakan
jenayah terhadap kemanusiaan.

"Justeru, Malaysia menggesa PBB terutama Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dan
masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan yang dilakukan
Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan berusaha untuk mewujudkan keamanan antara Israel dan
Palestin," kata beliau.

Hussein berkata demikian pada Mesyuarat Tergempar mengenai Keadaan di Timur Tengah termasuk
Soal Palestin pada Majlis Keselamatan PBB di New York pada Selasa. Teks ucapan beliau dihantar
kepada Bernama Rabu.

Pada 13 Julai, Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah menulis kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-
moon, meminta supaya Palestin diletakkan di bawah sistem perlindungan antarabangsa yang ditadbirkan
oleh PBB.

Malaysia terus mengutuk dan sekali lagi menggesa supaya diwujudkan gencatan senjata antara Palestin
dan Israel kerana keganasan terkini telah mengorbankan lebih 600 rakyat Palestin sementara lebih 3,500
lagi cedera dan lebih 80,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.

Wakil Malaysia itu berkata serangan dan bedilan ke atas rumah orang awam, hospital dan sekolah, yang
bermula pada 8 Julai, adalah satu pencabulan serius terhadap Konvensyen Geneva Keempat yang
merupakan jenayah perang.

Hussein yang menegaskan tidak ada mana-mana negara yang harus mengatasi undang-undang,
bagaimanapun berkata UNSC masih membisu dan tidak berbuat apa-apa dalam menghadapi
pencerobohan, perluasan wilayah oleh Israel dan kurangnya akauntabiliti oleh negara itu.

UNSC harus menebus kegagalannya dan mendukung tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya
berhubung dengan kegagalan Israel mematuhi pelbagai resolusi, dan mengambil langkah-langkah untuk
menangani ketidakadilan yang teruk ini," kata beliau.

Beliau mengulangi usaha Malaysia yang berterusan sambil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak telah menghubungi Presiden Mahmoud Abbas, dengan menyatakan komitmen Malaysia
untuk melakukan apa yang termampu bagi membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin yang
sah.

Beliau berkata beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia telah berlepas ke Gaza untuk
menyertai misi kemanusiaan yang menghulurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan dan memberi
sokongan psikososial kepada mangsa.

Selain itu, Kementerian Luar telah mengulangi rayuan bagi sumbangan kewangan daripada orang ramai
untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang
ditubuhkan oleh Kementerian sejak 2002.

Maha Sheikh Khalil. Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ini kehilangan ibu dan saudara
perempuannya angkara keganasan rejim zionis. Dan kini maha amat memerlukan rawatan segera dia
lumpuh seluruh badan akibat terkena bom Israel.
Jawatankuasa Qatar bagi pembangunan semula Gaza memulakan proses menghulurkan bantuan kepada
penduduk Gaza yang menjadi mangsa bedilan rejim zionis sejak lebih sebulan yang lalu. Rakyat Palestin
yang kehilangan rumah mereka akan menerima seribu dolar Amerika seorang sebagai bantuan awal bagi
meringankan beban yang ditanggung.
BANDARAYA GAZA: Kira-kira 10 rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam
serangan Israel di sekitar Semenanjung Gaza pagi ini, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada
1,822 orang. Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata lima orang terbunuh di
Jabalia di utara, tiga di kawasan sekitar bandaraya Gaza di Zeitun dan Sheikh Radwan, seorang di
Nuseirat dan seorang kanak-kanak di bandaraya Rafah di selatan. Askar Israel menyerang 4,686
sasaran di Semenanjung Gaza dalam konflik yang bermula pada 8 Julai lalu. - AFP

Anda mungkin juga menyukai