Anda di halaman 1dari 8

Faktor pembentukan malaysia

Lambat laut Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat
Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Adalah terlalu awal untuk saya
menyebut untuk cara persefahaman itu dapat dicapai, namun kita perlu mencapai
objektif ini dan memikirkan satu rancangan supaya wilayah-wilayah ini dapat
dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat
Kenyataan ini merupakan titik permulaan bagi pembentukan Persekutuan Malaysia
1963. Hasrat ini telah dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961.
Berdasarkan ucapan tersebut, menunjukkan ajakan itu bersifat halus dan tidak
bersifat memaksa . Selain mendapat reaksi yang baik, cadangan penubuhan
Malaysia juga turut mendapat reaksi yang kurang baik daripada sesetengah pihak
yang mengandaikan bahawa penubuhan Malaysia adalah satu penjajahan bentuk
baru iaitu neokolinialisme. Seorang penulis mengatakan bahawa inisiatif untuk
rancangan tahun 1961 itu datang daripada kerajaan British. Hal ini menunjukkan
penubuhan Malaysia bersangkut paut dengan kepentingan British. Apakah faktor
yang menyebabkan perlunya penubuhan Malaysia dan kontrovesi yang berlaku akan
dikupas dengan lebih lanjut lagi dalam penulisan ini.
POLITIK
Penubuhan Persekutuan Malaysia ini dilihat sebagai batu loncatan kepada Negara-
negara tertentu seperti Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei untuk mendapatkan
kemerdekaan. Sekiranya ditinjau, Singapura berstatus koloni British. Sementara,
Sabah dan Sarawak adalah di bawah naungan atau tanah Jajahan British. Dalam
akhbar the People, Singapore People Alliance melaporkan bahawa cara terbaik
untuk merdeka ialah melalui penyertaan dalam Malaysia. Sokongan dari British
juga jelas menunjukkan persetujuan mereka terhadap penubuhan Malaysia dan
secara tidak langsung mudah bagi Singapura, Sabah dan Sarawak untuk
mendapatkan kemerdekaan. Buktinya akhbar The Times, 11 Februari 1988
menyebut a tidy solution of British responsibility iaitu melaui penubuhan
Malaysia, penyelesaian yang cukup kemas dapat dilakukan terhadap tanggungjawab
British di kawasan itu.
Faktor penubuhan Malaysia adalah membanteras pengaruh komunis di Tanah
Melayu dan Singapura. Menurut Nordin Sopiee, faktor ancaman pengaruh komunis
di Singapura menjadi faktor utama yang mendorong pergabungan antara kedua-dua
negeri. Pada tahun 1963, kerajaan British telah merancang untuk meminda
perlembagaan Singapura dan seterusnya mengadakan pilihan raya. Keadaan ini
adalah amat merbahaya sekiranya pilihan raya tersebut dimenangi oleh parti
berhaluan kiri Singapura. Hal ini kerana, kemungkinan penglebaran pengaruh
komunis akan berlaku di Tanah Melayu daripada Singapura. Kebimbangan ini dapat
dilihat dalam penulisan Simanjuntak yang menyatakan bahawa
Singapura kemudiannya akan menjadi tapak yang kukuh bagi puak berhaluan kiri
di mana kegiatan-kegiatan subversif yang berterusan dengan mudah dapat
dilancarkan Tanah Melayu dan Wilayah-wilayah Borneo. Ahli-ahli politik Singapura
yang condong ke kiri sudah tentu mengalu-alukan perwakilan diplomatik daripada
negara-negara blok komunis dan akhirnya melakukan apa yang telah dilakukan oleh
Rusia dan Cuba.
Sekiranya keadaan ini berlaku akan berlakunya perpecahan di antara Tanah Melayu
di utara dan Singapura di Selatan. Maka, hubungan Tanah Melayu dengan Singapura
akan terjejas baik dari segi politik ataupun ekonomi. Keadaan ini sama dengan
situasi Korea Utara dan Korea Selatan. Hal ini dapat disokong melalui kajian
Simanjuntak yang menyatakan:
Perkembangan sedemikian bukan sahaja mencetuskan persengketaan ideologi
tetapi juga memutuskan suatu perjuangan bersenjata yang membinasakan antara
selatan dan utara Malaya yang menyerupai corak Korea Utara dan Korea Selatan
ataupun Vietnam Selatan dengan Vietnam Utara.
Pengabungan dengan Tanah Melayu merupakan kunci kepada Lee Kuan Yew dan
partinya iaitu People Action Party (PAP) untuk menjamin kedudukan beliau dan
partinya. Sejak tahun 1959, komunis telah merampas pucuk pimpinan PAP yang
telah menguasai Singapura dibawah pimpinan Lee Kuan Yew. Akibatnya wujud dua
golongan dalam parti tersebut iaitu golongan kanan dan golongan kiri berfahaman
komunis (watak yang berlawanan dengan kerajaan dianggap golongan sayap kiri
atau watak antagonis). Pada mulanya, Lee Kuan Yew bekerjasama dengan golongan
berhaluan kiri dalam partinya tetapi akhirnya pertelingkahan berlaku dan ini
membawa kepada kekalahan PAP dalam 2 pilihan raya kecil pada tahun 1961.
Kekalahan ini menimbulkan kegusaran di kalangan pemimpin-pemimpin PAP yang
berhaluan kanan, lebih-lebih lagi apabila di dapati peratus undi yang diperolehi
oleh parti itu merosot daripada 60.7% pada tahun 1959 kepada 36.7% pada tahun
1961. Sekiranya Singapura jatuh ke tangan kuasa komunis bermakna kuasa beliau
dan partinya akan hilang. Oleh itu, pergolakkan yang terjadi dalam parti inilah
menggesa Lee Kuan Yew untuk bergabung dengan Tanah Melayu. Tambahan pula,
Tanah Melayu sememangnya anti-komunis dan mempunyai pengalaman dalam
menangani ancaman komunis semasa zaman darurat 1948-1960.
Penyertaan Sarawak dalam Perseketuan Tanah Melayu adalah disebabkan oleh
ancaman komunis yang berleluasa di Sarawak. Pengaruh komunis turut berkembang
dan mengancam keadaan politik di Sarawak. Di harap melaui penubuhan Malaysia,
kestabilan politik yang diperolehi dapat menentang ancaman komunis.
Selain itu, ancaman dari Indonesia dan Filipina merupakan salah satu faktor yang
menyebabkan Sabah dan Sarawak mahu menganggotai Persekutuan Malaysia.
Penduduk Sabah dan Sarawak berasa bimbang, ekoran perluasan kuasa oleh
Indonesia terhadap Irian Barat. Setelah menakluk Irian Barat, Indonesia dijangka
akan beralih pula kepada negeri-negeri di Borneo. Keadaan semakin merumitkan
apabila Indonesia memberi sokongan padu terhadap pemberontakan Brunei yang
dicetuskan oleh A. M. Azahari. Beliau berharap dapat membawa Indonesia dan
Filipina menyertai konsep Melayu Raya yang berpuasat di Brunei. Oleh itu
penyertaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia menjadi titik tolak kepada
pemimpin Sarawak mengubah pendirian mereka untuk menyertai Persekutuan
Malaysia.
Manakala negeri Sabah pula diancam oleh Filipina. Filipina mendakwa Sabah adalah
sebahagian daripada Filipina berdasarkan sejarah Kesultanan Sulu. Menurut
Filipina, asal pemindahan wilayah Borneo Utara dari Kesultanan Sulu 1978 (
sekarang sebahagian daripada Filipina) adalah dalam bentuk pajak dan bukan
jualan. Ini nyata dibuktikan dengan adanya pembayaran tahunan secara tetap oleh
Compony kepada Sultan Sulu. Kini sudah sampai masanya, mereka mahu
mengambil kembali Sabah. Namun, tuntutan ini ditolak oleh British. Menurut
British, dokumen-dokumen dahulu menyatakan Sultan Sulu menyerahkan Sabah
buat selama-lamanya kepada British. Oleh itu, Filipina tidak mempunyai hak
terhadap Sabah. Walaubagaimanapun, Filipina tidak berpuas hati dengan
keputusan tersebut dan terus mengancam Sabah. Jadi dapat disimpulkan di sini
bahawa penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sedikit sebanyak dapat
melindungi negeri daripada ancaman Filipina.
Kemunduran Sabah dan Sarawak juga mejadi salah satu penyebab penyertaan
mereka dalam Malaysia. Semasa pemerintahan British, masyarakat peribuminya
dalam kemunduran walaupun British sedia ada telah membuat pelbagai perubahan.
Walau bagaimanapun, perubahan itu sebenarnya bukanlah untuk masyarakat
setempat tetapi hanya semata-mata untuk kepentingan ekonomi British. British
dilihat lebih memberi layanan istimewa kepada orang luar. Orang luar lebih
mendapat tempat dalam sektor pentadbiran dan pendidikan. Sementara
masyarakat setempat terus dalam kemunduran dan tidak berpendidikan. Jesteru
itu, adalah perlu untuk memasukkan kedua-dua negeri tersebut dalam persekutuan
Malaysia. Hal ini kerana, kebarangkalian mendapat layanan yang baik kepada
bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar kerana Malaysia, Sabah dan
Sarawak adalah dalam rumpun yang sama.
Ramai orang berpendapat Singapura tidak boleh berdiri sendiri. Hal ini kerana,
Singapura tidak mempunyai ekonomi yang cukup. Selain itu, dari segi
keselamatannya kedudukan Singapura mungkin akan terancam kerana Singapura
berada pada kedudukan strategik dari segi pertahanan. Sekiranya Singapura
merdeka secara bersendirian kemungkinan diancam oleh kuasa besar adalah tinggi
umpamanya ancaman kuasa komunis. Disamping itu juga, penyertaan Singapura
dalam persekutuan Malaysia turut memberi faedah kepada British. British akan
terus mengawal keselamatan Singapura dan kepentingan ekonomi British menerusi
perjanjian dengan Persekutuan Tanah Melayu yang akan diperluaskan meliputi
Singapura. Dengan galakkan daripada pihak British ini memudahkan lagi kelancaran
penubuhan Persekutuan Malaysia.
Kedapatan juga pihak yang menyatakan bahawa penubuhan Malaysia adalah
berdasarkan kepentingan British secara langsung. Kepentingan ini dapat dilihat dari
segi ekonomi dan politik. Salah satu faktor penubuhan Malaysia adalah
menghapuskan ancaman Komunis. British melihat blok komunis sebagai satu
ancaman kepadanya. Tambahan lagi Britain merupakan blok barat yang
bertentangan dengan blok komunis. Sekiranya negeri-negeri jajahannya jatuh ke
tangan blok komunis maka, hal ini sangat memalukan Britain sebagai sebuah kuasa
yang besar. Oleh itu, penubuhan Malaysia adalah satu penyelesaiannya. Sekiranya
kita tinjau lagi, mengapa ahli-ahli dalam Persekutuan Malaysia terdiri daripada
negeri-negeri jajahan British. Hal ini kerana, pemerintah -pemerintahnya adalah
pro-barat dan dari segi sejarah mereka pernah berada di bawah naungan British.
Hubungan baik dengan British menyebabkan British memberi kepercayaan kepada
Tuanku untuk menubuhkan Malaysia. Selain itu, British tidak bimbang kerana
selama mereka berada di negeri-negeri tersebut, mereka berjaya mengubah
masyarakat tempatan mengikut acuan mereka. Misalnya Tuanku Abdul Rahman
pernah mendapat pendidikan di barat dan gaya hidupnya juga seperti barat.
Menurut Soekarno Tuanku boleh dianggap boneka British. Oleh itu, sekiranya
berlaku sesuatu Malaysia akan menyokong kuat Britain berdasarkan hubungan yang
pernah terjalin. Demikianlah, betapa halusnya tindakan British untuk mengekalkan
pengaruhnya terhadap negeri-negari jajahannya walaupun sudah mendapat
kemerdekaan.

EKONOMI

Perkembangan ekonomi tidak seimbang dalam wilayah-wilayah Borneo, Tanah
Melayu dan Singapura. Ekonomi Sabah dan Sarawak masih mundur sedangkan
perkembangan ekonomi Tanah Melayu, Singapura dan Brunei sangat memuaskan.
Pembentukan Malaysia dapat memberikan faedah ekonomi bersama bagi negeri-
negeri anggota Malaysia. Berdasarkan negeri-negeri anggotanya, masing-masing
mempunyai potensi sendiri. Misalnya Singapura dengan perdagangan antarabangsa,
perusahaan dan pelancongan; Brunei dengan hasil minyaknya; Sabah dan Sarawak
dengan hasil hutannya sementara Tanah Melayu dengan hasil galian dan
pertaniannya. Dengan kekayaan yang dimiliki ini maka sumber-sumber tersebut
boleh dikembangkan untuk keuntungan negeri dan juga kerajaan pusat.

SOSIAL
Apa yang dikatakan keseimbangan kaum itu adalah Tanah Melayu ingin
mengimbangkan etnik Melayu dengan bumiputera Sabah dan Sarawak agar wujud
kestabilan. Di Singapura didapati majoriti penduduknya ialah Cina. Menurut
dikatakan 80% penduduknya bukan Melayu. Hal ini dilihat sebagai satu ancaman
ketika penubuhan Malaysia nanti. Tambahan lagi, pemerhati politik telah
mengesan tentangan rasmi terhadap Mlaysia. Tentangan itu dilakukan oleh pihak
pelampau yang bimbang akan sikap Kuala Lumpur yang anti-komunis. Oleh itu
sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga, peribumu Sabah dan Sarawak akan
memihak kepada orang Melayu. Kenyatan ini diperkukuhkan lagi dengan kata-kata
Simanjuntak bahawa:
Sekiranya terjadi perbalahan perkauman yang tegang, penduduk peribumi Borneo
berkemungkinan memilih untuk bersekutu dengan orang Melayu yang lebih rapat
dari segi keturunan berbanding dengan orang Cina.
Faktor keseimbangan kaum dan perpaduan ini sebenarnya telah menjadi
kontrovesi. Sekiranya benar-benar ingin mewujudkan sebuah Negara yang kuat
mengapa tidak kita bergabung dengan Indonesia dan Filipina. Indonesia dan Filipina
dikatakan mempunyai warisan dan budaya yang sama dengan Tanah Melayu.
Konsep yang sama telah dilaung-laungkan oleh Ahmad Boestaman dan A. M. Zahari.
Mengapa kita perlu bergabung dengan negeri-negeri jajahan British sahaja? Adakah
ini dikatakan neoklonialisme yang dilancarkan oleh British.

KESIMPULAN
Terdapat pelbagai faktor yang menjadi asas kepada penubuhan persekutuan
Malaysia. Penubuhan Malaysia ini dilihat sebagai lubuk untuk merealisasikan
kepentingan orang-orang tertentu. Kepentingan ini merangkumi faktor politik,
sosial dan ekonomi. Walaupun, ia dikatakan untuk kepentingan sesetengah pihak,
tetapi kalau dilihat ia juga turut memberi faedah kepada yang terlibat.
Tindakan menubuhkan gagasan Malaysia ini juga menjadi isu kontrovesi dan
mendapat tentangan yang kuat dari dalam dan luar negeri dan salah satunya
Konfrontasi Indonesia 1964. Halangan-halangan yang timbul ini telah memberi
motivasi dalam merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia dengan usaha
yang berterusan. Akhirnya pada September 1963, Persekutuan Malaysia telah
direalisasikan.

Anda mungkin juga menyukai